Thursday, November 24, 2011

Entitlement... aku ambil memang hak aku !!!

"An entitlement is a guarantee of access to benefits based on established rights or by legislation. A "right" is itself an entitlement associated with a moral or social principle, such that an "entitlement" is a provision made in accordance with legal framework of a society."

Terjemahannya lebih kurang "
Entitlement ialah jaminan memperolehi manfaat berdasarkan hak-hak yang ditentukan atau oleh undang-undang. "Hak" itu sendiri adalah kelayakan yang berkaitan dengan prinsip moral atau sosial, bahawa "hak" adalah satu peruntukan yang dibuat selaras dengan rangka kerja undang-undang dalam masyarakat."

Dalam masyarakat dahulu kala sehinggalah zaman teknologi maklumat sekarang ini sudah menjadi norma biasa seseorang itu berhak menuntut haknya. Lebih-lebih lagi yang menjawat jawatan di dalam sesebuah kerajaan samada sebagai Pegawai Tadbir atau Penguasa iaitu ahli politik, bahkan yang bekerja di sektor swasta.

Setelah menjawat jawatan yang didamkan atau diberi jawatan tanpa mengidamkannya maka hak yang telah di tetapkan oleh undang-undang terutama mengenai gaji, elaun, kemudahan yang berhak diperolehi olehnya akan dituntut. Sesiapa pun tidak akan memarahinya atau menganggap perkara itu salah, bah pihak jabatan audit akan mengesahkan bahawa semua tuntutan yang dibuat adalah sah.

Jika perkara ini juga berlaku kepada pejuang ISLAM dan diterima pakai tanpa ada apa-apa keanihan atau kesalahan, terhadap hak-hak yang melampau yang digazette sejak sekian lama oleh regim terdahulu dimana-mana negara di dunia ini setelah Gerakan Islam menguasai pemerintahan, menurut Hj Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS inilah adalah satu fahaman yang seolah-olah mereka lebih
cerdik dari Nabi dan pemerintah zaman keemasan Islam satu ketika dahulu!

Beliau mengulas, "memang betul saya pergi melancong guna wang kerajaan, kerana itu hak aku ada dalam undang-undang peringkat negara, peringkat negeri, peringkat majlis daerah, GLC setiap tahun boleh pergi melancong! tak percaya lihat dalam peruntukan sekian-sekian... muka surat sekian-sekian"

Seterusnya beliau menambah "Jika perangai pejuang Islam apabila telah menguasai kerajaan menerima atau menuntut hak seperti regim terdahulu, maka sikap Ihsan yang amat ditekan dan di amalkan oleh baginda Rasul masih belum masuk dalam diri mereka. Ya! memang betul Jabatan Audit pun akan membenarkan tuntutan yang kita buat, tanpa ada keraguan,,, kerana mengambil hak yang memang tercat
at dalam peraturan sedia ada"

Beliau seterusnya memberitahu, "disinilah timbul mengapa menjadi pemimpin dalam Islam terutama pemimpin yang menjaga khazanah dan wang rakyat (pemimpin negara, negeri, majlis daerah dan GLC) adalah amanah yang amat berat dan bukan menjadi rebutan... masalahnya sekarang ia menjadi rebutan kerana melihat di sana ada habuan dan hak-hak istimewa yang akan dipungut dan dikumpul"

"Kadang-kadang saya berfikir sendirian, benarkah agama yang dianut sekarang ini, adalah agama yang dibawa oleh Muhammad saw atau agama lain, ket
ika melihat gelagat pemimpin dan rakyat yang mengaku mengikut agama yang di bawa oleh Muhamad saw, kerana Rasulullah saw di beri jaminan dalam Al-Quran haknya untuk mendapat 1/5 daripada hak rampasan perang... dan sepanjang sejarah selama 10 tahun di Madinah Rasulullah saw terlibat sekitar 60 kali peperangan besar dan kecil, yang sepatutnya dengan hak tersebut Rasulullah saw sudah tentu telah menjadi seorang billionaire, kerana harta rampasan berupa emas, perak, binatang ternakan, ladang-ladang, barang perhiasan, makanan, senjata, hamba dan sebagainya diperolehi cukup banyak dalam satu-satu pertempuran yang dimenangi.

Namun kemanakah hak 1/5 harta tersebut yang termaktub di dalam Al-Quran?

Semuanya di agihkan oleh Rasulullah saw kepada rakyat Madinah, hanya s
ecebis diambil oleh beliau dan isteri-isteri beliau setakat keperluan, bahkan lebih sedikit dari keperluan sebenar!. Sehingga kadang-kadang dapur rumah beliau sendiri tidak berasap walaupun ketika itu beliau adalah ketua negara yang memang telah menjadi perkara yang termaktub dalam undang-undang sosial ketika itu hak ketua adalah sekian-sekian, tetapi semua itu diketepikan oleh Rasulullah saw... dan inilah antara punca utama bagaimana Islam dapat berkembang dengan begitu cepat seperti lalang terbakar dimusim kemarau...." Ulas Timbalan Presiden lagi.

Jelas beliau lagi, "Kita lihat pula Khalifah Umar Abd Aziz, yang menjadi Idola kepada TS Khalid Ibrahim, MB Selangor dan T. Guan Eng, KM Pulau Pinang dan sepatutnya kitalah yang lebih banyak mengambil pedoman dan ikutan daripada mereka berdua apabila kita telah berkuasa. Setelah kematian Khalifah Sulaiman, Umar Abd Aziz di lantik sebagai Khalifah dan diminta berucap di atas mimbar, setelah berucap beliau turun dari mimbar dan ketika itu juga dibawa kepada beliau sebuah kereta kuda yang dihiasi penuh gemerlapan hiasan yang indah-indah dan paling berprestij ketika itu.

Umar bertanya kepada pegawai yang membawa kereta kuda itu. "Apakah ini?" Jawab pegawai, "Inilah adalah keketapan negara, bahawa apabila seseorang Khalifah baru dilantik maka sebuah kereta kuda baru yang belum pernah disentuh oleh Khalifah sebelumnya akan diberikan kepadanya" Umar menjawab, "Jual kereta kuda ini dan wangnya kembalikan ke baitulmal" Beliau lalu menuju kepada kaldainya dan selepas itu terlalu amat jarang beliau menaiki kuda.

Setelah sampai dirumah dengan keadaan sugul dan menangis isterinya Fatimah bertanya, "Mengapa menangis, apakah musibah yang menimpa dirimu? Jawab Umar, "Wahai Isteriku, aku diamanahkan untuk mengurus umat Muhammad saw. Lalu aku terfikir berkenaan fakir miskin yang kelaparan, mereka yang sakit terlantar tanpa mendapat rawatan, orang yang tidak berpakaian, mereka yang teraniaya, orang tua yang terbiar, mereka yang ramai anak sedangkan hartanya sedikit dan banyak lagi. Di akhirat saya akan di tanya Tuhan mengenai semua itu. Saya takut dan sedih, lalu saya menangis."

Isterinya cuba memujuk, namun Umar terus berkata, "Apakah selepas saya menjadi Khalifah kamu menyangka kita akan hidup senang lenang dan kaya raya seperti ayahmu Khalifah Abd Malik? Demi Allah, kita pasti akan hidup miskin daripada kita sekarang."

Bila mula masuk bertugas, Pegawai Perbendaharaan Negara datang kepada Khalifah Umar dan memberinya wang gaji pendahuluan sebanyak 40,000 dinar untuk setahun, namun ditolak hak itu dan beliau hanya mengambil 200 dinar sebagai perbelanjaan keluarganya selama setahun, sementara selebihnya diarahkan dimasukkan semula keperbendaharaan negara. Kemudian kunci baitulmal diserahkan oleh pegawai Perbendaharaan Negara kepada beliau. Beliau menerima dan berkata, "Harta baitulmal adalah hak rakyat, saya tidak akan mencuri dan menyelewengkannya walaupun satu dinar."

Khalifah Umar Abd Aziz, menolak tinggal di dalam istana, beliau tinggal dirumah sendiri yang tiada pagar dan pengawal dan beliau juga telah menjual semua harta milik peribadinya dan disumbangkan kepada baitulmal untuk rakyat. Panjang lagi kisahnya jika kita hendak meneladaninya."

"Apabila penguasa hidup di paras miskin, janganlah pula kita menyangka rakyat pula akan hidup di bawah paras fakir, jawapannya tidak, kerana dalam zaman Umar Abd Aziz, seorang hamba (yang sepatutnya tidak boleh memiliki harta) apabila hari kematiannya, diberi tahu kepada Umar Abd Aziz, hamba itu meninggalkan harta sebanyak 10,000 dinar!" jelas Bang Mat.

"Itulah antara contoh sikap dalam soal "Entitlement", yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan Khalifah Umar Abd Aziz. Persoalan saya, adakah Rasulullah saw dan Umar Abd Aziz lebih bodoh daripada kita dalam soal menuntut hak mereka sebagai seorang yang ada jawatan dan berkuasa?" Soal Hj Mohammad Sabu.

"Sudah tentu tidak!, mereka adalah suri tauladan dalam menjaga amanah rakyat." Tambahnya.

Ulasan-ulasan seperti di atas amat sukar untuk saudara perolehi di pentas ceramah umum dari Timbalan Presiden PAS, ia hanya dikupas di dalam kuliah-kuliah, terutama di dalam kuliah kitab Menabur Pesan Ilahi, di Surau Tambak Bunga, Alor Setar, Kedah. (Catatan adalah dalam bentuk ingat-ingat lupa, mohon maaf kepada Bang Mat jika ada mana perkataan dan ayat terlebih dari 'Hak' yang di cakap oleh Bang Mat)

Kembali kepada Hak atau Entitlement tadi, adakah mereka yang menjadi pemegang amanah dan wang rakyat, pernah terfikir seperti yang pernah difikir oleh Rasulullah saw dan Umar Abd Aziz, ketika menggunakan wang rakyat berada di tempat peranginan indah bersama anak isteri, sedangkan ada rakyat masih hidup kais pagi makan pagi.... cuma atas alasan ini hak aku!

Persoalan inilah yang tidak pernah difikirkan oleh pemimpin UMNO/BN dan ahlinya. Mengakibatkan hak kepada mereka yang berkuasa dan memegang amanah rakyat semakin membesar sedangkan hak rakyat semakin terhakis. Maka berlumba-lumbalah mereka mencapai darjat sebagai penguasa untuk mendapat hak dan keselesaan.

Semoga ia tidak menjangkiti dan meresapi caragaya di dalam pemerintahan negara, negeri, majlis daerah dan GLC Pejuang ISLAM. Janganlah golongan sosialis yang dicap oleh kita sebagai sekular memintas kita dengan melakukan pengisytiharan harta ketika memegang jawatan sebagai MP dan ADUN untuk mengelak mengambil perkara yang terlebih hak dari hak... sedangkan ikutan kita Rasulullah saw dan Khalifah Umar Abd Aziz telah menolak hak mereka yang telah termaktub. ini bererti contoh ikutan kita lebih baik dari sosialis, malangnya jika contoh itu kita tidak mahu ikuti! Lebih malang setelah kita tidak ikuti contoh yang tersedia akhirnya golongan sosialis sekular memintas laju menguasai rakyat.... kita terkial-kial hanyut dengan Entitlement.

2 comments:

ALI MAIDIN said...

rezki sheikh, bila lagi nak merasa. penat dah berjuang. woooo

Anonymous said...

..tolong tengok hat tu ja la...kg baru naik ayaq...korek parit ka apa ka...rumah pak long solah kita pun tenggelam...apa cerita kan..tolong cari peruntukan tengok..nak ubah taman-taman keliling tak buleh dah..kita dok kata taman tinggi..kg kita tenggelam...la ni nak cari solution..bukan nak tuding jari tunjuk kat taman..

tudia..gambaq paknjang din tak pakai baju...habuan...