Wednesday, February 18, 2009
IBU KU KEMBALI KE RAHMATULLAH
Ibu ku yang dikasihi Hajjah Che Guan bin Dahaman bin Said bin Akil bin Ah Seng (atas kerusi roda) telah kembali kerahmatullah pada jam 4.30 petang bertarikh 21 Safar 1430 bersamaan 17 Februari 2009.
Seorang pejuang muslimat sejak PAS ditubuh di Malaya, meninggal dalam usia 85 tahun kerana beliau telah dilahirkan pada tahun 1924.
Aku sering memberitahu sahabat-sahabat seperjuanganku ketika dalam program motivasi atau tamrin bahawa aku sudah PAS dari dalam perut ibu.
Kerana, ibuku sering keluar berkempen sebagai juru dakwah muslimat di segenap ceruk rantau negeri Kedah , walaupun ketika sedang mengandungku.
Malah aku pernah ingat, ketika aku masih kecil sekitar tahun 1968, ketika sedang tidur di ribaan ibuku di rumah ibu saudaraku seorang UMNO/perikatan semasa itu di Changloon.
Ibuku berkempen kepada ibu saudaraku agar menyokong perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS untuk menegakkan hukum Allah Taala di atas muka bumi ini.
Ibu saudaraku yang UMNO itu menjawab, "tak boleh Gon masuk parti pembangkang, nanti kita dahaka kat kerajaan, kerajaan tu raja, jadi kita dahaka kat raja, pantang Melayu dahaka kat raja."
Perkataan itu masih tergiang-giang melekat di telinga aku sehingga sekarang.
Mak aku jawab, "Nak dahaka kat raja pasai apa, PAS nak tegak hukum Allah Taala, takkan Kak takut dahaka kat kerajaan (raja) lebih takut dari dahaka kat Tohan (Tuhan)"
Itulah keberanian ibuku yang mungkin tidak boleh ditandingi oleh aku, dimana sahaja beliau berada beliau tetap akan memperkatakan mengenai kebaikan sistem Islam, dan ia perlu ditegakkan dimuka bumi Allah walaupun dibenci oleh semua manusia, bahkan ketika aku menemaninya disaat akhir denyut nadinya, masih memberi nasihat mengenai keperluan berjuangan menegakkan Islam di atas muka bumi Allah swt.
Alhamdulillah, semua anak-anak ibu saudaraku itu sekarang telah lama menyertai PAS, dan mungkin tidak menyedari bahawa Allahyarhamah ibu mereka adalah UMNO/Perikatan satu ketika dahulu.
"Adik (panggilan manja aku di rumah) orang pejuangan, mesti berjuang Islam dan usaha supaya buleh laksanakan hukum Islam di Malaysia ni... jangan dok redha hukum kapiaq (kafir) di buat oleh UMNO, kita ni orang Islam mesti ikut hukum Islam, Komeneh (Komunis) takdak Tohan boleh suruh rakyat ikut hukum depa.... pasai apa kita tak boleh?" antara yang selalu diucapkan dalam sela-sela nafas yang kadang-kadang sesak.
Banyak kenangan manis hidupku bersamanya, lebih-lebih lagi ketika beliau semakin uzur sejak Raya Aidil Adha lalu. Sambil membaca Al-Quran dihujung telinganya, kadang terpaksa berhenti untuk mendengar celoteh dan nasihatnya mengenai kehidupan, kematian, isu antarabangsa, pembinaan kekeluargaan Islam, Al-Quran, kisah sahabat, kisah seloka Melayu, pantun, resepi masakan, cerita kempen muslimat zaman dulu, ekonomi keluarga dan macam-macam kisah yang kadang kami sekeluarga terkedu, serius dan ketawa kegembiraan.
Beliau, Meninggalkan kami seramai enam orang iaitu aku (anak bongsu), Kakak sulong Zainab, Kakak kedua Halimah, Abang sulong Shamsudin, Kakak ketiga Adnah dan Abang kedua Mohd Nasir.
Semoga Allah Azzawajalla mencucuri rahmat ke atas rohnya. Ameen
InsyaAllah ibuku... Aku akan meneruskan perjuangan mu untuk menegakkan Islam yang syumul di atas muka bumi Allah swt ini sedaya upayaku selagi hayat dikandung badan di bawah lembayung rahmat dan petunjuk Allah swt.
Saturday, February 14, 2009
BN Akan Guna Strategi 2004...
Pengerusi SPR, Hj Abd Aziz Mohd Yusof telah mengumumkan tarikh penamaan calon ialah pada 29 Mac 2009 dan hari mengundi pada 7 April 2009 bagi kedua kerusi Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau.
Hari penamaan calon berlaku sehari selepas tamat Perhimpunan Agung UMNO, iaitu bermula pada 24 hingga 28 Mac 2009.
Pada 28 Mac 2009, Pak Lah akan mengundur diri sebagai Presiden UMNO dan juga pengunduran sebagai Perdana Menteri menyusul kemudian dalam tempoh kempen berlangsung iaitu 29 Mac hingga 7 April 2009.
Hari ini baru 14 Februari 2009, untuk sampai ke tarikh 29 Mac 2009, iaitu hari penamaan calon kita terpaksa tunggu lebih dari satu bulan. Pengerusi SPR beritahu awal-awal tarikh ini tidak ada kena mengena dengan Perhimpunan Agung UMNO. Cehhh.... budak belum baligh boleh la kelentong.
Di Perak, polis telah bekukan permit ceramah, jadi secara logiknya Pakatan Rakyat tak boleh buat ceramah secara sah, kena buat cara tak sah dan akan dikejar ke sana sini oleh "otak loceng" kerana langgar arahan. Sedangkan... (ulang sekali lagi bagi kuat sikit) SEDANGKAN!!! UMNO/BN boleh ceramah sampai ke dalam setiap rumah pengundi Bukit Gantang dan Bukit Selambau.
Lebih-lebih lagi siaran langsung Persidangan Agung UMNO akan dibuat secara live untuk hentam Pakatan Rakyat cukup-cukup sepanjang 5 hari persidangan tersebut.
Acara perlantikan Najib sebagai PM akan dijadikan sebagai bahan kempen untuk memanipulasi pemikiran rakyat sama seperti yang dilakukan oleh Pak Lah dalam tahun 2004. Pak Lah telah gunakan strategi ini dulu dan dia menang besar.
Jentera kempen BN akan meminta pengundi memberi peluang kepada Najib sebagai PM baru dengan visi dan misi baru yang akan membuat perubahan drastik terhadap segala kelemahan UMNO/BN sebelum ini.
"Mak Cik.... Pak Cik..., memang sebelum ini bawah Pak Lah memang UMNO dan BN lemah, tetapi bila Najib naik duduk atas la ni, tak lemah dah..., dia akan pebetui semua yang bengkok dan dia pandai...." adalah antara kaedah kempen yang akan sampai telinga pengundi oleh Ibu UMNO dan Anak Pempuan (Puteri) UMNO
Oleh itu, seruan awal saya kepada pengundi di kedua-dua Bukit di Kedah dan Perak supaya tidak termakan dengan umpanan strategi ini, yang telah ditelan pada tahun 2004. Akhirnya umpan yang ditelan disangka manis lemak berkrim tetapi malangnya pahit lebih dari jadam dan akhirnya rakyat menghukum BN semula dalam pilihanraya 2008.
Ubahlah siapa sahaja jadi PM, ubahlah siapa sahaja jadi Presiden, bila namanya UMNO ia tetap akan serupa sahaja natijahnya iaitu negara tetap akan dibelenggu rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa, rosak akhlak, pupus nilai agama, jenayah, salah urus tadbir ekonomi dan seribu satu macam lagi kecurangan serta penindasan.
NAJIB SEBAGAI PM LEBIH TERUK DARI PAK LAH SEBAGAI PM
PAK LAH SEBAGAI PM LEBIH TERUK DARI MAHATHIR SEBAGAI PM
Wednesday, February 11, 2009
DOSA KECIL JE......
Pemuda dan Pemudi ku ikutilah kisah ini...
Suatu Hari Rasulullah s.a.w. dan sahabat sahabatnya turun di suatu tempat di padang pasir yang tandus dan tidak ada tanamannya.
Tetapi dihari itu mereka perlu ranting ranting kecil untuk menyalakan api “Kumpulkan ranting ranting kecil” perintah Nabi s.a.w kepada para sahabatnya
‘baik Ya Rasulullah’ jawab mereka
‘tapi lihatlah, betapa kosong padang pasir ini, tidak terlihat kayu kayu kecil pun disini’
Nabi saw bersabda : “Bagaimanapun setiap orang harus mengumpulkan sebanyak yang ia boleh”
Semua sahabat pergi ke padang pasir.
Dengan teliti, mereka mencari cari kayu kayu kecil dan mengumpulkannya, hingga akhirnya setiap orang berhasil membawa ikatan ikatan kecil ranting ranting kayu dan dikumpulkan di suatu tempat.
Sebentar kemudian jadilah setumpukan kayu yang telah menimbun.
Kemudian Baginda Suci s.a.w bersabda : “Dosa dosa kecil sama seperti kayu kayu kecil ini. Pada mulanya dia tidak tampak dimata, namun setiap sesuatu pasti ada yang mencari dan mengejarnya. Apa yang kamu cari tadi kini telah tertimbun banyak dihadapan mata. Dosa dosa kamu kelak juga akan dikumpulkan dan di hisab. Suatu hari nanti, kamu akan melihat dosa dosa kecil yang pada mulanya tidak tampak dimata tiba tiba telah tinggi menggunung”
Tuesday, February 10, 2009
APAKAH TUNJANG KEKUATAN PAS? - UST IDRIS
Peranan tarbiah tidak ada noktah terakhir, malahan ia terus berjalan seiring dengan proses kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Ia juga tidak terhenti kepada ahli bawah sahaja malahan juga kepada mereka yang bergelar pemimpin. Kita akan mengalami kepupusan ahli dan kepimpinan pada masa akan datang jika pengurusan tarbiah tidak diatur dengan baik. Tenaga kerja untuk menggerakkan pilihanraya akan terbantut apabila sistem tarbiah tidak berjalan dengan teratur.
Program anjuran kerajaan juga akan tergendala jika kita mengabaikan perkara ini, kerana jentera kerajaan agak minima untuk membantu. Kita juga tidak boleh mengharapkan jentera kerajaan, kerana bidang tugas dan agenda yang berbeza. Walaupun kita menang program parti yang semakin bertambah kerana permintaan yang banyak. Walaupun ada peruntukan untuk membuat program melalui wakil rakyat, tetapi jika kita tidak ada tenaga maka program tidak boleh laksanakan. Perlu wujudkan Jabatan Tarbiah dengan pegawai dan perkeranian sepenuh masa dan bergaji. Ia bertugas untuk memantau perjalanan tarbiah di kawasan-kawasan. Menyediakan bank maklumat usrah dan tenaga tarbiah dan mengetahui secara ditil kebolehan yang ada pada seorang ahli. Terutama sewaktu kita menang kita memerlukan orang yang fikrah tulin Pas yang mengemudikan parti dan membawa negeri dengan manhaj parti. Pengurusan Jabatan Tarbiah samalah seperti Jabatan pilihanraya negeri yang mesti bergerak dengan sistem kepejabatan.
Di antara perkara yang perlu diuruskan dengan baik untuk meningkatkan program tarbiah
A.Penyusunan usrah
Kegiatan usrah adalah satu kewajipan, kerana ia adalah merupakan tonggak kepada program tarbiah. Jika usrah berjalan dengan baik maka banyak perkara dalam jamaah dapat diselesaikan dengan baik. Tidak timbul lagi soal cawangan mati, wang tidak ada, ahli tidak bertambah, perkaderan tidak wujud.
Jenis usrah
- -Usrah Pas Pusat
- -Usrah Dewan Ulama’,Pemuda, Muslimat
- -Usrah Badan Perhubungan Pas Negeri
- -Usrah Kawasan
- -Usrah Cawangan.
*Penting sekali ialah Usrah Nuqaba’ (iaitu mereka yang terpilih untuk membawa usrah. Usrah bentuk ini baru dapat kita buat saringan dan peningkatan fikrah kalangan pesertanya). Kerana usrah yang di atas tadi hanya sebagai satu kegiatan untuk membentuk fikrah secara umum dan tidak bertahap dan ia hanya mengikut penjawat dalam parti walaupun dari segi fikrahnya masih minima tentang pemahaman Islam dan gerakan. Sedangkan usrah nuqaba’ ia bertahap dan mempunyai bebanan tugas kepada setiap ahli seperti hafalan, taklif menyediakan bahan. Perkara ini tidak dapat kita laksanakan dalam konteks usrah umum. Sekurangnya mesti ada dalam setiap kawasan 10 orang ahli usrah nuqaba’.
Usrah remaja untuk anak ahli Pas
Kita perlu meninggalkan pelapis parti untuk akan datang. Tenaga pelapis tidak wujud jika kita tidak menyediakan tapak daripada awal lagi. Usrah wajib diadakan untuk menyelamatkan parti dan zuriat kita meneruskan perjuangan ibu bapanya. Dalam suasana mendidik anak yang begitu mencabar, anak merupakan ujian dan fitnah kepada ibu bapa dan jamaah jika kita tidak bentuk dengan betul. Anak-anak kita lebih selesa dengan kawannya yang sebaya. Maka usrah remaja perlu diadakan, InsyaAllah anak kita terselamat daripada kancah kerosakan.
Caranya
- -Tubuhkan unit usrah remaja samaada unit amal atau nisa’ yang berumur 13-18 tahun di setiap cawangan Pas.
- -Umur seperti begini agak mudah untuk dibentuk
- -Naqib terdiri daripada remaja juga yang umur lebih sidikit daripada ahli usrah. Kerana naqib seperti ini lebih memahami jiwa keremajaan.
- -Buku yang dikeluarkan oleh Lajnah Tarbiah Dewan Muslimat Pas Pusat “Tajuk-Tajuk Asasi Untuk Remaja Soleh” boleh dijadiklan rujukan di samping buku yang dikeluarkan oleh Lajnah Tarbiah Dan Perkaderan Pas Pusat.
- -Buat di rumah secara gilir dan sediakan sedikit minuman dan makanan ringan secara mingguan.
*NOTA PENTING: Pesan kepada anak-anak yang berjaya melanjutkan pelajaran kena mengikuti usrah Pas. Pesan juga kepada anak yang sudah bekerja kena cari usrah Pas jangan pula menakutkan anak supaya jauh daripada Pas. Kita tidak mahu berlakunya kecelaruan fikrah di kalangan anak-anak kita. Dalam Suasana yang pihak musuh yang cuba merosakkan anak-anak kita dengan program PLKN, BTN (Biro tatanegara), minggu suaikenal di pusat pengajian tinggi. Program ini semuanya menjurus supaya anak kita jauh daripada perjuangan bapanya. Kecuaian ibu bapa Pas tidak berperanan untuk menjuruskan anak kepada perjuangan berakhir dengan mala petaka meninggalkan anak sebagai penentang kepada pejuangan Pas. Cukupkah kita hanya berbangga dengan kehebatan Pas di zaman kita sedangkan kita tidak meninggalkan benih pejuang untuk masa akan datang. Dalam apa keadaan sekalipun anak tidak boleh disalahkan, kerana yang boleh disalahkan ialah ibu bapanya yang tidak membawa balik pejuangan Pas ke dalam rumah. Contoh yang ditunjukkan oleh baginda nabi Muhammad SAW melatih Saidina Ali, Asma’ Abu Bakar, Abdullah Abu Bakar walaupun mereka masih muda telah diberi peranan untuk menjayakan misi hijrah baginda ke Madinah
Usrah Di Sekolah
Samaada sekolah Pas, sekolah kerajaan, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Swasta perlu diadakan program ini. Mereka adalah bakal pemimpin masa akan datang samaada sebagai ahli politik, bekerja di sektor swasta atau badan berkanun. Pelajar yang berada tingkatan 5 (17 tahun) sekarang ini bakal menjadi pengundi PRU 13. Sebab itu Umno menggunakan kaedah PLKN, Biro Tata Negara dan minggu suaikenal di universiti untuk mencapai cita-cita mereka.
Caranya
- -Guru-guru Pas di sekolah kena berperanan besar dan berjiwa besar dengan mengorbankan sedikit wang dan masa untuk masa depan perjuangan Islam
- -Pilih pelajar-pelajar yang berbakat dan cerdik dahulu disamping pelajar-pelajar lain.
- -Program boleh dibuat selepas kelas dalam masa 45 minit sudah cukup.
- -Sekali sekala ajak pelajar datang kerumah untuk jamuan kepada mereka.
- -Kalau ada masa boleh bersukan dengan mereka
- -Muqarrar usrah boleh pakai topik yang sama seperti usrah remaja.
- -Sekali sekala (satu kali sepenggal) atur program qiamullail, khemah ibadah dan wujud suasana beragama dan kecintaan kepada agama.
KEPUTUSAN PRU12 P59 BUKIT GANTANG
P59 BUKIT GANTANG |
Jumlah Pengundi: 55,471 Peratusan Kaum: M: 63.48% C: 26.77% I: 9.71% L: 0.04% |
1. Roslan Shaharum (Pas) (20,015) 2. M. Murganan (Bebas) (872) 3. Datuk Seri Azim Mohd. Zabidi (BN) (18,449) |
Majoriti: 1,566 Jumlah undi: 40,187 Peratus mengundi: 72.45% Undi rosak: 851 |
Penyandang: Datuk Tan Lian Hoe (BN) (Majoriti: : 6,702 undi) |
KEPUTUSAN PRU12 BUKIT SELAMBAU
N25 BUKIT SELAMBAU |
Jumlah Pengundi: 34,977 Peratusan Kaum: M:50.20% C:19.25% I:29.53% L:1.02% |
1. V. Arumugam (Bebas) (13,225) 2. S. Krishnan (BN) (10,863) |
Majoriti: 2,362 Jumlah undi: 26,450 Peratus mengundi: 75.62% Undi rosak: 1,694 |
Penyandang: Datuk V. Saravanan (BN) (Majoriti: 7,695 undi) |
Monday, February 9, 2009
PASTIKAN BN KALAH DI DUN BUKIT SELAMBAU DAN PARLIMEN BUKIT GANTANG
Ini adalah 2 medan uji sebenar kepada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Oleh itu, kepada pemuda dan pemudi pastikan kita berusaha sekuat mungkin dan sentiasa berdoa kepada Allah swt untuk menunjukkan kebenaran melalui kuasa rakyat di DUN Bukit Selambau dan Parlimen Bukit Gantang dengan mengalahkan BN di kedua-dua kawasan pilihanraya tersebut.
Mereka boleh merancang, tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang.
Kita tidak ada duit,
Kita tidak ada polis,
Kita tidak ada RTM, TV3, TV7, TV8, TV9,
Kita tidak ada SPR,
Kita tidak ada akhbar harian,
Kita tidak ada duit taukeh judi,
Kita tidak ada duit rasuah.
Kita tidak ada duit Petronas
Tetapi yakinlah kita ada rakyat yang sudah sedar dan celik mengenai kejahatan UMNO/BN yang memang di akui sendiri oleh pemimpin mereka.
Paling penting kita ada Allah swt yang sentiasa melihat segala gerak geri hambaNya, oleh itu bermunajatlah kepadaNya dengan bersungguh disamping berusaha menjelaskan kejahatan UMNO/BN kepada rakyat dengan gigih.
ULASAN OLEH ALI MAIDEN - KES KARPAL SAMAN SULTAN
Ikuti Pandangan Prof. Dr. Abd Aziz Bari Mengenai Isu di Negeri Perak
Klik dibawah untuk mengikuti klip video:-
Bahagian 1 , Bahagian 2 , Bahagian 3
Petikan Pandangan Dr. Aziz Bari di Bahagian 1: "semua orang harus patuh kepada undang, bermula dari raja, driver teksi hinggalah kepada penganggur. Datuk Seri Ahmad Nizar telah dinafikan kedudukannya, kerana daripada permulaan lagi ada beberapa isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum perlantikan kerajaan baru dibuat. Ini termasuk menentukan taraf 3 ADUN yangv menyeberang itu dan juga tindak tanduk mereka yang begitu misteri???, jadi ini perlu diselesaikan, jadi saya fikir perlantikan kerajaan baru oleh Paduka Seri Sultan Perak adalah suatu tindakan yang tidak kena pada tempatnya dan rakyat telah meluahkan rasa marah dan tidak puas hati mereka......."
Petikan Pandangan Dr. Aziz Bari di Bahagian 1: Mengenai soal titah Tuanku, saya fikir Tuanku perlulah kembali kepada tempat asalnya, jangan kedepan politik kerana ini akan menyeret istana kekancah politik dan ini akan menjadikan suasan lebih keruh, sebab Sultan tidak dilantik untuk berpolitik dan kita tinggalkan politik untuk orang politik dan istana kekal neutral seperti yang dijanjikan oleh Raja Nazrin 3 hari yang lalu....."
Petikan Pandangan Dr. Aziz Bari di Bahagian 1: "Keputusan Tuanku untuk melantik kerajaan yang baru adalah keputusan yang silap, ini macam priskripsi yang silap, bukan semua pening itu boleh selesai dengan makan panadol, mungkin pening kerana suhu naik, mungkin pening kerana penyekit dalam badan, jadi apa yang sepatutnya yang sebaik-baik dilakukan ialah samada menangguhkan atau menunggu yang 3 itu selesai (ADUN lompat) ataupun yang lebih baik adalah membubarkan Dewan sebagaimana yang dipohon oleh Datuk Seri Mohd Nizar dan benarkan pilihanraya, jadi semua orang akan dapat di adili dan sekarang ini.... sekarang ini..."
Selamat Menonton.... dengan mencari kebenaran
Friday, February 6, 2009
SURAT TUAN GURU HJ NIK ABD AZIZ NIK MAT KEPADA RAJA-RAJA
1. Menteri Besar dalam sesebuah negeri adalah mewakili rakyat dalam sesebuah negeri untuk disembah kepada Raja. Orang lain, walau PM sekalipun adalah orang luar. Kalau tidak begitu maka akan timbul bermacam-macam krisis dan huru hara. Ini termasuklah siri-siri jenayah dan pencolekan seperti yang berlaku ke atas Menteri Besar Terengganu, Daud Samad dan beberapa Wakil Rakyat di Negeri Kelantan di tahun 1960an.
2. Status Institusi Raja akan terjejas di mata rakyat kalau Raja mendengar dan akur menerima nasihat (advise) dari orang lain. Di zaman Tun Dr. Mahathir, Institusi Raja terjejas teruk dan jangan-jangan ia terjejas lagi di kali ini. Ucapan saya ketika di Parlimen di masa itu antara lain berbunyi: “Orang politik akan menjadi Raja/Presiden di masa hadapan. Puncanya kerana peribadi sebahagian Raja-Raja itu sendiri.”
3. Sistem Beraja tidak menjadi semakin bertambah. Hendaklah diingati benar-benar bahawa sistem Beraja semakin hari semakin berkurangan. Bertambah tidak. Dunia boleh saksikan sendiri bagaimana Raja Nepal di Katmandu, Sultan Hussein di Singapura, Hamingkubuwono di Indonesia, Sultan Kudrat di Filipina, Al-Malik Farouk di Mesir, Shah Iran di Iran, Maharaja China di Negeri China, Maharaja Yaman di Yaman, Iraq, India dan seluruh Benua Eropah. Kini, mereka hanya tinggal sejarah.
4. Jadi, Institusi Raja di Malaysia perlu berhati-hati benar.
5. Saya sayangkan Institusi Raja kerana saya tahu bahawa rakyat hormatkan Rajanya. Saya sendiri dapat merasakannya kerana saya sendiri juga daripada keturunan Raja Jembal. Selain daripada menghormati saya dari aspek-aspek yang lain khususnya dari hal agama, mereka hormat saya kerana saya juga datang dari keturunan ini.
6. Tegasnya semua pihak perlu berhati-hati dalam menangani krisis yang cuba dicetuskan oleh pihak-pihak yang berkepentingan di luar dari Negeri Perak. Ingatlah, Allah Maha Berkuasa diatas segala sesuatu dan Allah tidak akan berpihak kepada pihak yang berbuat kezaliman.Sebaliknya, Allah akan menurunkan bantuan kepada mereka yang dikhianati dan mereka yang ditindas.
Firman Allah S.W.T. bermaksud :
“Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. Segala Puji Bagi Allah Tuhan semesta Alam.” (Surah Al An’aam: Ayat 45).
Wallahua’lam.
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Mursyidul Am PAS
Bertarikh : 9 Safar 1430
5 Februari 2009
Sumber asal: Harakahdaily
Monday, February 2, 2009
Tahniah 30 Tahun Republik Islam Iran: Tidak Timur - Tidak Barat
"Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat kepada nabi. Wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya."
Sekalung Tahniah di ucapkan kepada Republik Islam Iran kerana berjaya kekal sebagai sebuah pemerintahan Islam bermula 1 Februari 1979 sehingga sekarang 1 Februari 2009 (30 tahun) sejak Imam Khomeini menjejakkan kakinya semula ke bumi Iran pada 1 Februari 1979 setelah diusir selama 15 tahun ke Iraq dan Peranchis.
Di doakan semoga semoga Iran akan berkembang menjadi kuasa besar dunia yang seterusnya mengembalikan sistem khalifah Islam di atas muka bumi Allah ini, hasil ijtihad berani yang dilakukan oleh Imam Khomeini seperti yang dijelaskan oleh Tuan Guru Hj Abd Hadi di dalam kuliahnya Mazhab Akidah Dunia Islam yang antara lain menjelaskan:-
Petikan 1 - "Sehinggalah imam Khomeini di Iran melakukan revolusi Iran, melakukan ijtihad, mengubah ijtihad mengatakan jihad ada walaupun tidak ada imam, ini telah membawa pendekatan yang mendekati Ahli Sunnah Wal Jamaah, dia membatalkan pendapat imamiah yang dulu dengan mengatakan jihad itu ada, kita kena lawan dengan Israel, kena lawan dengan Amerika, lawan dengan kuasa besar, dan kena sembahyang Jumaat dan dia mengarahkan pengikut Imamiah sembahyang di Masjidil Haram, berimamkan dengan Imam Masjidil Haram, sembahyang jamaah sekali dengan orang ramai. Ini satu perubahan yang dibuat oleh Khomeini berlainan dengan pandangan Imamiah dulu, Inilah keistimewaan yang ada dalam mazhab mereka iaitu dibuka pintu ijtihad, jadi ulamak-ulamak boleh berijtihad. Khomeini dengan berani melakukan perubahan dengan berijtihad supaya berjihad menentang kerajaan Shah yang tunduk kepada Amerika dan menubuhkan kerajaan Islam dengan beliau menulis buku Al-Hukumah Al-Islamiyyah, cuma ada pandangan yang salah, ada juga pandangan yang salah, salah ijtihad dia, diantaranya ia mengatakan bahawa, Imam-imam Ahlul Baiyt adalah maksum, dia berdalilkan hadis Nabi, "Ulamak aku adalah sama dengan para anbiyaa Bani Israel". Ini hujah dia. Ijtihad ini tidak betul dan kita tidak boleh pakai ijtihad ini. Tetapi dia telah membuat satu tajdid satu perubahan, iaitulah membuka pintu jihad, kerana hadis Rasulullah saw mengatakan "Jihad itu berterusan sehingga hari kiamat". Jangan ada orang pandai-pandai menutup pintu Jihad kerana nabi mengatakan jihad berterusan sehingga hari kiamat. Jika ada tok lebai-tok lebai tak mahu berjihad, hendak duduk saja itu sudah menganut ajaran salah, bercanggah dengan hadis kerana hadis mengatakan berjihad terbuka hingga hari kiamat. Jihad ini bermula dari kita melawan hawa nafsu kita sehinggalah melawan pemerintah yang zalim, yang menyeleweng dari hukum Islam, kita kena lawan dengan lidah, dengan tulisan dan dengan apa sahaja nikmat yang diberikan oleh Allah swt.
Jadi Khomeini telah membuat satu perubahan di dalam mazhab dia bahawa jihad hendaklah diteruskan. Sembahyang Jumaat diadakan semula, maka ditiap-tiap daerah di Iran dilantik Imam Jumaat, dan Imam Jumaat ini pangkatnya lebih besar dari Gabenor Daerah setelah dia menubuhkan kerajaan Islam, ini satu keistimewaan yang ada kepada dia, kita disini tok imam tiada kuasa pemerintahan, di Iran imam Jumaat lebih kuasa daripada D.O. peringkat Daerah (kita) dan lebih kuasa daripada Gebenor kalau diperingkat negeri (kita). Inilah perubahan yang dibuat oleh Khomeini, kalau nak ikut dia ikutlah dalam bab ini. Imam bukan sahaja memimpin sembahyang tetapi memimpin umat, ini dia (Khomeini) mengembalikan kepada hukumah Islamiyyah yang dikenali dalam mazhab syiah Wilayatul Faqeh (Penguasaan mereka yang faqeh dan faham tentang agama)."
Petikan 2 - "Imam Khomeini mengarahkan sembahyang Jumaat semula, Dan Khomeini telah dituduh untuk menSunnikan, penganut Syiah, ulamak syiah dia pun marah kepada Khomeini kerana ikut Ahli Sunnah dah, ini satu pertarungan yang berlaku dikalangan mereka sendiri, menunjukkan mereka sudah ada perubahan sedikit sebanyak.
"Dan hari ini telah ditubuhkan Majmak Taqrir ialah satu badan yang ditubuhkan untuk mendekatkan Sunni dan Syiah, mereka panggil ulamak dari Iran dan ulamak daripada dunia Islam berada dalam Majmak Taqrir kearah mendekatkan Sunni dan Syiah, iaitu Syiah yang Islam, cuma mereka khilaf dengan kita dalam masalah tertentu sahaja, walaupun dianggap salah mereka tetap daripada orang Islam, mereka adalah orang Islam saudara kita orang Islam jugak , terutamanya hari ini kita melihat Iran menyokong rakyat Palestin lebih daripada negeri Islam yang mengaku Ahli Sunnah, bukan Ahli Sunnah dah Ahli Punah dah , dan Hizbullah di Lubnan berperang dengan Israel kerana menyelamatkan orang Palestin yang diinanya sedangkan kerajaan Arab yang mengaku Ahli Sunnah berbaik dengan Amerika, berbaik dengan musuh Islam. Oleh kerana itu wajar kita menyatukan semula umat Islam dan hari ini Amerika telah melagakan Sunni dan Syiah di Iraq, berlaku peperangan sesama sendiri setelah Amerika masuk, sedang sebelum ini orang Sunni dan Syiah di Iraq bersatu dan berkahwin diantara satu sama lain, orang Sunni kawin dengan orang Syiah, orang Syiah mengaji dengan ulamak Sunni, orang Sunni mengaji dengan ulamak Syiah buka kitab Ihtisaduna yang dikarang oleh Baqir As- Sodr ayah kepada Muktada As-Sodr yang ada hari ini, adalah kitab ekonomi Islam yang dianggap hebat dan dijadikan rujukan ulamak Ahli Sunnah bukan sahaja ulamak Syiah. Ini menunjukkan pengakuan. Tiba-tiba Amerika masuk jadi perang antara Sunni dan Syiah, kerana mereka membekalkan senjata kepada orang Sunni yang bodoh dan kepada orang Syiah yang bodoh. Amerika yangv membekalkan senjata dan disana ada agen Israel yang bertugas di bawah tentera Amerika untuk membekalkan senjata kepada orang awam Sunni dan Syiah supaya mereka berperang, dan ini yang berlaku hari ini di Iraq. Sepatutnya Sunni dan Syiah hendaklah bersatu menentang musuh bersama Amerika, Yahudi dan lain-lain lagi."
Untuk mendengar kuliah lengkap mengenai Mazhab Imamiah oleh Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sila klik diSINI (ada petikan 1) dan di SINI (ada petikan 2)
Pemuda dan pemudiku, semoga usaha pihak kuffar antarabangsa untuk memecah-belahkan umat Islam dengan mengapi-apikan perbezaan Mazhab akan dapat dihapuskan dan akhirnya kita pemuda pemudi Islam akan kembali bangun bersama Islam dan mati bersama Islam, sehingga akhirnya Khilafah Islam kembali tertegak dibumi Allah ini.
Ya... Rabb... Berikanlah kami Petunjuk dan Hidayah Mu