Sunday, October 5, 2008

Wasiat Saidina Ali Sebelum Kematian Akibat Dibunuh

Pemuda dan Pemudi Ku.

Kita telah keluar dari bulan Ramadhan, bulan yang penuh kebajikan... semoga kita dapat menyegerakan meneruskan kebajikan berpuasa 6 hari di bulan Syawal ini dengan segera dan berturut-turut seperti yang dianjurkan oleh Imam Syafie dan Imam Abu Hanifah.

Dalam kegawatan kemelut politik Malaysia ini, ingin ku hidangkan kepada sekelian pemuda dan pemudi ku sebuah wasiat yang di sampaikan oleh Saidina Ali KaramalLah Wajhah kepada anak-anaknya dan sekelian muslimin.

Semoga ia menjadi penawar yang mujarab terutama untuk diriku sendiri dan kepada sekelian pemuda dan pemudi ku, hayatilah wasiat tersebut:-

"Daku wasiatkan kepada anda berdua wahai anakku! Para keluargaku dan kepada siapa sahaja yang mendengar wasiatku ini. Sentiasalah kamu bertakwa kepada Allah, hendaklah kamu semua mengatur sebaik-baiknya urusan kehidupan kamu semua. Aku telah mendengar dari Rasulullah saw bersabda, "Memperbaiki dan menjaga baik hubungan persaudaraan antara sesama kaum muslimin lebih baik daripada bersembahyang dan berpuasa sunat. Ketahuilah bahawa pertengkaran itu boleh merosakkan agama. Ingatlah! Tiada kekuatan selain diperkenankan oleh Allah. Perhatikanlah keadaan keluarga anda semua dan eratkanlah hubungan dengan mereka. Kelak Allah akan melimpahkan kemudahan kepada anda semua di hari pembalasan.

"Allah... Allah! Perhatikanlah anak-anak yatim. Jangan mereka sampai kelaparan dan jangalah sampai kehilangan hak. Daku mendengar sendiri Rasulullah saw sendiri berpesan; "Sesiapa yang mengasuh anak yatim sehingga ia mendapat apa yang diperlukan, orang itu akan dikurniakan syurga oleh Allah. Manakala nerakalah orang yang memakan harta anak yatim.""

"Allah... Allah! Perhatikanlah Al-Quran. Jangan sampai anda semua tidak mengamalkannya"

"Allah... Allah! Perhatikanlah jiran tetangga anda semua, sebab mereka itu adalah wasiat Nabi"

"Allah... Allah! Perhatikanlah rumah Allah Masjidil Haram. Jangan anda semua tinggalkannya ketika anda masih hidup. Kerana jika anda tinggalkan, anda tidak akan dipandang orang. Sesiapa yang sering menghampirinya Allah akan menghapuskan dosa-dosanya yang lalu."

"Allah... Allah! Peliharalah solat sebaik mungkin, sebab solat itu amalan perbuatan yang paling mulia dan merupakan tiang agama."

"Allah... Allah! Tunaikanlah zakat sebagaimana semestinya. Sebab itu akan menghilangkan kemurkaan Allah."

"Allah... Allah! Laksanakanlah Puasa di bulan Ramadhan. Sebab puasa itu adalah penutup jalan ke neraka."

"Allah... Allah! Berjuanglah dijalan Allah dengan harta dan jiwa anda semua. Hanya terdapat dua jenis sahaja orang yang berjuang di jalan Allah. Iaitu seorang pemimpin yang memberikan bimbingan menuju Allah dan orang yang patuh kepada pemimpin itu serta mengikuti kebenaran pimpinannya."

"Allah... Allah! Jagalah sebaik mungkin keturunan nabi. Jangan sampai mereka diiniaya orang dihadapan mata anda semua, jagalah sebaik mungkin sahabat nabi yang soleh."

"Allah... Allah! Perhatikanlah para fakir miskin. Biarlah mereka bersama dalam kehidupan anda."

"Allah... Allah! Jagalah sebaik mungin wanita dan hamba sahaya. Sebab Rasulullah saw mewasiatkan supaya anda semua mengambil berat terhadap dua golongan yang lemah ini."

"Dalam menjalankan kewajipan terhadap Allah, jangalah anda merasa takut dicela orang lain. Allah akan melindungi dan menyelamatkan anda semua dari mereka yang ingin membuat jahat kepada terhadap anda."

"Berkatalah sebaik mungkin sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah. Janganlah lalai untuk melaksanakan amal ma'aruf dan nahi mungkar agar Allah tidak melimpahkan kekuasaan kepada orang jahat. Sebab dalam keadaan seperti itu doa anda semua tidak akan diperkenankan."

"Handaklah anda semua saling berhubung erat, saling tolong menolong dan saling kasih mengasihi. Jangalah anda memutus hubungan, saling berpecah atau bercerai berai. Handaklah anda semua saling bantu membantu dalam kebajikan dan takwa. Janganlah sekali-kali anda semua saling bantu-membantu dalam berbuat dosa dan permusuhan."

"Bertaqwalah kepada Allah, kerana siksaan Allah itu amat pedih sekali. Semoga Allah sentiasa menjaga dan memelihara anda wahai keluargaku! Daku mengucapkan selamat tinggal sebaik-baiknya kepada anda semua dan ucapkan Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh....!"

Kemudian Saidina Ali menoleh kepada kedua anak kesayangannya, Saidina Husin dan Hasan seraya berkata:

"Wahai anakku! Perhatikanlah sebaik-baik 4 perkara yang ingin aku sampaikan. Selagi anda berpegang teguh kepada 4 perkara tersebut, apapun yang anda lakukan tidak akan mendatangkan kemudaratan"

"Sesungguhnya kekayaan yang paling tinggi nilainya ialah akal fikiran. Kemelaratan yang paling berat ialah kebodohan. Kesepian yang paling menakutkan ialah bangga diri. Keturunan yang paling mulia ialah budi pekerti yang luhur."

"Wahai anakku berhati-hatilah bila anda berkawan dengan orang yang kedekut. Sebab dia akan menjauhkan anda dari sesuatu yang anda perlukan. Berhati-hatilah bila anda berkawan dengan orang derhaka. Sebab ia akan menjual dirimu dengan harga yang murah. Berhati-hatilah bila anda berkawan dengan orang yang pembohong. Sebab ia ibarat fatamorgana, yang jauh didekatkan dan yang dekat dijauhkan darimu...."

Pemuda dan pemudiku semoga wasiat tersebut akan menjadi pedoman kepada kita semua dalam meneruskan kehidupan yang masih berbaki setelah meninggalkan Ramadhan yang penuh kenangan manis, semoga kita diberi kesempatan untuk bertemunya sekali lagi pada tahun hadapan, InsyaAllah..... Ameen.

2 comments:

Bulan Penuh 2012 said...

SALAM EIDUL FITR!

Terima kasih atas peringatan yang berguna ini.

mohon maaf dari tuan dan keluarga zahir dan batin.

http://bulanpenuh2012.blogspot.com

Aris Awang said...

Sama-sama