Wednesday, September 17, 2008

PESANAN ISTIMEWA UNTUK RAKYAT ISLAM KUBANG ROTAN


Pemuda dan pemudi ku,


Kejarlah dan Intailah Malam Seribu Bulan


Sebagai sebuah kerajaan yang memerintah, selain dari memikirkan untuk memberi habuan dunia kepada rakyat dengan usaha menarik pelaburan dari luar negara, mempertingkatkan produktiviti anak negeri dan segala macam usaha bagi meninggikan ekonomi rakyat.


Maka sesuai dengan tema ‘Kedah Sejahtera’ – Pusat Khidmat Wakil Rakyat ADUN Kubang Rotan ingin menyeru umat Islam dalam DUN Kubang Rotan untuk bersama-sama memikirkan secara serius habuan atau hadiah istimewa yang diberikan oleh Allah swt kepada seluruh mukminin dan mukminat untuk mencari satu bonus sebagai bekalan yang penuh kesejahteraan ketika di alam akhirat nanti, iaitu dengan sama-sama mengintai malam Lailatul Qadar pada 10 malam-malam terakhir Ramadhan tahun ini dan Ramadhan tahun-tahun berikutnya, selagi nyawa dikandung badan.


Malam yang memberi bonus, amalan selama 1,000 bulan adalah satu tawaran yang tidak boleh dilepaskan oleh sesiapapun yang bergelar mukmin dan mukminat.

Kita boleh berusaha mendapat malam Lailatul Qadar ini, samada secara individu, berkeluarga atau berjamaah, di rumah, di surau atau di masjid.


Walaubagaimana pun bagi Pusat Khidmat Wakil Rakyat ADUN Kubang Rotan mengambil inisiatif untuk bergerak secara berjamaah dari masjid ke masjid sepanjang 10 malam terakhir Ramadhan tahun ini, dalam usaha menggerakkan motivasi rakyat Islam Kubang Rotan mengejar bonus yang sengaja disembunyikan oleh Allah swt.

InsyaAllah program akan bermula jam 01.00 pagi dan berakhir dengan kuliah suboh di 10 buah masjid dalam DUN Kubang Rotan dan InsyaAllah makanan untuk bersahur akan disediakan oleh pihak AJK masjid berkenaan.


Berikut adalah senarai masjid yang telah diaturkan gilirannya:-


19 Ramadhan 1429 : Masjid Al-Ghufran, Akar Peluru, Jalan Pegawai.

20 Ramadhan 1429 : Masjid Kg Baru, Kuala Kedah

21 Ramadhan 1429 : Masjid Kuar Jawa

22 Ramadhan 1429 : Masjid Kubang Jawi

23 Ramadhan 1429 : Masjid Nurul Ihsan, Kbg Rotan

24 Ramadhan 1429 : Masjid Al-Maarof, Sbrg Kota

25 Ramadhan 1429 : Masjid Putra, Batu 6, Jalan Kuala

26 Ramadhan 1429 : Masjid Ehsan, Sbrg Perak

27 Ramadhan 1429 : Masjid Telok Chengai, Jln Kuala Kedah

28 Ramadhan 1429 : Masjid Nagore, Pekan Kuala Kedah


Kuatkan Tekad, Teguhkan Azam Mengejar dan Mengintai Malam Seribu Bulan Anugerah Tuhan Pencipta Alam


Semoga Berjumpa Di Sana!!!

Monday, September 8, 2008

916: PAKATAN RAKYAT MEMERINTAH MALAYSIA?

Allah - Tuhan Yang Menguasai Hari Pembalasan

Pemuda dan Pemudi ku

Sehingga saat ini, aku masih tetap berpegang kepada pendapat bahawa untuk kita mencapai Pemerintahan Islam yang di cita-citakan wajib mempunyai tiga ciri utama iaitu:-

1. Mempunyai seorang pemimpin muttaqin yang bebas dari sebarang kepentingan kelas dan puak.
2. Kuasa penuh untuk menyusun semula masyarakat secara menyeluruh disemua peringkat dengan sistem Islam.
3. Berkeupayaan untuk berurusan dengan dunia luar dengan cara yang tersendiri berdasar acuan Islam.

Persoalannya adakah usaha Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri dan seterusnya mengambil alih pemerintahan Malaysia pada 16 September nanti akan melengkapkan 3 ciri utama di atas.

Jawapannya sudah tentu tidak. (Kerana, tidak payah lagi aku menghuraikan siapakah Anwar - semua kita sudah tahu).

Jadi bagaimana kita pendokong perjuangan Islam? Apakah kita perlu keluar Pakatan Rakyat? Apakah kita perlu menubuh parti baru? Apakah kita perlu memeluk UMNO? Bagaimana dan bagaimana?.

Itulah persoalan yang berlegar-legar dikebanyakan minda pejuang Parti Islam SeMalaysia (PAS), kadang-kadang idea-idea yang dijana didalam pemikiran hanya digunakan untuk bermonolog, tanpa diluah keluar, kerana bimbang "Luah Mati Emak, Telan Mati Bapak".

Jangan bimbang pemuda dan pemudi ku. Teruskan perjuangan menegakkan Islam yang syumul di atas muka bumi Malaysia ini.

Bagi aku, kita mesti terus dengan Pakatan Rakyat, samada pada 16 September ini berjaya ataupun tidak Pakatan Rakyat memerintah Malaysia. Kerana yang penting bagi ku ialah landskap politik Malaysia ini perlu diubah terlebih dahalu. Khurafat mengatakan orang lain tidak tahu memerintah selain UMNO/BN mesti dihapuskan terlebih dahulu. UMNO mesti dimusnahkan sehingga keakar akar umbi. (maksudku bukan orang UMNO tetapi fahaman UMNO).

Ada dua andaian:

1. Andaian Pertama: Pakatan Rakyat tidak berjaya Memerintah Malaysia pada 16 September 2008.

Semua kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat memerintahlah seperti biasa. Program-program menuju ke arah Islam yang syumul mesti dipertingkatkan oleh pemerintahan yang dikuasai oleh PAS. Jangan takut kepada pegawai tadbir untuk melaksanakan program Islam (bukan pegawai yang memerintah, tetapi kita yang memerintah pegawai - dan bukan Islam yang diperintah, tetapi Islam yang memerintah).

Ustaz Fadzil Noor, pernah memberitahu, "Takut tak pa, jangan muhong je..."
Yang aku bimbang ialah, jika kita memiliki kedua-dua sifat secara serentak iaitu takut dan suka berbohong. Jika kita takut kepada pegawai kerajaan dan bohong kepada ahli PAS, maka kerajaan yang kita perintah tidak akan sampai kemana. Oleh itu sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, kepada negeri yang Pakatan Rakyat baru memerintah, tirulah perkara baik dari abang kita yang dah lama memerintah iaitu Kelantan, jangan berasa malu dan segan.

Sehinga jadilah pemerintahan Negeri Pakatan Rakyat sebagai idola yang kepada semua rakyat Malaysia dan menunggu-nunggu bila lagi Pakatan Rakyat akan datang memerintah negeri mereka.

2. Andaian Kedua: Pakatan Rakyat berjaya memerintah Malaysia

Kita mesti terus dengan Pakatan Rakyat di dalam untuk memerintah Malaysia. Selepas itu PAS mesti diperkukuhkan lagi secara serius (ingat tu Ustaz Idris Ahmad - Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiyyah PAS Pusat) sebagai sebuah gerakan Islam. Aku mencadangkan PAS hanya menghantar sebahagian sahaja pemimpin pertengahan untuk menjadi Menteri, sementara sebahagian pemimpin utama PAS mesti berada diluar kerajaan untuk terus membina jamaah yang benar-benar mantap.

Cadangan aku ini, berlandaskan kepada tindakan yang UMNO akanlakukan setelah 50 tahun berkuasa, maka adalah tidak mudah mereka akan menyerahkan pemerintahan Malaysia ini secara mudah kepada Pakatan Rakyat. Berbagai provokosi akan mereka timbulkan.

Jika ini berlaku, dan tidak dapat dikawal dengan baik oleh kerajaan baru, maka umur Pakatan Rakyat tidak akan kekal lama. Oleh itu, Presiden dan ke tiga-tiga Naib Presiden dicadangkan tidak menyertai kerajaan Pakatan Rakyat (Menteri atau apa-apa jawatan lain yang tidak payah menjadi Ahli Parlimen untuk menjawatnya). Hanya Setiausaha Agung PAS yang dibenarkan mengetuai PAS dalam Pakatan Rakyat pada kali ini.

Tugas mereka yang berada dalam pemerintahan hendaklah di garis luruskan kepada usaha pemantapan Islam dan mesti berani dan sekali-kali tidak bohong. Ini adalah tugas yang berat. Berada dalam kerajaan Pakatan Rakyat peringkat Malaysia adalah penting kerana disitu kita akan dapat belajar dan menguasainya dimasa hadapan yang lebih mencabar.

Tugas pemimpin yang berada diluar, ialah memantapkan parti (jamaah) sehingga benar-benar menjadi Harakah Islam sehingga berjaya mendaulatkan Islam secara syumul atas muka bumi Malaysia ini. Ini juga adalah satu tugas yang lebih penting, kerana jika apa-apa berlaku kepada kerajaan Pakatan Rakyat, ataupun Pakatan Rakyat terus memerintah sehingga PRU ke 13, proses pembangunan kader-kader PAS secara lebih serius mesti dilakukan.

...dan untuk mendaulatkan Islam secara syumul di atas muka bumi Malaysia ini ada beberapa perkara yang perlu dilakukan dalam tempoh 10 tahun ini....

masa lain pulalah dibincangkan... sekarang kita tumpukan perhatian untuk mengubah landskap politik Malaysia terlebih dahulu dengan menidakkan khurafat UMNO bahawa mereka sahaja yang tahu memerintah Malaysia ini.

Sunday, September 7, 2008

MEMBELA GOLONGAN MUSTAD'AFIN - TUGAS KITA



ISLAM MENGHARAMKAN TANAH SETINGGAN


Setinggan atau didalam bahasa inggerisnya “squatter”, yang memberi maksud “orang yang menempati tanah kerajaan secara haram, penghuni haram[1]”


Pengamalan system “setinggan” didalam undang-undang tanah di Malaysia pada hakikatnya diciplak dari pengamalan undang-undang tanah yang diamalkan di British.


Pihak British telah mengamalkan sistem setinggan ini bermula pada tahun 1898, yang pada asalnya diambil dari Australia .[2]


Setelah British masuk ke tanah melayu pada tahun 1786 sehingga 31 ogos 1957[3]. Ketika itu, mereka bukan sekadar menjajah kehidupan rakyat tanah melayu, bahkan mereka telah membawa masuk beberapa sistem pemerintahan penjajah ke tanah melayu. Antara sistem yang dibawa oleh mereka adalah sistem tanah dengan mewujudkan satu “istilah” yang “jelek” didengari, iaitu istilah “setinggan” untuk melahirkan pemandangan jijik kepada golongan peneroka-peneroka.


Jika meneliti sejarah pemerintahan Islam di Tanah Melayu, didapati bahawa sistem penerokaan tanah ini telah diamalkan di Melaka. Ini dibuktikan dengan satu buku tulisan Professor Ahmad Ibrahim, iaitu buku yang bertajuk “Al-Ahkam : undang-undang harta dalam Islam”. Didalam buku tersebut, dinukilkan “risalah hukum kanun Melaka” yang menyatakan hukum penerokaan tanah adalah seperti berikut;


“peri hukum orang menebas rimba yang tidak diperhumai orang, melainkan (menjadi) milik orang (yang menebas itu) sahaja, (dengan) dua janjinya (syaratnya),(pertama) bahawa yang menebas itu Islam, (kedua) bumi itu jangan ada milik orang lain. Apabila ditebasnya, maka barang yang ada di dalamnya itu menjadi pendapatan yang menebaslah.[4]”


Dari kenyataan sejarah ini, menjadikan kita tidak merasa pelik tentang kewujudan tanah-tanah pusaka yang dikuasai oleh orang-orang tua terdahulu.


Tetapi, dengan kedatangan British, mereka telah menjajah segala sistem pemerintahan Islam ini sehinggakan mereka melahirkan istilah “setinggan” kepada peneroka-peneroka tanah sebagai usaha untuk menjadikan umat Islam di Negara ini merempat di Negara mereka sendiri.


Tindakan dan usaha British ini tidak selesai sekadar keluarnya mereka dari tanah Melayu, tetapi tindakan British itu telah disambung oleh “anak-anak didik” mereka.


PANDANGAN ISLAM TERHADAP PENEROKAAN TANAH


Islam telah meletakkan hukum yang sangat jelas berkenaan dengan penerokaan tanah ini. Didalam perbincaraan fiqh, focus perbincangan berkenaan dengan penerokaan tanah dibawah tajuk “Ihya’ Al-Mawat”. Ianya sangat berkaitan rapat dalam perbincangan “al-hima” dan “Al-Iqta’”


Walaubagaimanapun, asas dalam perbicaraan penerokaan tanah ini adalah disandarkan kepada sabda Nabi SAW;


“Barangsiapa yang memakmurkan (meneroka) tanah yang tidak dipunyai seorang pun, maka dia adalah orang yang paling berhak terhadap tanah tersebut[5]”


Ulama sepakat menyatakan, setiap tanah yang tiada dimiliki oleh sesiapapun, lalu diterokai oleh seseorang, maka tanah tersebut menjadi miliknya[6].


Apabila tanah tersebut sudah menjadi miliknya, maka haram kepada mana-mana pihak, samada kerajaan atau sebagainya mengambil tanah tersebut. ini bersandarkan kepada sabda Nabi SAW;


“Barangsiapa menerokai tanah mati yang tiada kepunyaan sesiapapun, maka tanah itu menjadi miliknya. Dan tiada hak bagi titisan peluh (usaha) orang yang zalim (terhadap tanah tersebut)[7]”


Daripada hadis ini, Imam As-Syafii menyatakan bahawa, pemilik tanah boleh memaksa pihak penceroboh mencabut balik segala bangunan yang dibina di atas tanahnya itu[8].


Maka dengan itu, sekiranya pihak pemaju atau sebagainya, membangunkan bangunan di atas tanah yang diterokai oleh seseorang, maka dia berkuasa memaksa pihak pemaju tersebut membinasakan bangunan yang dibina atas tanah teroka tersebut.


Sekiranya pihak kerajaan ingin mengambil tanah tersebut dengan tujuan kepentingan awam, seperti membina jalan raya dan sebagainya, maka itu diizinkan. Keizinan itu sekiranya ketidaan pilihan yang lain, selain tanah tersebut sahaja. Walaupun begitu, keizinan tersebut mewajibkan kepada pihak kerajaan memberi pampasan yang setimpal dengan harga tanah dan bangunan kepunyaan peneroka tersebut, bukan berbentuk “saguhati” seperti yang dilakukan oleh pihak kerajaan sekarang.


Adapun jika dilihat pada reality yang berlaku di Kg Seberang Kota/ Kampung Baru, Seberang Terus dan dimana-mana tempat yang dirobohkan rumah-rumah rakyat disana bukanlah untuk kepentingan awam, tetapi tindakan tersebut adalah disebabkan tanah itu sudah di jual kepada pemaju-pemaju tertentu. Tindakan tersebut pada hakikatnya adalah berpunca dari sistem ekonomi kapitalis, yang lebih mementingkan syarikat-syarikat swasta berbanding rakyat didalam sesebuah Negara.

Firman Allah;

“Supaya perbendaharaan Negara tidak berlegar dikalangan orang-orang kaya dikalangan kamu”
(Surah Al-Hasyr : 7)


Dipadan dari tulisan Al-Bakistani

Rujukan:

[1] BESTA electronic Dictonary : carian “setinggan”.
[2] Seminar Peneroka Tanah di Worldwide pada 22 april 2007
[3] Sila lihat “Target PKSR Kajian tempatan” : m/s 98-99
[4] Maxwell, e.w 1884 “law and customs of the malays with references to the tenure of land. Dlm Isbras : Al-Ahkam jilid 3 – undang-undang harta dalam islam – oleh professor ahmad ibrahim, dewan bahasa dan pustaka (1991) – m/s : 62
[5] Sahih Al-Bukhari : 2/823. hadis no 2210.
[6] Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh : 5/551.
[7] Sunan An-Nasai Al-Kubra : 3/404. hadis no : 5760.
[8] Tuhfah Al-Ahwazi : 4/505.