Elok juga direnungi dua perenggan terakhir ucapan bekas Yang Dipertua Agung PAS, Almarhum Ustaz Hj Asri Muda, di bawah ini sewaktu menentang Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967) - yang terus mengagungkan bahasa Inggeris - di Parlimen, pada bulan Mac, 1967 di hadapan Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abd Rahman.
"Tuan Yang Dipertua, saya percaya, bahawa suara hati yang saya kemukakan di Dewan ini, itulah juga suara hati yang lahir daripada nurani tiap-tiap seorang anggota Dewan yang berjiwa dan bersemangat cintakan bahasa kebangsaan, cinta sejati, cinta bersih bukan cinta celupan, tetapi Tuan Yang Dipertua, keadaan yang mengikat dan kepentingan yang mengelilingi mereka itulah sahaja yang saya rasa mungkin menyebabkan mereka tidak berani membuat tentangan; hati membangkang, seradang-radangnya, mulut membungkam seribu bahasa, hanya tangan terangkat ke atas menyatakan setuju pada zahirnya, tetapi menyerah kalah pada hakikatnya.
"Akhirnya, Tuan Yang Dipertua, saya berani menyatakan di sini bahawa tentulah bangkangan yang saya kemukakan ini akan ditindas atau akan dikalahkan dengan jumlah kepala-kepala penyokong kerajaan dalam Dewan ini nanti, tetapi, Tuan Yang Dipertua, biarlah sejarah mencatatkan bahawa kelulusan rang undang-undang ini adalah tambahan daripada dosa-dosa jenayah politik Umno yang telah begitu banyak untuk diadili oleh mahkamah sejarah keturunan bangsa Melayu yang akan datang kelak."
No comments:
Post a Comment