Wednesday, July 30, 2008

Husam kata sudah-sudahlah, jangan mengarut!

Perhatian
Copy paste dari terjemahan secara bebas dari Tek asal dalam posting sebelum ini oleh Sdr Abu Bakar (penarikbeca.blogspot.com) atas permintaan ramai sahabat di pendalaman Malaysia, tanpa izin beliau.


Aris Awang


Kebelakangan ini, begitu banyak diperkatakan tentang kerjasama PAS dan Umno kononnya untuk kepentingan Melayu dan Islam.

Kita telah tegaskan sebelum ini bahawa PAS amat menyedari niat tersembunyi di sebalik kesemua cadangan Umno itu. Kita juga telah menegaskan dengan jelas bahawa apa sahaja yang berkaitan dengan pertemuan antara PAS dan Umno adalah semata-mata 'muqabalah' atas dasar peribadi antara beberapa pemimpin PAS dan rakan-rakan mereka di dalam Umno. Ia bukan pertemuan rasmi atau 'muzakarah' di peringkat parti antara PAS dan Umno.

PAS, sama ada pemimpin atau penyokong akar umbinya, yang telah menempuhi senario politik Malaysia selama lebih 50 tahun, tidak naif dan mudah ditipu oleh Umno. Kita semakin matang dan telah masak dengan putar belit politik Malaysia. Jalan yang kami pilih menjadikan kami semakin tangkas untuk membezakan yang mana kawan dan yang mana lawan.

Lantaran itulah, kami merasa amat geli hati apabila membaca laporan akhbar mengenai apa yang didakwa sebagai tawaran Umno Perak hari ini yang dikemukakan oleh Ketua Perhubungannya, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali supaya PAS dan Umno membentuk kerajaan campuran di negeri itu.

Saya ingin mengulangi penegasan bahawa PAS tidak berminat untuk berkerjasama dengan Umno sama ada di peringkat pusat atau mana-mana negeri. PAS begitu selesa dengan pakatannya dengan PKR dan DAP di dalam Pakatan Rakyat dan tidak akan meningalkan pakatan ini, tidak kira semanis mana pun tawaran yang digula-gulakan oleh Umno.

Sama seperti nasihat saya kepada Tan Sri Muhammad Muhammad Taib baru-baru ini, saya juga ingin menasihati Datuk Seri Mohd Tajol Rosli supaya memberi tumpuan untuk menyimpan tenaga demi menyelamatkan kapal Umno yang sedang tenggelam, tanpa mengheret PAS untuk turut tenggelam bersama mereka.

Haji Husam Musa
29 Julai 2008
(Alih bahasa secara bebas oleh Sdr Abu Bakar - disedut dari blog beliau tanpa izin)

No comments: