UMNO dah buat report (polis) berkenaan pemimpin DAP (non-muslim) membaca ayat Quran dalam ucapan dan ceramah mereka. UMNO marah kononnya perbuatan itu mencemarkan kesucian Al-Quran. Al-Fadhil ulama' UMNO pun bermadah bahawa orang kafir tidak dibolehkan membaca ayat Quran. Pemimpin DAP dituduh mempermainkan kitab suci umat Islam. Pemimpin PAS dan PKR beragama Islam dituduh merelakan Quran dihina dan dipermainkan.
Dari sudut benar atau salah, memanglah UMNO salah. Mereka hanya membuktikan kebodohan apabila membangkitkan isu ini. Tetapi dari sudut kesannya kepada pengundi Bukit Gantang, kita tak boleh pandang remeh. Orang Melayu ada ketikanya amat sensitif tentang maruah agama. UMNO yang tak pernah peduli tentang agama itu sentiasa licik menggunakan isu agama untuk membunuh imej pihak lawan. PAS ditakuti dan dibenci oleh pengundi non-muslim sejak dulu kerana UMNO berjaya melekatkan imej agama yang ganas dan kolot kepada PAS. Alhamdulilah penipuan UMNO itu beransur terbongkar kebelakangan ini. Sembahyang dua imam, amanat Hj. Hadi, taliban dan anti kemajuan adalah contoh eksploitasi isu agama yang berjaya mengukuhkan UMNO.
Oleh itu PR khususnya PAS tidak wajar terlalu defensif. Isu DAP baca ayat Quran ini perlu difahamkan secepat mungkin dalam tempoh satu hari yang terakhir ini.
Pemimpin DAP yang membaca ayat Quran itu, juga membacakan terjemahannya yang betul seperti teks terjemahan yang asal. Mereka membaca ayat-ayat itu secara serius dan dengan maksud yang nyata. Bukan secara bermain-main atau dengan gaya memperolok-olokkannya. Tiada nas Quran atau Hadith yang melarang non-muslim membaca ayat Quran. Logiknya pun, kalau mereka ditegah membaca Al-Quran maka bagaimana kita nak menyeru mereka kepada Islam sedangkan sumber utama Islam ialah Al-Quran. Umar Al-khattab membuat keputusan memeluk Islam setelah dia membaca ayat Quran surah Taha di rumah adiknya. Ketua Biro Penyelidikan Majlis Gereja Sedunia, Garry Miller memeluk Islam setelah bertahun-tahun membaca dan mengkaji ayat Al-Quran. Sekarang dia adalah pendakwah yang aktif dengan nama baru Abdul Ahad Omar. Beribu-ribu pelajar non-muslim di sekolah menengah negara ini belajar mata pelajaran Pendidikan Islam sehingga ramai yang lulus cemerlang A1 bagi subjek Pendidikan Islam SPM. Pelajar-pelajar itu belajar Al-Quran dan membacanya selama bertahun-tahun. Mengapa kerajaan UMNO tidak menghalang mereka?
Sebenarnya UMNO hanya cuba menggunakan isu ini untuk mengelirukan pengundi atas pagar. Mereka cuba menyemai perasaan membela kesucian Al-Quran secara songsang. Al-Quran memang suci. Kesucian Al-Quran wajib dipertahankan. Perlakuan mempermainkan Al-Quran mesti ditentang habis-habisan. Hampir semua umat Islam akan terguris hati jika Al-Quran diperolok-olokkan. Maka UMNO pun cuba memesongkan fakta peristiwa pemimpin DAP membaca ayat Quran itu. UMNO cuba menggambarkan perlakuan pemimpin DAP itu sebagai tindakan menghina Quran. UMNO cuba membentuk persepsi bahawa PAS bacul kerana membiarkan non-muslim mempermainkan ayat Allah.
Kita mesti beritahu pengundi tentang fakta sebenar peristiwa ini. Pemimpin DAP baca ayat yang sebenar. Pemimpin DAP baca terjemahan yang sebenar. Pemimpin DAP mengaplikasi maksud ayat-ayat yang dibaca itu secara bertepatan dengan maksud yang sebenar. Maka tak ada apa-apa yang salah.
Kita mesti beritahu pengundi bahawa kita tidak berhak menghalang non-muslim membaca ayat Quran selagi ia bukan bertujuan mempermain atau memperolokkannya. Kita perlu betulkan persepsi pengundi tentang Quran, Islam dan dakwah. Bantulah pengundi sehingga mereka dapat melihat betapa dakwah Islam mestilah berkait dan bersumberkan Al-Quran. Apabila non-muslim yang berkawan dengan kita sudah mula mahu membaca Al-Quran, itu merupakan antara kejayaan awal dakwah kita. Maka sepatutnya kita bersyukur apabila mereka tampil dikhalayak ramai membacakan ayat Quran. Mudah-mudahan lambat laun mereka akan menerima hidayah untuk menjadi muslim.
Kita juga mesti fahamkan pengundi bahawa yang menolak Al-Quran ialah UMNO. Islam UMNO sebagai sebuah kerajaan hanyalah Islam syiar. Islam mereka hanya pada masjid dan sekolah agama. Islam mereka hanya pada pejabat agama dan tengok anak bulan. Islam mereka hanyalah pada pusat Islam dan pusat pungutan zakat. Islam mereka hanyalah pada sambutan maulidur rasul dan sambutan maal hijrah.
UMNO tak peduli pada halal haram yang ada dalam Quran. UMNO mempersetankan ayat Quran tentang aurat. UMNO tak pedulikan ayat Quran tentang riba dan rasuah. UMNO menghina ayat Quran tentang hudud dan qisas. UMNO memandang sinis ayat Quran tentang tarbiah dan tazkirah. UMNO mempersendakan ayat Quran tentang khilafah. UMNO mentertawakan ayat Quran tentang siasah dan daulah. Pendek kata, UMNO memusuhi Al-Quran. Kitab suci itu adalah musuh UMNO.
Petikan dari laman disini
No comments:
Post a Comment