Bagi pihak seluruh keluargaku, mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat dalam membantu ketika tekanan darah yang kuat memuncak naik sehingga memecahkan pembuluh darah di dalam otak Sdr Abd Aziz Ishak, anak saudaraku. Darah yang membuak di dalam otaknya telah menyebabkan ia koma dan akhirnya kembali kepada Allah Tuhan Penciptanya, pada jam 8.50 pagi, 18 April 2012 di Hospital Sungai Petani, Kedah, meninggalkan isteri tercinta Mahyon Saad.
Keluargaku, aku dan Aziz bukan sesiapa di atas muka bumi Allah ini, sebuah keluarga dan insan yang cukup kerdil dan banyak daki dosa dan sifat mazmumah yang masih bersarang di dalam jiwa. Namun berasa cukup terharu dengan sikap budiman yang mempunyai nilai ukhwah yang cukup tinggi bagi aku dan keluarga apabila rumah Abah (Ayah) Aziz di kunjungi oleh sahabat dari dekat dan jauh yang terlalu panjang senarainya. Bermula dari kepimpinan tertinggi PAS peringkat Pusat, Negeri, Kawasan dan cawangan serta sahabat handai dan kaum keluarga.
Puan Normah Alwi, isteri Timbalan Presiden PAS berkejar datang dari Shah Alam, berjaya menatap wajah terakhir Aziz ketika jenazahnya hendak diturun ke liang dan menemani Mahyon, isteri Aziz sehingga esoknya di rumah keluarga Aziz.
Aziz membesar di kampung dan memulakan karier hidupnya ketika belasan tahun di Kuala Lumpur terdedah dengan kehidupan sosial seperti remaja lain dan mempersembahkan gaya hidup ranggi kononnya mengikut acuan korporat yang entah dipinjam dari mana, ibadat khusus, terutama solat fadhu 5 kali sehari hanyalah ketika ada masa lapang. Puas kami menasihatinya.
Namun menjadi kebanggaan ku apabila, beliau mengubah operasi Syarikat Jati Indah (Perunding Arkitek Landskap) kepunyaan beliau bersama isterinya ke Alor Setar beberapa tahun yang lalu, kemudian mengenali Timbalan Presiden PAS, Hj Mohammad Sabu dan akhirnya jadilah beliau pemandu tidak rasmi Hj Mohamad Sabu dan beberapa pimpinan PAS dan menolong menguruskan penginapan, restoren untuk menjamu pimpinan dan berbagai perkara kecil yang remeh temeh. Perkenalan yang akhirnya membuah persahabat yang cukup mesra dan akrab.
Hj Mohammad Sabu, walaupun kadang diluar orang nampak macam sedikit loklaq, tetapi bagi aku ia adalah seorang murabbi yang hebat, apabila satu hari beliau memberitahuku secara berbisik, setelah pulang dari lawatan ke Sabah/Serawak bersama Aziz yang jadi tukang bawa beg.
Antara bisikan Bang Mat Sabu kepadaku ialah "Aziz penyengan sembahyang, no!".
Aku jawab, "Ya, saya minta Bang Mat tolong nasihat dia, kami sekeluarga buat macam-macam dah dia buat tak tau saja".
Bang Mat jawab balik, "InsyaAllah"
Sejak dari hari itu, Bang Mat telah menjalankan tugasnya dengan dibantu oleh kawan-kawan mengepung Aziz untuk sembahyang waktu kerana mereka sering bersama ke hulu ke hilir, aku hanya tersenyum puas melihat dari jauh.
Sekalung penghargaan kepada Hj Mohammad Sabu dan kumpulan yang boleh dipanggil sebagai 'Tamrin Praktikal' yang dilakukan kepada Aziz yang sebelumnya mungkin tersesat dalam dunia korporat kononnya yang entah apa nak di capai, kereta mewah sering bertukar, baju berjenama, hotel berprestij, kawan-kawan yang ranggi, mementingkan imej dan sebagainya.
Selain Bang Mat, antara mereka yang banyak berjasa membantu Aziz kembali menjadi seorang hamba Allah yang tahu darimana ia datang dan kemana ia akan kembali ialah, WR Mohd Nasir Mustafa (ADUN Kubang Rotan), Sdr Adli, Ust Asyraf, Sdr Yuhaizad, Ustaz Mahmud Zaim, Hj Adnan Saad, Dr. Ismail Saleh, Pak Tam Daging, Mohd Hj Salleh, Abd Razak, Sobri Salleh, Bani, Pak Cik Lah dan beberapa orang lagi yang telah memberi tahu awal-awal kepadaku agar nama mereka tidak dicatat dalam mana-mana penulisanku. Mohon maaf kepada yang sepatutnya nama ditulis tetapi aku insan daif yang sering terlupa.
Alhamdulillah setelah, dia berjaya dipulihkan secara zahirnya oleh kumpulan'Tamrin Praktikal' ini dalam setahun 2 ini, maka dia telah meninggalkan kehidupan yang sementara ini kepada kehidupan yang kekal abadi dan aku merelakan pemergiannya dalam penilaian zahirku dan bahkan bangga kerana sehingga saat akhir masih menyatakan ketidakpuasan hatinya kepada mereka yang dilihatnya tidak mahu berada dilandasan Sirathol Mustaqim dan telah menasihati adik-adik dan pupu poyangnya agar tidak meninggalkan solat waktu yang difardhukan 5 kali sehari semalam sebagai hamba kepada Allah Pencipta Alam ini.
Dia telah pergi, namun sekarang bagaimana aku yang terlalu banyak dosa. Dengarlah Tuhanku rintihan jiwaku melalui doa di bawah ini:-
Aku merayu doakan kesejahteraan kepada roh beliau dan keampunan dari Tuhannya dari sahabat-sahabat akrabnya, terutama yang terlibat dalam operasi 'Tamrin Praktikal' pimpinan Hj Mohammad Sabu, Timbalan Presiden PAS.
No comments:
Post a Comment