Wednesday, May 21, 2008

JANGAN BIARKAN LIM GUAN ENG MEMINTAS KITA

FASAL 5. Tujuan PAS ialah:

(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hokum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

(2) Mempertahankan sesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara.


FASAL 6. Usaha-usaha:

(1) Menyeru umat manusia kepada Syariat Allah dan Sunnah Rasulnya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

(2) Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke Islaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan disegenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan social serta pelajaran dan pendidikan.


Wahai pemuda dan pemudi ku, inilah sebab mengapa kita menyertai dan terus berada di dalam PAS.

Nah!, sekarang PAS sudah berkuasa walaupun menang hanya16 kerusi di Kedah.

Gunakanlah kesempatan ini untuk meneruskan tujuan PAS ditubuhkan dan lakukan semaksima mungkin usaha-usaha seperti di atas.

Janganlah kamu terkedu atau masih terpingga-pinga dengan kemenangan separa anugerah Allah ini, dan adalah lebih malang lagi jika ketika diberi kuasa ini kamu mempunyai berbagai dalih untuk tidak melaksanakan Tujuan dan Usaha yang ditegaskan dalam perlembangaan kita.

Apakah kamu akan berpatah balik kebelakang hanya semata sayang dengan kemenangan separa ini akan hilang dari genggamanmu?

Ingatlah Tuhan yang memegang hati manusia bukan kita pemuda dan pemudiku.

Gunakan kebijaksanaan kamu sebagai pemuda dan pemudi Parti Islam SeMalaysia disetiap DUN yang kita menangi untuk menzahirkan ke indahan Islam melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat.

Teruskan jihad kamu, teruskan pengorbanan kamu, curahkan keringat dan tenaga kamu demi kemenangan Islam yang total dari kemenangan Islam separa ini.

Kuat keimanan mu sehingga menjadi seorang mukmin dan mukminah yang sejati yang mencintai Allah dan rasulnya, percaya kepada hari kiamat, balasan diakhirat, mencintai kebaikan dan jijik kepada noda dan dosa.

Perkenalkanlah kebaikkan sistem pemerintahan Islam, cari galilah kisah pemerintahan dan kehidupan Rasul Junjungan Muhammad saw, para sahabatnya dan yang terdekat Tuan Guru Hj Nik Abd Aziz Nik Mat sebagai suri teladan.

Jangan biarkan Lim Guan Eng, memintas kita untuk mengikut pemerintahan Umar Abd Aziz.

Jika ini berlaku kita semua akan malu kepada seluruh makhluk yang ada diatas muka bumi Allah ini, lebih-lebih lagi kita akan teramat malu kepada Allah swt yang telah memberikan kalimah suciNya terpahat dalam dada kita.

Gagahkanlah dirimu untuk berlatih sedikit tawadhuk dan sedikit zuhud dengan wang rakyat dan kuasa, walaupun keinginanmu membara mengecapi keselesaan, kemegahan dan keprotokalan yang sedia terhidang.

Ya Allah berikanlah kekuatan kepada kami untuk terus diberi petunjuk dan menjaga keserakahan nafsu kami tergoda dengan wang rakyat yang telah ada dalam genggaman kami.

Ya Allah berikan kekuatan kepada kami mengenali, menangkis cubaan dan godaan rasuah dengan bermacam-macam taktik dan teknik.

Ya Allah berikanlah kami kekuatan untuk terus istiqamah tidak mengejar pangkat dan kedudukan, semata-mata untuk merasa megah dan bangga diri.

Ya Allah jauhkanlah kami dari dikelilingi penyokong dan pembantu yang membawa rebah, sehingga akhirnya tidak mampu melaksana ketaqwaan kepada Mu dan kebaktian kepada sesama manusia.

Ya Allah berikan kami keutuhan ikatan ukhwah yang sejati dikalangan kepimpinan dan ahli dengan penuh rasa kasih sayang penuh mahabbah.

Wahai pemuda pemudiku bangunlah di hujung malam solatlah dan doalah di dalam sujudmu semoga dapat meneruskan perjuangan melaksanakan Fasal 5 dan 6 Perlembagaan PAS.

Seterusnya disiang hari zahirkan perjuanganmu untuk Islam dan dengan Islam dimana sahaja kamu berada dan bekerja dimuka bumi Allah ini dalam bentuk lisan, tulisan dan amalan.

No comments: