"Penglibatan kerajaan atau orang-orangnya (GLC) yang bersaing dengan kegiatan ekonomi rakyat menimbulkan rasa tidak senang di antara satu sama lain.
Semua perkara tersebut secara langsung atau tidak langsung boleh mencetuskan rasa benci-membenci di antara kaum dan dikalangan sesama kaum. Benarlah tulisan Ibn Khaldun di dalam bukunya Al-Muqadimah,
Artikel di bawah adalah fakta-fakta yang di bawa oleh Wan Saiful Wan Jan Ketua Pegawai Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) mengenai Kejatuhan Indeks Kebebasan Ekonomi Sedunia akibat kongkongan kerajaan terhadap putaran ekonomi rakyat.
Berikut adalah tulisan beliau:
Malaysia telah mengalami kejatuhan sekali lagi dalam Senarai Indeks Kebebasan Ekonomi Sedunia ( The Economic Freedom of the World: 2010 Annual Report’), yang telah dilancarkan pada 29 September 2010 oleh Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).
The Economic Freedom of the World: 2010 Annual Report adalah sebuah penerbitan tahunan dari Economic Freedom Network, sebuah jaringan badan-badan pemikir antarabangsa. IDEAS adalah satu-satunya ahli jaringan ini dari Malaysia.
Menganalisa data daripada 141 negara, indeks tahun ini menempatkan Malaysia di kedudukan ke-77. Ini adalah penurunan sebanyak sembilan tempat dibandingkan dengan pencapaian tahun lepas, apabila kita berada di tempat ke-68.
Hong Kong mengekalkan kedudukan tahap tertinggi dalam kebebasan ekonomi di seluruh dunia, dengan skor 9.05 daripada 10. Skor tinggi yang lain dicapai oleh Singapura (8.70), New Zealand (8.27), Switzerland (8.08), Chile (8.03), Amerika Syarikat (7.96), Kanada (7.95), Australia (7.90), Mauritius (7.82), dan United Kingdom (7.81).
Zimbabwe pula merekodkan tahap kebebasan ekonomi yang terendah di antara 141 negara-negara yang dianalisis, diikuti oleh Myanmar, Angola, dan Venezuela.
Indeks 2010 ini menggunakan 42 garis pengukur berbeza untuk membuat penilaian polisi-polisi yang menggalakkan kebebasan ekonomi.
Landasan-landasan asas dalam kebebasan ekonomi adalah pilihan individu, pertukaran secara sukarela, kebebasan untuk bersaing, dan keselamatan pemilikan peribadi. Berdasarkan itu, tahap kebebasan ekonomi diukur dalam lima bidang berikut: (1) saiz kerajaan, (2) struktur undang-undang dan keselamatan hakmilik harta, (3) laluan kepada kewangan yang mantap, (4) kebebasan untuk berdagang di arena antarabangsa, dan (5) regulasi kredit, tenaga buruh dan perniagaan.
Skor kita merosot dalam semua bidang pada tahun ini apabila diukur secara objektif, menggunakan data terkini yang boleh diperolehi.
Lebih membimbangkan, ini bukan kali pertama skor negara kita jatuh, tetapi ia seolah-olah telah menjadi satu trend. Pada tahun 1995 kita di tempat ke-14; tahun 2000 kita yang ke-44; tahun 2005 kita ke-64, dan pada tahun 2007 kita di tempat yang ke-68.
Bagaimanapun, bagi saya Indeks 2010 ini menarik kerana ia turut mengkaji kaitan antara kebebasan ekonomi dengan beberapa bidang keberhasilan penting yang telah diisytiharkan oleh ahli-ahli politik kita sebagai keutamaan, termasuklah KDNK per kapita, pengangguran dan rasuah.
Data daripada Indeks 2010 menunjukkan bahawa negara-negara yang paling bebas ekonominya mempunyai purata KDNK per kapita sebanyak US$ 32,744. Tetapi negara-negara yang ekonominya terkongkong pula memiliki purata KDNK per kapita hanya US$ 3,858.
Bahkan di kalangan negara-negara yang mendapat kedudukan tertinggi, pendapatan purata 10 peratus rakyat termiskin mereka adalah US$ 8,474, iaitu lebih tinggi daripada purata pendapatan ramai rakyat biasa di Malaysia pada masa ini.
Maka, dalam rangka untuk mencapai tahap pendapatan lebih tinggi yang digagaskan oleh Model Baru Ekonomi (NEM), data Indeks 2010 ini menunjukkan bahawa kita wajib menjalankan usaha-usaha lebih agresif untuk memerdekakan sistem ekonomi kita.
Analisa data Indeks 2010 juga menunjukkan bahawa apabila pengangguran akan berkurang apabila ekonomi lebih bebas. Ini berlaku terutamanya di kalangan orang muda.
Jadi, ketika kita mencari cara untuk mengatasi masalah pengangguran siswazah, kita perlu sedar bahawa membekalkan mereka dengan kemahiran, atau menambahkan bilangan institusi pendidikan tinggi, adalah tidak mencukupi. Hanya jika kita meningkatkan kebebasan ekonomi sahaja maka pengangguran boleh dikurangkan.
Dalam menghadapi gejala rasuah pula, didapati bahawa negara-negara yang ekonominya bebas adalah tiga kali lebih bagus daripada negara-negara yang mempunyai sistem ekonomi terkongkong. Dalam kata lain, kadar rasuah adalah lebih rendah di negara-negara yang lebih bebas ekonominya.
Kita biasanya terlalu cepat melihat kepada SPRM apabila menuntut agar rasuah dihapuskan. Memang betul SPRM perlu diperkukuhkan. Tetapi data yang kita perolehi menunjukkan bahawa liberalisasi ekonomi merupakan langkah penting dalam membenteras jenayah rasuah.
Indeks Kebebasan Ekonomi 2010 ini telah menunjukkan bahawa sistem ekonomi berteraskan prinsip keterbukaan sangat penting bukan sahaja jika kita ingin keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan (middle-income trap), atau meningkatkan pendapatan per kapita kita dan mengurangkan pengangguran lulusan ijazah, tetapi ia juga menyumbang pada isu-isu penting yang biasanya tidak dikaitkan dengan liberalisasi ekonomi, seperti mengurangkan kadar jenayah rasuah.
Kerana itulah saya menyokong prinsip-prinsip umum di sebalik Program Transformasi Ekonomi Negara. Bagaimanapun, saya bimbang mengenai kebolehan pemerintah kita melaksanakannya.
Satu masalah yang sekian lama menyebabkan skor Malaysia turun dalam Indeks Kebebasan Ekonomi adalah saiz kerajaan kita. Saiz kerajaan Malaysia semakin besar dari tahun ke tahun. Untuk memperbaiki skor kita dalam Indeks ini, kita sangat perlu mengurangkan jumlah penjawat jawatan kerajaan. Kita juga perlu menghentikan penglibatan kerajaan dalam ekonomi melalui syarikat GLC.
Para pembuat dasar ekonomi tidak boleh menutup mata terhadap isu saiz kerajaan yang terlalu besar ini. Jika kita benar-benar mahu menjadi berpendapatan tinggi, setiap pihak perlu berusaha memperkecil saiz perkhidmatan awam dan mengurangkan bilangan GLC. Kita mesti bertegas jika mahu menjadi negara maju dan kaya.
Nota: Wan Saiful Wan Jan Saiful ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS). Indeks Kebebasan Ekonomi 2010 boleh dimuat turun secara percuma dari www.ideas.org.my
1 comment:
glc kedah buay untung ka.
Post a Comment