(63) Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pemurah itu adalah, orang-orang yang berjalan di muka bumi dengan sopan dan apabila orang-orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), mereka mengucapkan, “salaam”.
(64) Dan mereka yang menghabiskan waktu malam untuk beribadah kepada Tuhan, baik sujud mahu pun berdiri.
(65) Dan orang-orang yang berkata, Ya Tuhan kami, jauhkanlah azab neraka Jahannam dari kami, karena sesungguhnya azab neraka Jahannam itu sangat memilukan.
(66) Dia (Neraka Jahannam) itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.
(67) Dan orang-orang yang apabila menginfakkan (harta), mereka tidak boros, dan tidak pula kedekut, melainkan pertengahan di antara keduanya secara wajar.
(68) Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan Allah dengan sembahan lain, dan tidak membunuh orang yang diharamkan Allah kecuali dengan alasan yang benar, dan tidak berzina; dan barang siapa melakukan demikian itu, niscaya dia mendapat hukuman yang berat.
(69) Berlipat gandalah siksa akan dideritanya dihari kiamat, dan tetap mereka disana dalam keadaan terhina.
(70) Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan beriman dan beramal dengan amalan yang soleh. Orang-orang yang semacam itu akan diganti oleh Allah kejahatannya dengan berbagai kebajikan. Dan Tuhan Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.
(71) Dan siapa-siapa yang kembali (taubat) dan beramal pula dengan amalan yang soleh, maka sesungguhnya kembalinya itu ialah kepada Allah, sebenarnya taubat.
(72) Dan orang-orang yang tidak memberikan kesaksian dusta, dan bila mereka melalui urusan-urusan yang tidak berfaedah, mereka menjauhinya dengan sikap yang mulia.
(73) Dan orang-orang yang bila diingatkan ayat-ayat Tuhan kepada mereka, tiadalah mereka menulikan telinga dan membutakan mata.
(74) Dan orang-orang yang berkata Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kiranya kami ini dari isteri-isteri dan keturunan kami yang menjadi cahaya mata, dan jadikanlah kiranya kami ini menjadi Imam ikutan daripada orang yang bertaqwa kepada Engkau.
(75) Orang-orang itulah yang akan diberi ganjaran pahala dengan ruangan yang mulia kerana kesabaran mereka, dan disana mereka akan disambut dengan segala kehormatan dan kebahagiaan.
(76) Kekal mereka di sana selamanya! Itulah yang sebaik-baik tempat kediaman dan tempat tinggal.
(Terjemahan Surah Al-Furqan ayat 63 hingga 76)
Wahai pemuda dan pemudi kuMarilah kita berusaha sebaik mungkin untuk mencapai gelaran "Ibadur Rahman" (Hamba-hamba daripada Tuhan Yang Maha Pemurah) dengan melengkapi ciri-ciri yang disebut oleh ayat diatas iaitu:-
1. Bergerak dimuka bumi dengan sikap yang sopan santun, tidak sombong dan tidak bongkak.
2. Sentiasa memberi salam
3. Mempergunakan malam hari untuk beribadah kepada Allah swt.
4. Sentiasa merasa gerun dan takut dengan azab neraka Allah
5. Menafkah harta kearah kebaikan berdasarkan kemampuan (tidak terlalu boros dan kedekut)
6. Tidak mensyirikkan Allah
7. Tidak membunuh orang orang lain dan diri sendiri.
8. Tidak berzina
9. Banyakkan beristighfar memohon keampunan kepada Allah untuk dosa kecil
10. Melakukan Taubat Nasoha untuk dosa besar
11. Tidak melakukan persaksian bohong
12. Mengelakkan diri dari membuang masa terhadap perkara tidak berfaedah (lagha)
13. Sentiasa peka dengan tuntutan dan tegahan Al-Quran
14. Sentiasa memohon kepada Allah agar memperolehi keluarga dan keturunan yang soleh.
15. Sentiasa memohon kepada Allah agar diri sendiri menjadi orang yang bertaqwa sehingga dapat menjadi ikutan (Imam) yang baik kepada keluarga dan masyarakat.
Itulah dia - "Ibadur Rahman" iaitu orang-orang yang telah menyediakan jiwa raganya menjadi Hamba Allah dan bangga dengan perhambaan itu.
Mukanya selalu tenang dan sikapnya lemah-lembut. Mudah dalam pergaulan, tidak bosan melayani orang bodoh, bangun beribadah ditengah malam, mendekatkan jiwanya dengan Tuhan. Menjauhi kejahatan kerana insaf akan azab api neraka.
Tengah malam bangun bermunajat, bertahajjud dan memohon ampun kepada Allah, terdengar azan Suboh, segera bingkas ke surau atau masjid berjamaah. Tidak mengangkat diri kerana mungkin "kelasnya" dalam masyarakat duniawi terpandang tinggi.
Menyebarkan senyuman dan sikap sopan kepada sesama manusia. Selesai sembahyang keluar pula berusaha mencari rezeki yang telah disediakan Tuhan. Apabila mendapat rezeki tersebut, dinafkahkan dengan baik. Tidak boros dan telajak serta tidak pula dia bakhil dan kedekut. Dan bukan pula kerana terlalu kuat solat malam, tidak kuat lagi berusaha disiang hari.
Teguh tauhidnya sehingga tidak ada lagi tempat takut dan bertawakkal, kecuali kepada Allah, tidak dia memuja Tuhan yang lain, kerana memang tidak ada Tuhan yang lain. Hanya Allah. Tidak membunuh dan tidak pernah berniat jahat kepada sesama manusia, suci bersih kemaluannya dari perzinaan, dan tidak melakukan persaksian dusta, tidak suka mencampuri perbualan kosong yang menghabiskan masa dan dia tekun mendengar kebenaran. Bukan dirinya dan badannya sendiri sahaja yang difikirkannya, bahkan isteri dan anak-anaknya pun, diberi contoh tauladan sebagai Mukmin sejati.
Akhirnya, Allah menjanjikan kepada HambaNya ini akan diberi ganjaran tempat yang mulia dan akan disambut dengan penuh kehormatan dan salam kebahagiaan.
Kerana kesabaran hamba-hamba Allah itu berjalan menegakkan kebenaran, menyusun kekuatan diri, melatih batin menjadi "Ibadur Rahman". Hamba Allah Tuhan Yang Maha Pemurah akan merasai bahawa mengatur hidup secara teori adalah mudah, tetapi untuk melaksanakannya adalah amat sukar. Setiap liku hidup orang beriman itu dipenuhi dengan cubaan dan ujian, meminta pengorbanan dan kadang-kadang meminta korban darah dan air mata.
Kesabaran berjuang menegakkan keperibadian sebagai hamba Allah secara sedar akan menyebabkan kebahagiaan jiwa, kerana terikat dengan janji Allah akan dikurniakan syurga Jannatun Na'im, tempat tinggal yang tenteram, kediaman yang senang dan tenang; disambut oleh malaikat-malaikat Tuhan dengan ucapan Tahiyyat (selamat) dan salam bahagia.
Semoga kita akan merasa nikmat mejadi Hamba Allah apabila syarat-syarat dan latihan hidup yang telah digariskan dalam ayat "Ibadur Rahman" dapat kita laksanakan setapak demi setapak, selangkah demi selangkah.
Selamat Berjuang Pemuda dan Pemudiku.........
No comments:
Post a Comment