Oleh : Mohamed Hanipa Maidin
Cuba bayangkan jika Rasulullah s.a.w ditakdirkan Allah masih hidup di zaman ini. Tidakkah kita fikirkan bahawa Utusan dan Umno mungkin juga akan menemplak tindakan Rasulullah s.a.w yang membenarkan orang-orang Kristian Najran masuk ke masjid dan bersembahyang di Masjid Nabi.
Ahli Parlimen DAP Y.B Teo Nie Ching diserang-serang habis-habisan kerana berkunjung ke Surau Al-Huda Kajang untuk menyampaikan bantuan membaiki pagar surau tersebut. Beliau telah dijemput oleh jawatankuasa surau untuk menyampaikan ucapan ringkas.
Insiden itu bagaimanapun dieksploitasi media arus perdana dan Umno dengan mendakwa ia satu kesalahan dan mencemar imej Islam. Kerana seronok memfitnah di bulan Ramadhan , Umno dan Utusan tidak peduli seerah Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang berjaya menonjolkan ruh tasamuh ( toleransi ) yang amat tinggi apabila berdepan dengan golongan non muslim .
Sebagai satu contoh toleransi yang Rasulullah s.a.w tonjolkan adalah sepertimana kisah yang dinyatakan oleh Ibn Ishak di dalam seerah berkenaaan perjumpaan Baginda dengan golongan Kristian Najran. Ibnu Ishak meriwayatkan golongan Kristian ini telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w di Madinah dan mereka bejumpa Rasulullah s.a.w di Masjid Nabi. Apabila tiba waktu asar golongan Kristian ini bangun ingin menunaikan sembahyang mereka dan ada para sahabat yang cuba menegah mereka. Rasulullah sebaliknya mengatakan “ Da’auhum ! ( biarkan mereka ) .
Rasulullah s.a.w membenarkan golongan Kristian itu bersembahyang mengikut cara mereka di dalam masjid Nabi !! Akhirnya mereka bersembahyang dengan mengadap di sebelah timur ( lihat buku tulisan Yusuf Al-Qardhawi “ Religious Minority from Shariah’s Perspective ).
Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Dewan Ulama Pas,Dato Harun Taib iaitu mereka yang arif tentang Islam menyatakan tidak salah orang bukan Islam memasuki masjid. Jika Rasulullah s.a.w yang digambarkan oleh Al-Quran sebagai qudwatun hasanah ( role model ) membenarkan orang bukan Islam bersembahyang cara mereka di Masjid Nabi siapakah Utusan dan Umno yang ingin melarang Ahli Parlimen DAP dari memasuki surau Al-Huda, Kajang. Umno dan Utusan mendakwa kononnya pihak Surau Al-Huda membenarkan Nie Ching memberikan tazkirah sedangkan beliau adalah orang bukan Islam dan tidak menutup aurat.
Sebenarnya ini hujah makan tuan. Baiklah katakan , untuk tujuan berhujah, kami terima pendapat Umno bahawa Nie Ching tidak sepatutnya bertazkirah kerana beliau adalah orang bukan Islam dan tidak menutup aurat . Jika itu hujah Umno kita juga berhak bertanya kenapakah semasa Umno menjadi Kerajaan di Selangor dahulu para alim ulama’ seperti Tuan Guru Nik Aziz, Dato’ Dr Harun Din , Almarhum Dato Ishak Bahrum dan beberapa alim ulama' yang lain juga dilarang memberikan tazkirah oleh pemimpin Umno .Bukankah Tuan Guru Nik Aziz, Dato’ Dr Harun Din , Almarhum Dato Ishak Bahrum adalah orang Islam dan bukankah mereka juga menutup aurat !
Umno katakan Nie Ching tidak menutup aurat ketika bertazkirah . Kita ingin bertanya Umno , adakah hukum atau perintah menutup aurat hanya untuk orang Islam atau juga terpakai untuk orang bukan Islam ? Jika menutup aurat hanya wajib untuk orang Islam sahaja kenapakah kita harus mewajibkan ke atas orang bukan Islam dalam perkara yang Allah tidak wajibkan ke atas mereka. Bukankah pendirian kita bahawa orang bukan Islam yang ingin berkunjung ke masjid mestilah berpakaian sopan. Saya tidak nampak Nie Ching berpakaian tidak sopan hanya kerana beliau tidak bertudung.
Jika Umno begitu serius tentang isu menutup aurat mengapakah Umno tidak ambil peduli sebahagian besar isteri pemimpin Umno dan sesetengah pemimpin wanita dan Puteri Umno yang masih tidak menutup aurat !
Apabila Ahli Parlimen Selayang, Y.B William Leong Jee Keen menyampaikan sumbangan kepada wakil Masjid al-Taqwa, Selayang akhbar Mingguan Malaysia menulis dengan tajuk berikut “ Ahli Parlimen Selayang pula “ bertazkirah” Kesucian Masjid terus dinodai” ( Mingguan Malaysia 29/8/2010 m/s 3 ) . Akhbar itu melaporkan pengarah JAIS Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ruang solat utama kerana mereka tergolong dalam berkeadaan hadas besar.
Saya tidak pelik jika JAIS mengambil pendirian begitu kerana bagi saya saki baki pengaruh Umno masih tebal dalam JAIS. Bukankah JAIS di zaman BN dahulu sibuk mengambil tindakan kepada AJK masjid yang dilihat tidak cenderung kepada Kerajaan BN.
Saya mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam isu tersebut kerana saya mewakili lebih kurang 7 buah masjid dan surau yang diganggu oleh JAIS ! Untuk Khusrin kita ingin bertanya soalan berikut : Adakah Rasulullah s.a.w tidak tahu orang-orang Kristian Najran berhadas besar semasa Rasulullah s.a.w membenarkan mereka masuk Masjid Nabi dan bersembahyang di Masjid Nabi ?
Apabila Ustaz Zakaria Ahmad mendoakan di dalam khutbah agar Lim Guan Eng diberi hidayah akhbar proksi Umno memfitnah beliau dengan mengatakan doa Ustaz Zakaria berbunyi begini “ Ya Allah , Ya Tuhanku, Kau selamatkanlah pemimpin kami Lim Guan Eng… ( lihat Mingguan Malaysia 22/8/2010 m/s 5 ). Malahan ada disiarkan di dalam TV bagaimana seseorang membuat komen bahawa khutbah tersebut boleh dikatakan tidak sah kerana tidak ada doa kepada Yang Dipertuan Agung ( YDPA ).
Wow ! sejak bila doa kepada YDPA menjadi rukun khutbah. Habislah semua khutbah Nabi tidak sah kerana di zaman Nabi YDPA tidak ada !
Mengapakah Umno terus menerus memainkan isu seperti ini ?
Jawapannya mudah sekali iaitu amat mudah memainkan emosi rakyat dengan isu-isu sensasi ini. Percayalah Umno akan terus menerus memainkan isu seperti ini kerana bagi Umno undi adalah segala-galanya. Bagi mendapatkan undi matlamat menghalalkan cara. Umno tidak akan peduli sama ada isu yang dimanipulasi itu selaras dengan syara’ atau tidak.
Lihatlah pendirian Umno dalam isu kalimah Allah di dalam akhbar the Herald. Emosi mengatasi ilmu. Lihat pula dalam isu kuil dan memijak kepala lembu . Sekali lagi perasaan mengatasi ilmu pengetahuan.
Lihat pula isu orang bukan Islam masuk ke dalam masjid. Umno tidak peduli seerah dan sunnah Rasulullah s.a.w .
Lihat pula isu khutbah. Umno seronok memfitnah di dalam bulan yang penuh barakah.
1 comment:
mereka buat2 lupa, bapa saudara rasullah iaitu abu talib enggan ucap sahadah.
masjid yg dia orang masuk tu pun cina yang buat.
Post a Comment