Monday, May 26, 2008

Jangan Jadi 3 Kelompok Manusia Yang Bersedih Di Padang Mahsyar

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah dan Mengasihani

Pemuda dan Pemudi ku di dalam Parti Islam Semalaysia (PAS).

Sekarang sudah 79 hari (Ahad 9 Mac – Isnin 26 Mei 2008) kita diberi amanah kekuasaan oleh rakyat dengan pertolongan Allah di empat negeri samada kita memegang jawatan MB, Exco, YB, Pegawai Lantikan Politik, ALP GLC atau sekurang-kurang Ketua Kampung.

Pemuda dan pemudiku, dengan kekuasaan yang sedikit itu, Pertahankanlah politik Islam yang kita perjuangkan selama ini. Iaitu politik yang bukan dalam bentuk zahir sahaja tetapi ianya berbekas sehingga kesanubari dan bukan setakat di dunia, tetapi ianya menjangkau sehingga ke akhirat.

Elakkan kita terjebak seperti 3 kelompok orang yang amat bersedih ketika berada di Padang Mahsyar di Hari Pengadilan kelak.

Kelompok Pertama: Para ulamak, penceramah dan khatib yang menasihati orang ramai untuk melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan, namun dia sendiri tidak beramal sesuai dengan apa yang dia katakanya.

Aku bimbang kita menyampaikan ceramah, berjanji dan dakwah membuat manusia lain beruntung dan menyelamatkan mereka dari azab neraka Allah, tetapi kita terjerumus kedalam azab neraka Allah, kerana kita cakap tidak serupa bikin apabila sedikit kuasa telah ada dalam genggaman.

Marilah pemuda dan pemudiku kita berusaha melakukan semaksima mungkin apa yang telah kita janjikan dalam manifesto kita di Kedah kepada rakyat.

- Pentadbiran yang baik mengutamakan keadilan, pertangungjawaban dan integriti.

- Melaksanakan Islam

- Sifar rasuah

- Mengkaji elaun keistimewaan MB dan Exco

- Kontrak secara telus dan adil

- Pinjaman tanpa riba kepada kakitangan kerajaan

- Menubuh institusi imam (Maahad Imamah)

- Memberi elaun guru Al-Quran Persendirian

- Melantik Exco dari wakil rakyat bukan Islam

- Mengiktiraf dan menjamin budaya, adapt resam semua kaum

- Bantuan khas kepada sekolah agama rakyat

- Menubuh institusi Ar-Rahn

- Memasti setiap pengambilan tanah dibuat hanya untuk kepentingan awam

dengan bayaran pampas an yang setimpal dan munasabah.

…… dan banyak lagi. Ya Allah berikanlah kekuatan kepada kami menunaikan janji ini.

Kelompok Kedua: Orang kaya yang tidak membayar zakat tetapi menyimpannya dan akhirnya semua hartanya terwaris kepada keturunannya. Kemudian keturunannya membelanjakan seperti yang dikehendaki Allah iaitu membayar zakat, menolong orang yang memerlukan.

Esok, pada hari Pengadilan, orang kaya itu akan melihat dengan sedih keturunannya berada di syurga sedangkan dia dineraka kerana kedekut dan tidak membayar zakat.

Oleh itu wahai pemudaku, RM300 (Ringgit Malaysia Tiga Ratus Sahaja) mungkin engkau terima sebagai ganjaran menjadi Ketua Kampung setiap bulan bermula Ogos nanti, haruslah engkau terima dan pikullah beban amanah itu dengan penuh rasa tanggungjawab untuk melaksanakannya demi kerana Allah penguasa seluruh alam ini. Jika tidak perkara yang pernah kita perkata kepada JKKK akan terhantuk ke kepala kita pula!

Kelompok Ketiga: Kerajaan dan Rakyat, Majikan dan Pekerja, Bos dan Orang Bawahan, Guru dan Pelajar, Penceramah dan Pendengar, YB dan Pengundi, Pemimpin dan Penyokong.

Ingatlah pemuda dan pemudiku, kita sebagai mereka yang berkuasa, sudah tentu kita akan sentiasa berada dikelompok pertama iaitu sebagai kerajaan, majikan, bos, guru, penceramah, YB, pemimpin dan lain-lain lagi………

Waspadalah, jika tersilap tindakan kita didunia ini dengan memandang hina dan jijik, kepada rakyat kita, pekerja kita, orang bawahan kita, pelajar kita, pendengar kita, pengundi kita dan penyokong kita. Mereka akan berada disyurga, namun kita dihumban ke neraka, Na’udzubillah.

Mereka adalah golongan yang sentiasa mengharap petunjuk dari kita, dan janganlah pula kita melupakan diri kita untuk menjadi contoh tauladan sesuai dengan sirah dan sunnah Rasul Junjungan Muhammad saw.

Pemuda dan pemudiku seriuslah dalam bekerja, sayangilah orang yang lebih bawah darimu, janganlah pandang hina dan mengolok-ngolok mereka.

“Hai orang-orang yang beriman jangalah suatu kaum mengolok-ngolok kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olok) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olok)….”

Al-Hujurat 13.

Tugas yang cukup berat ini telah dipikulkan oleh Allah ke atas pundak kita semua. Syabas kepada semua kepimpinan PAS di 3 negeri yang baru diperintah, kerana telah sedikit sebanyak menunjukkan komitmen terhadap Islam yang diperjuangkan, semoga dapat kita sama-sama pertingkatkan dalam tempoh matang sehingga pilihanraya ke 13.

Thursday, May 22, 2008

BERSYUKUR TUN MAHATHIR BERPISAH DENGAN TEMAN JAHAT DALAM UMNO

Kami bersyukur kerana Allah yang telah memisahkan diri Tun Dr. Mahathir dari teman jahatnya di dalam UMNO, seterusnya kami berdoa semoga Tun memilih untuk bertemankan rakan dari Jamaah dan Gerakan Islam iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS).

“Kami tidak ada apa-apa kepentingan selain Islam dan mencari keredhaan Allah”, itulah kekuatan spiritual yang kami bina sejak PAS ditubuhkan pada tahun 1951 yang mungkin dirasakan anih oleh mereka yang tidak pernah menjiwainya.

Kami berharap diketika umur 82 tahun, Tun Dr. Mahathir akan dapat merasai kemanisan mencari keredhaan Allah dan berjuang atas nama Islam.

Nabi Muhammad saw diriwayatkan telah bersabda,

“Bahawa ketika seseorang dalam sakaratul maut, ia melihat wajah orang-orang yang sentiasa ia masih berhubung selama kehidupan duniawinya”

Jika ia memiliki teman-teman yang baik, maka ia akan melihat wajah-wajah yang menyenangkan. Celakalah kita, jika kita mempunyai teman-teman yang jahat.

Lebih celaka lagi jika ketika itu ditemani oleh syaitan.

Pada saat sakaratul maut kita, setan akan menampakkan diri dihadapan kita dan akan melakukan godaan-godaan yang menyesatkan.

Alangkah bagusnya jika kita memiliki teman spiritual, maka spiritualismenya akan membantu kita pada saat sakaratul maut kita.

Manusia amat memerlukan banyak pertolongan pada saat sakaratul mautnya, yang boleh disediakan oleh seorang teman spiritual, yang akan berlanjutan di dunia lain juga setelah kematian manusia.

Itu teman dan kawan yang abadi, teman seperti itu akan memperkuatkan Islam dan Iman kita.

Jumlah orang seperti itu selalu sedikit dan lebih sedikit di zaman kita ini.

Orang-orang seperti ini tidak memiliki kepentingan peribadi dan hawa nafsu, akan menemani kita kerana Allah.

Hanyalah Allah yang memberi peluang kepada kita untuk memperolehi teman-teman yang bertemu dan berpisah kerana Allah.

Wednesday, May 21, 2008

JANGAN BIARKAN LIM GUAN ENG MEMINTAS KITA

FASAL 5. Tujuan PAS ialah:

(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hokum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

(2) Mempertahankan sesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara.


FASAL 6. Usaha-usaha:

(1) Menyeru umat manusia kepada Syariat Allah dan Sunnah Rasulnya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

(2) Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke Islaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan disegenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan social serta pelajaran dan pendidikan.


Wahai pemuda dan pemudi ku, inilah sebab mengapa kita menyertai dan terus berada di dalam PAS.

Nah!, sekarang PAS sudah berkuasa walaupun menang hanya16 kerusi di Kedah.

Gunakanlah kesempatan ini untuk meneruskan tujuan PAS ditubuhkan dan lakukan semaksima mungkin usaha-usaha seperti di atas.

Janganlah kamu terkedu atau masih terpingga-pinga dengan kemenangan separa anugerah Allah ini, dan adalah lebih malang lagi jika ketika diberi kuasa ini kamu mempunyai berbagai dalih untuk tidak melaksanakan Tujuan dan Usaha yang ditegaskan dalam perlembangaan kita.

Apakah kamu akan berpatah balik kebelakang hanya semata sayang dengan kemenangan separa ini akan hilang dari genggamanmu?

Ingatlah Tuhan yang memegang hati manusia bukan kita pemuda dan pemudiku.

Gunakan kebijaksanaan kamu sebagai pemuda dan pemudi Parti Islam SeMalaysia disetiap DUN yang kita menangi untuk menzahirkan ke indahan Islam melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat.

Teruskan jihad kamu, teruskan pengorbanan kamu, curahkan keringat dan tenaga kamu demi kemenangan Islam yang total dari kemenangan Islam separa ini.

Kuat keimanan mu sehingga menjadi seorang mukmin dan mukminah yang sejati yang mencintai Allah dan rasulnya, percaya kepada hari kiamat, balasan diakhirat, mencintai kebaikan dan jijik kepada noda dan dosa.

Perkenalkanlah kebaikkan sistem pemerintahan Islam, cari galilah kisah pemerintahan dan kehidupan Rasul Junjungan Muhammad saw, para sahabatnya dan yang terdekat Tuan Guru Hj Nik Abd Aziz Nik Mat sebagai suri teladan.

Jangan biarkan Lim Guan Eng, memintas kita untuk mengikut pemerintahan Umar Abd Aziz.

Jika ini berlaku kita semua akan malu kepada seluruh makhluk yang ada diatas muka bumi Allah ini, lebih-lebih lagi kita akan teramat malu kepada Allah swt yang telah memberikan kalimah suciNya terpahat dalam dada kita.

Gagahkanlah dirimu untuk berlatih sedikit tawadhuk dan sedikit zuhud dengan wang rakyat dan kuasa, walaupun keinginanmu membara mengecapi keselesaan, kemegahan dan keprotokalan yang sedia terhidang.

Ya Allah berikanlah kekuatan kepada kami untuk terus diberi petunjuk dan menjaga keserakahan nafsu kami tergoda dengan wang rakyat yang telah ada dalam genggaman kami.

Ya Allah berikan kekuatan kepada kami mengenali, menangkis cubaan dan godaan rasuah dengan bermacam-macam taktik dan teknik.

Ya Allah berikanlah kami kekuatan untuk terus istiqamah tidak mengejar pangkat dan kedudukan, semata-mata untuk merasa megah dan bangga diri.

Ya Allah jauhkanlah kami dari dikelilingi penyokong dan pembantu yang membawa rebah, sehingga akhirnya tidak mampu melaksana ketaqwaan kepada Mu dan kebaktian kepada sesama manusia.

Ya Allah berikan kami keutuhan ikatan ukhwah yang sejati dikalangan kepimpinan dan ahli dengan penuh rasa kasih sayang penuh mahabbah.

Wahai pemuda pemudiku bangunlah di hujung malam solatlah dan doalah di dalam sujudmu semoga dapat meneruskan perjuangan melaksanakan Fasal 5 dan 6 Perlembagaan PAS.

Seterusnya disiang hari zahirkan perjuanganmu untuk Islam dan dengan Islam dimana sahaja kamu berada dan bekerja dimuka bumi Allah ini dalam bentuk lisan, tulisan dan amalan.