Monday, July 19, 2010

Hanya Mengisi Kekosongan Jawatan Yang Ditinggalkan......... ?

DUNIA PENTAS UJIAN

Pemuda dan Pemudiku.


Kita sudah diberi beberapa buah negeri untuk kita memerintah. Jika kamu yang masih muda atau telah menjadi tua seperti aku, mungkin masih ingat pesanan ku kepada kamu di dalam usrah, tamrin, tazkirah, qiamullail, mesyuarat agung, muktamar, kolokium, wacana, sidang meja bulat, sembang kedai kopi, perjumpaan tertutup, ijtimak, RAPAT Pemuda dan banyak lagi program rasmi dan tidak rasmi berbunyi begini:-

"Medan pemuda ini adalah medan yang paling baik untuk kita berlatih, maka gunakanlah kesempatan yang diberikan oleh Allah ini untuk berlatih mentadbir dan memerintah negeri dan negara dengan acuan Islam yang ditunjuk oleh Muhammad Rasulullah saw.

Keadilan dan amanah adalah amat mudah untuk kita perkatakan ketika kita belum memerintah, maka adil dan amanahlah kamu dari sekarang, iaitu ketika kamu masih memegang jawatan hanya sebagai AJK pemuda PAS Cawangan. Jika kamu tidak amanah dan adil dari sekarang dengan ungkapan seperti,

"Ahhh....... seringgit je (duit jamaah yang disumbangkan oleh ahli), bukan banyak cincailah" ketika memegang jawatan peringkat Pemuda Cawangan.

Maka apabila memegang, jawatan peringkat Cawangan pula, sudah tentu kamu akan berkata, "Ahh....... sepuluh ringgit je
(duit jamaah yang disumbangkan oleh ahli), bukan banyak cincailah".

Setelah itu
apabila kamu memegang jawatan peringkat Pemuda Kawasan pula, sikap yang sama akan berlaku dengan ungkapan, "Ahh....... 100 ringgit je (duit jamaah yang disumbangkan oleh ahli), bukan banyak cincailah".

Kemudian kamu memegang pula jawatan peringkat Kawasan sikap kamu akan tetap sama, dengan kata-kata,
"Ahh....... 1,000 ringgit je (duit jamaah yang disumbangkan oleh ahli), bukan banyak cincailah".

Seterusnya kamu memegang pula jawatan di peringkat Negeri atau Pusat sikap kamu jika tidak berlatih dari mula dalam soal adil dan amanah ini, maka saya yakin perangai kamu akan terbawa-bawa dengan ungkapan,
"Ahh....... 10,000 ringgit je (duit jamaah yang disumbangkan oleh ahli), bukan banyak cincailah".

Akhirnya, jika kita mungkin diberi peluang oleh Allah untuk memerintah negeri atau negara, jika tidak dilatih dari sekarang sifat adil dan amanah secara praktikal dan bukan teori maka saya bimbang sikap yang cincai dengan seringgit wang jamaah akan terbawa mencincaikan wang rakyat dan amanah rakyat."

Itulah antara, isi ucapan yang sering aku peringatkan kepada kamu ketika aku hidup di dunia dahulu.

Nah!, sekarang aku melihat Allah Azzawajalla telah memberikan kepada kita amanah itu. Berhati-hatilah dengan Adil dan Amanah, jangalah cincai.

Kita harus sedar, setelah kita memerintah sudah tentu wang hasil mahsyul negeri dan negara bukan wang kita (Dalam bahasa kasarnya: Bukan wang mak bapa kita) akan melimpah ruah berada ditangan kita dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sebaliknya wang itu adalah wang rakyat. Kita hanya pemegang amanahnya. Setiap sen dan kupang wang rakyat bukan hanya akan diintai oleh SPRM tetapi akan dinilai, diintai, bahkan dicatat dan dirakam oleh malaikat yang sentiasa mengawasi kita tanpa kita sedari.

Kadang-kadang kita teralpa, peraturan dahulu yang sedia ada untuk melanyak duit rakyat tetap dipakai untuk terus kita melakukan perkara yang sama, dengan alasan memang ada dalam peraturan. Sedang peraturan itu dibuat oleh mereka yang kita tentang dahulu. Kadar imbuhan juga dibuat oleh mereka untuk melanyak duit rakyat kita teruskan dengan penuh selesa, tanpa bertanya mengapa terlalu banyak sangat yang diperolehi, yang sebelum ini kadang-kadang hidup di bawah paras kemiskinan.

Ingatlah, kejayaan merebut banyak kerusi dalam pilihanraya bukan bererti kita sudah adil dan amanah. Tetapi pembuktian adil dan amanah ialah apabila kita melaksana amanah dan keadilan itu setelah memerintah, secara jelas dan nyata.

Bukan sahaja rakyat, ahli dan SPRM yang memerhatikan kita, namun ingatlah malaikat dan Allah Azzawajalla yang paling sempurna mengawasi kita.

"Tugas kita bukan hanya mengisi kekosongan jawatan yang ditinggal oleh UMNO/BN, tetapi tugas kita adalah melakukan Amal Maaruf, Nahi Mungkar demi mencapai Keadilan dan Amanah terhadap seluruh rakyat."

Seribu alasan boleh diberikan. Tetapi apakah alasan itu boleh diberikan ketika berhadapan dengan Rabbul Jalil?.


No comments: