Saturday, September 25, 2010

Sudahkah Kita Beriman?

Pemuda dan pemudiku,

Ujian akan menimpa seluruh manusia, dan tidak mungkin ada seorangpun yang dikecualikan dari ujian ini. Baik dia muda atau sudah tua, baik dia wanita atau lelaki, baik dia ulamak ataupun bukan.

Allah swt berfirman:-
الم

[1] Alif, Laam, Miim.

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

[2] Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ
[3] Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

(Al-Ankabut: 1-3)

Di dalam ayat di atas Allah swt menyatakan manusia akan diuji dengan menghadapi berbagai ujian dalam berbagai bentuk. Jika iman mereka termasuk iman jenis ikutan dan iman berdasarkan aqal (ilmiah) maka manusia itu tidak akan lulus di dalam ujian. Hanyalah iman hati yang yakin dengan sebenar-benar yakin sahajalah yang akan berjaya.

Dari mana iman ikutan diperolehi? Tentu dari ayah dan ibu, jelas dari membesarnya seseorang dilingkungan Islam.

Dari mana pula iman aqal (ilmiah) diperolehi? Sudah tentu dari kuliah secara khusus disekolah dan universiti atau ditepi jalan melalui pembacaan serta mimbar dan mihrab di masjid, surau dan pondok pengajian.

Oleh itu, kepada pemuda dan pemudiku banyaklah menghadiri majlis ilmu dan membaca, sehingga masalah-masalah keTuhanan hadir di dalam pemikiran dengan disertai dalil dan hujjah. Serta banyaklah berdamping dengan ulamak yang baik budi perkerti dan akhlaknya. Kerana diakhir zaman ini ada ulamak yang buruk akhlaknya.

Mungkin pemuda dan pemudiku merasakan kami bukan dari jurusan pengajian Islam dan kami hanya belajar ditepi jalan mengenai Islam ini, oleh itu mana mungkin kami mencapai keimanan yang kukuh.

Sedarlah, pemuda dan pemudiku Bilal bin Rabah ra., seorang Habsi yang hitam, tidak pernah mendapat ijazah atau mengajar dimana-mana Universiti Islam. Namun imannya kepada Allah tertanam kukuh walau dada di hempap dengan batu yang panas di tengah terikan matahari oleh pihak musyrikin Mekah.

Pemuda dan pemudiku,

Selepas kamu mendapat iman ikutan dan aqal (ilmiah) itu, berusahalah untuk memperolehi iman hati yang yakin seyakin-yakinnya, seperti yang dizahirkan oleh Bilal bin Rabah ra.. Caranya tidak ada, melainkan dengan membina hubungan dengan Allah swt. Iman hati menuntut seseorang untuk beribadah:-

Firman Allah swt:-

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ

[99] Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu keyakinan.

(Al-Hijr: 99)

Al-Quran telah mengajar kita, jika kita ingin yakin kita mesti beribadah kepada Tuhan. Dengan ibadahlah kita akan memperkuatkan hubungan kita dengan Allah swt.

Iman hati dapat diperolehi dengan jalan mengerjakan solat pada waktunya dan menghadiri solat jamaah.

Masjid dan surau adalah tempat perlindungan dari jin dan syaitan. Solat secara berjamaah dan berbagai majlis ibadah lain di masjid dan surau merupakan duri di mata syaitan, jin dan manusia. Selain ia merupakan duri bagi musuh, pada saat yang sama ia merupakan cahaya bagi hati kita.

Pemuda dan pemudi ku,

Kerjakanlah solat pada awal waktu dengan penuh khusyuk dan khudhuk. Kerana sesungguhnya kita sedang berbual dengan Allah swt ketika kita sedang bersolat.

Ketika kita mengatakan, "Hanya kepada Mu ya Allah kami menyembah dan hanya kepada mu ya Allah kami memohon pertolongan."

Ketahuilah bahawa ketika itu kita berada dibawah pemerhatian Allah dan bahawa sesungguhnya solat kita yang penuh khusyuk dan khudhuk adalah merupakan mikraj rohani kita kepada Tuhan Pencipta Alam.

Selanjutnya iman hati dapat dibina sehingga hati dipenuhi cahaya ialah dengan membantu makhluk Allah yang memerlukan bantuan semampu kita. Jika kita tidak mampu membantu manusia pada hari tersebut sekurang-kurangnya bantulah binatang.

Akhirnya, iman hati dapat dibina dengan menjauhi perbuatan dosa. Dosa akan meninggalkan titik hitam dihati. Dosa yang paling mudah sekarang ini adalah dosa hanya melalui klik dihujung jari. Awasi jangan terjebak, sehingga akhirnya ketagih.

Hati yang penuh dengan titik hitam, mana mungkin membimbing manusia lain kepada Nur Ilahi.

Itu semua adalah ujian, "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji?"

Selamat menempuh ujian dan berjaya dengan cemerlang.

3 comments:

Anonymous said...

sehari 2 nie aku lihat banyak sunguh ,kicap cap kipas udang
lihat dalam kedah lanie,untuk ydp ku ,berhati2 lah dengan insan yang di nama kan kipas cap udang

Aris Awang said...

Terima kasih atas peringatan dan nasihat yang diberi.

Aris Awang said...

Terima kasih atas peringatan dan nasihat yang diberi.