Wednesday, April 28, 2010

Kamu Islam? Islam Mazhab Apa?

Tuhan Yang Menguasai Hari Pembalasan.


Pemuda dan Pemudiku.

Inilah Ajaran Islam.

1. Sirah Rasulullah saw. dalam peperangan Badar, Nabi Suci saw. yang maksum itu telah di tegur (ditanya) oleh sahabatnya, kerana mengambil tempat pertahanan di belakang sumber air, yang kemungkinan akan dikuasai oleh pihak musuh. Lalu akhirnya Rasulullah saw. akur dengan nasihat sahabatnya.

2. Saidina Omar Al-Khatab, ditanya oleh rakyat biasa mengenai kain yang dibuat pakaian dari harta ghanimah yang mungkin diambil lebih oleh beliau. Saidina Omar menerima pertanyaan itu dengan baik dan menjelaskan bahawa kain beliau sebahagiannya dihadiahkan oleh anaknya yang juga mendapat kain dari harta ghanimah tersebut.

3. Ketika peristiwa Fathu Makkah, Rasullullah saw telah memproklamirkan satu peristiharan yang bermaksud, "Wahai kaum Quraisy! Sesungguhnya Allah telah menghapuskan kemegahan jahilliyah daripada kamu dan menggagung-agungkan datuk nenek kamu. Manusia adalah daripada Adam dan Adam pula diciptakan daripada tanah" kemudian baginda membaca surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:-

"Wahai manusia!, Sesungguhnya kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."

4. Ketika Fathu Mekah ini juga, menyimpan satu cerita menarik. Kisah dimana seorang lelaki telah datang dalam keadaan menggigil kerana ketakutan, lalu Rasulullah saw bersabda kepadanya: "Bertenanglah! Aku bukan Raja Zaman Jahiliyah. Aku adalah seorang anak kepada seorang perempuan Quraisy yang memakan daging kering."

Ada beribu contoh yang boleh diketengahkan mengenai ajaran Islam yang telah diterapkan menjadi penghayatan dalam kehidupan seorang mukmin dalam kehidupan sebagai anggota masyarakat iaitu manusia adalah sama tarafnya bezanya hanya disudut taqwa, Islam mengajar manusia hidup berakhlak hormati menghormati dan berkasih sayang. Namun Islam tidak pernah mengajar untuk seorang manusia lain tunduk melutut kepada seorang manusia lain sehingga ketahap tidak boleh bertanya dan menegur. Jika ianya masih berlaku dalam kehidupan masyarakat Islam, maka ia bukan dari ajaran Islam yang sebenar dan tindakan pembetulan perlu dilakukan agar menepati ajaran Nabi Suci.

Oleh itu, renunglah sedalam-dalamnya apakah kita akan menungkat dunia ini, ataupun akan hidup sekurang-kurang 200 tahun lagi, sudah tentu tidak mungkin. Kita semua akan mati, bila mati, mayat (atau lebih senang disebut bangkai) kita akan membusuk, jika dibiarkan tanpa ditanam atau dibakar ia akan membusuk dan meloyakan. Tidak ada siapa yang akan menghampiri jasad kita lagi ketika itu walaupun mungkin kita dari keturunan darah ningrat.

Amat malang jika kita mengaku Islam, tetapi pengamalan kita telah mendewa manusia sehingga ketahap tidak boleh disoal dan dipertikaikan. Kerana mana mungkin sekarang ini ada manusia maksum seperti Rasulullah saw. Sedang Rasulullah saw yang maksum pun telah di tegur oleh sahabatnya, inikan pula kita.

Jika kita masih mengaku Islam, maka kita Islam dari Mazhab apa? Tidak ada mana-mana ajaran mazhab dalam Islam yang mengajar untuk mengkastakan manusia. Tidak ada mana-mana mazhab yang tidak membenarkan soal jawab ke arah kebaikan untuk meningkat prestasi dan mutu kerja. Bahkan setiap imam mazhab amat mementing soal jawab agar pemikiran makin bertambah matang. Bukankah Rasulullah pernah bersabda, yang bermaksud, "Agama itu nasihat".

Tiba-tiba ada segerombolan manusia, menghalang soal jawab di dalam tempat yang sepatutnya.

Kepada gerombolan itu, eloklah ditanya kepada mereka.

"Kamu Islam?"

Kalau mereka menjawab, "Ya, saya Islam".

Maka eloklah kita bertanya kepada mereka, "Kamu Islam Mazhab apa, sampai nak soal pun tak boleh ni... ?".

Kalau dia tidak mahu jawab, maka kita boleh menjawab sendiri, "Mazhab UMNO dan Mazhab kaum kerabat kut."

Syabas dan tahniah kepada WR. Mohd Nasir Mustaffa terus perjuangan untuk kembali kelandasan Siratholmustaqim.

Nota: WR = Wakil Rakyat

Thursday, April 22, 2010

DAP DAHULUI PARTI DALAM PAKATAN RAKYAT


Pemuda dan pemudiku petugas pilhanraya.

Seluruh petugas pilihanraya PAS dari berbagai negeri yang dihantar mengikuti kontijen negeri dan kawasan masing-masing mungkin sedang sebok berkempen di Hulu Selangor sekarang.

Walaupun sebok, cubalah teliti jadual dibawah mengenai Pendaftaran baru pemilih oleh parti-parti tahun 2009 dan sehingga Februari 2010.

Senarai ini tidak termasuk pemilih yang mendaftar sendiri di pejabat POS, Pejabat SPR atau yang SPR tolong daftar.

Untuk tahun 2009 parti Barisan Nasional (BN) telah berjaya mendaftar melalui PPS mereka ialah sebanyak 26,962 orang dan tahun 2010 ialah 5,490 orang, oleh itu jumlah keseluruhan sehingga Februari 2010 ialah bersamaan 32,452 orang.

Sementara untuk parti Pakatan Rakyat (PR) telah mendaftar pemilih mereka melalui petugas Penolong Pendaftar Sementara (PPS) untuk tahun 2009 ialah sebanyak PAS 17,022, PKR 3,331 dan DAP 17,790 bersamaan 38,143 orang. Dicampur pula sehingga Februari 20101 iaitu PAS 2,379, PKR 1,320 dan DAP 3,182 menjadikan jumlah keseluruhan sehingga 2010 ialah 44,967 orang.

Jika inilah corak pemilih yang berlaku, iaitu pemilih yang berdaftar melalui PPS parti masing-masing maka untuk pemilih 2009 sehingga Feb 2010 Pakatan Rakyat telah memenangi dengan majoriti 12,515 undi!!!.

Namun apakah hakikat ini akan berlaku, Apakah komponen BN akan berdiam diri melihat situasi ini. Apakah tiang gol akan dilarikan oleh pengadil? segala kemungkinan akan berlaku.

Namun perkara yang lebih menarik ingin aku kongsi bersama ialah konsistennya kerja-kerja DAP dalam soal daftar pemilih ini sejak dahulu ketika mereka melancar Projek Tanjung 2 sehingga sekarang. Kerja mereka istiqamah. PAS Kedah telah belajar dari DAP dalam soal daftar pemilih sejak mereka melancarkan projek Tanjung 2 itu. (Teringat aku kepada Allahyarham Cikgu Mustaffa Long, yang berbincang dihujung tahun 1980an dengan projek di Kedah yang kekal hingga sekarang...... Al-Fatihah untuk beliau)

Jadual ini sengaja di ketengahkan, Untuk renungan bersama pemimpin Jabatan Pilihanraya Negeri-Negeri, cubalah lihat hasil kerja kalian semua, terutama PAS Terengganu, apa sudah jadi???.

Bolehkah menang? Atas kertas BN telah mendahului dengan majoriti 6,885.

PAS Selangor pun agak berat juga tu, baru boleh daftar hanya 1,170 orang untuk tahun 2009.

Jadual disebelah di berikan urlnya oleh Ustaz Nasir, Ahli Parlimen Padang Terap semasa mesyuarat Badan Perhubungan PAS Kedah baru-baru ini. Untuk link ke The Edge yang menyiar jadual di atas sila klik di sini

PAS Kedah bukan lagi perlu bercakap atas negeri, tetapi perlu bercakap atas Unit Peti Undi, bahkan cawangan agar berusaha mendaftar seluruh ahli dan penyokong Pakatan Rakyat untuk memastikan Afdal yang Semporna itu tidak akan sempurna lagi selepas ini.

Apa salahnya perkara yang baik, kita tirulah walaupun dari DAP. Jangan segan untuk mengatakan sejak dahulu kita belajar dari DAP dalam soal daftar pemilih ini. Jangan segan mengakui mereka lebih terkedepan sejak lama dulu dari kita dalam soal daftar pemilih ini.

Kita hebat dalam soal mengubah minda pengundi secara yang sistematik dengan cula undi , PKR hebat dalam mengenengahkan isu-isu besar dan DAP hebat dalam memfokus tempat-tempat yang akan dimenangi melalui daftar pemilih.

Yang aku bimbang SPR hebat dalam mengubah peraturan pilihanraya agar BN terus kekal berkuasa, mungkin bila tengok perkembangan sihat rakyat mahu mendaftar melalui PAS, DAP dan PKR maka SPR akan jadi tak sihat untuk cadangkan pula daftar terus, atas rekaan alasan yang berbagai, sedangkan masa kita minta dulu mereka tak buat kerana masa itu keadaan mungkin tidak seperti tahun 2009 dan 2010.

Oleh itu, aku cukup optimis jika tidak ada apa kegelinciran PKR akan menang di Hulu Selangor berdasar mood pemilih yang tersurat dalam jadual diatas.

Jumpa di sana!!!

Wednesday, April 21, 2010

Dr. Mahathir Sanggah Dasar Najib Menyokong Amerika

Berikut tulisan Dr Mahathir tanpa edit dari blog beliau:-

1. Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berjanji akan tukar (change) dasar-dasar Amerika Syarikat.

2. Tetapi jauh daripada menukar Obama sudah tambah tentera Amerika di Iraq dan Afghanistan. Kem tahanan Guantanamo pun masih diteruskan.

3. Tetapi kita sudah tukar. Dahulu kita pertahan negara-negara yang ditindas Amerika Syarikat. Sekarang kita sokong Amerika Syarikat menindas Iran.

4. Kononnya kerana Iran hendak membuat senjata nuklear. Kononnya dunia akan diancam oleh Iran dengan perang nuklear. Setakat kita tahu yang mengancam ialah Amerika Syarikat dan Israel. Dan Iran menjadi sasaran mereka.

5. Amerika Syarikat mempunyai 10,000 nuclear warhead. Israel mempunyai beratus senjata nuklear.

6. Yang sudah guna senjata nuklear ialah Amerika Syarikat dan Israel bukan sahaja di Hiroshima tetapi di perang Teluk dan di Gaza. Mereka guna "depleted uranium" daripada bahan nuklear. Kita relakan. Secara rasmi kita tidak protes.

7. India punyai senjata nuklear. Begitu juga Pakistan.

8. Kenapa Iran tidak boleh? Gilakah Iran hendak lancar perang nuklear dengan dua biji bom nuklear? Amerika Syarikat, Rusia dan Israel sudah tentu akan balas serangan Iran dengan 25,000 bom dan roket nuklear yang dimiliki mereka. Iran akan hancur dan hilang daripada muka bumi ini.

9. Jika India, Pakistan, China, Peranchis, Britain, Amerika Syarikat dan Israel boleh memiliki senjata nuklear kenapa Iran tidak boleh?

10. Sekatan sanction sudahpun dikenakan keatas Iran. Kita tidak membantah. Tetapi kita tidak pernah sokong sanction.

11. Tetapi sekarang duta kita dipanggil balik untuk disoal kenapa tidak sokong Amerika.

12. Dasar-dasar lama memang patut dihapuskan. Tetapi inikah dasar baru kita?

13. Maaf ini aku pula yang tambah.... "Saya menyeru seluruh pengundi Hulu Selangor mengundilah parti selain BN, untuk memberitahu pemimpin BN, kita adalah anti penindasan terhadap sesama manusia dan negara lain.

Sunday, April 18, 2010

KONTIJEN PAS KEDAH BERTUGAS DI KAMPUNG GEDANGSA

Seluruh Petugas Pilihanraya Kecil P094 Hulu Selangor yang ingin terlibat dalam pilihanraya kecil P094 Hulu Selangor diharap dapat mendaftar diri di UPU Gedangsa. Kampung Gedangsa ini adalah sebuah Kawasan Rancangan Felda dan mempunyai sekitar 2,000 orang pengundi.

Bila sebut Felda, teringat Pilihanraya Kecil Parlimen Padang Terap dan Persitiwa Lubok Merbau, yang mencatat sejarah hitam, terkorban syahidnya Othman Talib ditangan samseng UMNO. Hj Suhaimi Said ketika itu masih bersama PAS, telah menulis buku mengenainya dan diharamkan ketika itu.

Tetapi kali ini, kita petugas PAS yang akan berkampung di Gedangsa bukan bercadang untuk bergaduh dan ambil balik apa yang depa buat kat kita dulu, Ingatlah kita datang adalah semata-mata untuk mengajak sahabat-sahabat kita di Gedangsa memberi undi kepada Pakatan Rakyat dan menolak APCO Yahudi yang telah diambil menjadi penasihat BN. Gunakanlah seluruh strategi dan pendekatan terbaik yang telah dipraktikan selama ini di dalam pilihanraya umum dan kecil sepanjang sejarah perjuangan kita.

Lebih-lebih lagi situasi di Selangor ialah Negeri Pakatan Rakyat memerintah, dan telah melakukan berbagai kebaikan untuk rakyat. Semua kebaikan itu perlu dikenjahkan oleh seluruh petugas kita kepada rakan dan sahabat Felda kita.

Kontijen PAS Kedah diketuai oleh Kapt (B) Zamri Ibrahim (013-5322316), bersama anak buah beliau Rozaidi Husain, Azman Ahmad, Izham Zainon, Ustaz Fauzi Husain, Mohd Radzi Said, Senu Abd Ghani, Ahmad Said, Hjh Zailah Zakaria dan lain-lain lagi.
Antara tugas yang akan diberikan kepada mereka yang berdaftar ialah:-

1. Kempen dari rumah kerumah, kedai kopi, tempat awam dsb.

2. Ceramah kelompok dan umum

3. Keselamatan Masyarakat dan Petugas

Untuk bahagian keselamatan, terutama Unit Memali amat diharapkan dapat bersabar, profesional dan sentiasa berada dalam situasi 'standby' sahaja. Elakkan dari sebarang tindakan provokatif atau membalas tindakan provokatif pihak BN, harap faham.

Bagi mendapatkan peta kedudukan UPU Gedangsa sila klik
di sini dan selepas itu search Hulu Selangor, Gedangsa.

Pastikan semua petugas yang bertugas berada dalam keadaan "SENYUM TIGE" jangan 'senyum satu' kerana akan memuncungkan mulut, sementara 'senyum dua' pula mulut agak ternganga. Tetapi bila senyum tige maka kita akan sentiasa terkerisin menampak gigi yang kuning (pastikan gosok gigi...) untuk menarik sokongan seluruh Pengundi Hulu Selangor.


Sila pastikan anda mendapat pengesahan dari kawasan masing-masing, untuk memudahkan urusan pendaftaran dan mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

ZAID ADALAH AHLI PKR, ZAID SEKARANG CALON PKR, PKR PULA ADALAH KOMPONEN PAKATAN RAKYAT, PAKATAN RAKYAT ADALAH GABUNGAN PARTI UNTUK MENENTANG KEZALIMAN, SALAH LAKU, PENYELEWENGAN, KEJAHATAN PARTI BERNAMA BARISAN NASIONAL (BN).

OLEH ITU ZAID MESTI DIANGGAP SEBAGAI CALON KITA (PAS) BUKAN LAGI CALON PKR.

ZAID PILIHAN KITA! ZAID PILIHAN KITA! ZAID PILIHAN KITA!

SELAMAT BERTUGAS

Thursday, April 15, 2010

KAJILAH PEMIKIRAN MANUSIA KITA AKAN KETAHUI DIMANA KITA.

Pemuda dan pemudiku...

Pagi ini sengaja aku copy paste tulisan Dr. Nasir Hashim, Presiden Parti Sosialis Malaysia untuk menjadi renungan kita bersama, apakah tahap perjuangan kita melalui Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah mencapai kesempurnaan dalam tindakan (aku tidak mengatakan kesempurnaan dalam teori, tetapi yang aku tekankan ialah kesempurnaan dalam tindakan).

Pemuda dan pemudiku, kita tidak perlu menjadi Sosialis.... cukuplah dengan Islam sebagai agama kita.

Namun, semoga dengan membaca pandangan beliau, akan memberikan inspirasi kepada kita pejuangan Islam (yang sudah memerintah atau belum memerintah) bermuhasabah kembali terhadap gaya hidup, tingkahlaku pergaulan, penerimaan kepada sistem yang ada dan sebagainya, agar teori Islam yang telah lama kita pelajari dalam kitab Al-Quran, Hadis serta kisah-kisah Sahabat Nabi Suci tidak hanya menjadi madah pujanga yang sedap didendangkan di bilik kuliah, masjid dan surau tetapi kelihatan seolah tidak mampu dipratikkan dalam realiti kehidupan. Islam masih dagang kepada kita ahli PAS (terutama kepimpinan, termasuk aku) dalam bentuk praktikal, walau ia sudah sebati dalam bentuk teori sejak 1951.

Bagaimana ianya mampu untuk dipraktikkan, terutama dalam pemerintahan kita, perlu sama-sama kita berjuang lagi kearah itu, kemenangan sekarang bukan medan untuk dahulunya kita hidup miskin dengan kadar cukup makan sahaja, tetapi dengan wang rakyat tiba-tiba kita telah menjadi hidup mewah? bukankah anih?.

Dan juga perjuangan kita bukan untuk sedia menerima seadanya sistem yang telah diguna pakai sejak zaman penjajah. Jika itu yang berlaku maka itu bukanlah dinamakan perjuangan.

Seperti kata lontaran soalan Ustaz Mud kepada aku , "Khalifah Umar Abd Aziz dari seorang kaya dan hartawan, tetapi setelah dilantik menjadi khalifah melondeh semua kemegahan dan kekayaaan, hidup secara yang cukup sederhana. Namun walaupun dalam tempoh yang lebih singkat daripada kita memerintah sekarang ini telah menjadi rujukan pemerintahannya bukan sahaja dikalangan masyarakat Islam, bahkan Guan Eng pun tertarik dengan kaedah pemerintahan beliau. Apakah perkara itu terjadi kepada praktikal pemerintahan kita atau sebaliknya.... Abang Aris lihat dan fikirkanlah sendiri...."

Berikut adalah tulisan Dr. Nasir Hashim:-

KEDUDUKAN ISLAM POLITIK DALAM PERTENTANGAN KELAS:

A. Pengenalan

Tajuk Forum ini menimbulkan beberapa persoalan tentang konsep kelas (dan pertentangan kelas) di dalam dunia Islam. Kalaulah kita berpendirian bahawa konsep Sosialisma memang wujud di dalam dunia Islam maka bagaimanakah kita hendak membuktikannya. Memandangkan masyarakat Islam merujuk kepada Al-Quran dan Al-Hadis bagi mengatur kehidupan mereka, maka tidak salahlah sekiranya kita merujuk kepada ayat-ayat di dalam Surah-Surah Al-Quran. Al-Hadis pula merupakan kata-kata Nabi Muhammad SAW yang memperjelaskan lagi isi-isi yang terkandung di dalam Al-Quran. Malangnya ramai yang tidak tahu atau menghalusi intisari (‘essence’) Al-Quran yang bersabit dengan perjuangan kelas.

1. Wujudkah konsep Pertentangan Kelas di dalam Islam ?

Mengikut ayat dalam Surah Al-Qasas 28:5 :-

“Dan Kami hendak memberikan kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi dan hendak menjadikan mereka pemimpin, serta jadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi)”

“And We wish to give blessings to those who have been exploited on earth and wish to make them leaders, also make them the inheritors (of this earth).”

Kalaulah kita tidak tahu latar belakang pada ayat di atas ini, kita pasti mengatakan bahawa ayat ini dilafazkan oleh seorang Sosialis kerana intisari pada ayat ini membayangkan bahawa rakyat (golongan pekerja) yang tertindas akan bangkit dan membebaskan diri dari belenggu penindasan. Maklumat, ilmu dan pengalaman yang diperolehi di dalam hidup ini dapat merangsangkan mereka untuk bersatu, memimpin lantas mewarisi dunia ini. Pandangan seperti ini menjadi idaman pada semua Sosialis.

2. Justeru itu adakah ini bermakna Al-Quran merestui konsep Sosialisma yang mementingkan rakyat biasa ? .

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Yang baik di antara kamu adalah yang terbaik kepada keluarga Tuhan, iaitu manusia sejagat”

"The best of you is he who is best to God's family, i.e., mankind."

Selain dari “Tugas terhadap Tuhan”, “Tugas terhadap diri sendiri” dan “Tugas terhadap kejadian alam”, maka terdapat juga penekanan yang amat luas tentang “Tugas terhadap orang lain” (individu atau kelompok manusia) di dalam Hukum Moral Islam.

Al-Quran sering menyebut nama Allah secara sinonim/bersama dengan masyarakat/insan (an-nas). Justeru itu masyarakat/insan menjadi wakil Tuhan di dunia ini. Pernyataan bahawa “Pemerintahan adalah milikan Tuhan” bermakna kuasa politik adalah milikan rakyat; “Harta benda adalah milikan Tuhan” bermakna segala jenis modal (‘capital’) adalah milikan rakyat; dan “Agama adalah milikan Tuhan” bermakna agama itu adalah milikan rakyat – dan bukanlah semata-mata milikan atau monopoli ulama-ulama.

Justeru itu Islam adalah agama yang menitikberatkan pada Keadilan, Perimbangan, Pengagihan dan Kesejahteraan pada rakyat biasa. Seperti tertera di dalam Al-Quran:-

Surah Ar-Rahman 55: 7-8

“Dia mewujudkan perimbangan (keadilan) agar kau tidak mencerubuhi perimbangan ini”

“He has set-up the balance (justice) in order that ye may not transgress (due) balance”

Surah Al-Alaa 87:1-3

“Sucikan nama Tuhan mu yang Mahatinggi, yang menciptakan (semua alam) lalu menyempurnakan kejadiannya, dan yang menentukan dan memberi petunjuk.”

"Glorify the name of thy Lord Most High, Who hath created (everything) and then proportioned it; Who hath ordained laws and granted guidance".

Surah An-Nisa 4: 135

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan”

“O ye who believe !. Stand out firmly (to fight) for justice”

Untuk mencapai hasrat menegakkan keadilan dan menentang penindasan kita memerlukan ilmu pengetahuan (ilm). Seorang mukmin haruslah berusaha mencapai tahap ilmu yang tertinggi sekali dan sentiasa menggunakan kuasa logika dan intelek sepenuhnya. Kerana melalui kuasa-kuasa inilah maka kita memahami hubungan dialektika yang memancarkan realiti kehidupan. Hanya yang lemah sahaja yang takut kepada kuasa logika, ilmu dan pengalaman. Justeru itu ayat-ayat Al-Quran yang menyebutkan perkara-perkara yang berkaitan dengan ‘pengetahuan’ adalah jumlah yang terbanyak sekali iaitu 856 kali jika dibandingkan dengan ayat-ayat yang berkaitan dengan ‘jihad’ yang timbul sebanyak 41 kali sahaja. Ini juga bermakna Al-Quran tidak memusuhi apa jua jenis ilmu asalkan ianya menafaatkan rakyat. Al-Quran juga menyebutkan bahawa mereka yang mantap dan berilmu tinggi memang rapat kepada Tuhannya.

3. Apabila disebut tentang mereka yang tertindas adakah ini bermakna sudah ada penjelasan Kelas dalam Al-Quran ?

Al-Quran menyebut dua jenis kumpulan manusia iaitu:-

i. Mereka yang Beriman/Tidak-Beriman yang dikelompokkan mengikut kepercayaan agama.

ii. Mereka yang Kaya/Miskin yang dikelompokkan mengikut kedudukan ekonomi.

Yang kaya dianggap sebagai kelompok yang Tidak-Beriman kerana mencabuli dasar-dasar keadilan dan kemanusiaan semata-mata untuk meraih kuasa dan keuntungan.

Lagipun apabila Al-Quran membenarkan seseorang itu memiliki harta perseorangan (‘private property’) maka ini sudah membayangkan bahawa masyarakat telah dipisahkan dalam dua kelompok.

- Yang satu adalah kelas kapitalis (mustakbirun) yang berharta dan memerintah, menguasai dan menindas rakyat secara angkuh dan kejam.

- Yang satu lagi adalah kelas pekerja (mustadafin) yang tidak berharta dan diperintah, ditindas dan dikongkongi sepanjang hayat.

4. Adakah keterangan lanjut tentang Kelas yang Tertindas (Mustadafin) ini ?

Ada ahli-ahli ilmuan mengatakan bahawa Al-Quran menyebutkan bahawa kelas yang tertindas itu bersifat tulus, mengampuni, jujur, sanggup khidmat, berwawasan, pengasih, penyayang, kesihani, murah hati, rendah diri, sanggup berkorban, takut kepada Tuhan dll.

Mereka juga mengatakan bahawa kesemua nabi-nabi (anbiya); pesuruh-pesuruh Allah (mursalun); pemimpin-pemimpin (a’immah); pejuang-pejuang kebenaran (siddiqun); yang mati syahid (shuhada); panglima-panglima (mujahidun); yang berhijrah (muhajirun) dan mereka yang beriman (muminun) berasal dari kelas yang tertindas dan bukan dari keluarga bangsawan.

5. Bagaimana dengan Kelas yang Menindas (Mustakbirun) ?

Al-Quran menyebutkan bahawa kelas atau golongan yang menindas itu berkiblat kepada kuasa dan keuntungan dan dibanjiri dengan kepalsuan, pengkhianatan, pelampau, hipokrasi, keghairahan, tidak berperikemanusiaan, ketamakan, kegelojohan, tidak beriman, tidak bermoral serta berasal dari kumpulan yang mewah (mutraf), berbelanja kasar dan membazir (musrif), kumpulan yang memerintah (mala), raja-raja (muluk), arrogant (mustakbir) dll.

Kewujudan kezaliman dan keangkuhan (istihbar) dan dengan kehadiran mereka dalam keadaan tertindas (istid’af) inilah maka lahirlah keinsafan dan kesedaran sosial di kalangan masyarakat umum. Justeru itu penawanan dan penindasan menjuruskan kepada sifat kepercayaan diri (iman), tindakan pemindahan (hijrah), semangat perjuangan (jihad), menegakkan kebaikan (soleh) dan penyusunan semula/reformasi (islah).

6. Dialektika (jadal kalami) wujud dalam ketegangan kelas. Wujudkah Dialektika dalam Islam ?

Lazimnya dialektika mempunyai sifat-sifat tertentu seperti:-

i. Sifat yang bercanggah tetapi saling memerlu/membantu (‘contradictory and complementary’)

ii. Apabila kita melakukan perubahan terhadap sesuatu perhubungan / proses/ kegiatan maka diri kita juga turut berubah.

iii. Pada hakikatnya, apabila sesuatu (kegiatan/idea/tindakan dll.) itu diwujudkan, maka secara otomatik lahirlah/terjalinlah dalam dirinya sifat yang bercanggah atau bertentangan dengannya.

iv. Pergolakan dialektika berkembang menuju kecanggihan iaitu dari umum (‘relative’) menuju ke mutlak (‘absolute’); teori umum menjadi teori/kebenaran hakiki.

v. Dialektika boleh digunakan untuk menghidup atau memusnahkan sesuatu. Terpulanglah kepada matlamat masing-masing. Lazimnya, kebaikan (cahaya) mengatasi kejahatan (kegelapan); kebenaran mengatasi kepalsuan; penentangan mengatasi penindasan dll.

vi. Tugas kita adalah untuk mengimbangkan sifat-sifat yang bercanggah ini (‘Unity of Opposites’) menuju kesempurnaan.

7. Dialektika jenis apakah yang digunakan oleh Islam ?

Sebenarnya sudah wujud tiga jenis hubungan dialektika di dalam masyarakt iaitu:-

a. Dalam hubungan di antara Kebendaan (‘material/secular’) dengan Kerohanian (‘spiritual/moral’);

b. Dalam dunia Kerohanian/Spiritual sendiri (misalnya antara roh dengan jiwa);

c. Dalam dunia Kebendaan/’material’ sendiri (misalnya antara system feudal dengan system kapitalis).

Maka itu tingkahlaku dan falsafah kehidupan seseorang itu bergantung sepenuhnya kepada bagaimana beliau memiliki dan mengolahkan hubungan ini. Manusia yang sempurna adalah mereka yang mampu menggemblingkan ketiga-tiga jenis hubungan dialektika ini untuk kepentingan umum. Setakat ini tidak jelas lagi dialektika manakah yang digunakan oleh pemikir-pemikir Islam.

8. Wujudkah pejuang-pejuang Sosialis Islam ?

Ali Shariati Pejuang Marxis Islam

Ali Shariati adalah seorang yang dikenali sebagai Marxis Islam. Pendirian beliau tentang dialektika berkisar kepada ideologi Tauhid iaitu pandangan duniawi di mana alam sejagat (‘whole universe’) merangkumi semua kejadian, ibarat satu organisma yang bernyawa (‘living organism’) yang mengatur, mengimbang dan menyempurnakan alam ini. Ia mempunyai dinamika, kesedaran, ketegasan dan haluan yang tersendiri. Organisma atau alam sejagat ini mempunyai jaringan dalam hubungan dialektika yang kembang berperingkat-peringkat menuju ke arah alam/kemasyarakatan yang berimbang dan sempurna. Seolah-olah sudah ada hukum alam yang harus kita patuhi. Maka ideologi Tauhid Shariati melibatkan penyatuan dalam tiga penjuru (‘unity of trinity’) iaitu Tuhan, Alam dan Manusia.

Justeru itu, alam sejagat ini bergolak sebagai satu badan yang berharmoni dan menyeluruh. Tugas manusia adalah untuk memahami model/acuan realiti kehidupan ini dan bergerak mengikut rentak dialektikanya.

Pada beliau, secara simboliknya, kewujudan diri manusia berkisar pada satu realiti dialektika yang berasal dari tanah liat (‘clay’) dan kerohanian (‘spirit’). Suatu percanggahan dan penyatuan yang bukan saja merangsangkan pergolakan dalam diri tetapi juga mencetuskan pergerakan dan kegiatan yang dinamik di dalam masyarakat. Tanah liat itu melambangkan kebuntuan dan kelembapan walhal kerohanian itu melambangkan pergerakan yang dinamik. Interaksi ini menuju kepada kesempurnaan. Maka itu kedudukan manusia yang hakiki (fitra) telah diapit (barzah/’intermediary’) oleh sifat-sifat yang bercanggah (iaitu di antara sifat lembab dan sifat dinamik). Pergelutan di antara sifat-sifat yang bercanggah inilah yang membentuk dan menyusun evolusi pergerakan manusia ke arah kesempurnaan (revolusi).

Pada Shariati manusia yang mempunyai dua unsur yang bertentangan ini memerlukan perantaraan agama bagi mengimbangi / mengatasi (‘synthesize’) kecenderungan, yang kalau dibiarkan begitu, akan menjurus kepada sifat-sifat yang ekstrim iaitu terlalu mengagungkan nafsu material/kebendaan ataupun terlalu dikongkongi oleh kerohanian hingga mengabaikan duniawi ini. Pada beliau Islam sentiasa mengambilkira dwi-sifat manusia (kebendaan dan kerohanian) kerana ianya merupakan ideologi dua dimensi yang membolehkan manusia mengimbangkan kedua-dua sifat yang bercanggah ini.

Beliau berpendirian bahawa Islam adalah ideologi yang mampu merevolusikan rakyat kerana semenjak kewujudannya, Islam telah menyebelahi rakyat yang tertindaas. Nabi Muhammmad SAW telah berjuang untuk mewujudkan kesaksamaan sosial dan mendampingi masyarakat yang terpinggir. Pada beliau, Islam memihak kepada mereka yang miskin: “Tuhan adalah Tuhan pada mereka yang terpinggir” dan “Tuhan adalah Tuhan pada mereka yang tertindas”.

Shariati telah menggunakan kiasan dialektika dengan membezakan anak-anak Nabi Adam as iaitu Habil dan Qabil (Surah Al-Ma’idah 5: 27-30). Qabil melambangkan segelintir kelas yang memperhamba dan menindas jumlah besar rakyat yang miskin (yang dilambangkan oleh Habil) di mana harta persendirian (‘private property’) menjadi punca yang menjahanam dan memisah-misahkan rakyat.

Ahli Sufi, Muhyiddin Al-Arabi (meninggal dunia 1165 AD), adalah pemikir Islam yang terunggul dalam dunia Islam (Shaikh Al-Akbar –‘the greatest muslim thinker’) menggunakan dialektika untuk membicarakan tentang pergolakan dalam jiwa manusia. Dalam bukunya Futuhat Al-Makkiyah, beliau juga merujuk kata-kata Abu Said Kharraz (meninggal dunia 899 AD):-

“Tuhan dapat dikenali melalui pengolahan/perimbangan sifat-sifat yang bercanggah”

“God is known through the synthesis of antimonic affirmations” (unity of opposites).

Maka terdapatlah nama-mana Tuhan yang mempunyai hubungan dialektika (sifat yang bercanggah dan saling memerlukan) dalam Al-Quran seperti:

Al-Jamal (Beauty); Al-Jalal (Majesty)

Al-Mu’izz (The Giver of Honour); Al-Mudhill (The Giver of Disgrace)

Al-Muhiyy (The Giver of Life); Al-Mumit (The Giver of Death)

Ar-Rafi’ (The Exalter); Al-Khafiz (The Abaser)

Al-Zahir (Manifest/Immanence); Al- Batin (Hidden/Transcendence)

Al-Awwal (The First); Al-Akhir (The Last)

Al-Basit, The Expander; Al-Qabiz, the Seizer.

Al-Mu’ti, The Giver; Al-Mani’, The Withholder dsb.

Seperti dalam Surah Al- Hadid 57:3

“Dia yang Awal dan yang Akhir, yang Zahir dan yang Batin”

“He is the First and the Last, the outwardly Manifest and the inwardly Hidden”

Namun begitu ada juga sifat-sifat keTuhanan yang tidak mempunyai kebalikanya seperti:- Yang Hidup (Haiyyun), Berilmu (Alimun), Mendengar (Samiun), Melihat (Basirun), Berkuasa (Kadirun), Memerlu (Muridun) dan Berbicara (Mutakalimun)

Walaubagaimana pun pemimpin-pemimpin Islam yang terulung, yang bekerja keras sebagai aktivis-aktivis (menyatukan hubungan ‘material dan spiritual’) bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang adil adalah Nabi Muhammad SAW, Saidina Ali, Hussein dan Abu Dzarr Al-Ghifari. Mereka berjaya menyatukan hubungan dialektika di antara “Tindakan dengan Pertimbangan Akal” (‘action with thought’); “Kesolehan dengan Kekuasaan” (‘piety with power’); dan “Pembelajaran dengan Perjuangan” (‘learning with fighting’).

9. Mana yang harus didahulukan kesedaran intelek (‘consciousness’) atau rangsangan pengalaman pancaindera (‘material relations’)?

Mengikut Surah Az-Zariyat 51: 20–21

“Di bumi ada beberapa dalil bagi orang-orang yang yakin. (Begitu pula) pada diri mu sendiri. Apa tiadakah kamu memperhatikannya ?”

“On earth are signs of men (mankind) of firm belief. And also in your own selves. Will ye then not notice them ?”

Juga, “Perlihatlah pada seluruh ufuk dunia dan pada diri sendiri maka kau akan mengenali Kebenaran”

“Look upon the horizons and upon yourself and you will know the Truth”

Mengikut Surah-Surah ini, kita haruslah terlebih dahulu, meneliti hubungan dialektika dalam dunia kebendaan/materialis ini dan seterusnya mengkaji hubungan dialektika di dalam dunia kesedaran/jiwa, lantas mengaitkan hubungan dialektika di antara kedua-duanya (Kebendaan-Kerohanian).

10. Adakah Islam bersifat kapitalis kerana membenarkan Harta Persendirian ?

Pada mereka Islam bukanlah Kapitalisma. Walaupun Islam membenarkan milikan harta persendirian (‘private property’) dan memberi kelonggaran terhadap inisiatif peribadi namun Islam menentang pembolotan kekayaan (‘hoarding of wealth’).

Surah Al-Hashr 59: 7

“Jangan harta itu beredar antara orang-orang kaya saja di antara mu”.

“Wealth should not be permitted to circulate among the wealthy only”.

Maka itu walaupun Islam menggunakan pendekatan yang berlainan bagi mencegah pembolotan harta namun Sistem Economi Islam ini amat rapat dengan Sistem Ekonomi Sosialis:-

a. Islam menentang pemusatan kekayaan/harta benda dan mempertahankan miliknegaraan semua sumber asal pengeluaran khususnya sumber logam supaya dapat menghapuskan kapitalis-kapitalis keluli dan minyak.

b. Islam melarang riba dan semua jenis faedah (bunga) keuntungan. Tidak membenarkan kadar faedah melebihi sifar (‘zero’) menganggapkan bahawa peranan utama sistem kebankan (‘banking system’) adalah sebagai perantara dalam transaksi/urusniaga perdagangan belaka. Di dalam dunia pertanian, Islam tidak membenarkan tuan tanah memungut faedah tanpa dia mengerjakan tanah tersebut (‘feudal absentee landlordism’). Paling afdal sekali, Islam ingin mewujudkan masyarakat di mana rakyat biasa memiliki dan sendiri mengerjakan tanah mereka.

c. Sistem undang-undang Islam terhadap harta pesaka adalah bersifat anti-kapitalis. Islam berusaha mengagihkan kekayaan yang diwarisi itu kepada lebih ramai lagi individu berdasarkan kepada hubungan mereka dengan si mati.

d. Islam mengutuk habis-habisan terhadap mereka yang membolot modal. Islam akan mengenakan cukai yang tinggi pada semua modal yang melebihi piawai yang ditetapkan. Cukai ini akan digemblingkan untuk membantu mereka yang malang, miskin dan terpinggir dalam arus pembangunan.

e. Pada perhitungan yang terakhir, Islam menekankan kepentingan masyarakat umum melebihi kepentingan individu.

f. Menjadi tanggungjawab Negara Islam untuk membekalkan segala kemudahan asas termasuklah perkhidmatan kesihatan dan pendidikan percuma untuk semua wanganya. Maka cukai insuren sosial seperti zakat dikenakan kepada mereka yang memiliki harta kekayaan yang melebihi piawai minima. Perintah Islam adalah untuk membasmikan riba (‘ie usury, a positive rate of interest’). ini menonjolkan falsafah sosio-ekonomi yang membencikan segala jenis penindasan termasuklah urusniaga kewangan yang tidak imbang dan kejam.

Menurut Surah Al-Imran 3: 130

“Hai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu memakan riba yang berlipat-lipat ganda..”

“O Believers ! Do not consume riba, doubling and redoubling..”

Justeru itu Al-Quran dengan jelas telah mendedahkan bahawa mengamalkan riba … adalah satu ketidakadilan, satu kekejaman ekonomi, satu tindakan yang menghalangi pertumbuhan spiritual dan satu ancaman besar terhadap kebajikan masyarakat.

g. Islam merestui perdagangan bebas. Tetapi menentang monopoli dan menggalak penyertaan lebih ramai orang dalam dunia perdagangan. Mewujudkan lebih banyak Persatuan Penyatuan Bersama (‘Mutual Alliance Societies’) bagi menggantikan pembankan yang bersifat kapitalisitik.

h. Mewujudkan Kesatuan Sekerja (‘Co-operative Guilds of Workers’) di mana segala jenis penindasan, ketegangan dan dendaman dapat dihapuskan.

i. Islam tidak menggalakkan perusahaan persendirian yang bersifat monopoli dalam dunia perindustrian (‘private monopolistic enterprise in industry’) tetapi membenarkan perdangangan persendirian (‘private trade’). Akan tetapi Islam mengutamakan penerimaan gaji yang berasaskan pada prinsip Sosialis. Maka dalam hubungan ini:-

i. Islam memberi kebebasan pada pekerja untuk menentukan gajinya mengikut kadar yang sesuai baginya. Lantas hak ini dapat melindungi pekerja dari pelbagai jenis penindasan yang boleh dilakukan oleh kapitalis untuk menutup pintu rezeki mereka. Maka itu Islam mewujudkan tabung untuk dikelolakan oleh kerajaan bagi membantu mereka yang menganggur.

ii. Islam mengarahkan piawai gaji itu haruslah dipatuhi oleh semua majikan Islam di mana pekerja mendapat ‘makanan yang sama’ sepertimana yang dimakan oleh majikan dan ‘memakai yang sama’ sepertimana yang dipakai oleh majikan. Ini bermakna kesaksamaan dari segi status ekonomi di antara majikan dan pekerja menjadi keperluan asas kehidupan harian.

iii. Islam bukan saja membezakan bagaimana dan caramana sumber pendapatan yang sah (kebaikan umum) dan tidak sah (memudaratkan umum) diperolehi tetapi juga menyekat perbelanjaan berlebihan terhadap barangan yang sah hingga tidak mungkin wujud ketidaksamarataan yang mendadak dalam melaksanakan kehidupan harian (keadaan ini pernah menjadi realiti pada zaman kegemilangan sejarah Islam).

iv. Islam menggalakkan masyarakatnya membelanjakan barangan yang mendatangkan faedah terhadap pembangunan manusia dan diberikan panduan agar wang lebihan digunakan untuk membaiki kesihatan dan kebajikan sosial.

v. Islam menetapkan ‘demokrasi spiritual’, ‘demokrasi sosial’ dan ‘demokrasi politik’ pada tahap yang sempurna. Sekiranya ketiga-tiga ini dikombinasikan dengan pendidikan ekonomi dan dilaksanakan sepenuhnya maka sudah pasti keadaan ini menjaminkan penubuhan masyarakat tanpa kelas dan konflik sosial diselesaikan dengan penuh tanggungjawab.

Kedua-duanya mempunyai kesamaan khususnya dalam mengimbangkan sifat-sifat yang bercanggah (‘thesis and anti-thesis’) menuju penyatuan (‘Synthesis, Tao, Tauhid, Samsara’) seperti:-

i. Dari Syariat (duniawi) ke Makrifat (kerohanian) menuju Tauhid (penyatuan)

ii. Dari menajamkan lagi teori umum (belum sempurna) menuju ke teori khusus/muktamat (sempurna)

iii. Dari sistem ekonomi yang kuno menuju ke system ekonomi yang canggih dan produktiviti yang tinggi (iaitu dari sistem pengabdian, feudalisma, kapitalisma dan sosialisma)

iv. Dari ketidaksamarataan (saingan berat sebelah dan monopoli) menuju kesaksamaan.

v. Dari menguasaan/hegemoni golongan feudalists and capitalists menuju ke hegemoni yang dipimpin oleh golongan pekerja.

vi. Dari perancangan yang terasing (isolated) menuju ke perancangan yang dipusatkan dan menyeluruh (centralized planning)

vii. Dari kehancuran kemanusiaan (neraka di dunia) menuju kemanusiaan yang mulia (syurga di dunia)

viii. Dari sifat materialis (profit oriented) menuju ke sifat yang mengutamakan kemanusiaan (human oriented) yang mempunyai nilai moral/spiritual yang tinggi.

ix. Dari saingan yang bertentangan (antagonistic relations) menuju saingan yang tidak bertentangan (non-antagonistic relations) kerana kerja yang dilakukan adalah untuk kepentingan bersama.

11. Kalaulah begitu mengapakah pejuang Sosialis tidak terus berganding bahu dengan pejuang Islam ?

Golongan cerdik pandai mungkin tidak berapa tahu bahawa konsep dialektika wujud di dalam Al-Quran; tidak selesa dengan hubungan yang sungguh dinamik dan sentiasa berubah-ubah; ataupun memusuhinya kerana dikira konsep ini mementingkan hubungan duniawi belaka. Mudah lupa bahawa manusia adalah khalifah Tuhan dan berkemampuan mengendalikan ilmu dan perubahan.

12. Apa pula perbezaan di antara Islam dan Sosialisma ?

Perbezaan umum di antara kedua-duanya adalah:-

a. Sumber ideologi, kekuatan dan titik permulaan Islam berkisar kepada hubungan spiritual dengan Tuhan, Allah. Walhal sumber kekuatan Sosialisma bertitik tolak pada hubungan manusia di dalam dunia kebendaan menuju kepada pembentukan Negara dan moral yang sempurna.

b. Islam menegaskan bahawa berbuat baik dan berkebajikan di dunia ini menjadi bekalan untuk kemudian (akhirat) hari nanti. Sosialis pula menitikberatkan pada hubungan kebendaan/materialis, logika pancaindera dan menceduk kefahaman moral dari hubungan materialis tersebut. Sosialis menghormati semua Agama. Tetapi menumpukan segala kegiatannya menyelamatkan mereka yang tertindas di dalam dunia ini. Meraih pahala atau ganjaran bukanlah matlamat kegiatannya.

c. Pada masyarakat Islam, manusia dilahirkan bersih dan dilengkapi (sebagai khalifah/wakil Tuhan) dengan segala-galanya. Apabila beliau menjelang dewasa, pengalaman dan kehendak nafsu telah mencemari kesempurnaan diri hingga menggelapkan potensi. Tugasnya adalah untuk mensucikan diri dengan perjuangan dan berkebajikan hingga dirinya menjadi sempurna kembali (sempurna àtidak sempurna à sempurna). Seperti dalam Surah Al-Quran yang menyebutkan, “Tuhan membantu mereka yang membantu diri sendiri” (‘God helps those who help themselves’). Sosialis pula berpendirian bahawa alam ini sentiasa berubah-ubah/evolusi dari sesuatu yang mudah kepada keadaan yang lebih kompleks lagi. Pengalaman dapat menentu dan membersihkan tabiat seseorang itu.

Namun titik tolak pada kedua-duanya adalah untuk berusaha memperkasakan rakyat agar mereka dapat mempertahankan hak, memimpin dan menghargai nilai-nilai keadilan, demokrasi dan kebebasan.

Mohd Nasir Hashim

Pengerusi Parti Sosialis Malaysia


Thursday, April 8, 2010

Aku Tanya - Basir Jawab.

Akhbar telah menyiarkan berita mengenai sedikit kocakkan dalam Majlis Daerah Kubang Pasu sudah banyak hari. Masalahnya aku tak beli surat khabar, itu yang leceh, kecuali Harakah. Kalau bacapun surat khabar harian hanya sekali sekala bila jumpa di kedai gunting rambut atau kedai makan, masalahnya tak jumpa pulak berita mengenai kes yang dibangkitkan itu sehingga aku dihujani oleh ahli-ahli PAS bila berjumpa dengan mereka di berbagai majlis.

Aku pun tanya mereka, "Awatnya? Saya tak tahu apa pun.... jadi lagu mana cerita". Aku tanya mereka semula..... mereka pun cerita brang-brang kat aku. Ada positif ada negatif.

Aku tak puas hati, aku terus hubungi sendiri Ketua Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu iaitu, Sdr Basir Ismail untuk mendapat jawapan mengenai apa yang sedang berlaku.

Berikut adalah soalan aku dan jawapan beliau yang aku perolehi, patah demi patah jawapan beliau rasanya tak jatuh sepatahpun yang dicatat, InsyaAllah. Kalau ada masa aku akan tanya pula kawan-kawan Ketua Ahli Majlis Daerah lain pulak. Siap Anuar Yatim, Ketua Ahli Majlis Bandaraya Alor Setar!!!. Bukan apa untuk melihat visi dan misi mereka ke arah Melaksanakan Islam Memimpin Perubahan.

Soalan 1: Boleh gambarkan perasaan saudara setelah di pilih sebagai Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu?

Pertamanya ingin ditekankan di sini bahawa, bukan menjadi keutamaan saya untuk menjadi Ahlimajlis ataupun mendapatkan apa-apa jawatan lain di dalam kerajaan apabila PAS dan Pakatan Rakyat diberi mandat pada PRU 12 lalu.

Saya telah menyertai PAS sejak tahun 1985 kerana benar-benar yakin dan percaya dengan dasar, matlamat dan cita-cita perjuangan yang di bawa oleh parti iaitu hendak menegakkan Islam di dalam sistem pemerintahan di negara ini. Di samping menyedari bahawa hakikat kelahiran saya di dunia ini adalah sebagai hamba Allah SWT untuk mengabdikan diri kepadaNYA semata-mata.

Tidak pernah terlintas dibenak fikiran saya untuk menjadi seorang Ahlimajlis ataupun merebut sebarang jawatan dalam kerajaan apabila PAS ataupun Pakatan Rakyat menjadi kerajaan di negeri Kedah.

Namun, setelah parti dan kerajaan negeri memberi kepercayaan kepada saya untuk menduduki salah satu kerusi Ahlimajlis dari Pakatan Rakyat (lantikan politik) bagi penggal 2010/2011, maka saya terima ia sebagai suatu amanah besar yang ‘wajib dipikul’ dengan sebaik-baiknya seiring dengan dasar, matlamat dan cita-cita perjuangan yang saya dokongi selama ini.

Soalan 2 : Apa yang cuba saudara maksudkan. Adakah kenyataan saudara semata-mata retorik ?

Maksud saya di sini ialah perlantikan saya sebagai Ahlimajlis adalah melalui proses bermula dari cadangan cawangan-cawangan PAS dalam kawasan Kubang Pasu. Sebanyak 12 orang calon Ahlimajlis dari PAS kawasan Kubang Pasu yang terdiri dari muka baru dan lama (Ahlimajlis Penggal 2008/2009) telah dihantar untuk dipilih oleh PAS Negeri Kedah.

Jadi….rasanya tak elok nak tolak pencalonan saya yang di buat oleh cawangan… kerana sebahagian mereka (ahli-ahli PAS) di peringkat cawangan mahukan saya menduduki kerusi tersebut. Alasan mereka berbuat demikian saya tidak tahu. Bagi saya yang pentingnya ialah proses perlantikan Ahlimajlis dilakukan dengan cara yang baik. Tidak berlaku perebutan ataupun lobi-melobi di antara calon-calon terlibat. Saya juga difahamkan proses pemilihan di buat di dalam mesyuarat yang dihadiri oleh YB Datuk Haji Pharolrazi Bin Zawawi, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah dengan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan Kubang Pasu. Jadi…tidak timbul soal retorik dan sebagainya dalam soal perlantikan ini.

Soalan 3: Apakah visi dan misi saudara sebagai Ahlimajlis?

Apabila menduduki kerusi Ahlimajlis, saya dan rakan-rakan Ahlimajlis dari PAS, PKR dan DAP telah beberapa kali mengadakan perbincangan yang kami namakan sebagai pre caouncil. Antara perkara yang dibincangkan ialah berkaitan visi dan misi yang ingin dicapai dalam tempoh dua tahun ini. Pendapat kami adalah sama iaitu memberi tumpuan dan keutamaan menunaikan janji-janji di dalam manifesto PRU 12 lalu mengikut bidangkuasa dan kemampuan yang terhad. Di samping, kami bersetuju untuk membawa agenda ‘Memasyarakatkan Kerajaan Pakatan Rakyat” di Majlis Daerah Kubang Pasu melalui aktiviti-aktiviti dan polisi-polisi yang dibenarkan di dalam bidangkuasa kami sebagai Ahlimajlis serta pembaharuan di dalam perjalanan pentadbiran Majlis Daerah Kubang Pasu.

Kami juga telah mengenalpasti potensi yang telah sedia ada dan baru dalam daerah Kubang Pasu yang boleh dimanfaatkan di dalam usaha merancang pembangunan fizikal dan kemanusiaan seiring dengan dasar kerajaan negeri iaitu ‘Kedah Sejahtera”.

Bagi menjayakan hal tersebut, beberapa langkah awal telah di ambil antaranya menubuhkan sebuah pasukan pemikir yang melibatkan kepimpinan dan aktivis parti, ahli akademik serta golongan profesional dari pelbagai latarbelakang iktisad yang begitu ramai dalam daerah Kubang Pasu. Mereka ini bersedia menyumbang khidmat bakti tanpa perlu dibayar upah. Di samping kami juga mendapatkan pandangan dari Ahlimajlis (ex-officio) mengikut kepakaran mereka masing-masing. Ia adalah langkah awal yang saya ambil bertujuan untuk membantu kami (Ahlimajlis) di dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan.

Soalan 4: Apakah yang dimaksudkan dengan agenda ‘Memasyarakatkan Kerajaan Pakatan Rakyat” ?

Agenda memasyarakatkan kerajaan Pakatan Rakyat merupakan suatu usaha murni bertujuan untuk mendekatkan diri Ahlimajlis dan Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Daerah Kubang Pasu dengan rakyat. Perlu disedari apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan wujudnya persepsi segelintir rakyat yang mengatakan mereka akan di anak tirikan ataupun tidak akan diberi layanan yang sewajarnya kerana berlainan fahaman politik. Ini terjadi…. kesan dari tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang sering meracuni fikiran rakyat tentang kerajaan Pakatan Rakyat.

Jadi.. agenda memasyarakatkan kerajaan Pakatan Rakyat ini akan kami terjemahkan melalui aktiviti-aktiviti, polisi-polisi dan perancangan pembangunan fizikal yang berada di dalam bidangkuasa Ahlimajlis.

Soalan 5 : Apa contohnya agenda tersebut telah saudara jalankan ?

Contohnya ialah program Makan Malam dan Suaikenal Ahli-Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu dengan Persatuan dan Ahli-Ahli Peniaga Pasar Malam dan Pasar Pagi dalam daerah Kubang Pasu yang turut dihadiri oleh Pegawai Khas Kepada Menteri Besar Kedah, Ustaz Haji Hassan Abdul Razak.

Program tersebut adalah yang pertama kali berjaya diadakan melibatkan Ahlimajlis dengan Ahli Persatuan Peniaga Pasar Pagi dan Pasar Malam dalam daerah ini. Melalui program ini kami dapat mendengar keluhan dan permasalahan yang dihadapi oleh peniaga serta memberi penjelasan kepada mereka tentang isu yang dibangkitkan. Banyak masalah telah dapat diselesaikan…. tanpa menunggu masa dibincangkan di dalam mesyuarat.

Soalan 6: Apakah harapan saudara kepada Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Daerah Kubang Pasu.

Bila mahu memperkatakan tentang harapan saya kepada Pihak Berkuasa Tempatan, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah kenalah terlebih dahulu memahami apakah itu Pihak Berkuasa Tempatan ? Maksud yang mudah kita fahami ialah Pihak Berkuasa Tempatan merupakan gabungan dua entiti penting yang saling berkaitan. Dalam konteks Majlis Daerah Kubang Pasu ialah gabungan antara Yang Dipertua dan Ahlimajlis yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri atau Menteri Besar. Tanpa gabungan kedua entiti ini maka tidak wujudlah Pihak Berkuasa Tempatan ataupun dikenali sebagai Kerajaan Tempatan yang sah di sisi undang-undang.

Saya percaya…. harapan semua rakan-rakan lain apabila menduduki kerusi Ahlimajlis adalah sama iaitu mahu melihat wujudnya kerjasama dan persefahaman yang baik di antara mereka (Ahlimajlis) dengan pihak pentadbir ataupun penjawat awam. Hubungan dan persefahaman yang baik akan melahirkan situasi saling memahami dan menghormati di antara satu sama lain di dalam menjalankan bidang tugas masing-masing.

Sebaliknya…. Jika berlaku perkara seperti isu yang dilaporkan oleh tabloid Sinar Harian dalam beberapa hari ini… di mana Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu bertindak menafikan hak-hak serta tidak menghormati pandangan Ahlimajlis Pakatan Rakyat, di samping menyalahgunakan kuasa eksekutif serta melanggar undang-undang Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang menjadi rujukan perjalanan Pihak Berkuasa Tempatan maka berlakulah tindakan-tindakan yang mengejutkan banyak pihak termasuklah Pihak Berkuasa Negeri.

Soalan 6 : Maksud saudara ?

Apa yang saya cuba sampaikan ialah merujuk kepada kasus yang berlaku di antara Ahlimajlis Pakatan Rakyat dengan Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu, Datuk Che Barni Binti Mohd Noor di dalam pertikaian berkaitan penyalahgunaan kuasa eksekutif dan pelanggaran undang-undang di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Saya menyedari bahawa ramai yang terkejut apa yang telah berlaku. Di mana Ahlimajlis Pakatan Rakyat melakukan tindakan drastik dengan membuat dua laporan Polis ke atas seorang kakitangan dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu, di samping akan membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di masa sesuai akan datang.

Soalan 7 : Mengapa perlu buat laporan Polis. Tidak adakah jalan lain yang boleh di ambil supaya ia tidak menjadi isu politik ?

Isu ini tiada kaitan dengan politik. Ia adalah hal berpunca dari tuduhan berniat jahat dan fitnah melampau yang telah dilakukan oleh seorang kakitangan Majlis Daerah Kubang Pasu dan diikuti pula kenyataan media oleh Yang Dipertua yang dianggap cuba untuk menjatuhkan maruah Ahlimajlis Pakatan Rakyat. Jika perkara ini dibiarkan…rakyat akan percaya tuduhan-tuduhan yang mereka lakukan. Lebih dikhuatirkan ialah tuduhan mereka akan mempengaruhi persepsi Pihak Berkuasa Negeri terhadap Ahlimajlis.

Jadi…tindakan membuat repot Polis adalah sebagai langkah kami untuk mempertahan diri, di samping mengharapkan supaya pihak polis akan menyiasat perkara tersebut, sekaligus kami mahu tahu apakah motif pihak yang berkenaan membuat tuduhan dan fitnah ke atas Ahlimajlis Pakatan Rakyat. Repot polis ini adalah tindakan peringkat akhir yang kami lakukan setelah usaha secara dalaman tidak mendapat perhatian oleh pihak-pihak berkenaan.

Soalan 8: Di samping masalah yang saudara dedahkan tersebut, apakah masalah-masalah lain yang telah saudara kenal pasti dalam Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Daerah Kubang Pasu seperti isu sampah, longkang, gejala sosial, dadah, mat rempit atau lain-lain lagi ?

Masalah lain seperti isu sampah, longkang dan penjagaan rumput sememangnya telah wujud di zaman Umno/BN lagi. Isu ini sememangnya menjadi perhatian kami kerana ia melibatkan kepentingan awam. Kami amat memahami bahawa rakyat berhak untuk menikmati lingkungan kehidupan yang selesa, bersih dan dan bebas dari ancaman penyakit.

Sukacita diberitahu bahawa sejak Majlis Daerah Kubang Pasu menandatangani perjanjian dengan syarikat E-Idaman bagi menyelenggara hal berkaitan sampah, longkang dan rumput, masalah tersebut telah dapat diatasi. Saya mendapati rungutan rakyat berhubung isu ini semakin berkurangan, malah ada yang memberitahu bahawa mereka rasa puashati di atas perkhidmatan yang diberikan.

Tentang isu gejala sosial, dadah dan mat rempit, saya lihat ia masih lagi belum boleh diatasi sepenuhnya. Maksud saya ialah kes-kes berkaitan gejala social dan dadah masih wujud dalam masyarakat, khususnya melibatkan golongan remaja. Hal ini kena ambil masa untuk mengatasi sepenuhnya kerana ia melibatkan proses tertentu dan memerlukan sokongan semua pihak. Walau bagaimanapun di dalam konteks Majlis Daerah Kubang Pasu kami sentiasa memantau hal ini supaya ia tidak menjadi barah dalam masyarakat. InsyaAllah saya akan mencadangkan untuk ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Menangani Masalah Sosial dalam masa terdekat.

Soalan 9: Apakah cadangan-cadangan pembaharuan yang akan diperkenalkan oleh saudara dalam memajukan Majlis Daerah Kubang Pasu?

Pastinya dalam tempoh kurang 100 hari saya dan rakan-rakan dilantik sebagai Ahlimajlis memerlukan lebih banyak masa untuk mengetahui perkara yang perlu kami lakukan. Setakat hari ini belum ada sebarang pembaharuan yang kami lakukan. Kalaupun nak dikatakan ia sebagai pembaharuan… ialah berkaitan tindakan kami yang merujuk kepada perlaksanaan kehendak yang terkandung di dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 di dalam Bahagian IV, Penjalanan Urusan, Seksyen 23. Di mana, saya mencadangkan supaya ‘orang ramai’ dibenarkan hadir mengikuti perjalanan Mesyuarat Penuh Kali Ke-2 yang hendak diadakan. Namun cadangan ini mendapat bantahan dari pihak pentadbiran kerana ia dianggap mencampuri urusan pentadbiran dan membelakangkan ‘amalan lazim’.

Saya hairan bila cadangan mendapat bantahan. Bagi saya apalah yang hendak dibimbangi jika orang ramai hadir mengikuti perjalanan Mesyuarat Penuh yang diadakan kerana ia bukanlah menjadi suatu rahsia. Sebaliknya jika ia dilaksanakan, rakyat akan melihat ia merupakan ketelusan dalam pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan. Pastinya rakyat akan lebih memahami apa yang kita lakukan, sekaligus mengikis syak wasangka terhadap perjalanan kerajaan.

Hal lain mungkin diberi perhatian oleh pihak tertentu ke atas kami ialah tindakan Ahlimajlis Pakatan Rakyat memohon kepada Yang Dipertua mendapatkan naskah undang-undang kecil dan peraturan-peraturan yang menjadi ‘punca kuasa’ dalam perjalanan Majlis Daerah Kubang Pasu. Tetapi permohonan kami tidak dipedulikan oleh Yang Dipertua tanpa menyatakan alasan. Undang-undang kecil ini penting kerana ia menjadi rujukan serta panduan dalam perjalanan majlis dalam hal-hal yang berkaitan dengannya. Hasrat kami berbuat demikian adalah untuk mengkaji undang-undang kecil sedang digunapakai, sekiranya ia perlukan kepada pindaan maka kami mahu melakukannya. Adakah ini juga dianggap sebagai pembaharuan yang bertentangan dengan amalan lazim ?

Isu lain yang hangat diperhebihkan sekarang ialah berkaitan tafsiran undang-undang di dalam Seksyen 28, Akta Kerajaan Tempatan 1976. Ia adalah tentang perlantikan Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Tetap. Dalam hal ini saya dapati Yang Dipertua secara jelas telah melanggari kehendak undang-undang tersebut. Jika teguran yang saya dan Ahlimajlis Pakatan Rakyat buat ke atas Yang Dipertua dianggap sebagai mencampuri urusan pentadbiran serta membelakangkan amalan seperti yang berjalan di zaman kerajaan Umno/BN dahulu, bolehlah saya simpulkan bahawa ada tangan ghaib mahu Ahlimajlis sebagai ‘rubber stamp’ dan ‘lembu yang dicucuk hidung’ kepada Yang Dipertua semata-mata.

Saya berpendapat bahawa jika sesuatu amalan lazim yang dipraktikkan itu membelakang undang-undang, maka ia perlu diperbetulkan. Hanya amalan lazim yang tidak menyalahi undang-undang dan syarak sahaja yang boleh dituruti. Hal ini memberi gambaran bahawa perjalanan urus tadbir di Pihak Berkuasa Tempatan selama ini adalah tidak sepenuhnya mengikut semangat dan kehendak yang ditetapkan di dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang menjadi ‘sumber rujukan’ yang sah di sisi undang-undang Malaysia yang boleh menjurus kepada amalan korupsi, penyalahgunaan kuasa dan perlanggaran undang-undang.

Soalan 10: Pada pandangan saudara mengapakah ada pihak yang sanggup menghantar surat menuduh ada antara 16 Ahli Majlis adalah sebagai bankrupt dan penjenayah dan mengapakah saudara telah membuat repot polis?

Saya anggap perbuatan ini berniat jahat. Ia adalah suatu agenda pihak tertentu yang bermatlamatkan supaya Pihak Berkuasa Negeri mengambil tindakan ke atas Ahlimajlis Pakatan Rakyat. Jika tuduhan ini betul, saya akan akur, sebaliknya jika ia hanya tuduhan melulu maka ia adalah fitnah melampau yang dilakukan oleh pihak berkenaan yang juga merupakan kakitangan Majlis Daerah Kubang Pasu.

Di samping itu, saya juga menanggapi perbuatannya itu sebagai tindakbalas ke atas Ahlimajlis Pakatan Rakyat yang lantang mengkritik pentadiran di bawah Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu seperti yang telah saya nyatakan di atas.

Soalan 11: Apakah perkara-perkara yang saudara rasa, tindakan saudara telah mengganggu pentadbiran majlis dan mengganggu kelancaran pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat?

Saya menyedari bahawa ada pihak-pihak yang mempertikaikan tindakan yang dilakukan. Ini kerana mereka yang berkenaan tidak faham tentang duduk sebenar perkara yang berlaku ataupun faktanya telah diputarbelit oleh pihak terbabit. Sebaliknya, kami yang menduduki kerusi Ahlimajlis telah melihat dengan jelas telah berlaku perkara-perkara yang kami sifatkan sebagai penyalahgunaan kuasa eksekutif dan pelanggaran undang-undang di dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 oleh pihak Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu.

Oleh itu, tidak timbul isu yang mengatakan bahawa tindakan saya dan Ahlimajlis Pakatan Rakyat akan mengganggu kelancaran pentadbiran kerajaan Pakatan rakyat samada di peringkat daerah maupun negeri. Semua ini dilakukan di dalam ruang lingkup undang-undang yang digunapakai. Saya berharap pihak berkenaan dapat melihat perkara ini sebagai suatu usaha yang akan memberi kesan baik dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Cuba bayangkan…. jika semua peringkat eksekutif Pihak Berkuasa Tempatan menjalankan tugas masing-masing mengikut undang-undang sudah pasti tidak akan berlaku perkara-perkara seperti yang diterangkan di atas.

Jika hal yang kami lakukan ini dianggap mengganggu kelancaran pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di peringkat negeri maka ia bolehlah diumpamakan sebagai seorang Jeneral yang menghantar tentera ke medan perang tetapi telah mengeluarkan arahan tidak membenarkan tenteranya membunuh musuh. Bagi saya ia adalah suatu arahan pelik dan mengelirukan. Ada yang tak kena dengan Jeneral berkenaan, walaupun ia ada alasan yang dirahsiakan kepada tenteranya. Tetapi jangan dilupakan bahawa kepatuhan tenteranya itu akan mengundang malapetaka seperti maut ditangan musuh pada bila-bila masa saja.

Soalan 12: Sehingga sekarang adakah saudara berfikir akan terus dapat bekerjasama dengan pihak pentadbiran MDKP demi memajukan Daerah Kubang Pasu?.

Tidak timbul soal saya atau Ahlimajlis Pakatan Rakyat lain tidak mendapat kerjasama dengan pihak pentadbiran dan kakitangan Majlis Daerah Kubang Pasu. Apa jua masalah yang berlaku dalam organisasi Majlis Daerah Kubang Pasu akan kami selesaikan dengan cara yang baik.

Saya juga optimis bahawa kakitangan Majlis Daerah Kubang Pasu sedang melihat perkara yang berlaku. Ramai juga yang menyokong dan bersetuju dengan pembaharuan serta cara kami mengendalikan Majlis Daerah Kubang Pasu. Cuma adalah segelintir sahaja yang tidak mahu kepada cara kami kerana sebab-sebab peribadi yang sukar dijelaskan di sini. Apapun semua masih berada di dalam kawalan dan pemantauan kami.

Soalan 13: Adakah tindakan yang dilakukan oleh saudara telah terkeluar dari peraturan, undang-undang atau kelaziman yang telah sedia ada selama ini?

Jika anda maksudkan ia berkaitan isu yang saya terangkan di atas, saya ingin menegaskan bahawa semua perkara dilakukan mengikut proses yang betul serta mengikut undang-undang. Sekiranya ada pihak yang mempertikaikan bahawa cara kami membelakangi amalan lazim yang dipraktik di dalam pengurusan dan pentadbiran MDKP sebelumnya, maka ia adalah semata-mata kekeliruan dan tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku.

Sebelum sesuatu tindakan di ambil oleh saya dan rakan-rakan (Ahlimajlis Pakatan Rakyat), kami mengadakan mesyuarat terlebih dahulu. Pandangan setiap orang akan didengari dan diambilkira, di samping saya dan beberapa rakan lain akan membuat rujukan kepada pihak lain yang berautoriti. Ia dilakukan supaya tindakan yang di ambil adalah berdasarkan fakta-fakta dan tidak menyalahi undang-undang di bawah peruntukan akta yang terpakai.

Apalah gunanya amalan lazim yang dipraktikkan, jika ia bertentangan dengan undang-undang serta tidak selari dengan aspirasi kerajaan Pakatan Rakyat.

Soalan 14 : Ada pihak tertentu melihat tindakan saudara adalah gopoh dan keterlaluan. Apa komen saudara ?

Hairanlah saya… jika ada pihak anggap tindakan kami ini gopoh dan keterlaluan. Gopoh maksudnya tidak sabar dan keterlaluan pula ialah melampaui batasan. Perlu difahami bahawa jika kami berusaha untuk memperbetulkan tindakan Yang Dipertua yang menyalahgunakan kuasa eksekutif serta melanggar undang-undang adalah gopoh dan keterlaluan…. tolonglah cadangkan kepada kami, bilakah masanya perkara ini boleh diperbetulkan. Ia akan mudahkan kami nak buat tindakan.

Soalan 15: Pada pandangan saudara, apakah peranan yang sebenarnya perlu dimainkan oleh seseorang ahli majlis dan apakah peranan penjawat awam?

Secara ringkasnya peranan kami sebagai Ahlimajlis Pakatan Rakyat ialah membuat dasar, merancang dan meluluskan sesuatu perkara yang didapati tidak bertentangan dengan undang-undang serta selari dengan hasrat kerajaan negeri iaitu “Kedah Sejahtera”

Soalan 16 : Akhirnya, apa pandangan saudara terhadap Ahlimajlis Pakatan Rakyat yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri ?

Sejujurnya semua Ahlimajlis lantikan politik dari Pakatan Rakyat adalah berkualiti dan merupakan aset besar kepada kerajaan negeri dan parti. Ini kerana mereka adalah kerajaan ketiga yang berada di pihak Pihak Berkuasa Tempatan yang diiktiraf oleh undang-undang. Merekalah yang paling hampir dengan rakyat.

Persoalannya ialah sejauhmanakan mereka (Ahlimajlis Pakatan Rakyat) ini telah diberi sokongan dan dorongan yang sewajarnya oleh Pihak Berkuasa Negeri dan parti untuk menjalankan tugas mereka masing-masing. Jika mereka tidak dimanfaatkan melalui usaha-usaha yang konstruktif, ia adalah suatu kerugian besar kepada kerajaan negeri dan parti. Pengalaman saya dengan beberapa orang Ahlimajlis Pakatan Rakyat di Pihak Berkuasa Tempatan lain mendapati mereka sungguh bersemangat, mempunyai komitmen, ada visi dan misi yang hebat. Malangnya mereka kurang mendapat sokongan terutamanya dari segi moral dari pihak yang sepatutnya berbuat demikian.Hal ini perlu diberi perhatian oleh Pihak Berkuasa Negeri dan parti.

Akhirnya, saya berkeyakinan bahawa Ahlimajlis Pakatan Rakyat adalah dikalangan individu yang berkualiti, istiqamah serta bersedia menjadi agen perubahan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan seperti mana yang diharapkan oleh semua pihak.

Sekian, terima kasih.