Pemuda dan pemudiku...
Sebagai pendokong perjuangan Islam yang suci melalui wadah perjuangan Parti Islam SeMalaysia (Aku cadangkan selepas ini kurangkan guna singkatan PAS, tetapi gunakan sebutan Parti Islam dalam pertuturan: Bertujuan untuk menyedarkan kita sedang membawa Islam kepada manusia). Kita ingin mengikuti sepenuhnya apa yang diajar oleh Allah swt melalui NabiNya yang mulia Muhammad saw.
Tetapi, dunia ini adalah pentas ujian, oleh itu sebagai penguji Allah swt membekalkan dalam diri kita nafsu dan disekitaran kita Iblis serta Syaitan yang berupa jin dan manusia. Dunia sendiri adalah ujian kepada kita. Seperti yang selalu disebut oleh Abang Mat Sabu dalam kuliah politik Islamnya secara sinis dan menyindir, "Dunia ni sempit dan sikit, akhirat luas dan banyak, sebab itu masing-masing berebut untuk dunia". (Kuliah dia 17 Oktober 2010 di Madrasah Al-Hasaniah, Kampung Baru, Tambak Bunga, Alor Setar, Lepas Maghrib)
Jika kita lalai dari berwaspada terhadap ujian atau musuh-musuh itu maka kita akan kecundang, hatta kita menjadi anggota Parti Islam sekalipun. Aku ulang sekali lagi, kita tidak boleh lalai dari 3 musuh utama kita iaitu Syaitan, Hawa Nafsu dan Dunia.
Musuh pertama, Syaitan akan sentiasa menjadikan akhirat sebagai enteng dan bahan gurauan dan menjadikan dunia fokus utama serta kemegahan. Ia akan datang kepada kita melalui jalan kemaksiatan atau melalui jalan agama. Aku akan jadi ulamak riak, bangga diri, kepura-puraan serta was-was dan ragu dengan ilmunya sendiri. Aku perlu menunjukkan walaupun aku Ustaz tetapi tahu semua perkara mengenai dunia, itu mungkin kadang-kadang hanyalah dorongan syaitan, kerana Rasulullah saw sendiri sebagai manusia maksum pun menyerahkan kepada ahlinya dalam urusan dunia.
Musuh kedua, Hawa Nafsu, adalah ibarat seperti ular, ia baru akan diam mematuk setelah ditimpa kesedihan (dipukul). Nafsu akan mengoda, meluap-meluap untuk melampiaskan hasratnya, namun setelah hasrat itu dilampiaskan, kesalahan sudah dilakukan, malu mula menjelma, akal fikiran kembali waras.... di saat itu apa yang ada ialah kesedihan atas ketelanjuran.
Musuh ketiga, Dunia, Ya! Dunia adalah musuh yang anih kepada manusia. Al-Quran banyak memperingatkan kita untuk berhati-hati dengan kilauan dunia, waspada dan hati-hati agar tidak jatuh ke dalam tipu dayanya. Kesimpulannya dunia yang haram dan kotor janganlah kita campur dalam mencari akhirat dan redha Allah swt. Manusia mengejar kedudukan dan kepimpinan adalah manusia yang melalaikan akhirat. Paling utama perlu diingat perbuatan menyembah dunia akan menghancurkan negeri akhirat!!!. Manusia sentiasa ada alasan-alasan logik untuk mereka mendapatkan dunia yang haram, makruh dan syubhat. Manusia juga mempunyai alasan untuk memakan harta rakyat demi untuk rakyat.
Alasan yang paling kontemporari untuk merebut dunia ini ialah, 'Benda ini memang ada dalam peraturan, jadi kita boleh ambik la." Persoalannya peraturan itu siapa buat, bukankah ada di antara peraturan itu kita yang tentang dahulu. Itu semua sudah tenggelam dalam arus kemilau dunia. Jangan lalai sehingga ditipu dunia dan alasan sendiri.
Pemuda dan pemudiku,
Setelah kita sentiasa berwaspada terhadap 3 musuh tadi, kita janganlah lalai akan potensi diri kita. Kelalaian dari potensi diri akan menyebabkan kita tidak mengasah semaksima mungkin kemampuan diri. Terkadang kita menemui seorang yang lapar dan miskin sedangkan dia memiliki sekeping tanah yang terbiar. Saidina Ali Karamallah wajhah pernah berkata, "Barang siapa yang memiliki tanah dan air yang melimpah namun dia fakir, maka Allah akan menjauhkan dia"(Bihar Al-Anwar, jilid 103, hal 65)
Awasi tiga musuh dengan penuh kewaspadaan dan memohon pertolongan Alah swt, membina potensi diri dan seterusnya janganlah lalai akan kematian. Kita hanya menghitung dan membilang kematian manusia lain, sebaliknya kita lalai menghitung saat kematian kita.
Kerana dengan mngingati mati, kita akan sentiasa hidup. Maksudnya hidup dengan penuh beerti di dunia ini untuk menuju kepada kehidupan yang kekal abadi di akhirat nanti. Kita sekarang sudah terkepung dengan alam langit terbuka, alam siber, alam internet, alam facebook, blog, web, twitter, email, youtube dan sebagainya.
Oleh itu, anggaplah ia sebagai dunia kita. Berinteraksilah, gunalah, pakailah untuk tujuan kebaikan, namun dalam masa yang sama awasilah terhadap kelalaian yang disebut di atas yang mungkin akan menjerumuskan kita kelembah kehancuran, walaupun kamu dari Parti Islam pemuda dan pemudiku.
Gunakanlah facebook untuk menzahir akhlak Islam kita sebagai pemuda Islam di alam maya, gunakanlah blog untuk menegur menasihat mengkritik, memberi maklumat, ilmu dan sebagainya kepada manusia.
Jadilah diri kita sebagai Pejuang Islam di alam realiti, dan seperti itulah juga kita sebagai pejuang Islam di Alam Maya.
Di alam realiti, mana mungkin mengendap rumah jiran di tengah malam hari, maka di alam maya mana mungkin menggendap Mat Saleh dan Minah Saleh, di alam realiti menjaga adap sopan pergaulan lelaki perempuan, maka di alam maya mana mungkin menggunakan bahasa ghairah dan sensual yang memikat............ begitulah seterusnya. Di alam realiti tidak lah terlalu hu...ha... hu... ha, tiba-tiba di alam maya bertukar menjadi teramat hu...ha...hu... ha.... sudah tentulah akan kurang manis.
Jadilah kamu pemuda pemudi Islam yang akan mewarisi perjuangan Islam yang suci kerana Dajjal perosak manusia, Mahdi yang dinantikan dan Isa putra Maryam sudah semakin hampir kedatangannya. Kita sedang berada dihujung umur dunia dalam keadaan Islam yang dianggap dagang, tetapi berbahagialah orang yang dagang itu.
Oleh itu Janganlah Lalai....
No comments:
Post a Comment