Tuesday, September 28, 2010

Terjemahan Ucapan Ahmadinejad di PBB Siri 2

Berikut adalah hasil terjemahan dari teks Arab Ucapan Ahmadinejad, Presiden Iran di PBB pada 23 Oktober 2010 yang lalu ke Bahasa Melayu yang diterjemah oleh Ustaz Mohd Yusof Awang, EXCO Dewan Pemuda PAS Kedah


Terjemahan ini adalah Siri 2

Rakan-Rakan Ahli Dewan

Selama ini sejak bertahun lamanya sudah jelas bahawa sistem kapitalis memang sudah tidak berfungsi dan sudah sampai masanya agar dibuat perubahan dalam hubungan antarabangsa. Mengikut tinjauan, sebab kegagalan PBB ialah kerana adanya kuasa VETO yang terdapat dalam majlis keselamatan.

Bagaimana mungkin kebenaran dan keadilan dapat direalisasikan apabila negara anggota berbalah dengan negara anggota yang mempunyai negara veto dan sudah tentu negara yang berkuasa veto akan terselamat seumpama yang berlaku dalam perbalahan kuasa 'nuklear'

Ingin saya luahkan disini adakah Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan berpendirian seperti hari ini apabila Iran juga disenarai bersama negara lain yang mempunyai negara veto ??

Rakan-Rakan Ahli Dewan

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merupakan Pusat Penyelarasan Pentadbiran Bersama negara-negara dunia maka sudah tentulah KUASA VETO amatlah tidak sesuai diwujudkan bahkan mesti di hapuskan demi kebebasan negara-negara anggota.

Setiausaha Agung PBB mestilah bebas dalam melontarkan pendapat dan pandangan dan langkahnya dikawal oleh JAM'IAH AMMAH agar tertegaknya keadilan yang tiada pilih kasih.

Iran mencadangkan satu PERSIDANGAN KHAS penghujung tahun agar dapat dibincang peranan dan fungsi sebenar PBB. Jumhuriyyah Islam Iran amat bersedia untuk memberi buah fikiran bagi menjayakan proses REFORMASI ini.

Jelas ingin saya nyatakan bahawa pencerobohan terhadap mana-mana negara dengan alasan 'RAKYAT BUKAN HAMBA' dan 'DEMOKRASI' adalah jenayah tidak boleh dimaafkan. Dunia sebenarnya menginginkan kasih sayang, adil, kerja secara kolektif berbanding perang dan kekuatan yang bermaharajalela. Kami NEGARA - NEGARA ANGGOTA menginginkan satu pentadbiran yang ditadbir oleh individu yang berperibadi seumpama Para Anbiyak !

DUNIA BARU sedang dirasai oleh 2 benua besar AFRIKA DAN AMERIKA LATIN selepas beberapa ketika dihempas sejarah zaman... berasaskan kesatuan pemahaman dan perpaduan dan pembangunan insani mendatangkan manfaat kepada rakyat mereka. Pemimpin pun boleh menyelesaikan krisis yang berlaku tanpa campurtangan luar.

Kebelakangan ini Jumhuriyyah Islam Iran lebih agresif dalam mengeratkan hubungan diplomatik dengan kedua-dua benua ini

Ada pun yang khusus mengenai Iran,

Usaha yang banyak oleh Tehran bagi mengujudkan KEPERCAYAAN terhadap Iran melalui inisiatif Brazil dan Turki serta Iran sendiri secara serius sekalipun diganggu dengan suara-suara yang tidak bersifat undang-undang dan memang pun mereka menekan Iran agar ke MEJA RUNDINGAN

Bagi Iran :-

1- Iran tetap bersedia bila-bila masa untuk berunding atas PRINSIP HORMAT DAN ADIL

2- Cara mengugut dan menekan sudah tidak boleh diterima zaman ini.. mereka yang menggunakan uslub ini tidak lain hanyalah menghilangkan kepercayaan masyarakat dunia terhadap Majlis Keselamatan PBB yang berada di landasan yang tidak tepat lebih-lebih lagi digunakan ugutan itu terhadap negara yang bernama Iran yang cukup sinonim dengan ulama, syuara'(penyair), 'urafa'(intelektual), fannanin(golongan seni) dan kesemua itu dekat dengan ibadat dan keadilan Allah...YAKINKAH PBB bahawa masyarakat dunia masih menaruh harap dengan pertubuhan ini ?!!

Kita semua mengetahui bahawa Kapitalis dan uslub melebarkan kuasa dalam pentadbiran dunia telah pun gagal bukan hanya di zaman penjajah bertapak bahkan di zaman kerakusan kuasa dunia sekalipun !!..PINTU UNTUK MENGEMBALIKAN SISTEM 'EMPAYAR TELAH DITUTUP'

Sudah lama kami menyatakan bahawa kami bersedia untuk BERDEBAT DAN FORUM TERBUKA bersama pimpinan Amerika sekalipun di negaranya sendiri supaya kami boleh menyatakan hasrat dan meluahkan pandangan kami terhadap isu-isu Antarabangsa yang penting.

Di sini saya cadangkan agar diadakan setiap tahun forum terbuka bagi tujuan perbincangan itu.

Terakhir Kalam saya

Wahai sahabat dan rakan

Bangsa Iran, semua bangsa serta negara-negara di dunia terdedah dgn sikap pilih kasih pentadbiran PBB yang sudah pun sampai ke kemuncak yang memerlukan REFORMASI yang segera dengan cara menyediakan ketenteraman, keamanan kepada dunia dan kesemua negara anggota mesti berperanan bagi mengujudkan keadilan dan kemerdekaan sebenar yang sedang ditunggu-tunggu oleh penduduk dunia

" INSAN YANG SEMPURNA, HAMBA YANG IKHLAS MERUPAKAN KEKASIH YANG BENAR BAGI MANUSIA..BAPANYA DARI KETURUNAN NABI ISLAM..EMAKNYA DARI KETURUNAN NABI ISA...SAMA-SAMA MENUNGGU BERSAMA KEDATANGAN SEMULA NABI ISA BAGI MEREALISASIKAN PERJANJIAN YANG SUCI BAGI MENOLONG MANUSIA KESELURUHAN "

Marilah kita sama-sama bergandingan tangan dan bekerja sehingga MUNCULNYA KEADILAN

Salam rindu salam ibadah salam adil dan merdeka salam hakikat manusia..manusia yang sempurna..penolong agama Allah yang sejati..kebenaran bagi manusia...SEJAHTERA ATAS KAMU SELURUH PARA SOLIHIN DAN GOLONGAN TERPILIH

Terima kasih sekali lagi kepada Ustaz Mohd Yusof Awang, EXCO Dewan Pemuda PAS Kedah yang sudi menyahut seruan menterjemah teks Ucapan Ahmadinejad, Presiden Iran, yang disampaikan di hadapan pemimpin dunia dalam persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Monday, September 27, 2010

Terjemahan Ucapan Ahmadinejad di PBB Siri 1

Berikut adalah hasil terjemahan dari teks Arab Ucapan Ahmadinejad, Presiden Iran di PBB pada 23 Oktober 2010 yang lalu ke Bahasa Melayu yang diterjemah oleh Ustaz Mohd Yusof Awang, EXCO Dewan Pemuda PAS Kedah.

Terima kasih Ustaz: Masih ada sebahagian lagi yang belum diterjemah bacalah sepenuhnya Siri 1 ini.


DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Selawat dan Salam ke atas Junjungan, Penghulu dan Nabi kami MUHAMMAD SERTA KELUARGA DAN SAHABAT YANG TERPILIH disamping Para Anbiyak dan Para Rasul

"YA ALLAH, PERCEPATKANLAH KEMENANGAN BAGI PENOLONG AGAMAMU DAN JADIKANLAH KAMI GOLONGAN YG TERBAIK, PENOLONG AGAMAMU SERTA SEBAIK-BAIK SAKSI

Pengerusi dan seluruh rakan-rakan anggota,

Bersyukur kepada Allah yang Maha Berkuasa yang memberikan saya peluang untuk keberapa kalinya bagi menghadiri perhimpunan yang bertaraf dunia ini. Saya memulakan permulaan saya dengan PENGHORMATAN terhadap roh-roh mangsa banjir besar yang mutaakhir di Pakistan dan saya menyeru agar marilah kita sama-sama menghulurkan bantuan yang sudah menjadi kewajipan kita sebagai manusia yang bermaruah.

Pernah saya berucap beberapa tahun yang lepas mengenai harapan, krisis yang dihadapi oleh masyarakat dunia disamping keamanan, kemuliaan insani, ekonomi serta suasana bagi merealisasikan perdamaian dan keadilan sejagat .

Hari ini Sistem Kapitalis dan Sistem Pentadbiran yang sudah pun dimakan arus zaman sudah lemah dan tidak berdaya untuk menyahut kehendak-kehendak masyarakat Dunia. Melalui tinjauan terhadap kegagalan ini saya ingin mengemukakan ciri-ciri Sistem FUTURE ..MUSTAQBAL..AKAN DATANG yang diingini dunia !!!!

Semua yang berada di dalam dewan ini mengetahui bahawa seluruh para anbiyak dipertanggungjawabkan agar menyeru manusia supaya menyembah Allah yang Esa, mengeratkan hubungan kasih sayang dan memperkenalkan kepada manusia jalan sebenar menuju kebahagiaan...dalam masa yang sama mengajak manusia agar berfikir dan mendalami ilmu agar mereka mengenali hakikat sebenar serta menjauhkan SYIRIK.

Semua dakwah para Anbiyak adalah sama. Setiap nabi memperkuatkan perjuangan nabi sebelumnya, memberi khabar gembira dengan kedatangan nabi yang akan datang dan menyampaikan Islam secara keseluruhan sesuai dengan kemampuan manusia. Ini berterusan sehinggalah datangnya Muhammad saw. Nabi Akhir Zaman yang dianggap PENYEMPURNA RISALAH namun disebalik itu kami mendapati golongan DIKTATOR DAN MADDIYYAH tercegat di hadapan menghalang dakwah yang mulia ini berwajahkan NAMRUZ berhadapan dengan IBRAHIM..berwajahkan FIRAUN berhadapan MUSA dan MATERIALISTIK berhadapan ISA dan MUHAMMAD saw. !!!..begitulah kurun ini yang menyaksikan BARAT yang RAKUS dengan kekejaman dan kezaliman, sedangkan di kurun pertengahan telah muncul mereka yang berada di barat agar berpegang dan iltizam dengan ISLAM yang penuh dengan nilai-nilai murni serta akhlak insani dan lebih dari itu mereka sanggup berhadapan jahiliyyah semasa dengan penuh keilmuan dan akal yang waras

Terputusnya manusia dengan wahyu langit bermakna terputusnya manusia dengan rohnya sendiri. Manusia sememangnya sesuai untuk menggapai hakikat alam, menyerlahkan kebenaran, keadilan, kesempurnaan, kebahagiaan dan lebih dari itu amat sesuai menjadi khalifah di atas mukabumi. Malangnya manusia mengatasi kemampuannya dengan hanya sekadar menumpukan kepada alam kebendaan, kerja, perut dan naluri peribadi maka sebab itulah nafsu manusia sudah mengatasi keaslian hakikat dirinya !!!

Individu dan masyarakat sentiasa bertelagah dan kebahagiaan mereka hanyalah seumpama barang gadaian. Pertelagahan lebih terserlah berbanding pembangunan insan kerana ingin mengekalkan kuasa. MANUSIA MENYEMBAH KAPITALIS DAN BUKANNYA ALLAH MAHA ESA YANG MENJADI LAMBANG PERPADUAN DAN KASIH SAYANG. Justeru itu terbukalah pintu kehambaan sesama manusia, penjajahan sehinggakan banyak negara di dunia terpaksa mengemis kepada negara Barat dan kesempatan ini digunakan oleh Barat untuk memperhambakan jutaan manusia, meruntuhkan institusi kekeluargaan sehingga kekayaan bumi, hak asasi dan intelektual bangsa terhidang untuk diragut, diperangi, diceroboh dan dirampas dan penghapusan etnik yg menghinakan.

Namun kehidupan mereka kembali mulia dan bersinar setelah penjajah yang rakus itu berambus dari bumi mereka dan kemerdekaan mereka diiktiraf.

Di awal kurun yang lalu terdapat slogan-slogan yang cantik dan sedap didengar seperti BEBAS, HAK ASASI MANUSIA, DEMOKRASI sebagai pengharapan dan ubat yang mengubati bangsa luka-luka parah yang lalu, namun sekarang lenyap pengharapan itu dengan berlakunya tragedi-tragedi lebih dahsyat dari apa yang pernah dirakamkan sejarah perang dunia kedua dahulu seperti penjajahan Palestin, perang Korea, perang Vietnam, perang Iran Iraq, perang di Afghanistan dan
peperangan di Afrika.. bunuh..dera..keganasan..dadah..kefaqiran..aparthied perbezaan warna kulit.. rampasan kuasa dan jangan lupa kerajaa
n diktator Amerika Selatan yang bertulang belakangkan Barat melariskan jenayah..menodai genjatan senjata..berleluasa penggunaan senjata nuklear dan kimia menyebabkan dunia lebih terdedah kepada bahaya.. Ya! ianya tidak mengapa.. asalkan kuasa Barat dapat mencapai matlamat mereka!!!.

Rakan-rakan anggota,

Terbaru kita menyaksikan perbuatan yang cukup BIADAB serta tidak bersifat dan berwajahkan manusia tatkala dibiarkan PEMBAKARAN TERHADAP ALQURAN.. kitab langit yang merupakan mukjizat yang kekal bagi NABI ISLAM, dialah yang menyeru manusia ke arah penyembahan Allah yang Esa, tegakkan keadilan, eratkan kasih sayang, makmurkan bumi, berfikir dan berakal, membela mereka yang dizalimi serta memerangi kezaliman. AlQuran men ghidangkan cerita-cerita baik NABI-NABI ALLAH seperti Nuh, Ibrahim, Ishak, Yusof, Musa dan Isa Alaihimussalam menyampaikan RISALAH DENGAN PENUH AMANAH.. adakah mereka membakar agar terbakar segala kebenaran ???

SESUNGGUHNYA KEBENARAN TIDAK AKAN MUNGKIN DIBAKAR DAN ALQURAN TETAP AKAN KEKAL ABADI kerana ia adalah kalam ALLAH YANG KEKAL ABADI !!!

Perbuatan ini hanyalah lebih menambahkan jurang kebencian antara penduduk dunia dan inilah 'PERBUATAN SYAITAN' yang mesti ditumpukan perhatian agar kita tidak sama terjebak. Saya mewakili rakyat Iran menghulurkan penghormatan terhadap kesemua kitab-kitab SAMAWI langit dan beriman dengannya.. lagi-lagilah AlQuran..kitab yang suci yang cukup kami agungi.

Bersambung....

Semoga diberi kesihatan yang baik dan sentiasa dalam rahmat Allah untuk meneruskan terjemahan.
Doa dari Abang Aris Untuk Ustaz Yusof.

Saturday, September 25, 2010

Sudahkah Kita Beriman?

Pemuda dan pemudiku,

Ujian akan menimpa seluruh manusia, dan tidak mungkin ada seorangpun yang dikecualikan dari ujian ini. Baik dia muda atau sudah tua, baik dia wanita atau lelaki, baik dia ulamak ataupun bukan.

Allah swt berfirman:-
الم

[1] Alif, Laam, Miim.

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

[2] Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ
[3] Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

(Al-Ankabut: 1-3)

Di dalam ayat di atas Allah swt menyatakan manusia akan diuji dengan menghadapi berbagai ujian dalam berbagai bentuk. Jika iman mereka termasuk iman jenis ikutan dan iman berdasarkan aqal (ilmiah) maka manusia itu tidak akan lulus di dalam ujian. Hanyalah iman hati yang yakin dengan sebenar-benar yakin sahajalah yang akan berjaya.

Dari mana iman ikutan diperolehi? Tentu dari ayah dan ibu, jelas dari membesarnya seseorang dilingkungan Islam.

Dari mana pula iman aqal (ilmiah) diperolehi? Sudah tentu dari kuliah secara khusus disekolah dan universiti atau ditepi jalan melalui pembacaan serta mimbar dan mihrab di masjid, surau dan pondok pengajian.

Oleh itu, kepada pemuda dan pemudiku banyaklah menghadiri majlis ilmu dan membaca, sehingga masalah-masalah keTuhanan hadir di dalam pemikiran dengan disertai dalil dan hujjah. Serta banyaklah berdamping dengan ulamak yang baik budi perkerti dan akhlaknya. Kerana diakhir zaman ini ada ulamak yang buruk akhlaknya.

Mungkin pemuda dan pemudiku merasakan kami bukan dari jurusan pengajian Islam dan kami hanya belajar ditepi jalan mengenai Islam ini, oleh itu mana mungkin kami mencapai keimanan yang kukuh.

Sedarlah, pemuda dan pemudiku Bilal bin Rabah ra., seorang Habsi yang hitam, tidak pernah mendapat ijazah atau mengajar dimana-mana Universiti Islam. Namun imannya kepada Allah tertanam kukuh walau dada di hempap dengan batu yang panas di tengah terikan matahari oleh pihak musyrikin Mekah.

Pemuda dan pemudiku,

Selepas kamu mendapat iman ikutan dan aqal (ilmiah) itu, berusahalah untuk memperolehi iman hati yang yakin seyakin-yakinnya, seperti yang dizahirkan oleh Bilal bin Rabah ra.. Caranya tidak ada, melainkan dengan membina hubungan dengan Allah swt. Iman hati menuntut seseorang untuk beribadah:-

Firman Allah swt:-

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ

[99] Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu keyakinan.

(Al-Hijr: 99)

Al-Quran telah mengajar kita, jika kita ingin yakin kita mesti beribadah kepada Tuhan. Dengan ibadahlah kita akan memperkuatkan hubungan kita dengan Allah swt.

Iman hati dapat diperolehi dengan jalan mengerjakan solat pada waktunya dan menghadiri solat jamaah.

Masjid dan surau adalah tempat perlindungan dari jin dan syaitan. Solat secara berjamaah dan berbagai majlis ibadah lain di masjid dan surau merupakan duri di mata syaitan, jin dan manusia. Selain ia merupakan duri bagi musuh, pada saat yang sama ia merupakan cahaya bagi hati kita.

Pemuda dan pemudi ku,

Kerjakanlah solat pada awal waktu dengan penuh khusyuk dan khudhuk. Kerana sesungguhnya kita sedang berbual dengan Allah swt ketika kita sedang bersolat.

Ketika kita mengatakan, "Hanya kepada Mu ya Allah kami menyembah dan hanya kepada mu ya Allah kami memohon pertolongan."

Ketahuilah bahawa ketika itu kita berada dibawah pemerhatian Allah dan bahawa sesungguhnya solat kita yang penuh khusyuk dan khudhuk adalah merupakan mikraj rohani kita kepada Tuhan Pencipta Alam.

Selanjutnya iman hati dapat dibina sehingga hati dipenuhi cahaya ialah dengan membantu makhluk Allah yang memerlukan bantuan semampu kita. Jika kita tidak mampu membantu manusia pada hari tersebut sekurang-kurangnya bantulah binatang.

Akhirnya, iman hati dapat dibina dengan menjauhi perbuatan dosa. Dosa akan meninggalkan titik hitam dihati. Dosa yang paling mudah sekarang ini adalah dosa hanya melalui klik dihujung jari. Awasi jangan terjebak, sehingga akhirnya ketagih.

Hati yang penuh dengan titik hitam, mana mungkin membimbing manusia lain kepada Nur Ilahi.

Itu semua adalah ujian, "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji?"

Selamat menempuh ujian dan berjaya dengan cemerlang.

Friday, September 24, 2010

Pemimpin Mesti Berani!!!

Soalan: Apakah yang menyebabkan seseorang itu berani menyatakan kebenaran, ke satu tahap yang tidak dapat difikir oleh manusia?

Jawapan: Apabila dia amat-amat meyakini, bahawa ada kuasa lain yang lebih hebat akan melindunginya dan dia menuju kearah itu, iaitu Tuhan Pencipta manusia.

Apabila keyakinan itu sudah mantap dalam diri, maka perjuangan untuk kebenaran, untuk kebajikan, untuk keadilan, untuk keamanan bukan lagi bertujuan meraih undi manusia, tetapi hanya bertujuan meraih reda Allah.

Kita kata kita beriman dan yakin kepada Allah:-

Cubalah renung sedalam-dalamnya kedalam diri kita.........

1. Apakah benar ucapan ALLAH HU AKBAR (Allah Maha Besar) kita telah realisasikan dalam kehidupan?
2. Apakah benar ucapan SUBAHANALLAH (Maha Suci Allah) telah kita terjemahkan menjadi kenyataan?
3. Apakah benar ucapan ALHAMDULILLAH (Segala Puji Hanya Kepada Allah) telah kita laksanakan?

Jawablah persoalan itu dengan penuh keinsafan, apabila 3 frasa ringkas itupun kita belum dapat sempurnakan tuntutannya, maka bagaimanakah untuk menghadapi kezaliman dan keruntuhan akhlak pimpinan hanya peringkat lokal disekeliling kita.

Walaupun begitu, kita masih belum terlambat. Usahalah untuk mencapai iman yang bukan sekadar di lidah, tetapi dipemikiran dan dihati yang akan kemudian diterjemah apabila ianya diperlukan. Seperti yang berlaku kepada manusia pemberani yang bernama
Ahmadinejad, Presiden Iran. Ikuti ucapannya di UN pada 23 September 2010 baru-baru ini.






Wednesday, September 22, 2010

Kisah Cek Tunai RM100,000.00

Dulu masa muda ada juga merapu, kisahnya begini.

Dulu semasa tahun 80an aku makan, kerja dan tidor di Pejabat Badan Perhubungan PAS Kedah, di Jalan Kota, Alor Setar bersama Pin, Jan, Sobri, Cikgu Zul, kadang-kadang Hj Najib, Mat Sabu, Ustaz Pozi, Ghani, Cup Pejabat Tanah, Ustaz Fadzil, Cikgu Pa, Taib, Pak Cop, Ustaz Suhaimi pun tumpang tidor sama.

Masa tu Ustaz Kassim Mina jadi Pegawai Kewangan PAS Kedah, di bawah pejabat PAS (Tingkat bawah) masa tu ada Restoren Islamiah, sementara tingkat 1 ada beberapa kedai dan pejabat swasta.


Satu hari sebuah Kedai di tingkat 1 berpindah. Lepas mereka angkat semua barang. Kami pun masuk dalam pejabat depa untuk cuci. Jumpa satu buku cek yang dah tak pakai dibuang oleh syarikat berkenaan dalam tong sampah.

Apa lagi timbul idea nak pekena kawan, oleh kawan-kawan lama aku tu.


Depa reka tulis sekeping cek tunai berjumlah RM100,000.00 (Seratus Ribu Ringgit Sahaja), masukkan dalam sampul surat. Tulis disampul surat kepada, Ybhg. Ustaz Kassim Md Isa dengan alamat siap dan diletak dalam peti surat pejabat BPPNK.

Esok Ustaz Kasim pun sampai dan memang jadi kebiasaan beliau akan ambil semua surat dalam peti surat BPPNK, termasuklah surat yang ada cek untuk beliau.

Kawan-kawan aku memang dok intip dia dah, dia naik tingkat 3 depa ikut dan perati kelaku dia. Setelah memastikan dia dah buka mereka pun beredar.

Bila sampai time makan tengahari, Ustaz Kassim pun turun nak makan, mereka dan aku pakat ikut dia. Sembang-sembang la supaya terbit kisah cek yang kami hantar kat dia.

Korek punya korek.......... dia senyap je........ kami cungkil lagi untuk tengok reaksi dia. Tapi tengok riak macam dia syok je hari tu.......

Tetapi akhirnya akibat tak sabar salah seorang kawan kami tegelak......... Ustaz Kasim pun perasaan kata kami dah pekena dia.

Yang hebatnya, Ustaz Kassim ni, dia tak marah kat kami, dia cool je..........

Dia kata, "Awat bagi tau awai sangat kata cek tu muhong, bagi la ana syok lama sikit".

Lepas dia kata macam tu, kami semua yang pura-pura serius, tak boleh tahan dah...... pakat gelak sampai macam nak pecah perut.


Nota: Cerita di atas adalah kisah benar. Oleh itu dalam bab bagi-bagi cek ni tulis la berapa nak tuleh. Cuma bagi la lambat sikit pecah tembelang supaya orang yang terima syok lama sikit seperti yang dikatakan oleh Ustaz Kassim Mina yang sekarang ini jadi wakil peribadi kepada EXCO Kanan Negeri Kedah, Ir. Hj. Phahrolrazi Hj Zawawi.



Sunday, September 19, 2010

Marahlah kerana Allah bukan kerana tak dapat dunia

Pemuda dan pemudi ku ikutilah kisah seorang Abid dari Bani Israel dengan Syaitan. Jadikanlah kisah ini sebagai panduan dalam melayari bahtera kehidupan terutama dalam zaman kemerosotan iman dan perebutan habuan dunia melalui kuasa sekarang ini.

"Diriwayatkan, ada seorang Abid dari Bani Israel yang sentiasa sibuk dengan beribadat. Sekali peristiwa datanglah serombongan manusia seraya berkata kepadanya, "Di sini ada suatu kaum yang menyembah sebatang pohon kayu". Setelah mendengar berita ini, si Abid itu marah semarahnya. Lalu ia mengambil sebilah kapak dan berangkat untuk menebang pohon yang dipertuhan dan dipersembahkan itu. Di dalam perjalanannya muncullah Syaitan berupa seorang manusia tua, lalu bertanya kepada si Abid itu:

"Engkau hendak kemana?" "Aku hendak pergi menebang pohon yang dipertuhan dan dipersembahkan orang" kata si Abid itu. "Kenapa engkau bertindak keatas pohon itu? Kamu tinggalkan ibadat keatas satu perbuatan yang sia-sia, hendaklah kamu teruskan ibadat mu itu" kata Syaitan. "Ini juga merupakan satu ibadat" dijawab si Abid, lantas Syaitan berkata, "Tidak sekali kali aku membenarkan kamu menebang pohon itu".

Akhirnya terjadilah perkelahian diantara si Abid dan Syaitan itu sehinggalah si Abid berjaya mengalahkan Syaitan. Syaitan mengetahui akan kelemahannya dan memujuk si Abid.

"Dengarlah kata kata ku." Si Abid pun melepaskan Syaitan itu dan Syaitan pun berkata "Perkara menebang pohon itu bukanlah Allah mewajibkan kepadamu. Pohon itu bukanlah menggangu ibadat mu dan bukanlah kamu menyembahnya. Tuhan telah mengutuskan para AmbiaNya, dan jika dikehendakiNya pasti Ia memerintah Nabi Nabi-Nya menebang pokok itu."

"Semestinya aku akan menebang pohon itu dan perbuatlah apa yang engkau suka".

Maka terjadilah perkelahian sehinggalah si Abid sekali lagi dapat mengalahkan Syaitan dan sekali lagi Syaitan memujuk siAbid dengan katanya:

"Dengarlah, kini kata ku yang terakhir yang tetap akan menguntungkan kamu" Maka si Abid pun melepaskan Syaitan dan Syaitan berkata:

"Kan kau seorang yang miskin dan menjadi beban keatas masyarakat. Kau biarkan sahaja kerja ini, nescaya aku akan berikan kepada kamu tiga dinar wang emas setiap hari. Kau akan memperolehi wang tersebut tiap tiap pagi dibawah bantal mu.

Dengan ini segala keperluan mu akan terberes dengan mudah, dapat menunaikan keperluan keluarga dan dapat pula menolong orang orang fakir dan miskin. Dan dapat menggunakannya untuk mengerjakan amalan yang baik lagi menguntungkan. Jika sekiranya kau menebangkan pokok tadi, maka kau hanya memperolehi satu pahala sahaja. Kemudian penyembah penyembah pokok itu tentu akan mengusahakan yang lain pula".

Perbicaraan Syaitan itu akhir berjaya memikat hati dan fikiran si Abid lantas beliau menerima tawaran Syaitan itu. Maka menurut perjanjian dengan Syaitan itu, si Abid pun menerima duit tiga dinar wang emas selama tiga pagi berturut sehinggalah pada pagi yang keempat, duit itu tiada dibawah bantal si Abid. Meradang benar si Abid dan diambilnya sebilah kapak untuk menebang pohon itu kembali.

Di dalam perjalan berjumpa lagi si Abid dengan siorang tua penyamaran si Syaitan itu dan bertanya ia kepada si Abid.

"Kau hendak kemana?"
"Aku hendak menebang pohon itu".
"Kini kau tidak berdaya menebang pokok itu" ujar siSyaitan, maka bergelutlah mereka dan si Syaitan berjaya mengalahkan si Abid. Tercenganglah si Abid lalu bertanya:

"Bagaimana mungkin kamu mengalahkan aku kerana dulu aku telah mengalahkan kamu sebanyak dua kali?'

Syaitan menjawab "Dulu kamu mengalahkan aku kerana kamu berjuang kerana Allah, dan kini kamu berjuang kerana wang dan kerana itu aku berjaya mengalahkan kamu"

BAHAYA PEMIMPIN GILA PUJI

Apabila sekali-sekala kita terasa terlalu ingin dipuji dan apabila yang kita mahu dengar hanyalah kata-kata yang sedap-sedap sahaja, lebih-lebih lagi apabila kita mempunyai kedudukan yang tinggi dalam organisasi atau masyarakat, ditambah pula oleh orang disekeliling kita terdiri daripada kaki ampu dan ‘bodek’, maka renungilah sejenak kisah raja tanpa bajunya ini. Cerita pendek turun-temurun ini telah kita dengar sejak di bangku sekolah rendah lagi. Memang sudah lama, namun iktibarnya dapat kita manfaatkan sepanjang usia. Bukan sahaja untuk menilai dan memperbaiki diri kita, malah untuk menilai orang lain, suasana dan perkembangan semasa.

Kisahnya bermula dengan seorang raja yang suka berpakaian cantik. Baginda terlalu gilakan baju dan fesyen baru. Semua tukang jahit dalam negara pemerintahannya sudah dikerahkan untuk menjahit baju barunya. Sehelai demi sehelai. Apabila siap sahaja, raja terus memakainya dan muncul di khalayak ramai. Kembang-kuncup hatinya apabila mendengar pujian rakyat tentang kecantikan pakaiannya. Itulah saat yang paling bahagia dirasakan dalam hidupnya. Bulan demi bulan, tahun demi tahun, itulah karenah raja tersebut. Dan setiap kali raja muncul dengan pakaian barunya, rakyat akan mengangguk-anggukkan kepala serta memuji-muji baju raja. Namun walaupun telah silih berganti fesyen, silih berganti baju, raja masih belum puas hati lagi. Raja masih merasakan bahawa ada lagi fesyen baru yang belum dicubanya.

Maka menteri-menterinya disekelilingnya pening kepala, apalagi yang boleh diusahakan untuk memenuhi kehendak raja. Kehendak raja mesti dijaga, egonya mesti dikipas terus-menerus. Dan untuk itu para menteri ‘kaki bodek’ sanggup berbuat apa sahaja. Suka hati raja, maka selamatlah kedudukan mereka. Atas desakan raja, maka para pun akhirnya sepakat untuk mewartakan satu iklan besar-besaran – satu hadiah yang cukup lumayan kepada siapa yang dapat menjahit satu pakaian fesyen terbaru untuk raja. Tukang-tukang jahit dari seluruh pelusuk negara pun berduyun-duyun ke istana membawa kertas cadangan, lengkap dengan lakaran dan sebut-harga masing-masing. Namun raja tidak perkenan kerana semua tukang jahit itu sudah dikenalinya. Kalau muka lama, tentu citarasanya juga sama dan daya kreativitinya masih di takuk lama. Akhirnya, semua tukang jahit itu pulang dengan kecewa. Tidak seorang pun diantara mereka yang diterima cadangannya. Raja terus gelisah. Siapakah tukang jahit yang boleh memenuhi citarasanya?

Berita tentang raja mencari tukang jahit yang istimewa tersebar ke serata pelusuk negara. Berita sensasi itu turut sampai ke telinga dua orang lelaki yang sangat bijak menipu. Apalagi, otak licik merekapun berputar untuk mencari helah. Mereka berdua pun sepakat untuk menipu raja. Dengan menyamar sebagai tukang jahit yang terkenal mereka pergi ke istana untuk menawarkan diri sebagai tukang jahit yang mampu menghasilkan pakaian yang sangat istimewa. Raja dan para menteri yang sudah lama ‘pening kepala’ itupun ditipu bulat-bulat dengan cerita-cerita gah daripada kedua tukang jahit palsu itu. Kononnya pakaian yang akan mereka persembahkan buat raja nanti sungguh istimewa tetapi sangat mahal harganya. Apalagi, demi mendengar cerita tentang pakaian istimewa itu, rajapun melonjak-lonjak kegembiraan dan memerintahkan agar baju yang dimaksudkan itu dibuat segera. Belanja untuk membeli benang, jarum dan pelbagai peralatan membuat pakaian pun dikeluarkan dari khazanah negara. Belanja yang dikeluarkan sangat besar. Dan raja terpaksa memberi satu bilik khas seperti mana yang diminta oleh kedua tukang jahit untuk menjahit pakaian istimewa itu.

Tidak lama selepas itu, kedua orang tukang jahit memaklumkan kepada raja bahawa pakaian istimewa baginda telahpun siap. Lalu pada hari yang ditetapkan itu para menteri mengiringi raja ke bilik khas tukang jahit itu untuk memakai pakaiannya dan dari situ raja dijadualkan berangkat ke halaman istana untuk berjalan di hadapan rakyat jelata yang telah sedia menunggu untuk melihat pakaian raja yang baru. Tanpa bertanggung-tangguh tukang jahit memakaikan pakaian istimewa raja setelah baginda membuka semua pakaian yang sedia ada. Sambil memakaikannya kedua mereka memuji betapa segak dan cantiknya raja dengan pakaian barunya. Raja sungguh gembira walaupun sebenarnya baginda sendiri tidak nampak akan baju serta seluarnya. Tetapi oleh kerana pujian kedua tukang jahit, raja yakin sungguh bahawa pakaiannya memang cantik, walaupun sebenarnya baginda sedang berbogel.

Apabila keluar, menteri terkejut melihat raja yang berbogel, tetapi oleh kerana raja begitu beria-ria memuji ‘bajunya’ maka para menteripun turut memuji. Jika pujian raja sejengkal, para menterinya pula menambah hingga jadi sehasta. Wah, raja bertambah suka!Keluar menuju halaman istana, rakyat terpaku, apa tidaknya raja mereka sedang berjalan tanpa seurat benangpun. Tetapi apabila melihat para menteri memuji pakaian raja, maka seluruh rakyat pun segera memuji. Malah lebih daripada pujian oleh para menteri. Pujian sehasta jadi sedepa. Masing-masing memuji dengan bersorak ria. Apalagi, raja pun terus berjalan dengan lagak sombong dan bangganya. Kali ini raja benar-benar puas hati. Tidak disangkanya baju dan seluarnya begitu istimewa.

Tiba-tiba, seorang budak kecil berteriak, “raja tak berpakaian! Raja berbogel.” Semua orang terkejut dengan keberanian dan kelantangan budak tersebut. Mereka terus tersentak. Minda yang tertutup tadi telah terbuka. Kejujuran budak itu telah mencairkan sifat memuji secara membabi buta mereka.Ya, raja memang berbogel. Raja tidak berpakaian. Apalagi mereka pun ketawa beramai sambil mengejek raja. Menteri-menteri pun terkejut. Benar, raja memang berbogel. Pakaian istimewa yang tidak kelihatan itu memang tidak ada lansung. Melihat keadaan itu raja pun tersedar. Barulah raja mengakui hakikatnya bagainda memang tidak berpakaian dan sedang berdiri di hadapan seluruh rakyatnya. Malunya tidak terkira. Lalu dengan pantas, baginda berlari lintang-pukang menuju ke dalam istana di tengah-tengah ejekan rakyatnya.

Itulah nasib pemimpin yang kaki ampu. Justeru mengharapkan pujian dan sanjungan, telah ramai para pemimpin yang kecundang. Pujian membutakan mereka daripada melihat kelemahan dan kekurangan diri. Mereka telah merasakan begitu ‘super’ sehingga terlanjur bertindak di luar kemampuan diri. Ada yang cuba menunjukan kekuatan dengan harta, sehingga lupa hutang sudah keliling pinggang. Mereka berbelanja besar, kerana disitulah dirasakannya mertabat dan derjat kepimpinannya. Rumah dan kereta besar seolah-olah menjadi penunjuk kepada kewibawaannya. Mereka terlupa, berlagak kaya akan menyebabkan seseorang menjadi papa. Ya, jika ‘kebesaran’ seseorang ditentukan oleh kereta dan rumahnya yang besar, maka siapakah mereka apabila kereta besar dan rumah yang besar itu hilang? Bukankah itu menunjukkan yang mereka hanyalah ‘sikerdil’ yang berdiri di bawah bayang-bayang hartanya? Pemimpin yang begini adalah salinan peribadi raja yang merasakan hebat dengan bajunya bukan oleh sikap prihatinnya terhadap nasib rakyat di bawah pimpinannya.

Selalunya pemimpin yang gila puji akan dikelilingi oleh pengikut yang kaki ampu. Dan bila ini terjadi, yang menderita adalah pengikut. Pengikut akan terus diperkudakan oleh orang atasan demi membodek pemimpin no.1. Penderitaan pengikut, kelemahan dasar dan pelaksanaan kepimpinan serta lain-lain hal yang negatif tidak akan sampai ke atas, justeru telah ditapis terlebih dahulu oleh pemimpin lapisan kedua. Siapa berani melawan arus? Jika pemimpin utama hanya mahupun yang manis-manis. Maka ‘dibancuhlah’ berita yang manis-manis walaupun dari bahan dan perisa yang palsu. Pesan nabi, “katakanlah yang benar walaupun pahit,” tidak diamalkan lagi. Dan ramailah ‘syaitan bisu’ yang diam bungkam terhadap keburukan di depan mata. Lama kelamaan, pemimpin utama semakin tersasar. Tetapi tidak ada siapa yang berani menegur, kerana semuanya menutup akal dan hati dan akhirnya yang tersasar tetap dianggap benar.

Kehadiran dua tukang jahit yang pembohong di sisi raja yang gila puji adalah satu fenomena biasa dalam dunia kepimpinan masakini. Tidak kira apa corak organisasi dan misinya, tetapi jika penyakit gila puji pada pemimpin atasan terus disuburkan oleh orang kanan yang tidak bertanggung-jawab, maka kemusnahan akan berlaku, cepat atau lambat. Jika setiap teguran dan kritikan terus dicap sebagai ‘menderhaka’ maka para pemimpin akan kehilangan orang-orang setia yang tidak suka bermuka-muka. Sedangkan sejarah kepimpinan yang berjaya dikalangan para Rasul dan khulafaur Rasyidin semuanya mengamalkan sikap terbuka kepada teguran. Rasulullah pernah ditanya tentang satu keputusannya dalam satu peperangan. “Apakah ini dari wahyu ya Rasululllah?” tanya para sahabat. Jika bukan, maka para sahabat berani memberi cadangan balas. “Aku akan betulkan kau dengan mata pedang,” jerit seorang rakyat Umar apabila Sayidina Umar minta ditegur jika bersalah dalam urusan pemerintahannya. Dan Umar sendiri pernah berkata, “perempuan itulah yang benar, Umarlah yang salah,” apabila pandangannya tentang mas kahwin ditolak oleh seorang wanita tua.

Semakin tinggi pokok yang kita naik maka semakin kuatlah angin yang menggoyang, maka begitulah keadaannya dengan para pemimpin. Semakin tinggi kedudukannya dalam masyarakat maka semakin banyak ujian yang mesti dihadapinya. Ujian dalam bentuk kesusahan, cercaan dan kekurangan biasanya mudah dihadapi. Selalu ujian jenis ini menjadikan jiwa para pemimpin lebih kuat, lebih ikhlas dan lebih sabar. Layang-layang akan terbang tinggi jika melawan angin, maka begitulah taraf dan mertabat kepimpinan, semakin diuji maka semakin tinggi kualiti kepimpinannya. Namun keadaan sebaliknya boleh berlaku apabila para pemimpin diuji dengan kesenangan, pujian dan kenikmatan. Keadaan ini boleh menyebabkan sesorang pemimpin leka. Mereka mula merasakan diri mereka besar dan ‘super’. Dan pada ketika itulah datangnya kaki bodek yang mengipas hingga para pemimpin lena dengan pujian dan sanjungan. Apa sahaja yang dibuatnya dirasakan serba kena dan dia merasakan sebarang kritik adalah untuk menggugat kepimpinannya. Maka ketika itulah orang-orang yang jujur mula meninggalkannya. Yang tinggal hanyalah ‘sokong yang membawa rebah’.

Setiap orang mempunyai ‘bilnd spot’nya tersendiri, termasuk para pemimpin. Ia adalah kelemahan diri kita yang terletak pada sisi lain yang tidak kelihatan pada pandangan pandangan kita sendiri. Maka setiap orang memerlukan orang lain untuk menegur dan menyatakan kelemahan dirinya. Justeru Rasulullah saw pernah menyatakan bahawa orang mukmin adalah cermin kepada saudaranya yang lain. Ertinya, kita mesti membuka pintu hati dan minda untuk melihat diri kita melalui persepsi orang lain – dan dalam konteks ini, jika seorang mukmin pasti dia akan menegur dan membetulkan saudaranya dengan jujur dan kasih-sayang. Malah menurut Imam Ghazali, seseorang boleh melihat aib dirinya bukan sahaja melalui kacamata dan penilaian guru atau sahabatnya, tetapi juga dari pandangan musuh-musuhnya. Musuh akan mengatakan sesuatu ‘yang tidak baik’ terhadap diri kita, dan mungkin sesuatu yang tidak baik itu benar-benar ada pada diri kita yang selama ini tidak tergamak disebut oleh orang-orang yang rapat dengan kita. Maka ketika itu ‘kejian’ oleh musuh adalah ‘rahmat’ yang dengannya kita boleh memperbaiki kesilapan kita.

Hakikatnya masih ada para pemimpin yang belum mendapat iktibar daripada cerita tanpa bajunya ini. Mereka masih tidak dapat membezakan antara sikap optimis dengan realistik. Terlalu optimis akan mendedahkan kita kepada sikap suka puji yang kononnya akan mendorong peningkatan kualiti dan visi kepimpinan kita. Sedangkan sewajarnya mereka bersifat realistic dengan merasakan bahawa dalam apa jua kelemahan diri sentiasa ada. Kadangkala kelemahan itu kecil sahaja, namun akibat memandang enteng, yang kecil itu akhirnya membesar dan menghalang kelancaran kepimpinan kita. Ya, berapa ramai orang yang terjatuh kerana tersepak batu kecil… dibandingkan dengan terlanggar batu besar?

Yang pastinya dunia kepimpinan menagih kejujuran persis kanak-kanak yang masih bersih dari sebarang kepentingan (dalam cerita ini) untuk dimurnikan semula. Mereka yang tidak bergantung hidup kepada pemimpin sahaja yang dapat menyuarakan kebenaran tanpa segan silu. Bukan benci, tapi sayang. Sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang anak tangan-tangankan, sayang pemimpin tegur-tegurkan! Tapi risikonya besar… bayangkan jika jarum injeksi seorang doctor dilihat sebagai pisau seorang pembunuh…Tentu sahaja kejujuran menagih korban. Hang Nadim telah terkorban kerana kejujurannya di hadapan raja Singapura. Entah apa nasib ‘budak’ yang menyebabkan raja diketawakan dalam cerita ini…Dan apakah nasib mereka yang sanggup berkata benar di hadapan para pemimpin disepanjang zaman? Sabda Nabi Muhammad antara lain bermaksud, bahawa antara jihad yang besar ialah menyatakan kebenaran di hadapan raja yang zalim… Sanggupkah kita?

Copypaste tanpa edit dari sini


Buah Tangan Untuk Pemuda Sempena Eid Fitr

Firman Allah dalam surah An Nisa Ayat 105,

Maksudnya:
" Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al Kitab (Al Quran) dengan membawa kebenaran supaya engkau menghukum antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi pengkhianat"


Daripada Ali bin Abi Talib ra berkata: Telah bersabda Rasulullah saw:

Maksudnya:

"sudah hampir sampai satu masa di mana:-

1. Tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya.

dan

2. Tidak tinggal daripada Al Quran itu kecuali hanya tulisannya.

3. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi kosong daripada hidayah.

4. Ulama mereka adalah sejahat jahat makhluk yang ada di bawah naugan langit.

5. Dari mereka (Ulama) berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali."


(hadis riwayat baihaqi)

Itu sahaja.... semoga pemuda ku dapat merenungnya sejauh mata memandang dan sejauh fikiran melayang dengan panduan keimanan, ketaqwaan penuh keikhlasan, tanpa dengki dan dendam.

Wednesday, September 15, 2010

Pesanan Untuk Anak-anak Sosilawati Lawiya.

Sebagai manusia yang sudah tua.

Inilah pesanan aku kepada anak-anak Sosilawati Lawiya.

1. Dekatkanlah diri dengan Allah.
2. Jadilah anak-anak yang soleh dan solehah.
3. Teruskan perniagaan ibumu ketahap yang lebih cemerlang.
4. Semua yang berlaku ada hikmahnya, oleh itu renungi dan carilah ia (hikmat itu).
5. Pastikan urusniaga anda untuk mencari redha Allah dan menepati hukumNya.
6. Elakkan dari mudah terpedaya dengan manusia syaitan yang sedang mengintai peluang.
7. Eratkan tali persaudaraan sesama keluarga

Semoga mereka membaca secebis pesanan ini dan pesanan ini aku lakukan kerana mereka yang masih muda itu telah menjadi popular akibat tragedi yang menyayat hati terhadap ibu mereka, namun perlu diingat sudah ada mata-mata liar sedang memerhati peluang untuk menerkam dalam berbagai rupa dan bentuk.

Hanya kepada Allah ku panjatkan permohonan semoga anak-anak muda itu diberi taufik dan perlindungan oleh Allah. Sesungguhnya mereka mempunyai potensi, kepada mata-mata liar itu jangan rosakkan potensi mereka.