Saturday, July 12, 2008

ASOBIYYAH KAH KITA?

Allah hu Akbar………….

Pemuda dan Pemudiku,

Jauhkan dirimu dari bersikap asobiyyah.

Apa ciri-ciri asobiyyah?

Antara ciri asobiyyah ialah kita tetap akan mempertahankan kumpulan kita walaupun kumpulan kita melakukan segunung kesalahan dan akan menghentam kumpulan lawan kita walaupun kumpulan itu hanya melakukan sekelumit kesalahan.

Kadang-kadang kita tidak sedar, kita telah berlaku tidak adil kepada manusia, hanya akibat mereka tidak ada dalam kumpulan kita, maka kita tidak merasa bersalah dan berdosa untuk membedal mereka sekuat hati dan perasaan kita.

Kadang-kadang kita juga tidak sedar, kita telah tidak berlaku adil kepada manusia, apabila manusia dari kumpulan kita melakukan kesalahan kita mempertahankan dan membela kesalahan yang dilakukan dengan sekuat kudrat yang ada dan lebih teruk lagi apabila kita sendalkan hujah dengan ayat Al-Quran dan Hadis Nabi yang mulia, dari lidah kita yang kotor dan jijik.

Ingin ku pertegaskan ciri asobiyyah tidak boleh ada kepada kita, pemuda-pemudiku yang memperjuangkan politik Islam, tetapi ianya menjadi makanan enak kepada mereka yang mengambil jalan politik sekular.

Contoh ketara ciri-ciri asobiyyah yang real didepan mata kita, cuba ku ketengahkan kepada mu pemuda dan pemudi sebagai sempadan pemisah untuk kita berlaku adil kepada manusia selepas ini.

  1. Akuan bersumpah oleh Balasubramaniam dan Raja Petra terhadap Mohd Najib Abd Razak – Tanpa mengira apa latar belakang mereka yang membuat akuan bersumpah, kita gunakan sepenuhnya untuk menghentam dan mengodam semahunya musuh kita.
  2. Repot polis oleh Saiful Bukhari Azlan dia kena liwat - Tanpa payah berfikir panjang kita terus mengatakan ianya fitnah, kerana repot tersebut kena kepada batang tubuh individu dari kumpulan kita.
  3. Abdullah Badawi dan Mahadzir Khalid naik jet peribadi – Tanpa fikir panjang kita pukul bedal habis-habisan dalam ceramah, walaupun mungkin beliau naik dengan Agong atau Sultan ketika itu.
  4. Sejak lama aku diasuh oleh PAS tidak setuju Al-Quran dipertandingkan dan lebih-lebih lagi menghantar qariah dalam mana-mana pertandingan – Tanpa segan silu aku pun hentam perkara tersebut sejak umur baligh 15 tahun sehingga sekarang.
  5. “Syed Abd Razak Syed Zain Al-Barakbah ……. kah…kah nak tebang balak diUlu Muda pakai helicopter oleh Syarikat Serawak……… mana boleh hutan akan rosak juga dan syarikat Serawak tu bukan ada pengalaman, lebih lucu lagi Pak Tuan Syed kata pokok balak biaq lama-lama pun akan mampoeh (mati) jugak akhirnya….. membazir namanya tu….”. itulah isi antara isi ceramah ketika itu. Helmi lah tukang bantai Pak Tuan yang paling sakan sekali………… sekarang kita pulak guna ayat sama, Cuma mudah-mudahan ia adalah hanya strategi untuk dapat RM100 juta pampasan dari pemerintah Persekutuan.
  6. Mahfuz, Nasir, Hj Nan, Zul Che Harun, Zul Ya, Puad dan Aku bawa sampah hempas atas meja Datuk Bandar, Mahfuz lagi dahsyat bawa air ikan….. pasai isu sampah. Sekarang aku yang dok menyabarkan orang taman sebelah kampong aku supaya jangan buat benda sama akibat sampah yang tak dikutip. Harap lepas injek RM3 juta dan tau cari duit sendiri masalah akan selesai.
  7. Aku sendiri memetik klip dari TV3 dalam isu babi di Melaka dan ditayang dimerata tempat dan mendapat sambutan yang cukup memberansangkan dari orang Melayu Islam. Tetapi berlaku pula isu sama di Selangor dalam versi yang agak berbeza selepas pilihanraya ke 12. Aku cuba bayangkan kalaulah Selangor masih lagi bukan Pakatan Rakyat memerintah, sudah tentu isu itu aku akan balun habis-habisan. Adilkah aku? Tidakkah aku bersifat asobiyyah? Apakah ini ciri politik Islam yang aku perjuangkan?

Persoalannya, apakah sikap kita dalam banyak lagi persoalan yang akan berlaku selepas ini apabila kesalahan dilakukan oleh musuh dan apabila kesilapan yang dilakukan oleh pihak kita.

Semoga kita tidak lagi bersikap asobiyyah, berlaku adillah kepada manusia walaupun ia musuh kita.

Ia adalah mudah untuk dicakap dan ditulis, tetapi perkara yang amat sukar dibuktikan dalam tindakan.

Semoga pemuda-pemudi ku selepas ini, kita tidak lagi menyuburkan sikap asobiyyah dalam diri kita kepada mana-mana manusia samada ianya musuh atau kawan kita.

Yang penting. perkara yang baik hendak dikatakan baik, perkara yang buruk hendaklah dikatakan buruk, perkara samar hendaklah dikatakan samar dan perkara terang hendaklah dikatakan terang walau dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Tugas kita sekarang ialah mencerdikkan rakyat, bukan memperbodohkan rakyat dengan lakonan dan sandiwara.

Lebih meloyakan diriku jika berlaku ulamak Pakatan Rakyat pulak selepas ini mungkin, mula mencari ayat Quran dan Hadis untuk mengiakan apa sahaja kesilapan dan kesalahan yang mungkin dilakukan oleh Pemerintah Pakatan Rakyat, yang dulu dan sekarang secara istiqamah dilakukan oleh pihak agawan dalam UMNO.

Semoga hujah “Peperangan itu tipu muslihat” dan “Kita berjuang untuk tegak Islam, maka semua yang kita buat berdasarkan niat baik kita itu, maka ia ……” tidak akan menyebabkan kita berlaku zalim kepada manusia.

Ingatlah kita kepada kisah real politik pemerintahan Islam ketika zaman Saidina Umar Al-Khatab apabila seorang Yahudi mengadukan pertelagahannya dengan Saidina Ali.

Saidina Umar memanggil Saidina Ali dan Yahudi tersebut kehadapan pengadilan. Apabila Saidina Umar melihat ketidakpuasan dan kekecewaan diwajah Saidina Ali, ia menjangka bahawa ia telah menyinggung Saidina Ali kerana memanggil beliau bersama Yahudi keperbicaraan tersebut. Namun Saidina Ali berkata kepada Saidina Umar, “Aku tidak senang kerana Engkau tidak bersikap sama kepadaku dan kepadanya. Engkau memperlihatkan sikap lebih hormat kepadaku dan memanggilku dengan nama julukanku, tetapi Engkau tidak melakukan hal yang sama kepadanya.”

Jangan panic! Jangan gabra! semua persoalan yang berputar sekarang adalah landasan untuk kamu pemuda dan pemudi ku mencari gali kebenaran hakiki dari asas sistem politik Islam yang dibina oleh Junjungan Besar Rasulullah saw yang sekarang tenggelam dalam lumpur sisa-sisa penjajahan dan penyimpangan.

No comments: