Thursday, November 5, 2009

... sambung BERTEMU PROF. ZULKIFLI MOHAMMAD

Berapa orang daripada saudara-saudara yang telah menjadi ahli Dewan Negeri dan Dewan Rakyat (Member Parlimen) sudah membaca buku Islam dan mengatakan bahawa dia ini penganjur Islam. Berapa orang!!!.

Cuba kita fikir saudara-saudara, seorang yang telah diamanahkan untuk membelah dan mengubat orang sakit, tetapi tidak pernah membuka buku berkenaan dengan kesakitan manusia. Kita diamanahkan untuk menjalankan pentadbiran negara Islam, sudahkah kita tahu apakah pentadbiran negara Islam itu? Marilah kita dekatkan diri kita kepada pengajaran Islam, rapatkanlah diri saudara-saudara kepada Quran yang diturunkan oleh Tuhan, dan rapatkanlah diri saudara-saudara dengan rujukan hadis nabi, jangan ada orang yang sombong mengatakan aku sudah tahu, jangan ada orang mengatakan aku sudah luput, kalau dia sudah luput dari mempelajari Islam, berhentilah ia dari menjadi ketua dari pihak orang Islam ini. Jangan sampai akhirnya dia dituduh orang, memakai warna-warna Islam, tetapi tidak ada isinya.

Boleh jadi saudara-saudara, kita ini akan menghadapi dugaan yang lebih banyak, boleh jadi kita akan berjalan dengan baik, tetapi biarlah apa yang akan terjadi kepada kita, biarlah dapat kita menghadapi Tuhan kita dengan hati yang suci dengan mengatakan aku sentiasa berjuang untuk Engkau (Ya Allah) dan aku wakafkan diriku untuk demikian.

Saudara-saudara yang mulia, selain daripada itu, perlu kita kenali diri kita pada hari ini, bahawa kita ini telah dipilih oleh rakyat, rakyat yang sayang kepada kita , rakyat yang sanggup mengenepikan janji-janji Kerajaan Perikatan yang hendak dicurahkan nikmat-nikmat besar kepada negeri mereka, kerana kita memberi tahu mereka bahawa kita ini hendak menjalankan hukum-hukum Tuhan. Bahawa kita ini hendak menyelamatkan hidup mereka di dunia dan di akhirat. Marilah kita hormati rakyat ini, dan sentiasalah kita meletakkan kewajipan diri kita, memanjangkan khidmat-khidmat yang telah kita lakukan demi kepentingan rakyat.

Saya perlu memberi tahu saudara-saudara, satu daripada syarat kejayaan bagi sesuatu perjuangan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa-apa, mungkin tidak kuat, tetapi kalau keikhlasan ada kepada kita, maka ada harapan cita-cita kita ini akan dapat kita laksanakan. Tetapi tidak ada gunanya kita cerdik, cerdas, pandai dan kuat sekiranya kita tidak ikhlas kepada Islam yang kita perjuangankan.

Saudara-saudara yang mulia, ikhlas adalah beerti, mengikutkan niat kepada sesuatu tujuan dengan mengenepikan apa yang lain dari itu, kita ikhlas kepada Tuhan, kita pikulkan niat kepadaNya, kita ketepikan yang lain dari itu. Kita ikhlas kepada perjuangan Persatuan Islam SeTanah Melayu , kita pikulkan niat terhadap tujuannya, kita ketepikan yang lain dari itu. Kita ikhlas kepada kepentingan rakyat, kita pikul niat kita kepada tujuan itu dan kita ketepikan kepentingan yang lain dari itu. Ini perlu ada kepada kita. Keikhlasan yang tidak ada belah baginya lagi, keikhlasan yang tidak mengira yang lain daripada apa yang kita tuju di dalam perjuangan asal kita.

Saudara yang mulia, kejayaan orang yang terdahulu dari kita semuanya dengan keikhlasan, harap sungguh keikhlasan ini kita tanam, kita pikul kepada diri kita sendiri. Banyak orang menyangka keikhlasan hanya disifatkan kepada hati dan niat, tetapi tidak pada amal.

Tuan-tuan yang mulia, amallah yang menunjukkan keikhlasan. Kalau kita pergi ke neraka, seperti sabda Rasulullah saw. (dibaca hadis oleh beliau ) ertinya. "Neraka penuh dengan kesalahan dan kejahatan, Syurga penuh dengan perkara-perkara yang dibenci, dia (nafsu) tak mahu kita buat tetapi kita buat, maka itulah yang akan penuh dalam syurga, tetapi neraka akan penuh dengan niat-niat yang baik". Pergilah saudara-saudara ke neraka nescaya saudara akan berjumpa dengan orang-orang yang niatnya baik, tetapi amalnya jahat. Orang mencuri kerana hendak memberi makan anak isterinya, orang yang menipu kerana hendak menyelamatkan perniagaannya bahkan orang yang melakukan apa sahaja yang durjana dengan niat-niat yang baik. Jadi janganlah kita cukup dengan niat-niat kita sahaja, ... "niat saya baik tak apa".

Marilah kita jadikan, segala amalan kita itu baik, niat kita itu baik, supaya kembaran dari keduanya itu akan dapat memberikan sesuatu yang berguna kepada kita

Maaf, sehingga sekarang aku baru berjaya mencatat sehingga 20 minit 19 saat ucapan beliau, berbaki lebih kurang 27 minit lagi ucapan yang amat menyentuh hati dan perasaan ini.

No comments: