Thursday, July 31, 2008

Kenyataan Akhbar Presiden PAS



Berikut adalah kenyataan media Tuan Guru Presiden PAS setelah mempengerusikan mesyuarat JK PAS Pusat siang tadi bersekali dengan Majlis Syura Ulamak PAS:

PAS TOLAK TAWARAN UMNO
TETAPI AKAN TERUSKAN PERBINCANGAN
DEMI KEPENTINGAN NEGARA DAN UMMAH

PAS menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan kerajaan samada diperingkat Pusat ataupun negeri-negeri. Oleh itu sebarang tawaran daripada Umno untuk mewujudkan kerajaan bersama disemua peringkat tidak lagi berbangkit.

Walaubagaimanapun PAS akan terus terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk parti-parti politik , NGO, institusi-institusi dan mana-mana individu demi kepentingan negara dan ummah.

Dalam pada itu PAS mengulangi pendiriannya kekal bersama Pakatan Rakyat dengan memainkan peranan yang aktif dan positif selaras dengan perjuangannya.


DATO’ SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Presiden
Parti Islam Se Malaysia (PAS)
31 Julai 2008

klik disini untuk lihat pandangan dari Ali Mydeen

Wednesday, July 30, 2008

Benang Yang Kusut Lagikan Terungkai....

Assalamualaikum wr. wb.

Pemimpinku yang disanjungi dan dikasihi.

Setiap benang yang kusut, akan dapat dirungkai tanpa memutuskan benang yang sedang dirungkai. Dengan syarat orang yang duduk bersama-sama merungkai benang tersebut adalah orang yang dapat mencari punca kekusutan benang tersebut dan sedar bahawa benang yang ditangan adalah kusut.

Selain berusaha mencari punca kekusutan benang itu, orang yang ingin sama-sama merungkai itu hendak mempunyai jari jemari yang dapat mencengkam kemas lembaran benang yang kecil dan jarinya perlu pulak mempunyai deria rasa yang tinggi dan mengetahui ketika mana perlu memegang dan ketika mana perlu melepas benang. Jari yang memegang benang hendaklah berhati dan secara yang lembut menarik keluar kekusutan itu satu persatu.

Tidak harus dilupakan juga, orang tersebut juga perlu mempunyai deria pengalihatan yang tajam, daya penumpuan yang jitu. Paling utama janganlah orang yang ‘panas baran’ dibenarkan merungkai bersama. Kerana jika usaha untuk merungkai benang di lihat beliau semakin kusut, takut-takut benang yang masih boleh digunakan akan dibakar hidup-hidup (Opppsss…. Maaf benang mana ada hidup).

Diingatkan juga semasa merungkai itu, boleh bercakap tapi fokus kepada persoalan benang yang kusut, jangan cakap sampai tak ketahuan punca, bila tak ketahuan punca macam mana nak cari punca.

Apabila ada benang yang memang tak dapat dirungkai lagi, terpaksa kerat le…. Tapi selepas itu sambung semula dengan segera jangan biar lama, bimbang benang tu akan ditiup angin sepoi bahasa hilang entah kemana. Selepas itu, benang kusut yang dibuka lembaran demi lembaran itu hendaklah di pintal kepada satu gelung secara tindih menindih dengan cermat dan tersusun. Ingatan lagi masa gulung tariklah benang itu dengan tegang (awas tegang sangat putus pula – kendur sangat kusut semula)

Akhirnya ketua kepada juru rungkai benang yang kusut itu, ambil gelung benang ini, simpan dalam tempat yang selamat untuk digunakan dihari mendatang.

Jika ada orang tanya mengenai punca kekusutan dan atau apa-apa hal mengenai benang yang kusut itu, hanya orang yang tahu sahaja dibenarkan menerangkannya. Bimbang bukan benang yang kusut selepas ini tetapi otak pula yang kusut.

Confucius mengatakan,

“Jika adik beradik sama-sama memandang rendah kepada kepentingan harta benda nescaya hati dendam (‘yuan’) tidak akan berbangkit. Jika adik beradik sama-sama bersabar ketika mengeluarkan kata-kata nescaya rasa marah (‘fen’) akan lenyapnya dengan sendiri.

(Hadis dah banyak pemimpin ku yang dikasihi menghafalnya)

Aku sayang jamaah ini – aku sayang pimpinanku
Selamat bermesyuarat – semoga diberi petunjuk dan diberkati Allah - Ameen

Aris Awang
Ahli Badan Perhubangan PAS Negeri Kedah


Husam kata sudah-sudahlah, jangan mengarut!

Perhatian
Copy paste dari terjemahan secara bebas dari Tek asal dalam posting sebelum ini oleh Sdr Abu Bakar (penarikbeca.blogspot.com) atas permintaan ramai sahabat di pendalaman Malaysia, tanpa izin beliau.


Aris Awang


Kebelakangan ini, begitu banyak diperkatakan tentang kerjasama PAS dan Umno kononnya untuk kepentingan Melayu dan Islam.

Kita telah tegaskan sebelum ini bahawa PAS amat menyedari niat tersembunyi di sebalik kesemua cadangan Umno itu. Kita juga telah menegaskan dengan jelas bahawa apa sahaja yang berkaitan dengan pertemuan antara PAS dan Umno adalah semata-mata 'muqabalah' atas dasar peribadi antara beberapa pemimpin PAS dan rakan-rakan mereka di dalam Umno. Ia bukan pertemuan rasmi atau 'muzakarah' di peringkat parti antara PAS dan Umno.

PAS, sama ada pemimpin atau penyokong akar umbinya, yang telah menempuhi senario politik Malaysia selama lebih 50 tahun, tidak naif dan mudah ditipu oleh Umno. Kita semakin matang dan telah masak dengan putar belit politik Malaysia. Jalan yang kami pilih menjadikan kami semakin tangkas untuk membezakan yang mana kawan dan yang mana lawan.

Lantaran itulah, kami merasa amat geli hati apabila membaca laporan akhbar mengenai apa yang didakwa sebagai tawaran Umno Perak hari ini yang dikemukakan oleh Ketua Perhubungannya, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali supaya PAS dan Umno membentuk kerajaan campuran di negeri itu.

Saya ingin mengulangi penegasan bahawa PAS tidak berminat untuk berkerjasama dengan Umno sama ada di peringkat pusat atau mana-mana negeri. PAS begitu selesa dengan pakatannya dengan PKR dan DAP di dalam Pakatan Rakyat dan tidak akan meningalkan pakatan ini, tidak kira semanis mana pun tawaran yang digula-gulakan oleh Umno.

Sama seperti nasihat saya kepada Tan Sri Muhammad Muhammad Taib baru-baru ini, saya juga ingin menasihati Datuk Seri Mohd Tajol Rosli supaya memberi tumpuan untuk menyimpan tenaga demi menyelamatkan kapal Umno yang sedang tenggelam, tanpa mengheret PAS untuk turut tenggelam bersama mereka.

Haji Husam Musa
29 Julai 2008
(Alih bahasa secara bebas oleh Sdr Abu Bakar - disedut dari blog beliau tanpa izin)

Let all these nonsense stop!

Lately, much has been talked about with regards to Pas working together with UMNO supposedly for the sake of Malays and Islam.

We have mentioned earlier that Pas is fully aware about the hidden motives behind all these proposals from UMNO. We have also specifically reiterated that as far as the interface between Pas and UMNO is concerned, what happened before were mere "Muqabalah" ie meetings on personal basis between some leaders in Pas with their counterparts in UMNO. It was never meant to be an official meeting, or "muzakarah", at party level between Pas and UMNO.

Pas, its leaders and grassroot supporters, having been in Malaysian political scenario for over 50 years, are not naive and cannot be easily duped by UMNO. We have matured, and become well versed, with the intricacies of Malaysian politics. The path that we have taken have made us wise enough to differentiate between friends and foes.

As such, I am greatly amused reading news report about the purported offer from Perak UMNO today, made by its chief, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali, for Pas and UMNO to form a join government in Perak.

I would like to reiterate here that Pas is not interested to work with UMNO either at Federal level or any states level for that matter. Pas is very comfortable with its alliance with PKR and DAP in Pakatan Rakyat, and will not abandon this alliance no matter how sweet is the offer that comes from UMNO.

I would also like to advise Datuk Seri Mohd Tajol Rosli, just as what I have advised Tan Sri Muhammad bin Muhammad Taib recently, that UMNO should better focus their energies and efforts to salvage the sinking ship of UMNO, without dragging along PAS on their way down.

Tuesday, July 29, 2008

Pandangan Azizi Hj Abdullah - Isu Muqabalah (Muzakarah)

Seorang kawan saya, pemberita akhbar The Star baru-baru ini memberitahu, dia mungkin dipanggil untuk memberi penerangan kepada Pemimpin dan AJK Pusat Pas bagaimana sepatutnya menghadapi media.

Inisiatif itu dilakukan oleh salah seorang AJK Dewan Pemuda Pas.

Saya sangat mengalu-alukan kerana dalam banyak perkara kita melihat Pas masih tidak mampu memenuhi cara dan etika dengan media, terutama apabila membuat sidang akhbar. Sedangkan orang-orang media kebanyakannya ingin mencari peluang kelemahan dan ‘kesilapan’ melalui ‘sidang press’ itu.

Saya mendapat tahu, ada sidang media, orang Pas mengeluar kenyataan dalam bahasa Arab atau banyak menggunakan istilah Arab. Ada sidang media, pihak Pas tidak menyediakan kertas ‘ sidang akhbar’, yang menyebabkan pemberita terlalah-lalah mencatat. Sedangkan mana-mana press, kertas sidang akhbar itulah yang penting bari pemberita.

Contoh paling terdekat, Buletin Utama TV3 25 Julai 2008, Presiden Pas mengatakan, bukan ‘Muzakarah’ tapi ‘Muqabalah.’ Apabila pemberita bertanya apa benda muqabalah itu, Presiden Pas menjawab, “Itu kena tengok kamuslah.”

Menjelang kempen Pilihanraya ke 12 atau ke 11 yang lalu, saya sering dijemput berceramah. Saya sering terlalah-lalah mencari nama-nama yang harus disebut ketika hendak berucap, kerana itu adalah protokol dalam ucapan. Tak seorang pun jawatankuasa majlis memberitahu siapa yang akan datang dan siapa yang turut ada di dalam majlis itu untuk disebut dari peringkat atas hingga ke jawatan bawah.

Tetapi lain pula apabila saya hendak berceramah di majlis Pas, yang dikelola oleh bekas pemimpin Umno. Sebelum naik ke pentas, mereka akan memberi senarai nama dengan jawatannya sekali yang patut disebut.

Tidak bersedia dan tidak mengatur acara dengan baik menyebabkan majlis atau persidangan akhbar menjadi keliru dan hasilnya apa yang tersiar juga menjadi keliru, mudah diputar belit.

Apabila soal muzakarah antara Pas dengan Umno menjadi hebuh sekarang, kita telah melihat bagaimana dari segi moral dan imejnya, Umno telah berjaya. Apa yang berlaku di dalam Pas, antara pemimpin dengan pemimpin, terutama Mursyid Am dengan Presiden, antara Ketua Pemuda dengan ahli-ahli bawahan sudah bercelaru. Saya tidak mengatakan Umno yang betul tetapi sangat jelas Pas sudah diperkotak katek dan dipermain hanya kerana kelemahan Pas menghadapi media.

Memang semua orang tahu, termasuk pemimpin Pas yang Umno dalam keadaan tersepit, menggelupur mencari ruang hendak menyelamatkan diri, tetapi kerana pemimpin Pas tidak pandai menghadapi media, maka gambaran yang dilihat oleh orang awam, ahli bawahan ialah, Pas bersedia dan Pas sangat perlu kepada penyatuan melalui Umno.

Di kalangan pemimpin Pas kita melihat, mereka sangat ghairah dan beria-ria sangat hendak ditemuramah. Mereka menjadikan pintu terbuka kepada pemberita bersoal jawab, malah ketika dalam keadaan kelamkabut keluar dari persidangan atau mana-mana mesyuarat, mereka sanggup berhenti dua minit untuk menjawab soalan pemberita. Kadang-kadang yang sepatutnya atas nama peribadi menjadi suara jawatan tertinggi, manakala yang sepatutnya suara jawatan tertinggi, menjadi suara peribadi.

Soal muzakarah, walaupun dikatakan sudah ditutup pintunya, kita yakin yang menutup pintunya ialah hendak bermuzakarah. Tetapi kita akan lihat bagaimana media menggunakan kebijaksanaan mereka di atas kelemahan pemimpin Pas, maka muzakarah yang ditukar kepada muqabalah ini akan berterusan, kerana ini agenda Umno.

Adakah pemimpin Pas akan mejawab,’ No komen?’ atau ia akan berhenti sekejap untuk menjawab soalan pemberita atau kononnya ingin memberi penjelasan?

Saya lihat isu muzakarah ini pada satu peringkat Umno sudah berjaya memporakperandakan pemikiran dan pendirian ahli Pas. Jika pemimpin Pas tidak berhati-hati, tidak membuang tabiat suka sangat diwawancara, ditemuramah dan menjawab soalan press, maka Pas akan mengulangi kesilapannya yang lebih buruk.

Mursyid Am Pas seharusnya jangan terlalu banyak bercakap dan memberi pandangan, kecuali dalam kuliah-kuliah. Saya sangat bimbang pandangan dan teguran yang remeh temeh, ia akan menjadi fatwa mufti yang tidak dipeduli oleh golongan artis. Presiden Pas juga harus mendapat persetujuan dari barisan AJK lain, dan mestilah perkara pokok, perkara penting apabila hendak bercakap kepada media.

Bagi saya, temuramah eksklusif dengan mana-mana akhbar perdana tidak harus dilayan. Tapi itulah yang sering terjadi. Siapapun tahu, temuramah di dalam akhbar milik Umno selalunya menjadi ‘bola tanggung’ kepada mereka sedangkan untuk menjawabnya sudah tidak ada peluang lagi. TV juga, Pempimpin Pas harus waspada apabila siaran bersifat tertunda dengan siaran langsung.

Apakah pemimpin Pas bersedia dalam hal ini?

Isu muzakarah ini sudah bermula sejak zaman Dato’ Asri lagi. Malah menurut Mursyid Am, Pas sudah serik dengan tipu helah BN terhadap Pas pada satu ketika dulu. Tapi anihnya pemimpin Pas tetap melayannya.

Saya melihat hal ini berlaku adalah kerana:

1. Pemimpin Pas mebuat komen ‘ingin menafikan’ tetapi cara komennya menyebabkan press boleh memutar belit.

2. Pemimpin Pas ingin memberitahu press bahawa dia terlibat dalam isu yang tidak dipersetujui. Tapi cara dia memberitahu memberi ruang kepada press untuk menyatakan dia sudah turut serta. Ini satu kesilapan.

3. Pemimpin Pas harus sedar, antara komen peribadi dengan komen atas jawatan, jika didedahkan kepada umum, ia sama saja. Rakyat, terutama ahli Pas tidak melihat pemimpin Y itu memberi komen atas nama peribadi walaupun Y berjawatan X. Maka apapun kategori komen, ahli akan mengatakan komen Y = Y+X.

4. Komen tidak harus dibuat hanya ketika keluar dari Parlimen dalam keadaan berjalan. Komen tidak harus dibuat ketika pemberita menyoal sewaktu hendak masuk ke dalam kereta.

5. Pemimpin Pas haruslah ingat, berbaik dan ramah mesra dengan pemberita berlainan sekali dengan berbaik dan ramah mesra pemimpin Umno. Ada tulisan pemberita menyebut, pemimpin Umno X atau Y mudah ditemui, mudah berbicara dan sangat mesra. Pemimpin Pas tidak boleh mengguna kaedah ini untuk merapatkan jurang antara pemberita dengannya, dengan harapan ucapannya akan selalu keluar di dalam akhbar. Pemimpin Pas kenalah ingat, apa saja yang ditulis oleh pemberita tersebut, tidak semestinya akan disiar bulat-bulat, kerana ia bergantung pula kepada Ketua Editornya dan Ketua Editornya akan disunting pula oleh orang yang lebih atas.

Masakan imej dan isu pemimpin Pas hendak diutamakan?

Oleh itu, kita rasa cukuplah isu muzakarah ini sebagai isu terakhir yang menunjukan kita sangat tidak kena dengan cara kita bermedia. Muzakarah tidak menguntungkan Pas. Muqabalah pun tidak menghuntungkan Pas. Tidak payah menyimpul awan gemawan untuk menjadi selimut Umno. Marilah kita menyimpul aqidah untuk jadi selimut di kamar akhirat.

7 perkara sebagai renungan

Semalam, Isnin 25 Rejab 1429/ 28 Julai 2008 adalah giliran aku bertugas di PKWR Kubang Rotan. Sampai sahaja di PKWR, buka Laptop untuk kemas kini blog PKWR Kubang Rotan yang baru sahaja dipublish.

Assalamualaikum…….. datang Pak Tuan Syed Ya minta cop YB atas dokumen tuntutan subsidi. Panggil kerani …….. pumm…. Cop…… dia pun bersalam dan minta diri, nak pi market berdekatan PKWR.

Nak mula sambung kemas kini blog PKWR….. Handphone pula bunyi…..

Isteri telefon minta hantar ke hospital……….

Bagi tahu kerani kena pi hospital………. Sambar sebuah buku sebagai bekalan bimbang kena tunggu lama dihospital

Sampai hospital lapor diri di wad kecemasan………. Betul kena tunggu lama

Baca buku yang disambar tadi

Sekali sekala ada orang lalu-lalang tegur, “awat tunggu sapa Ustaz …… ”

(dalam hati Ustaz pun ustaz lah………)

“Orang pempuan masuk wad kecemasan, mungkin kena operate kut?” aku menjawab

Aku balas Tanya balik, “mai tengok sapa?”

Sambung baca buku semula, sedang disekeliling macam-macam jenis manusia sakit yang ada – atas kerusi roda, atas katil, kaki tergantung disimen, mata ditampal, muka terbakar macam-macam…………

Sehari suntuk tak kisah pasai muzakarah/muqabalah UMNO-PAS

Jam 5.00 petang …….. masih tak boleh keluar

Send massage kat YB Nasir, Li Dagin dan Aziz….. minta tunggu Ustaz Man Pak Lang Men untuk bincang soalan Dewan yang akan bersidang bulan Ogos ni dan bagi tau mungkin tak sempat hadir perjumpaan yang diatur.

6.30 ptg YB Nasir call………. “kita tangguh esoklah mesyuarat tu”

“OK” aku jawab, sambung baca buku

Emmm…….. banyak juga yang sempat dibaca

Antara yang boleh dikongsi sebagai bahan renungan

  1. Sesungguhnya Allah mengutuskan Nabi Muhamad dengan membawa kebenaran untuk mengeluar hambaNya dari penyembahan sesamanya kepada penyembahan terhadap Allah, dari perjanjian dengan hambaNya kepada persetiaan kepadaNya, dari ketaatan terhadap sesamanya menuju ketaatan kepada Tuhannya dan dari kepimpinan sesamanya kepada kepimpinan Allah.
  2. Orang yang rela (ketika melihat) atas perbuatan sesuatu kaum, seperti orang yang ikut serta bersama mereka dan atas setiap orang yang ikut serta atas kebatilan akan mendapatkan dua dosa. Dosa kerana perbuatannya dan dosa kerana kerelaannya atas perbuatan tersebut.
  3. Jangalah sekali-kali anda menjadi pesuruh orang lain, sebab Allah telah menciptamu dalam keadaan merdeka.
  4. Sesungguhnya mengajak kepada kebaikan dan mencegah mungkar tidak akan mendekatkan seseorang kepada ajalnya dan tidak akan mengurangi rezekinya. Namun akan melipat gandakan pahala serta membesarkan kebaikannya. Manakala yang lebih afdal dari keduanya adalah perkataan benar yang diserukan dihadapan seorang pemimpin yang zalim.
  5. Janganlah anda menganggap sama antara orang yang melakukan kebaikan dan orang yang melakukan kejahatan. Ketahuilah sikap yang demikian ini akan menaikkan semangat bagi orang yang melakukan kebaikan untuk berbuat kebaikan dan akan menjadi pelajaran bagi yang melakukan kejahatan atas kejahatannya.
  6. Seorang hamba tidak akan merasakan nikmat keimanan, sehingga meninggalkan kebohongan baik hanya sekadar senda gurau mahupun bersungguh-sungguh.
  7. Kehancuran manusia itu ada dalam 3 perkara, Kesombongan, ketamakan dan sifat hasad dengki.

Banyak lagi yang dibaca……… semoga dapat diamalkan

Tunggu punya tunggu…….. isteri keluar……. Dibenar pulang………. Esok kena datang semula…….. untuk pemeriksaan lanjut.

Sampai dirumah lepas isyak……… letih jugak.

Message Handphone bunyi……. “Baca dak lagi tulisan Mahfuz di Harakahdaily?”Dari Ustaz Zul Perlis, AJK Pemuda Pusat. Aku balas semula, ringkas “Dak lagi………”

Jam 12.00 malam kena masuk bengkel (cari rezeki)………. Hari ni kena uli 2 guni tepung gandum(tepung mahal sekarang) Lebih kurang 3.00 pagi habis kerja, .

Balik mandi…….. mengadap Tuhan sat……. bergegas buka internet, Harakahdaily……… cari berita Mahfuz jumpa kenyataan Bang Mat Sabu, copy paste ke blog aku……… lepas tu yang Mahfuz pun copy paste juga……… bukan apa tanda setuju la tu

Kemudian tulis sikit………. Posting ke blog ………. Masuk bilik tidor.

MAHFUZ MINTA MAAF

Kepada,

Semua ahli, penyokong dan pengundi PAS.

Pertamanya marilah kita bersyukur kepada Allah di atas segala nikmatnya. Saya menuliskan surat terbuka ini adalah dengan tujuan untuk memohon maaf kepada semua ahli dan penyokong PAS si atas kenyataan saya baru-baru ini yang menafikan wujudnya sebarang pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno. Saya memohon berbanyak kemaafan di atas ketelanjuran ini.

Sebenarnya kenyataan yang saya buat sebelum ini bukanlah atas sifat pribadi saya, tetapi dibuat atas kapasiti sebagai Ketua Penerangan PAS berdasarkan keputusan parti yang mengarahkan saya berbuat demikian. Saya tidak menyalahkan pimpinan PAS yang mengarahkan saya berbuat demikian, tetapi ia adalah kesalahan beberapa individu yang gagal memberikan maklumat sebenar kepada pimpinan PAS. Tindakan mereka merahsiakan perkara-perkara tertentu berkaitan pertemuan dengan Umno telah menyebabkan pimpinan PAS mengambil pendirian bahawa tiada pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno.

Saya berharap individu terbabit dapat tampil kehadapan membuat penjelasan kepada ahli-ahli dan penyokong PAS tentang pertemuan berkenaan termasuk butir-butir perbincangan seperti yang didedahkan oleh Presiden Umno baru-baru ini. Mereka juga harus bertanggungjawab secara khusus dalam masalah ini kerana tindakan peribadi mereka.

Saya sendiri amat terkejut dengan pendedahan tersebut yang sama sekali bertentangan dengan kenyataan saya sebelum ini. Ia kemudian disahkan oleh Presiden PAS. Lebih memeranjatkan lagi apabila muzakarah tentang kepentingan Islam dan ketuanan Melayu yang didedahkan oleh Presiden Umno telah bertukar menjadi rundingan untuk membawa PAS menyertai kerjasama politik dengan Umno/BN. Sebelum ini kami sendiri tidak dimaklumkan tentang apa yang didedahkan oleh Umno ini, bahkan kami diberitahu tiada sebarang pertemuan dan rundingan rasmi antara kedua-dua parti.

Apabila bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo turut mendedahkan adanya rundingan khas selama 4 hari berturut-turut selepas pilihan raya baru-baru ini, saya berpandangan ia adalah tindakan peribadi individu tertentu tanpa melibatkan sebarang keputusan parti. Kerana itu, saya tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan rundingan yang disebut oleh Dr Mohamad Khir itu. Saya berharap individu yang terbabit ini turut membuat penjelasan kepada ahli-ahli dan mengambil tanggungjawab di atas apa yang berlaku. Atau saya meminta Dr Mohamad Khir Toyo yang mengaku turut terlibat dalam pertemuan di antara Perdana Menteri dan beberapa pimpinan PAS agar dapat memperincikan butir-butir pertemuan tersebut supaya kita dapat sama-sama mengetahuinya.

Oleh kerana tindakan beberapa individu atas nama PAS tanpa pengetahuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan tidak pula memaklumkan tindakan mereka secara terperinci kepada parti, maka PAS mengarahkan saya membuat kenyataan menafikan adanya pertemuan dan rundingan tersebut. Ia adalah salah faham akibat adanya maklumat yang disembunyikan daripada pengetahuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Saya sedar kesilapan yang telah saya lakukan apabila mengumumkan tiada sebarang pertemuan dan rundingan antara kedua-dua parti. Saya menerima banyak teguran dan kritikan di atas “pembohongan” ini daripada ahli-ahli dan penyokong PAS baik yang Islam atau yang bukan Islam serta rakan-rakan daripada Pakatan Rakyat. Kerana itu, dengan hati yang terbuka saya ingin memohon maaf di atas kesilapan yang saya tidak sengajakan itu. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seorang profesor Universiti Tempatan yang telah mengingatkan bahawa jika kita lupakan sejarah, sejarah akan mendera kita. Saya amat sedar tentang hakikat sejarah berkaitan kerjasama PAS-Umno yang telahpun saya sebutkan dalam kolum saya di Harakah pada minggu lepas.

Saya mengakui bahawa sejarah tidak pernah berulang, sebaliknya yang berulang ialah kesilapan manusia. Saya menyeru pimpinan PAS supaya jujur kepada ahli-ahli dan penyokong parti serta berusaha memperkukuhkan pakatan politik sedia ada. Saya mengajak ahli-ahli PAS memerhatikan hakikat sejarah yang ada supaya kesilapan itu tidak berulang.

Akhirnya, sekali lagi saya memanjatkan jutaan kemaafan kepada semua ahli dan penyokong PAS di atas ketelanjuran yang berlaku. Saya bersedia untuk menerima apa sahaja teguran dan kritikan membina untuk kebaikan bersama dan saya juga rela dihukum oleh ahli-ahli di atas kesilapan yang tidak sengaja saya lakukan ini.

Maafkanlah saya.

Sekian, wassalam.

Yang benar,

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Sena.

SUMBER: Harakahdaily