Saudara-saudara yang mulia, perhubungan kita dengan kerajaan pusat akan bercorak dua samada kerajaan pusat akan baik dengan kita atau ia akan jahat dengan kita. Tunku Abd Rahman di dalam kenyataannya semalam menyatakan ketika ditanya samada akan dibiarkan kerajaan Negeri Kelantan ini ia telah menyatakan, "Tidak, kita akan beri mereka kemajuan-kemajuan supaya mereka dapat sama seperti negeri-negeri lain, Tun Abd Razak berkata, "bahawa orang Kelantan itu tidak mahu kepada kemajuan dan dari itu fahamlah saya bahawa dia tidak ingin menyebarkan kemajuan. Marilah kita sedia untuk menghadap kedua-duanya ini. Saya belum tahu apa cara yang hendak kita buat, sebab gendangnya belum benar-benar berbunyi, jangan kita melompat sebelum rentak gendang itu kita ketahui kemana hendak dilagukan, tetapi saudar-saudara kita fahami sebab kita ini telah tua di dalam politik bahawa kerajaan Perikatan akan menekan kita walaupun dia mengata dia tidak akan menekan kita.
Jadi apakah keselamatan kita? Apakah jaminan bahawa kita akan berjalan terus? Satu saja! ... satu saja! Perpaduan mesti kukuh, perpaduan kita, ini sahaja yang boleh menjamin kita hidup lama di negeri Kelantan ini. Kalau kita pecah maka akan hancurlah kita semua, marilah kita semua saudara-saudara memikul beban ini dengan rasa perpaduan yang kuat, bukan perpaduan diantara 17, .... 18.... 21 orang sahaja, tetapi perpaduan diantara saudara-saudara dengan Perhubungan Negeri dengan Rakyat dengan saya, dengan Jawatankuasa Agung dengan semua kita berpadu sehingga tidak celah yang boleh datang keburukan-keburukan yang boleh menghancurkan kita.
Kita tidak dapat menghadapi kerjaaan Perikatan ini, dengan kepandaian kita, kita tidak menghadapi kerajaan Perikatan ini dengan kekuatan kita, tetapi kita hanya akan dapat menghadapi Perikatan ini dengan berkiblat juara masyarakat, kalau aku bersifat cuba berpisah dari rakan ku, aku akan dimakan Perikatan dan rakan ku juga akan dimakan Perikatan dan cita-cita Islam yang aku hebahkan akan dihancurkan dari negeri ini. Ini perlu kita faham dan ini perlu menjadi motto kita di dalam negeri kita ini.
Saudara-saudara yang mulia, esok atau lusa kita akan membentuk kerajaan diantara kita sama kita. Kita boleh mulakan kerajaan PAS negeri Kelantan ini dengan kucar kacir dan kita aturkan dengan kehancuran kalau kita dan kita boleh mulakan kerajaan negeri Kelantan ini dengan berbaik-baik, membina perpaduan yang kukuh, kita akhirkan kerajaan negeri Kelantan ini dengan kejayaan.
Saya berharap masalah ini tidak menjadi masalah pertikaian diantara saudara-saudara sekelian, supaya tidak menjadi masalah pertarungan kepentingan diantara saudara-saudara sekelian. Yang perlu kita pandang ialah kita memerlukan untuk menghidupkan sebuah kerajaan yang kuat yang bukan hendak menghadapi orang-orang yang ada didalam kita ini supaya bercakar diantara satu sama lain tetapi bersedia untuk menghadapi kerajaan Perikatan yang bersedia untuk mencari peluang menghancurkan kita di dalam negeri ini.
Jadi saudara-saudara walaupun musuh mengebom kita, berdentum-dentum dari langit, maka janganlah kita asyik memikirkan, "dia tersepak kaki saya, saya mesti sepak dia pula", ini tidak ada gunanya. Ini akan mengakibatkan keruntuhan kita belaka.
Saudara-saudara yang mulia, lantikan kerajaan, lantikan Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar, lantikan Speaker, EXCO, Pengerusi-pengerusi jawatankuasa kerajaan akan dilakukan. Lantikan inilah tempat yang subur dengan kuman-kuman yang membawa sengketa kepada kita. Apa yang akan kita buat saudara-saudara ketika kita menghadapi ini semua, yang akan kita buat ialah perpegang kepada keikhlasan kita. Keikhlasan iaitu menitikan tujuan kita kepada perlaksanaan dasar partai kita dan mengenepikan sebarang kepentingan yang selain dari itu.
Inilah pegangan kita dan saya percaya Perhubungan dan kerjasama saudara-saudara dengannya akan dapat memberikan kejayaan bagi lantikan-lantikan yang akan dilakukan tidak berapa lama lagi.
Saudara-saudara yang mulia, kita akan menghadapi kerja besar, dan bagi kerja besar ini marilah kita wujudkan kekuatan yang besar pula. Kita tahu saudara-saudara bahawa kaedah menjaga kepentingan perlaksanaan tujuan ini mungkin akan dapat di pengaruhi oleh penafsiran-penafsiran yang berlainan, sekali lagi saya katakan sebarang penafsiran terhadap kaedah ini hendaklah juga dikawal dan dipandu oleh rasa keikhlasan yang mesti ada kepada kita.
Maksud saya dengan cara yang kasar, kita hendak jadikan Pengerusi Hal Ehwal Agama, ialah "Encik Majhul" kerana lantikan kita kepada "Encik Majhul" ini akan dapatlah soal agama ini dibereskan dengan baiknya. Datang seorang lagi berkata, "saya mencadangkan pula supaya encik Maqbul pula menjadi Pengerusinya, kerana encik Maqbul inilah orangnya yang layak dengan jawatan ini dan kalau dia memegang jawatan ini tertentulah terlaksana cita-cita kita. Kedua-duanya mempunyai penafsiran yang ikhlas, baik belaka itu saudara-saudara. Sebab itulah pertukaran fikiran mesti kita galakkan, tetapi suka saya menarik pandangan saudara-saudara kepada pengajaran yang dibawa oleh Imam Ghazali dengan katanya sekali iaitu, "di dalam bertukar-tukar fikiran ini, akan berkembanglah pertukaran fikiran itu kepada perbahasan dan perbalahan dan diketika perbahasan dan perbalahan itu berlaku maka bertenggeklah syaitan diatas bahu orang yang berbahas itu. Katanya (syaitan), "Berbalahlah kamu, Fa anta 'ala haqqin... kamulah yang benar".
Saya tidak tahu bila syaitan itu melompat di atas bahu saudara-saudara pula dan apa nampaknya saudara rasa kalau bersungguh-sungguh panas saudara ketika itu, ingatlah bahawa Imam Ghazali pernah menyebut bahawa waktu perbalahan seperti itu melompat syaitan ke atas bahu dengan berkata bahawa "anta 'ala haqqin" kamulah yang benar... kamulah yang benar.
Jadi saudara-saudara hal ini akan berlaku tidak lama lagi, sehari 2 hari atau 3 hari yang akan datang. Jadi janganlah kita mulakan kekeruhan dari awal. Apabila kekeruhan berlaku dari awal tidaklah dapat kita cari kejernihan dengan mudahnya.
Saudara-saudara yang mulia, sudah banyak saya bercakap kepada saudara sekelian. Cuma satu sahaja akan saya akhiri ucapan ini, iaitu hadapilah masalah dihadapan saudara dimasa akan datang dengan kesungguhan.
Berjuang dengan kesungguhan!!!
Bekerja dengan kesungguhan!!!
Bertugas dengan kesungguhan!!!
Bertutur dengan kesungguhan!!!
Jangan jadikan kerja kita walau apa sekali pun kerja asal-asal sahaja.
"Apa boleh buat, oleh kerana saya telah menjadi ahli Dewan Undangan Negeri, saya pergi mesyuarat".
"Apa boleh buat, oleh kerana saya telah menjadi ahli Dewan Undangan Negeri saya tolong susun kebesaran-kebesaran".
Yang sungguh, perlu penolong saya yang cari dan kalau dapat sekarang ini saya akan gunakan praktis-praktis demi agama, bangsa dan tanah air saya.
Dulu ketika belum menjadi tuan besar, duduk berehat dikedai-kedai kopi. Kita kata, "alangkah banyaknya kesalahan orang ini, kamu tahu apa? begini.... begini.
Sekarang kita telah diletak oleh rakyat ditempat ini, mari kita gunakan peluang ini dengan kesungguhan.
Kesungguhan, keikhlasan dan perpaduan akan menjayakan kita.
Assalamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh.
Selesai catatan ucapan yang telah disampaikan oleh Prof. Zulkifli Muhammad 45 tahun yang lalu, tetapi mungkin ada kesalahan dalam ketika menaip atau tersilap dengar perkataan (rasa tidak banyak).
Aku mencatatkan bukan untuk sesiapa, tetapi untuk diriku sendiri, kerana kalau dengar sahaja ia tidak masuk kedalam hati, dan kadang-kadang bersembang dengan kawan atau tertidor ketika mendengar, jadi aku mengambil jalan mendengar dan menulis semula ucapan itu untuk aku cuba hayati apa yang ingin disampaikan oleh pemimpin awal PAS ketika PAS telah merintah selama 5 tahun dan akan masuk 5 tahun ke2 di Kelantan. Jika tulis dalam komputer peribadi aku rasa rugi pula, jadi lebih baiklah aku tulis dan publish didalam blog, jika ada yang terjumpa blog ini mungkin yang mahu membacanya semoga ia menjadi amal kebajikan yang akan diterima Tuhan, InsyaAllah.
Ketika ucapan ini disampaikan, PAS masih baru(baru 13 tahun), PAS masih tidak dikenali ramai, tetapi kesungguhan Prof Zulkifli Muhammad untuk meletakkan asas pemerintahan PAS dengan Islam amat mengkagumkan.
Jika ia hendak dijadikan sebagai bahan renungan, untuk kita semua. Aku merasakan ia amat baik, kerana Prof. Zulkifli tidak bercakap kepada kita ketika itu, jadi tidak ada langsung perasaan ingin menyindir atau mencela kita yang mungkin kita akan mencari alasan untuk menolak dengan mudah mana-mana tulisan dan ucapan yang agak kritis sekarang ini kepada kita, dengan ungkapan paling mudah, iaitu "mereka tak faham apa kita nak buat" atau "mereka mengaji universiti mana?"
No comments:
Post a Comment