Seorang kawan saya, pemberita akhbar The Star baru-baru ini memberitahu, dia mungkin dipanggil untuk memberi penerangan kepada Pemimpin dan AJK Pusat Pas bagaimana sepatutnya menghadapi media.
Inisiatif itu dilakukan oleh salah seorang AJK Dewan Pemuda Pas.
Saya sangat mengalu-alukan kerana dalam banyak perkara kita melihat Pas masih tidak mampu memenuhi cara dan etika dengan media, terutama apabila membuat sidang akhbar. Sedangkan orang-orang media kebanyakannya ingin mencari peluang kelemahan dan ‘kesilapan’ melalui ‘sidang press’ itu.
Saya mendapat tahu, ada sidang media, orang Pas mengeluar kenyataan dalam bahasa Arab atau banyak menggunakan istilah Arab. Ada sidang media, pihak Pas tidak menyediakan kertas ‘ sidang akhbar’, yang menyebabkan pemberita terlalah-lalah mencatat. Sedangkan mana-mana press, kertas sidang akhbar itulah yang penting bari pemberita.
Contoh paling terdekat, Buletin Utama TV3 25 Julai 2008, Presiden Pas mengatakan, bukan ‘Muzakarah’ tapi ‘Muqabalah.’ Apabila pemberita bertanya apa benda muqabalah itu, Presiden Pas menjawab, “Itu kena tengok kamuslah.”
Menjelang kempen Pilihanraya ke 12 atau ke 11 yang lalu, saya sering dijemput berceramah. Saya sering terlalah-lalah mencari nama-nama yang harus disebut ketika hendak berucap, kerana itu adalah protokol dalam ucapan. Tak seorang pun jawatankuasa majlis memberitahu siapa yang akan datang dan siapa yang turut ada di dalam majlis itu untuk disebut dari peringkat atas hingga ke jawatan bawah.
Tetapi lain pula apabila saya hendak berceramah di majlis Pas, yang dikelola oleh bekas pemimpin Umno. Sebelum naik ke pentas, mereka akan memberi senarai nama dengan jawatannya sekali yang patut disebut.
Tidak bersedia dan tidak mengatur acara dengan baik menyebabkan majlis atau persidangan akhbar menjadi keliru dan hasilnya apa yang tersiar juga menjadi keliru, mudah diputar belit.
Apabila soal muzakarah antara Pas dengan Umno menjadi hebuh sekarang, kita telah melihat bagaimana dari segi moral dan imejnya, Umno telah berjaya. Apa yang berlaku di dalam Pas, antara pemimpin dengan pemimpin, terutama Mursyid Am dengan Presiden, antara Ketua Pemuda dengan ahli-ahli bawahan sudah bercelaru. Saya tidak mengatakan Umno yang betul tetapi sangat jelas Pas sudah diperkotak katek dan dipermain hanya kerana kelemahan Pas menghadapi media.
Memang semua orang tahu, termasuk pemimpin Pas yang Umno dalam keadaan tersepit, menggelupur mencari ruang hendak menyelamatkan diri, tetapi kerana pemimpin Pas tidak pandai menghadapi media, maka gambaran yang dilihat oleh orang awam, ahli bawahan ialah, Pas bersedia dan Pas sangat perlu kepada penyatuan melalui Umno.
Di kalangan pemimpin Pas kita melihat, mereka sangat ghairah dan beria-ria sangat hendak ditemuramah. Mereka menjadikan pintu terbuka kepada pemberita bersoal jawab, malah ketika dalam keadaan kelamkabut keluar dari persidangan atau mana-mana mesyuarat, mereka sanggup berhenti dua minit untuk menjawab soalan pemberita. Kadang-kadang yang sepatutnya atas nama peribadi menjadi suara jawatan tertinggi, manakala yang sepatutnya suara jawatan tertinggi, menjadi suara peribadi.
Soal muzakarah, walaupun dikatakan sudah ditutup pintunya, kita yakin yang menutup pintunya ialah hendak bermuzakarah. Tetapi kita akan lihat bagaimana media menggunakan kebijaksanaan mereka di atas kelemahan pemimpin Pas, maka muzakarah yang ditukar kepada muqabalah ini akan berterusan, kerana ini agenda Umno.
Adakah pemimpin Pas akan mejawab,’ No komen?’ atau ia akan berhenti sekejap untuk menjawab soalan pemberita atau kononnya ingin memberi penjelasan?
Saya lihat isu muzakarah ini pada satu peringkat Umno sudah berjaya memporakperandakan pemikiran dan pendirian ahli Pas. Jika pemimpin Pas tidak berhati-hati, tidak membuang tabiat suka sangat diwawancara, ditemuramah dan menjawab soalan press, maka Pas akan mengulangi kesilapannya yang lebih buruk.
Mursyid Am Pas seharusnya jangan terlalu banyak bercakap dan memberi pandangan, kecuali dalam kuliah-kuliah. Saya sangat bimbang pandangan dan teguran yang remeh temeh, ia akan menjadi fatwa mufti yang tidak dipeduli oleh golongan artis. Presiden Pas juga harus mendapat persetujuan dari barisan AJK lain, dan mestilah perkara pokok, perkara penting apabila hendak bercakap kepada media.
Bagi saya, temuramah eksklusif dengan mana-mana akhbar perdana tidak harus dilayan. Tapi itulah yang sering terjadi. Siapapun tahu, temuramah di dalam akhbar milik Umno selalunya menjadi ‘bola tanggung’ kepada mereka sedangkan untuk menjawabnya sudah tidak ada peluang lagi. TV juga, Pempimpin Pas harus waspada apabila siaran bersifat tertunda dengan siaran langsung.
Apakah pemimpin Pas bersedia dalam hal ini?
Isu muzakarah ini sudah bermula sejak zaman Dato’ Asri lagi. Malah menurut Mursyid Am, Pas sudah serik dengan tipu helah BN terhadap Pas pada satu ketika dulu. Tapi anihnya pemimpin Pas tetap melayannya.
Saya melihat hal ini berlaku adalah kerana:
1. Pemimpin Pas mebuat komen ‘ingin menafikan’ tetapi cara komennya menyebabkan press boleh memutar belit.
2. Pemimpin Pas ingin memberitahu press bahawa dia terlibat dalam isu yang tidak dipersetujui. Tapi cara dia memberitahu memberi ruang kepada press untuk menyatakan dia sudah turut serta. Ini satu kesilapan.
3. Pemimpin Pas harus sedar, antara komen peribadi dengan komen atas jawatan, jika didedahkan kepada umum, ia sama saja. Rakyat, terutama ahli Pas tidak melihat pemimpin Y itu memberi komen atas nama peribadi walaupun Y berjawatan X. Maka apapun kategori komen, ahli akan mengatakan komen Y = Y+X.
4. Komen tidak harus dibuat hanya ketika keluar dari Parlimen dalam keadaan berjalan. Komen tidak harus dibuat ketika pemberita menyoal sewaktu hendak masuk ke dalam kereta.
5. Pemimpin Pas haruslah ingat, berbaik dan ramah mesra dengan pemberita berlainan sekali dengan berbaik dan ramah mesra pemimpin Umno. Ada tulisan pemberita menyebut, pemimpin Umno X atau Y mudah ditemui, mudah berbicara dan sangat mesra. Pemimpin Pas tidak boleh mengguna kaedah ini untuk merapatkan jurang antara pemberita dengannya, dengan harapan ucapannya akan selalu keluar di dalam akhbar. Pemimpin Pas kenalah ingat, apa saja yang ditulis oleh pemberita tersebut, tidak semestinya akan disiar bulat-bulat, kerana ia bergantung pula kepada Ketua Editornya dan Ketua Editornya akan disunting pula oleh orang yang lebih atas.
Masakan imej dan isu pemimpin Pas hendak diutamakan?
Oleh itu, kita rasa cukuplah isu muzakarah ini sebagai isu terakhir yang menunjukan kita sangat tidak kena dengan cara kita bermedia. Muzakarah tidak menguntungkan Pas. Muqabalah pun tidak menghuntungkan Pas. Tidak payah menyimpul awan gemawan untuk menjadi selimut Umno. Marilah kita menyimpul aqidah untuk jadi selimut di kamar akhirat.
No comments:
Post a Comment