Wednesday, July 29, 2009

Jabatan Insolvensi Cekik Darah dengan Akta Lapuk 1967???

Kali pertama dalam hidup aku berurusan dengan Jabatan Insolvensi.

Tujuan berurusan dengan Jabatan Insolvensi yang tidak famous dan tidak dikenali ramai ini, ialah kerana berhasrat untuk membantu seorang sahabat menyelesaikan kes ke Bankrupannya yang telah tertanggung selama 3 tahun.

Berurusan dengan seorang pegawai wanita, yang berumur sekitar 28 tahun (aku rasa le....... bila tengok romanya), seorang pegawai yang baik dan ramah........ Aku pergi bersama dengan sahabat yang bankrup itu. Berurusan sambil berdiri, dikaunter yang sempit, kerana bilik tengah ubahsuai dan fail bertimbun, setakat seorang boleh masuk, jelas pegawai muda itu.

"Kesian....... oooooo patutpun pejabat bankrup" otak jahat aku berkata kepada aku.

Mengemukakan soalan-soalan demi soalan kepada beliau, sahabat aku yang bankrup dok pulun tanya mengenai aset-asetnya yang telah ditelan oleh Jabatan Insolvensi, seperti duit-duit beliau dibank, wang hibah RM9.10 pun ditelan......... hasil lelongan awam harta tanah beliau dan duit bunga riba yang terpaksa dibayar selain hutang. Sementara aku pula cuba mencukil ada lagi ke kes-kes yang dibuat oleh sahabat aku tu, kerana bimbang selepas tolong selesai kes yang ini, timbul pula kes yang lain.

Pegawai itu jawab, "setakat ini, tiada, kecualilah Encik ini cakap tak betul dengan Saudara", sambil menunjuk kepada sahabat aku tu.

Aku balas balik, "Saya mai ini untuk pastikan dia tak kecoh kami, kawan-kawan yang nak tolong minta saya mai tanya dan semak bagi habih-habih supaya selepas kami bebaskan dia, tidak ada tuntutan berbangkit."

Aku pun mula, tanya......... pasai apa macam ini.......... sahabat aku pula mencelah mengapa begini... sebab apa jadi lagu ni......... kami tak faham le.........

Akhirnya, pegawai itu bagi rumusan dan menjelaskan untuk selesaikan kes kebankrupan itu perlu membayar sebanyak jumlah sekian bayaran dan mesti campur dengan jumlah bunga sebanyak sekian bayaran.

Kami pun turun lift dari tingkat tiga, naik atas kereta, sembang nguk-ngak, nguk-ngak, tak faham, makin tak faham. Esoknya call sahabat aku, ajak dia jumpa di restoren Aziz, taman Anggerik dekat Pejabat Naset............ oop silap YB Mohd Nasir.

Jumpa, order tea tarik, roti canai garing, kuah taruk atas dan terus bincang. Sebab apa begini dan begitu........ keputusan dicapai supaya jumpa terus dengan Pengarah Insolvensi untuk dapat penjelasan kerana untuk sahabat aku ni nak bebas dari bankrup terpaksa bayar bunga lebih kurang 15% dari hutang yang dia ada, setelah tolak aset tunai yang ditelan insolvensi.

Balik rumah........... baru aku terfikir, lebih baik tulis surat terus kepada Pengarah Insolvensi dan dalam surat nyatakan fakta kami dan juga minta fakta Insolvensi. Call sahabat aku tu dia setuju. Aku terus taip surat dengan fakta-fakta dipihak kami menyatakan bahawa Insolvensi terlebih tuntut sebanyak sekitar RM4,000.00 ............... pederas kereta pi rumah dia, minta dia sendiri pergi hantar surat tu ke pejabat insolvensi. Jam 4.30 petang itu juga sahabat aku menghantar surat Mohon Penjelasan itu.

Dalam pukul 5.00 petang, Pegawai Insolvensi yang kami jumpa kelmarin call, dan minta datang esok, jumpa dengan Pegawainya yang lebih atas untuk terang kedudukan yang sebenar dan beliau menekankan jumlah bayaran yang perlu dijelaskan masih tidak berubah.

Esoknya, Rabu, jam 11.45 pagi kami berdua sekali lagi, naik liff ketingkat 3, Wisma Persekutuan, masuk jumpa Pak Guard dan beri tahu nak jumpa pegawai sekian-sekian.

Masuk jumpa, "Aaaaah............ pegawai yang sama". Kali ini di dalam pejabat yang penuh fail bertimbun hampir sama tinggi berdiri disekeliling.

"Ya, Encik tak faham apa lagi, cuba terangkan" katanya dan wajah tidak ceria seperti kelmarin dulu.

Sahabat aku pun mula tanya, aku mencelah........ Pegawai conteng angka-angka atas kertas A4, tak faham dan tak faham. Muka Pegawai makin bekerut, tapi masih menjawab.... minta izin untuk panggil Pegawainya yang lebih atas. Itu yang kami tunggu-tunggu.....

Pegawai lelaki masuk jumpa kami, OK boleh tahan............ dia ambil alih dikerusinya dari pegawai wanita.

"Ok, Encik, terangkan dimana yang tak faham" minta Pegawai lelaki itu.

Sahabat aku pun, terang, "Begini......... saya hutang RM93,000.00 dengan bank dan telah diisytihar bankrup kerana tak mampu bayar, maka kes itu perlu diselesaikan melalui Jabatan Insolvensi. Saya dah minta kurang dan bank bagi kurang sehingga RM65,000.00 dan jumlah inilah yang diterima pakai oleh Jabatan Insolvensi."

Sahabat aku menambah lagi, "Sekarang ini aset-aset saya yang telah dipegang oleh insolvensi ialah sebanyak RM11,632.00, oleh itu RM65,000.00 tolak RM11,632.00 aset tunai saya menjadikan jumlah pokok yang saya kena bayar ialah RM53368.00."

"Persoalan saya, mengapa saya diminta membayar sebanyak RM62,939.00?, dari manakah datangnya lebih bayaran sebanyak RM9,571.00 iaitu bunga riba sekitar 18 persen telah diminta oleh Jabatan Encik?."

"Ok, habis..........." tanya pegawai lelaki, itu sambil pegawai wanita ada bersama untuk mendengar penerangan bossnya.

Pegawai lelaki itu pun terang, panjang lebar satu persatu dengan jelas dan teratur, menggunakan pen biru, merah, kuning, hijau .............

Ringkasnya begini,

1. Kos Pentadbiran sebanyak RM900.00 hingga ke RM1,500.00

2. Cukai kepada kerajaan bila duit sahabat aku masuk ke Insolvensi akan dikenankan 7 persen. Duit dari mana-mana bank yang masuk ke insolvensi akan dicukai 7 persen, duit dari jualan harta tanah akan dicukai 7 persen, duit hibah bank walau 9.10 akan dikenakan cukai 7 persen juga. Katanya walau 10 sen sekali pun duit yang masuk ke insolvensi akan dikenakan cukai 7 persen. Jadi disini cukai ialah sekitar RM4,550.00 yang mesti ditambah dari hutang pokok.

3. Cukai kepada kerajaan bila duit hendak dibayar kepada bank tempat sahabat aku berhutang akan dikenakan pula 5 persen. Jadi disini cukai yang dikenakan ialah RM3,900.00

4. Lain-lain kos.

Campur semua lebih kurang jadilah jumlahnya RM9,571.00 yang terpaksa ditambah oleh sahabat aku dari jumlah hutang pokok yang ada di Jabatan Insolvensi, sudahlah dia bankrup, tiga tahun dok pulun cari duit, nak sara anak isteri, kawan-kawan dulu masa kaya dok sama-sama pekena tee tarik pun dah tak peduli, kadang-kadang terpaksa hutang cina kapiaq kerana malu nak hutang kawan karib nak bayar yuran anak sekolah........... tiba-tiba Jabatan Insolvensi pula bila adalah beberapa sahabat-sahabat lama dan baru nak cuba tolong jelaskan hutang sahabat yang bankrup ini, namun atas alasan akta Bankruptcy 1967 yang lapuk itu terpaksa lagi cari RM9,571 yang mudah dikira sebagai RM10,000 lagi, selain menjelaskan hutang pokok.

Aku menyeru dengan penuh kesedaran agar akta lapuk 1967 ini hendaklah dikaji semula, semuga Hj Mahfuz ka, Solahudin ka, Dr. Hatta ka, Dr. Hayati ka...... berilah cadangan di Parlimen supaya akta lapuk ini dipinda dan memudah mereka yang bankrup dan mereka yang ingin menolong orang yang bankrup bebas dari terus bankrup kerana kadang-kadang boleh digunakan sebagai senjata untuk tidak dibenar memegang jawatan.

Sudahlah bankrup, duit tak tak, nak bayar terpaksa bayar lebih RM10,000.00 ....... cuba bayang kan tuan-tuan........... bayangkannnnn. Kalau setakat servis cas RM1,000 ke boleh le tahan.

Itulah kisah 2 hari bersama Jabatan Insolvensi............. terima kasih atas kerjasama baik yang diberikan, oleh pegawai-pegawai Jabatan Insolvensi. Sahabat kita ini insyaAllah akan bebas dari bankrup dalam tempoh terdekat ini, doakan kejayaan membebaskan beliau dan merubah Akta Bankrup 1967 Cekik Darah dan Lehir yang terpaksa diikuti oleh pegawai di Jabatan Insolvensi dengan penuh amanah sehingga ke sen yang terkecil.

Saturday, July 25, 2009

Aku Sependapat Dengan Prof Hamirdin

Aku sependapat dengan Prof. Hamirdin Ithnin, dalam isu Kematian Teoh Beng Hock (Zhao Ming Fu).

Untuk lihat pendapat beliau klik di sini

Tuesday, July 21, 2009

KETUA KAMPUNG TERIMA ELAUN TERTUNGGAK ESOK?


Besok, Selasa 21 Julai 2009, InsyaAllah Ketua Kampung/ Komuniti dalam akan mendapat elaun yang telah tertangguh selama 7 bulan.......... asalnya dikatakan akan diberi setiap 3 bulan sekali, tetapi sekarang sudah melewati 7 bulan.

Sejak Pakatan Rakyat memerintah negeri Kedah, baru sekali Ketua Kampung menerima elaun mereka yang tak seberapa iaitu RM300 sebulan.

Exco telah memutuskan, elaun akan dibayar setiap 3 bulan sekali.

Malang dimana silapnya, dari 3 bulan sekali sekarang telah menjangkau 7 bulan, dan InsyaAllah esok Ketua Kampung/Komuniti akan mendapat elaun mereka. Walaupun aku bukan Ketua Kampung/Komuniti tapi akulah antara tukang kacau agar elaun Ketua Kampung di bayar bukan 3 bulan sekali, tetapi sebulan sekali.

Hari Sabtu, 18 Julai 2009 yang lalu, aku menerima SMS dari Pak Su Azim minta umum kepada semua Ketua Kampung/Komuniti yang ketika itu aku tengah bentang Panduan Tugas Ketua Kampung/Komuniti kepada seluruh Ketua Kampung/Komuniti dan Aktivis Sosial Parlimen Kuala Kedah dalam Seminar Menangani Gejala Sosial dan Pembangunan Masyarakat.

SMSnya berbunyi, "Umumkan hari Selasa (21 Julai 2009) boleh pi terima elaun MKK di Pejabat Daerah - ana dah hubungi Dato Mat .... - yang benar Pak Su Azim".

Mudah-mudahan SMS itu menjadi kenyataan dan semua Ketua Kampung/Komuniti akan tersenyum lebar menerima elaun mereka esok.

Sejak.......... tiga bulan dulu mereka (Ketua Kampung/Komuniti) bila jumpa aku, sebelum mereka bertanya mengenai elaun, aku cepat-cepat akan bertanya, "Apa macam elaun dah dapat ke?" Mereka jawab, "Dak lagi Pak Teh ...... leceh". Tutup cerita elaun, boleh sembang bab lain....

Setakat aku belajar agama Islam di surau dan masjid - taklah di universiti, sebagai majikan kena usaha bayar gaji pekerja sebelum peluh kering - maksudnya menyegerakan upah yang dilakukan oleh mereka yang bekerja untuk kita.

Zul Yahya, selalu dok kata kat aku, masa aku jadi pelanggan dia mewakili PAS Kedah di Kedai Cetak Padi Mas yang dia jadi Pengurus, "Macam mana ni kerja siap dah, peluh pun dah kerin dah, tapi duit upah tak dapat lagi". Aku pun cepat-cepat call Hj Taulan, Bendahari PAS Kedah masa tu (sekarangpun pun masih dia lagi) supaya datang pejabat untuk sign cek. Selesai masalah, walaupun peluh Zul Yahaya telah kerin, tapi tidaklah berpeluh semula kerana jerkah aku masih tak bayar upah kerja cetak yang dilakukannya.

Jadi aku heran, heran sahaja tau... bukan marah............ KCS yang dah lama sambut ulang tahun ke 100 tahun masih lembab dalam buat kerja......... kerja yang sepatutnya 3 bulan jadi 7 bulan. Aku bimbang kerja yang sepatutnya 7 bulan akan jadi 7 tahun. Jika sikap ini berterusan aku tidak berapa bimbang reputasi kerajaan Pakatan Rakyat akan dipertikaikan kerana memang rakyat sudah tahu ramai kalangan KCS yang ada sekarang adalah peninggalan corak pentadbiran UMNO/BN sejak 50 tahun lalu. Tetapi yang aku bimbang ialah rakyat terbanyak yang mengharapkan mereka diberi perkhidmatan yang terbaik, namun amat malangn perkhidmatan yang lembab diterima oleh mereka.

Apakah untuk merubahnya perlu ada pendemokrasian dalam perkhidmatan awam........ apakah perlu ada pilihanraya dalam perkhidmatan awam supaya dengan itu mereka yang akan menjawat jawatan utama dalam mana-mana organisasi perkhidmatan awam adalah mereka yang dinilai prestasinya dan diundi oleh semua kakitangan yang bertugas di organisasi berkenaan. Kerana sekarang ini, dilihat jawatan yang dilantik hanya atas asas Senioriti dan silih pergantian dari orang lama kepada orang baru yang berada setapak atau 2 tapak dibawah jawatan tertinggi tidak memberikan apa lonjakan kepada mutu perkhidmatan awam. Cara kerja yang masih stereotype terus berlangsung kerana mewarisi cara kerja 100 tahun lampau........... disitu ada kekurangannya yang tidaklah bermaksud akan dibahas disini secara panjang lebar, ia perlu di Seminarkan, ia perlu dibuat penelitian, kajian dan ujikaji di lapangan agar dapat ditentu sahkan keberkesanan sesuatu Perkhidmatan Awam.

Semua yang disebut di atas memerlukan masa yang agak panjang untuk dilaksanakan, masalahnya ialah sekarang.......... Pakatan Rakyat telah memerintah Kedah, rakyat memberi pengharapan kepada sebuah perkhidmatan yang berkesan.

Oleh itu, "Empati" adalah penting kepada kepada Pegawai Tinggi yang berada di dalam perkhidmatan awam dengan gaji setiap seorang RM5,000 ke atas perbulan dengan tambahan elaun-elaun tertentu.

Tanyalah diri kita sendiri dengan ikhlas, "Apakah perasaan kita jika gaji kita RM5,000 sebulan yang sepatutnya kita terima setiap bulan, di bayar 7 bulan sekali?"

Dan saya juga berempati dengan Pegawai Tinggi Perkhidmatan Awam, bahawa mereka mempunyai tugas yang banyak dan telalu sebok untuk bermesyurat, bergegas dalam perjalanan yang jauh kerana urusan rasmi kerajaan, mengiringi Sultan, membaca laporan-laporan yang tebal dan membuat keputusan-keputusan dalam organisasinya.

Tetapi apakah terlalu sukar untuk menurunkan tandatangan ke atas sekeping cek yang boleh diminta kerani menyediakannya, sehingga memerlukan masa 7 bulan.

Ahhhhh............ Ustaz Kasim pula telefon, tanya esok MKK nak pi terima duit elaun di mana.

Semoga, kita semua Rakyat Kedah di bawah Pakatan Rakyat semakin memahami bahawa inilah antara sisa peninggalan Perkhidmatan Awam yang ditinggalkan oleh UMNO, yang jika kita mengkaji sejarah revolusi sekalipun perubahan dalam Perkhidmatan Awam adalah yang paling sukar untuk dilakukan perubahan.

Kepada pegawai perkhidmatan awam, janganlah merajuk atau terasa hati.......... kami rakyat memahami kamu memang berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, tetapi budaya dan kebiasaan lama yang sudah sebati dalam tindakan seharian yang diwarisi 50 tahun pemerintahan UMNO sukar dilenyapkan dalam masa 500 hari.

Selamat Bertugas, Dengan Sebuah Keazaman Baru.

"Puad!, (Ketua Kampung Mergong)........... belanja Pak Teh makan Char Kue Teow di Kedai Jo, Kuala Sungai, petang esok".

Monday, July 20, 2009

MEMO KEPADA SPRM

Malam tadi aku berjumpa dengan beberapa orang kawan Cina dan Melayu yang menjadi pembantu khas, peribadi dan drebar kepada pemimpin Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah untuk tolong mereka draf surat memo kepada Boss SPRM yang besar sekali dalam Malaysia melalui Boss SPRM yang besar sekali di Kedah.


Aku dah draf Memo tu, bila depa nak hantar walLah 'aklam. Pakat kecut habis dah Cina dan Melayu yang menjadi pembantu peribadi pemimpin Pakatan Rakyat, depa mengadu kat aku kami ni dok tunggu nak kena cekup bila-bila masa saja, buat salah apa tak penting, rasuah ka dak tak penting, yang penting ada orang report kononnya kami rasuah.


Aku kesian juga dengar rintihan depa maka aku pun tolong la draf memo yang depa cadang-cadang nak hantar tu.............. itupun kalau depa berani.


Bergerun.......... kata Razak Sentu........


Harap-harap kegerunan itu akan menjadikan Pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah akan menuju ke arah Negeri Sifar Rasuah yang unggul dan dapat dicontohi oleh dunia.


Takat dok bilang ada sekitar dua tiga puluh orang juga yang akan menandatangi memo itu, kalau jadi hantar................



MEMORUNDUM

KES KEMATIAN SDR. TEOH BENG HOCK DI BANGUNAN SPRM



Perkumpulan Pembantu Khas dan Peribadi

Kepimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat

Negeri Kedah Darulaman.


Kepada,

Yang Berbahagia Dato Seri Hj Ahmad Said bin Hamdan,

Ketua Pesuruhjaya

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Blok D6, Kompleks D

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan

Peti Surat 6000

62007 Putrajaya, Malaysia. 21 Julai 2009


Melalui,

Tuan Idrus bin Jaafar

Pengarah,

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negeri Kedah,

Tingkat 2, Blok B, Bangunan Persekutuan

Jalan Sultan Badlishah, Peti Surat 6000,

05720 Alor Star, Kedah.


Dato,

PENYATAAN SEDIH, KESAL, TERKEJUT SERTA KECEWA TERHADAP

KEMATIAN MISTERI SDR. TEOH BENG HOCK DI BANGUNAN SPRM .


Kami terdiri dari pembantu khas dan peribadi kepada kepimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah ingin membuat penyataan sedih, kesal, terkejut dan kecewa terhadap kematian misteri Sdr Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Exco Kerajaan Negeri Selangor yang ditemui mati, dipercayai jatuh dari bangunan pejabat SPRM jam 1.30 petang pada 16 Julai 2009 baru-baru ini selepas di soal siasat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selama 11 jam.


2. Penyataan sedih, kesal, kecewa dan terkejut ini kami nyatakan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana kematian Sdr Teoh Beng Hock adalah terlalu misteri yang masih dibawah jagaan SPRM dan kematian misterinya berlaku pula dibangunan SPRM. Persoalannya bagaimana perkara itu boleh berlaku?


3. Kami terdiri dari pembantu khas dan peribadi kepada kepimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah ingin menegaskan bahawa kami benci rasuah dan kami anti rasuah, sesuai dengan matlamat Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah berusaha ke arah Sifar Rasuah kepada seluruh jentera kerajaannya. Namun persoalan yang timbul ialah kami sebagai pembantu khas dan peribadi sentiasa terdedah kepada fitnah dan konspirasi oleh pihak tertentu yang cuba menjatuhkan nama baik Kerajaan Pakatan Rakyat khususnya di negeri Kedah dengan menggunakan berbagai taktik dan strategi dan yang paling mudah ialah dijerat dengan kononnya melakukan rasuah.


4. Sekali lagi kami tegaskan bahawa kami benci dan anti rasuah dan berusaha sedaya upaya mengelak dari terjebak dalam kegiatan rasuah. Malangnya kami sekarang berada dalam keadaan yang cukup menggerunkan, terasa seolah-olah diekori, dipantau dan akan ditangkap bila-bila masa sahaja walaupun tidak pernah melakukan rasuah walau sesen pun, tetapi mungkin suatu hari nanti akan diminta juga hadir ke pejabat SPRM hanya semata-mata atas maklumat yang dilaporkan kepada SPRM tanpa sebarang bukti kukuh. Oleh itu kami merayu kepada pihak SPRM jika keterangan bersangkutan tugas SPRM terpaksa juga dilakukan kepada kami maka ianya hendaklah dilakukan di premis kami. Ini bukan bermakna kami tidak mahu memberi kerjasama untuk membenteras rasuah yang menjadi musuh negara, tetapi biarlah keterangan dari kes yang baru diperingkat pengumpulan bukti dilakukan bukan di premis SPRM, kerana kami amat bimbang kerjasama baik yang diberikan diakhiri dengan tragedi yang menyayat hati seperti yang berlaku pada 16 Julai 2009 yang lalu.


5. Walaubagaimana pun, jika SPRM mempunyai asas dan bukti yang kukuh selepas membuat siasatan di premis saksi atau tertuduh maka kami tidak mempunyai halangan untuk pegawai SPRM membawa mereka ke pejabat SPRM dengan syarat setelah mendapat perintah mahkamah dan mestilah dibenarkan ditemani oleh peguam demi memastikan keselamatan diri saksi dan tertuduh ketika berada di premis SPRM.


6. Mengenai kematian Sdr Teoh yang trajis dan misteri itu, pihak SPRM mestilah bertanggung jawab sepenuhnya dan tidak boleh berlepas tangan dan kami berharap pihak SPRM bersedia memberikan peluang kepada pihak berwajib dan berkepentingan melakukan siasatan yang menyeluruh.


7. Harapan kami pihak SPRM dapat menjalankan tugas selepas ini tanpa dilihat dan dirasai melakukan dakwaan terpilih dengan menangguhkan kes-kes profil tinggi sejak zaman berzaman.

Bersama Membenteras Rasuah Sehingga Keakar Umbi.

Yang benar,


1. Nama: ………………………………………… Tandatangan: ……………………...

Jawatan: …………………………………………………………



Nota untuk yang mengunjungi laman ini: Lama tak up-date blog ini kerana, kabel telefon di kampung telah dicuri oleh pencuri menyebab berpuluh-buluh buah rumah terputus hubungan. Nak up-date blog peribadi guna harta merdak pejabat PAS Kawasan atau PKWR rasa tak gamak pula, lebih-lebih lagi talian telefon di PKWR Kubang Rotan kena potong bukan pasai kena curi tapi pasai tak bayar bil, duit tak dak, kerin kontang.......... rasa-rasa macam nak kena rasuah, kalau terus nak bantu rakyat. Tapi bila ingat yang bagi rasuah dan yang terima rasuah dua-dua kerana lempaq dalam api neraka, maka lagi gerun beribu kali ganda berbanding setakat nak hantar memo kat SPRM tu.

dui bu ci!

Monday, July 6, 2009

Dalam Masyarakat Binatang Tiada Manusia.... tetapi...

Sahabat ku Ustaz Cop menghantar SMS berbunyi:-

Dalam masyarakat binatang tiada manusia tetapi dalam masyarakat manusia ada binatang.

Kuat salak macam anjing.
Berak kambus macam kucing.
Sekat jalan macam labah-labah.
Tak malu macam babi.
Hisap darah macam lintah.
Berak kapur macam burung.
Ikut kawan macam itik.
Berzina merata macam ayam.
Leher panjang macam angsa.
Pandai pulas macam berok.
Cepat membelit macam ular.
Suka lompat macam katak.
Sentiasa syok macam riang-riang.
Makan anak macam ikan haruan.
Mulut bisa macam ular.
Meredap macam anai-anai.
Tak hentang macam badak.
Tidor siang macam kelawar.
Pandai menyorok macam tikus.
Suka belaga macam kerbau.
Merayau malam macam keluang.
Tokak orang macam singa.
Cenge macam tebuan.
Kencin kawan macam ........... setakat ni binatang lain tak buat kecuali binatang manusia.

(maaf ustaz Cop - Abang Aris ubah sikit-sikit SMS tu)

Friday, July 3, 2009

Pengakuan Seorang Pakar Pemusnah Ekonomi Negara-Negara Di Dunia

Awasi tangan-tangan manusia yang merosakkan dunia.

Pemuda dan Pemudi ku

Saya membaca artikel di blog Sokong Pakatan Rakyat yang diambil dari blog Tukar Tiub dan selepas habis membaca artikel itu, saya merayau di alam maya mencari buku "Confessions of an Economic Hit Man" karangan John Perkins, berjumpa ringkasan bukunya.


Diharap pemuda dan pemudiku sebagai pewaris Malaysia dapat membaca pendedahan yang dibuat oleh John Perkins untuk menginsafi bahawa ramai pemimpin negara atau bakal pemimpin negara akan dihimpit oleh mereka yang sealiran John Perkins, yang sekarang sudah menyesal sejak terbunuhnya kawan karibnya Omar Torijos, bekas Presiden Panama kerana tidak membenarkan penguasaan asing keatas terusan Panama dan lebih-lebih lagi selepas peristiwa pengeboman 11 September telah mendesak naluri kemanusiaan beliau untuk menulis dan membuat pendedahan mengenai kerja-kerja jahat yang dilakukannya.

Untuk membaca ringkasan buku beliau sila klik di sini

Perkins defines economic hit men as “highly paid professionals who cheat countries around the globe out of trillions of dollars. They funnel money from the World Bank, the U.S. Agency for International Development (USAID), and other foreign ‘aid’ organizations into the coffers of huge corporations and the pockets of a few wealthy families who control the planet’s natural resources.

Their tools include fraudulent financial reports, rigged elections, payoffs, extortion, sex, and murder. They play a game as old as empire, but one that has taken on new and terrifying dimensions during this time of globalization.”


Oleh itu bagi saya, jelas pemimpin BN yang baru sahaja mengemukakan dasar baru mengenai Libralisasi Ekonomi kita sekarang ini terjebak dengan mainan kotor peringkat antarabangsa seperti disebut oleh John Perkins iaitu penipuan laporan kewangan, kawalan pilihanraya, ganjaran duit, paksaan, seks dan pembunuhan seperti empayar dahulu kala, malah sesuatu yang lebih menakutkan kerana melibat seluruh penjuru dunia dalam era globalisasi sekarang ini.

Pemuda dan Pemudiku pewaris Malaysia,

Baca pula petikan di bawah, dengan hanya menggunakan seorang pelacur yang cantik untuk menawan putera Saud yang diberi gelaran "Prince W.", Perkins berjaya menguasai kontrak yang cukup lumayan di Saudi Arabia hanya dalam masa satu malam:-

For his part, Perkins convinced a key player within the House of Saud, a man he calls Prince W., that these projects would benefit his country as well as him personally. Perkins was able to eventually persuade Prince W. by arranging for a beautiful prostitute to live with him. By arranging for the prostitute to live with Prince W., Perkins was able to gain his trust and eventually convinced him of the value of the deal. The entire package was finally approved by the royal family of Saudi Arabia and MAIN was rewarded with one of the first highly lucrative contracts, which was actually administered by the U.S. Department of the Treasury.

“The deal between the United States and Saudi Arabia transformed the kingdom practically overnight.” It also marked the beginning of an ongoing relationship between the House of Saud, the bin Laden family and the Bush family, which benefited greatly from a financial standpoint thanks to the deal.

Tidak ada jalan lain untuk menyelamatkan negara ini melainkan menjatuhkan BN serta digantikan dengan mereka yang bukan sahaja bebas, bahkan mesti dilihat bebas dari pengaruh orang-orang seperti John Perkins.

Ingat!!! sebuah negara boleh digadai hanya kerana seorang manusia bernama "NAJIB" atau sebuah pertubuhan bernama "UMNO".

Kepada bekas pengundi BN di Manik Urai, mengundi kali ini berilah undi kepada Calon PAS anda tidak rugi apa-apa, bahkan sekurang-kurangnya dapat membantu menyelamatkan negara walaupun tanpa anda sedari.

Thursday, July 2, 2009

MASALAH BABI... JANGAN LAH SAMPAI BERCERAI-BERAI .........

Secara dasarnya saya menyokong tindakan Majlis Bandaraya Alor Setar, mengambil tindakan meroboh Pusat Pemotongan Babi tanpa lesen yang beroperasi sejak 30 tahun lalu. (28 tahun 7 bulan di bawah UMNO/BN).

Saya juga menyeru kepada pimpinan DAP Kedah supaya tidak mengambil tindakan yang terburu-buru untuk bertindak keluar dari Pakatan Rakyat. Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Sepatutnya tempoh 30 tahun dan ditambah sebulan lagi yang diberikan oleh MBAS sudah cukup untuk 28 orang peniaga mencadangkan tempat baru operasi Pemotongan Babi secara yang lebih bersih, tersusun dan selesa. Malangnya tiada tindakan dibuat seolah-olah ingin terus kekal disitu walaupun mendapat bantahan bukan sahaja dari masyarakat Islam bahkan dari bukan Islam sendiri yang tidak selesa dengan kekotoran dan pencemaran bau yang berlaku, lebih-lebih lagi dalam situasi wabak Selsema Babi sekarang ini

Kita sebagai rakyat Malaysia, perlu bertanggung jawab kepada sekitaran dan masyarakat kita tanpa mementingkan diri sendiri. Janganlah isu-isu tidak mengikut peraturan, tidak mematuhi arahan, dilihat oleh rakyat terbanyak kita sebagai parti yang memerintah pula yang melanggarinya. Apakah DAP Kedah jika diizinkan memerintah Kedah atau Negara Malaysia akan mempopularkan pendekatan negeri atau negara tanpa undang-undang? Dengan slogan "Buatlah Apa Sahaja Asal Bahagia". Sudah tentu tidak dan tidak pernah terlintas pun begitu difikiran DAP Kedah, tetapi jika tindakan untuk keluar Pakatan di Negeri Kedah terus juga dilakukan maka rakyat akan menafsirkan DAP Kedah hanya mahu orang lain yang patuh kepada undang-undang, tetapi tidak kepada dirinya sendiri.


Walau bagaimanapun, dalam isu penguatkuasaan selepas ini, pihak berwajib yang mewakili Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah mestilah bertindak dari awal, janganlah membiarkan sesuatu yang melanggar undang sehingga berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan, bertahun-tahun bahkan mungkin berdekad-dekad untuk diambil tindakan.

Contoh mudah: Pembinaan Gerai Haram - Hari pertama gerai haram dibina, petugas MBAS lalu, Ketua Kampung lalu, Penghulu lalu, Exco lalu, Aris Awang lalu, YB Hj Nan lalu.... singgah pulak tu....... tiada apa-apa teguran, tegahan atau notis dikeluarkan. Gerai Haram teruskan operasi masuk seminggu tiada apa-apa juga, diteruskan lagi sehingga sebulan, tiada apa tindakan lagi, masuk tiga bulan perniagaan makin maju, pelanggang makin ramai, tuan punya gerai haram tambah simen, bulan keempat, buat bumbong zink yang asalnya tikar plastik biru/orange. bulan kelima bina dinding bata. Bulan keenam MBAS keluar notis saman gerai haram akan diroboh dalam tempoh 3 hari dari tarikh tertera. Tuan punya telah mengeluarkan belanja beribu-ribu ringgit, walaupun pada mulanya mengetahui tempat yang dibina adalah bukan tapak yang dimilikinya, tetapi akibat tidak ada tindakan pencegahan lebih awal maka tindakan mengikut undang-undang dan peraturan yang terlalu lewat oleh Ketua Kampung, Penghulu, MBAS, YB dan EXCO serta Aris Awang (saya turut terlibat kerana saya PAS, begitu juga ahli PAS yang lain-lain) dilihat sebagai menzalimi rakyat.

Semoga pihak penguatkuasa MBAS, khususnya Setiausaha MBAS tiada mempunyai sebarang niat merosakkan imej kerajaan Pakatan Rakyat Kedah, dengan sengaja menumpukan kepada kes-kes yang melibatkan sentimen perkauman agar sedikit demi sedikit kepercayaan dan sokongan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat semakin terhakis. Amat malang jika tindakan penguatkuasaan yang kita lakukan bukan untuk mendisplinkan rakyat tetapi untuk memuaskan hasrat dan cita-cita tersembunnyi.

Perbetulkanlah niat kita, kerana manusia sentiasa alpa, marilah bersama-sama kita mendisplinkan diri sendiri dalam sumpah etika kerja sebagai penjawat awam dan seterusnya mendisplinkan rakyat kita dalam menjaga alam sekitar dan kehidupan masyarakat berbilang kaum dengan mengambil Islam sebagai rujukan utama.


Islam menuntut ketegasan - Islam juga menuntut bertimbang rasa.

Islam menuntut kesucian persekitaran - Islam juga menuntut kesucian jiwa.

Islam menuntut penghakiman - Islam juga menuntut kebajikan.

Islam menuntut kebersihan - Islam juga menuntut nasihat menasihati

Rakyat kita mempunyai berbagai pemikiran, layanilah mereka seadanya sebagai rakyat, tegurlah mereka ketika salah, belailah mereka ketika berurusan, dendalah mereka jika tetap degil......

Semoga Isu-Isu Islam sebagai rujukan utama yang dinanti-nantikan akan mendominasi Pemerintahan Kita.

Didoakan
Selamat Memerintah Sepenggal Lagi.

Untuk renungan bersama klik
disini