Pemuda dan pemudi ku ikutilah kisah seorang Abid dari Bani Israel dengan Syaitan. Jadikanlah kisah ini sebagai panduan dalam melayari bahtera kehidupan terutama dalam zaman kemerosotan iman dan perebutan habuan dunia melalui kuasa sekarang ini.
"Diriwayatkan, ada seorang Abid dari Bani Israel yang sentiasa sibuk dengan beribadat. Sekali peristiwa datanglah serombongan manusia seraya berkata kepadanya, "Di sini ada suatu kaum yang menyembah sebatang pohon kayu". Setelah mendengar berita ini, si Abid itu marah semarahnya. Lalu ia mengambil sebilah kapak dan berangkat untuk menebang pohon yang dipertuhan dan dipersembahkan itu. Di dalam perjalanannya muncullah Syaitan berupa seorang manusia tua, lalu bertanya kepada si Abid itu:
"Engkau hendak kemana?" "Aku hendak pergi menebang pohon yang dipertuhan dan dipersembahkan orang" kata si Abid itu. "Kenapa engkau bertindak keatas pohon itu? Kamu tinggalkan ibadat keatas satu perbuatan yang sia-sia, hendaklah kamu teruskan ibadat mu itu" kata Syaitan. "Ini juga merupakan satu ibadat" dijawab si Abid, lantas Syaitan berkata, "Tidak sekali kali aku membenarkan kamu menebang pohon itu".
Akhirnya terjadilah perkelahian diantara si Abid dan Syaitan itu sehinggalah si Abid berjaya mengalahkan Syaitan. Syaitan mengetahui akan kelemahannya dan memujuk si Abid.
"Dengarlah kata kata ku." Si Abid pun melepaskan Syaitan itu dan Syaitan pun berkata "Perkara menebang pohon itu bukanlah Allah mewajibkan kepadamu. Pohon itu bukanlah menggangu ibadat mu dan bukanlah kamu menyembahnya. Tuhan telah mengutuskan para AmbiaNya, dan jika dikehendakiNya pasti Ia memerintah Nabi Nabi-Nya menebang pokok itu."
"Semestinya aku akan menebang pohon itu dan perbuatlah apa yang engkau suka".
Maka terjadilah perkelahian sehinggalah si Abid sekali lagi dapat mengalahkan Syaitan dan sekali lagi Syaitan memujuk siAbid dengan katanya:
"Dengarlah, kini kata ku yang terakhir yang tetap akan menguntungkan kamu" Maka si Abid pun melepaskan Syaitan dan Syaitan berkata:
"Kan kau seorang yang miskin dan menjadi beban keatas masyarakat. Kau biarkan sahaja kerja ini, nescaya aku akan berikan kepada kamu tiga dinar wang emas setiap hari. Kau akan memperolehi wang tersebut tiap tiap pagi dibawah bantal mu.
Dengan ini segala keperluan mu akan terberes dengan mudah, dapat menunaikan keperluan keluarga dan dapat pula menolong orang orang fakir dan miskin. Dan dapat menggunakannya untuk mengerjakan amalan yang baik lagi menguntungkan. Jika sekiranya kau menebangkan pokok tadi, maka kau hanya memperolehi satu pahala sahaja. Kemudian penyembah penyembah pokok itu tentu akan mengusahakan yang lain pula".
Perbicaraan Syaitan itu akhir berjaya memikat hati dan fikiran si Abid lantas beliau menerima tawaran Syaitan itu. Maka menurut perjanjian dengan Syaitan itu, si Abid pun menerima duit tiga dinar wang emas selama tiga pagi berturut sehinggalah pada pagi yang keempat, duit itu tiada dibawah bantal si Abid. Meradang benar si Abid dan diambilnya sebilah kapak untuk menebang pohon itu kembali.
Di dalam perjalan berjumpa lagi si Abid dengan siorang tua penyamaran si Syaitan itu dan bertanya ia kepada si Abid.
"Kau hendak kemana?"
"Aku hendak menebang pohon itu".
"Kini kau tidak berdaya menebang pokok itu" ujar siSyaitan, maka bergelutlah mereka dan si Syaitan berjaya mengalahkan si Abid. Tercenganglah si Abid lalu bertanya:
"Bagaimana mungkin kamu mengalahkan aku kerana dulu aku telah mengalahkan kamu sebanyak dua kali?'
Syaitan menjawab "Dulu kamu mengalahkan aku kerana kamu berjuang kerana Allah, dan kini kamu berjuang kerana wang dan kerana itu aku berjaya mengalahkan kamu"
No comments:
Post a Comment