Di dalam saudara-saudara menjalankan tugas, saudara-saudara akan datang akan berjumpalah saudara-saudara masalah-masalah yang bersangkut dengan niat yang baik dan amalan yang jahat, akan banyak saudara terpaksa menghadapi tuduhan niat baik dalam kerja ini, tetapi kerjanya tidak berapa baik, tetapi saudara-saudara ingatlah kepada Tuhan, ingatlah kepada nabi Muhammad saw, ingatlah bahawa di dalam neraka itu penuh dengan niat-niat yang baik belaka.
Saudara yang mulia, rukun kedua dari kejayaan kita sebagai anggota-anggota yang mendokong kerajaan ialah perpaduan kita yang utuh. Perkara inilah yang penting, kita tahu kita mempunyai musuh-musuh, kita tahu bahawa musuh itu hendak menghancurkan kita, maka keutuhan perpaduan ini perlu saudara-saudara wujudkan dan salah satu daripada sebab besar saya ingin berjumpa dengan saudara-saudara hari ini ialah supaya dapat mewujudkan perpaduan yang kuat di antara saudara-saudara. Syukur saya kepada Tuhan, bahawa saudara-saudara yang ada ini sudah dicuba 5 tahun dan saudara-saudara sudah membuktikan perpaduan. Orang Perikatan pernah mengumumkan dengan berkata bahawa mereka akan membeli saudara-saudara. Saya berkata orang-orang yang berada dihadapan saya ini, tidak akan dapat dibeli oleh sesiapapun. Mereka tidak akan merosakkan perpaduan sebab jika kita boleh dibeli, maka sudah lama Persatuan Islam SeTanah Melayu ini sudah dihancurkan di negeri kita ini. Saya sudah kenal orang-orang kita, saya sudah tahu hati-hatinya, maka saya yakin bahawa saudara-saudara dapat mempertahankan diri dalam masalah ini, yang sebenarnya kebelakangan ini saya sedikit pun tidak merasa was-was, saya mempunyai kepercayaan penuh kepada saudara-saudara. Cuma saya minta kepada saudara yang tua dan yang baru lagi masuk golongan mendokong amanah Tuhan ini, supaya terus saudara-saudara berpegang kuat dengan jawatan-jawatan saudara, hendaklah mengutamakan kepentingan perjuangan Islam dan mengenepikan apa sahaja, menangi didalam apa yang akan kita jalankan ini, seribu satu macam akan berlaku, seribu satu daya akan berlaku semua itu untuk menguji keutuhan kita, untuk mengetahui perpaduan kita yang kukuh. Saya berharap semuanya ini dapat kita hadapi dengan cara yang baik.
Ada orang minta supaya kita ini bersumpah, bahawa kita ini bersatu dan berpadu, tetapi saudara-saudara, apalah gunanya sumpah yang boleh dibatalkan dengan penyembelihan seekor kambing, apalah guna sumpah kepada orang yang tidak memperdulikan agama Allah. Sumpah hanya dihormati oleh orang yang taatkan Tuhan, kalau saudara-saudara sudah taatkan Tuhan, maka tidak perlulah saudara-saudara bersumpah.
Saya minta satu sahaja, kita tanamkan di dalam hati kita bahawa Persatuan Islam ini boleh dihancurkan, bahawa kerajaan negeri Kelantan ini boleh dihancurkan bila-bila, tetapi saudara-saudara sanggupkah kita menghancurkan Islam di hati kita sendiri? Sanggupkaj kita mengizinkan kerajaan yang mengharamkan pembacaan Quran berjalan di dalam negeri ini dengan tidak dicabar oleh sesiapapun? Sanggupkah kita orangyang mahu menukar hukum Islam demi kepentingan diri mereka berdaulat diatas kita sendiri? Kalau kita rasa kita tidak sanggup marilah kita jadikan hati-hati kita itu benteng yang kuat, benteng yang boleh menahan sebarang dugaan jambatan kepada Islam.
Saudara-saudara yang mulia, kalau kita tidak taat kepada Tuhan, maka Tuhan akan gantikan dengan satu kaum yang lain, yang mereka itu tidak mengikut kita dalam amal-amalnya, mereka akan lebih baik daripada kita. Maka saya berharap dalam menjalankan tugas negara dan negeri ini saudara utamakanlah seperti yang di utama oleh pemimpin Islam terdahulu, hukum Tuhan dan pengajaran Tuhan.
Saudara-saudara yang mulia, satu perkara yang perlu saya sampaikan pada hari ini, ialah bahawa saudara-saudara yang menang ini, bukan Zulkifli Mohammad, bukan Yusof Abd Latif, bukan Abdullah Jusoh, yang menang ialah calon Persatuan Islam SeTanah Melayu. Marilah kita kukuhkan diri kita dan kita fahamkan bahawa kita ini orang partai , boleh jadi diantara saudara-saudara merasakan bahawa dia orang besar, kalau dia bertanding seorangpun dia menang, tetapi renunglah saudara-saudara beberapa calon-calon Perikatan yang sudah kalah dengan kebesaran-kebesaran mereka kalau rakyat tidak mahu, orang yang mempunyai degree, orang yang menjadi loyar, orang yang kuat habis kalah belaka, mari kita pandang bahawa kita terhutang kepada Persatuan Islam SeTanah Melayu dan bukannya Persatuan saya bahkan Persatuan saudara-saudara sendiri. Kita bersama mempelopori Persatuan itu dan sebab kita wujudkan Persatuan ini adalah kerana cita-cita Islam. Marilah kita jadikan diri kita ini semuanya sebagai orang-orang yang bekerja dari Persatuan Islam SeTanah Melayu.
Jadi saudara-saudara, sebagai ahli Dewan Undangan Negeri janganlah saudara ketepikan PAS Negeri Kelantan sentiasalah dipandang saudara adalah sebagai petugas Persatuan Islam SeTanah Melayu dan saluran Persatuan Islam SeTanah Melayu itu ada di negeri ini untuk memandu dan bekerjasama dengan saudara-saudara sekelian.
Saya syukur kepada Tuhan, pada masa yang telah lalu selama 5 tahun tidak terdapat, boleh dikatakan tidak terdapat langsung pertelagahan antara ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan dengan PAS Negeri Kelantan dan ini jauh dari bermakna bahawa Persatuan Islam SeTanah Melayu ini ingin menekan fikiran-fikiran ahli Dewan Undangan Negeri, tetapi satu kerjasama yang subur diantara kedua pihak perlu dijalankan mengikut saluran-saluran yang telah kita aturkan.
Saudara-saudara yang mulia, sungguhpun pada hari ini saya tidak lagi mengemukakan kepada saudara-saudara apa yang akan kita lakukan selama 5 tahun ini, tetapi saya memberi ingatan kepada saudara-saudara 5 tahun yang akan datang tidak seperti 5 tahun yang telah lalu. Kita akan mewujudkan sebuah kerajaan yang benar-benar kuat, kerana kita ingin menjalankan perkara-perkara yang besar, manifesto kepada saudara-saudara akan akan diuji dengan rintangan yang bukan untuk 5 tahun akan datang tetapi dari mula lagi rintangan-rintangan itu akan kita atur dan akan kita kemukan kepada saudara-saudara. Kita tidak mahu kita menjadi perahu hanyut, bila terhadang barulah berkayuh, kita tidak mahu itu, kita akan membukukan kerja-kerja yang akan dijalankan dalam masa 5 tahun ini dan kalau dapat akan kita tentukan tahun-tahun perlaksanaannya. Dan saya harap kesemuanya akan dapat kita lakukan dalam masa 3 tahun.
Saudara-saudara, inilah tujuan besar kita, dan oleh kerana kerajaan PAS yang akan memerintah dalam masa 5 tahun yang akan datang, akan lebih laju, lebih kuat dan lebih cekap dalam kerjanya, saya berharap kepada saudara-saudara tolong lupakan perbalahan, hadapilah tugas kita ini. Rasulullah saw, pernah berkata, "kalau kamu membuat amal dunia, hendaklah dipandang bahawa kamu akan hidup seribu tahun akan datang, dan kalau kamu membuat amal akhirat maka pandanglah bahawa itu amal yang akhir bagi kamu." Kalau sembahyang, itu adalah sembahyang yang terakhir. Ini juga serupa saudara-saudara, di dalam membuat rancangan mari kita buat seolah akan kekal seribu tahun, tetapi didalam melaksanakan rancangan marilah kita rasa bahawa seolah 5 tahun sahaja lagi kita akan hidup. Ini perlu kita jadikan Motto kita di dalam kerajaan. Dengan anggota yang tinggal sebanyak 18 orang tentulah beban-beban ini akan memberatkan diatas kepada saudara-saudara sendiri, maka saya tidak mahu lagi orang yang akan berkata, "saya tidak sanggup membuat kerja ini, saya mahu jadi jawatankuasa saja, bila mesyuarat panggillah saya, saya akan menjadi hakim boleh atau tidak boleh, kita tidak mahu orang yang menjadi jawatankuasa kali ini, kita mahu petugas-petugas yang akan bekerja, jangan kita saya bersama jawatankuasa, ini bersama jawatankuasa, kerja kita samalah seperti majistret, orang membawa kertas berbeban-beban, bertimbun-timbun didepan kita dan kita bacalah penyata-penyata, mengangguk atau menggeleng terpulanglah kepada kita, nasib kita baik kita angguk, kadang-kadang nasib kita tidak baik kita geleng, ini tidak ada gunanya.
Kita mahu mereka yang boleh berkata kepada Menteri Besarnya, "apa kerja yang boleh saya jalankan?!!. Ini kita mahu, jangan orang yang berkata mahu Jawatankuasa kosong, saya mahu menjadi jawatankuasa, ini kita tidak mahu. Kita tidak kurang tukang angguk, kita tidak kurang tukang geleng, tetapi kita kurang yang membuat apa yang sudah diangguk dan kita kurang orang menghalang apa yang sudah digeleng.
Saudara-saudara yang mulia, saya yakin bahawa satu perubahan besar akan dapat kita lakukan di negeri Kelantan, tetapi dimana perubahan itu bermula saudara-saudara?.
Bila mulanya dan dimana mulanya?
Mulanya pagi ini!!!, dimana mulanya?, di dalam hati saudara-saudara sekelian!!!.
Kalau ia tidak berubah di dalam hati saudara-saudara sekelian, tidak akan berubah tidak akan berjalan sedikit demi sedikit.
Ubahlah!!! cara kita berfikir, ubahlah!!! hati kita, pandanglah bahawa kita ini adalah orang memasuki medan yang lebih sengit perjuangan yang lebih hebat yang memerlukan tenaga yang lebih banyak. Mahu kepada kerja yang lebih banyak, tenaga yang lebih kuat untuk membolehkan cita-cita Islam, cita-cita Melayu terjalan di negeri kita yang kita kasihi ini.
Aduhhh........ lenguh masih berbaki 12 minit 25 saat untuk dihabiskan catatan perkataan demi perkataan Ucapan Prof Zulkifli Muhammad 45 tahun yang lampau kepada MB, EXCO, MP dan ADUN Kelantan, sebelum beliau kembali menemui Tuhannya beberapa jam selepas itu kerana kemalangan jalan raya.
No comments:
Post a Comment