Kepada pengundi Bagan Pinang yang masih berhasrat mengundi BN/UMNO dalam pilihanraya kecil pada 11 Oktober 2009 ini.
Nanti dulu!!! JANGAN UNDI LAGI!!! Ikuti khutbah dari Masjid Negara pada 2 Oktober 2009 - Jumaat lepas yang bertajuk PENGAMAL RASUAH PENGKHIANAT NEGARA
Untuk Lawati Laman Masjid Negara klik disini
Amat bermakna jika khutbah tersebut diedarkan untuk dibaca oleh seluruh para Khatib Jumaat disetiap masjid dalam Bagan Pinang (versi jawi boleh down load dari laman Masjid Negara)
Khutbah boleh dibaca di bawah:-
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
" PENGAMAL RASUAH PENGKHIANAT NEGARA"
(02 OKTOBER 2009M / 13 SYAWAL 1430H)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya mengingatkan diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan cara melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya di samping berusaha mencari kehidupan yang diberkati dan diredhai serta hidup kita dengan berbekalkan sumber rezeki halal. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi insan yang beruntung di dunia dan akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan memperkatakan khutbah mengenai tajuk: "Pengamal Rasuah Pengkhianat Negara”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Rasuah adalah perbuatan jenayah yang telah menular dan menjadi darah daging dalam kehidupan masyarakat manusia di semua tempat. Berdasarkan laporan dalam media cetak dan elektronik di dapati pada kebiasaannya penglibatan rasuah dalam politik, sektor perkhidmatan awam, swasta dan orang awam meliputi perbuatan meminta, menawar, menerima suapan atau tuntutan palsu atau menyalahguna jawatan untuk kepentingan diri, keluarga dan puak tertentu.
Rasuah dalam perspektif hukum Islam adalah haram. Ini berdasarkan dalil yang Qat’ie iaitu al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak Ulamak. Dalam al-Quran terdapat ayat yang menggariskan tentang rasuah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: “ Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
Manakala sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tabrani:
Mafhumnya: “ Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka”.
Menurut statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2008, sebanyak 605 tangkapan telah dibuat. Apa yang menakutkan dan membimbangkan kita ialah mereka yang melakukan rasuah atau bersyubahat adalah dianggap sebagai perompak harta rakyat. Berdasarkan pemerhatian mimbar, besar pangkat seseorang maka besarlah peluang untuk merompak harta rakyat dan semakin pintar pula untuk melepaskan diri dari disabitkan dengan jenayah rasuah. Jika keadaan amalan jenayah rasuah ini terus meningkat, maka amat dikhuatiri akan mengancam kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan negara.
Persoalan besar timbul ialah mengapa amalan najis rasuah berlaku?. Berdasarkan pemerhatian, punca-punca menyebabkan berlaku rasuah ialah bernafsu besar atau sifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja.
Sama ada disedari atau tidak bahawa mereka yang terlibat dengan jenayah ini sebenarnya mengakibatkan beberapa kesan buruk seperti pembahagian kekayaan negara tertumpu kepada orang tertentu sahaja, meningkatkan kadar inflasi dan berleluasa kezaliman dalam masyarakat. Dengan demikian golongan yang paling malang dan rugi ialah golongan yang berpenat lelah mencari rezeki halal menggunakan tulang empat kerat seperti para petani, nelayan, penoreh getah, penarik beca dan kumpulan dhaif yang lain yang tidak terlibat secara langsung dengan pengurusan harta negara.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Rasuah adalah perbuatan haram yang boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah solat dan doa kita. Alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan rasuah ibadah dan doa kita menjadi sia-sia, justeru akan menjauhkan kita daripada mendapat rahmat Allah SWT. Lebih membimbangkan lagi jika kita tidak segera membanteras penyakit rasuah boleh menyebabkan kita terdedah dengan pelbagai malapetaka dan bencana dalam kehidupan, akibat kemurkaan Allah seperti firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 112:
Maksudnya: “Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka ingkar akan ayat-ayat Allah, dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas.”
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pengamal, penyalahguna dan mereka yang bersyubahat dengan rasuah adalah pengkhianat negara. Apa yang nyata, kadar celik huruf dan celik akal di kalangan rakyat negara ini semakin tinggi tetapi mereka yang terlibat gagal membuat penilaian dengan waras tentang isu-isu rasuah di negara ini. Oleh itu, mimbar pada kali ini menyeru semua pihak sama-sama berusaha untuk memerangi jenayah rasuah dalam negara kita secara serius demi melahirkan urus tadbir yang baik dalam perkhidmatan kerajaan mahu pun swasta. Ini selaras dengan tuntutan syarak dan hasrat kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian dalam perkhidmatan.
Mengakhiri khutbah pada hari ini, maka mimbar ingin mengingatkan bahawa mereka yang menolak amalan rasuah adalah manusia hebat dan cemerlang kerana:
Pertama : Menjamin kesinambungan nasab atau keturunannya kekal dalam keadaan insan yang beriman dan berintegriti;
Kedua : Meningkatkan martabat dan integriti organisasi serta warga pengurusan;
Ketiga : Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemimpin yang berani memerangi rasuah; dan
Keempat : Membuktikan bahawa amalan ibadah-ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, berzakat dan haji yang diamalkan telah berjaya mencegah dirinya terlibat dengan najis rasuah.
Marilah sama-sama kita meningkatkan integriti dan menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab menghapuskan rasuah. Semoga dengan itu, iman kita terus bertambah dan dapat memakmurkan bumi Allah dengan benih-benih kebaikan, serta menjadi golongan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran seperti firman Allah dalam surah Ali Imran:
Maksudnya : “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya.”(surah Ali Imran: 104).
DIDOAKAN TUAN/PUAN PENGUNDI BAGAN PINANG TIDAK BERSYUBAHAT DENGAN PENGAMAL RASUAH
UNDILAH CALON BEBAS RASUAH
ZULKIFLI MOHAMAD OMAR
CALON PAS
2 comments:
PAS sudah jauh dari landasan islam..umno masih menyemai nilai islam dengan ciri2 ketimuran berbanding PAS yang semakin ganas dan rakus.islam ni agama yang murni..jadi jangan jadikan agama dan kepiah dikepala sebagai contoh pengganas yahudi..PAS perosak agama islam
Post a Comment