Sunday, August 5, 2012

16 RAMADHAN ANTARA TARIKH ISRAK/MIKRAJ RASULULLAH SAW

Antara pendapat menyebut bahawa pada 16 Ramadhan iaitu setahun sebelum Hijrah, Rasulullah Saw atas perintah Allah, melakukan perjalanan Israk Mikraj. Israk Mikraj adalah perjalanan dari Mekah ke Baitul Maqdis dan kemudian, dari Baitul Maqdis, Rasulullah naik ke langit dengan kekuasaan Allah Swt, semua perjalanan ini dilakukan Rasulullah hanya dalam satu malam.

Tarikh sebenar berlakunya peristiwa hebat itu masih lagi menjadi perselisihan di kalangan ulama. Ada yang berpendapat ia berlaku sebelum menjadi Rasul. Ia merupakan pendapat yang janggal. 

Majoriti ulama berpendapat ia berlaku selepas menjadi Rasul. Ia diperkuatkan oleh banyak hadis yang sahih. Seterusnya mereka berbeza pendapat lagi tentang tahun kejadian selepas kebangkitan Nabi sebagai Rasul samada tahun ke 13, 12, 10 atau ke 8 KeRasulan. 

Begitu juga bulan samada bulan Safar, Rabi`ul Awal, Rabi`ul Akhir, Rejab, Sya`ban, Ramadhan, Syawal atau Zulhijjah. 

1. Menurut Ibn Sa`ad dan Ibn Hazim ia berlaku setahun sebelum hijrah. Hijrah berlaku pada akhir Safar dan Awal Rabi`ul Awal. Ini bererti peristiwa ini berlaku pada bulan Safar atau Rabi`ul Awal.

 2. Menurut Ibn Jauzi, 8 bulan sebelum Hijrah. Ia bererti pada bulan Rejab. 

3. Menurut Abu al-Rabi` bin Sali, 6 bulan sebelum Hijrah. Ia bererti pada bulan Ramadhan 

4. Menurut Ibrahim al-Harbi, dan ditarjihkan oleh Ibn al-Munir dalam Syrah al-Sirah oleh Ibn `Abd al-Barr, ia berlaku 11 bulan sebelum hijrah iaitu pada bulan Rabi`ul Akhir 

5. Menurut Ibn `Abd al-Barr, Ia berlaku 13 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Safar. 

6. Menurut Ibn Faris, ia berlaku 15 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Zulhijjah. 

7. Menurut al-Sudiy sebagaimana diriwayatkan oleh Tabari dan Baihaqi dan di pegang oleh al-Waqidi, 17 bulan sebelum Hijrah. Ia bererti ia berlaku pada bulan Syawal 

8. Menurut Ibn Qutaibah dan dihikayatkan oleh Ibn `Abd al-Barr serta disebut oleh Ibn Sa`ad daripada Ibn Abi Sirah, ia berlaku 18 bulan sebelum hijrah iaitu pada bulan Ramadhan 

9. Menurut riwayat Ibn `Abd al-Barr dan dipegang oleh Nawawi dalam al-Raudah, ia berlaku pada bulan Rejab 

10. Menurut riwayat Ibn al-Athir, ia berlaku 3 tahun sebelum hijrah. 

11. Menurut riwayat `Iyad dan dituruti oleh Qurtubi dan Nawawi daripada al-Zuhri, ia berlaku 5 tahun sebelum hijrah. `Iyad berhujah bahawa tiada perselisihan lagi bahawa Khadijah pernah solat bersama baginda saw selepas kefarduan Solat diturunkan. Juga tiada yang berselisih bahawa Khadjah mati sebelum hijrah samada 3 tahun atau 5 tahun sebelum hijrah. Tiada perselisihan juga bahawa kefarduan solat berlaku pada malam Isra’. Namun, hujahnya boleh diteliti kembali kerana menurut al-`Askari Khadijah mati 7 tahun sebelum hijrah. Ada pendapat menyatakan 4 tahun sebelum hijrah. Ibn al-A`rabi menyatakan beliau mati tahun berlakunya hijrah.

12. Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi pula berpendapat, bahawa riwayat mengenai peristiwa Israk dan Mikraj terdapat banyak pembohongan dan riwayat palsu yang boleh menggugat kedudukan iman, kerana peristiwa tersebut tidak berlaku pada bulan Rejab berdasarkan penjelasan al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani, di mana ia tidak berlaku pada malam 27 Rejab kerana ia tidak disokong dengan hadis-hadis Sahih atau pun kata-kata Sahabat yang Sahih. 

Kebiasaan kita di Malaysia memilih 27 Rejab sebagai tarikh Israk dan Mikraj Rasulullah saw bersandarkan  pandangan Imam an-Nawawi daripada mazhab Imam as-Syafie dan Imam Abu Ishaq

Ada 12 pandangan perselisihan ulamak muktabar mengenai tarikh dan tahun Israk Mikraj yang di catatkan di atas. 

Hari ini 16 Ramadhan, adalah salah satu tarikh dikatakan berlakunya kejadian yang menakjubkan itu!

Pengajaran kepada kita, apa pun perselisihan janganlah sampai menyesatkan pegangan dan pandangan pihak lain.

Sumber rujukan: 

Peristiwa Israk Mikraj

Israk Mikraj

Perselisihan Tarikh Israk Mikraj

No comments: