Monday, May 18, 2009

KEBERSIHAN SEBAHAGIAN DARI IMAN

Pemuda dan pemudi ku

"Kebersihan adalah sebahagian dari iman" adalah sebuah maksud hadis.

Dengan itu bererti, apabila seseorang itu sudah masuk iman di dalam hatinya, maka wajiblah ia mengutamakan kebersihan, sebab itulah ada kitab-kitab fekah menghuraikan bab thoharah dan berbagai lagi kupasan mengenai kebersihan di dalam Islam sehingga keperingkat yang detail lagi terperinci.

Persoalannya? apakah kita melencong pemikiran manusia dimuka bumi ini, untuk tidak menumpukan kepada persoalan utama yang paling agung dengan mengungkapkan perkataaan "Apakah usaha menjaga kebersihan itu tidak Islam?" maka dengan itu kita mengabaikan matlamat agung Rasulullah saw diutuskan kemuka bumi ini.

Jikalah persoalan kebersihan sudah Islam, sudah tentu Jepun lebih baik daripada kita kerana Jepun terkenal dengan bersih.
Jika persoalan kemajuan teknologi sudah Islam, sudah tentu Korea lebih Islam daripada kita kerana mereka telah memintas kita dari segi kemajuan teknologi.
Jika persoalan pandai tarik pelaburan sudah Islam, sudah tentu China lebih Islam daripada kita kerana sekarang negara mereka berpusu-pusu pelabor dan pelancong telah datang.

Wahai pemuda dan pemudi ku,

Renungilah dalam-dalam baiah Aqabah Rasulullah saw yang pertama dan kedua yang cukup terkenal dalam catatan sejarah, bertanyalah kepada diri kamu jika sebab hanya kebersihan, jika sebab untuk maju, jika sebab pandai tarik pelaburan, jika sebab kemajuan teknologi yang memang negara Rom dan Farsi diketika itu sudah mencapai tahap tertinggi di zaman itu dalam segala hal sudah tentu tidak akan berlaku baiah 72 orang penduduk Yathrib yang berjalan kaki dan menunggang unta sejauh 410 km, datang berbaiah di malam hari di Mina berdekatan Aqabah. Apalah guna baiah itu jika hanya untuk perkara di atas melainkan ada matlamat Agung yang pasti akan ditentang oleh mereka yang musyrik, fasiq dan munafiq.

Apakah baiah yang agung itu?, yang akhirnya telah mencetuskan satu revolusi ketamadunan kepada umat Islam dan ianya telah runtuh apabila baiah itu telah diabaikan hari demi hari.

Berikut adalah baiah itu.

"Dari Jabir r.a., "Kami bertanya kepada Rasulullah saw., di atas dasar apakah baiah kami?" Sabda Rasulullah saw.

1. "Di atas dasar mesti dengar dan taat kepada aku di masa cergas dan malas"
2. "Di atas dasar bernafkah di masa susah atau senang"
3. "Di atas dasar menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran"
4. "Di atas dasar bangun kerana menegakkan agama Allah swt. dengan tidak menghirau celaan orang yang mencela"
5. "Di atas dasar memberi pertolongan kepadaku apabila aku tiba kepada kamu, kamu mempertahankan aku sebagaimana kamu mempertahankan diri kamu dan anak-anak kamu"

Seterusnya Rasulullah saw berjanji, "Jika kamu melakukan itu, nescaya diberikan untuk kamu SYURGA"

Setelah selesai menyebut perkara-perkara baiah itu dan mereka bersedia untuk melakukan baiah, dua orang dari kalangan orang-orang yang pertama memeluk Islam dari pendudukan Yathrib telah bangun menjelaskan perlu dan besarnya tanggung jawab bai'ah. Salah seorang daripadanya ialah Al-Abbas bin Ubadah bin Nadlan. Beliau berkata; "Adakah kamu tahu di atas dasar apakah kamu berbaiah dengan orang ini (Rasulullah saw)?. Mereka menjawab, "Ya". Dia meneruskan ucapannya: "Sesunggguhnya kamu berbai'ah untuk bersedia bagi berperang dengan yang berwarna merah dan hitam (darah) di kalangan manusia. Jika kamu berpendapat harta benda kamu menerima bencana-bencana, orang-orang yang terkemuka di kalangan kamu akan terbunuh. Maka demi Allah, jika itulah anggapan kamu, maka kamu sia-sia didunia dan sia-sia di akhirat. Dan jika kamu berpendapat bahawa kamu bersetia dengan apa yang kamu diajak kepadanya, bersedia untuk binasanya harta benda dan terbunuhnya orang-orang yang terkemuka kamu, maka ambilah bai'ah ini, maka demi Allah, baik di dunia dan baik diakhirat."

Mereka menjawab, "Kami mengambil keputusan dengan bersedia di atas musibah yang menimpa dan kematian orang terkemuka kami, maka apakah untuk kami (ganjarannya) ya Rasulullah saw kalau kami bersetia dengan itu?.

Rasulullah saw menjawab, "Syurga"

Mereka berkata, "Hulurkan tanganmu"

Rasulullah saw menghulurkan tangannya.

Pemuda dan pemudiku, jika perjuangan kita hanya untuk mencapai seperti yang dicapai oleh Amerika, Jepun, Korea, China, Thailand sudah tentu Rasulullah saw tidak tidak meletakkan baiah sehingga ketahap menggadai nyawa, darah, harta, maruah diri kerana dicela melainkan ada satu matlamat Agung yang jauh lebih besar.

Pemuda dan pemudiku

Sekali lagi aku tekan, kita mesti berusaha untuk menjaga kebersihan, kita mesti berusaha memajukan diri dan negara, kita mesti berupaya mencipta inovasi baru dalam sains dan teknologi, tetapi kita tidak boleh sama sekali mengabaikan atau benci dan marah-marah apabila persoalan matlamat agung dihadapkan kepada kita untuk diberi keutamaan.

Majulah, bersihlah, laburlah, tetapi janganlah tenggelam dalam perkara itu sehingga matlamat agung baiah Aqabah yang berjaya meletuskan revolusi ketamadunan manusia diabaikan sehingga akhirnya kita, jadi Jepun pun tidak, jadi Korea pun tidak, jadi Mat Salleh hidung kepek, jati diri Islam makin tergadai, akhlak Islam beransur luput, kehidupan Khulafaq Arasyidin jauh panggang dari api, terkontang kanting tanpa arah mengikut apa sahaja yang telah lama terhidang.

No comments: