Thursday, June 16, 2011

MARI KITA DIALOG DAHULU DENGAN SPR SEBELUM 9 JULAI 2011

Rakan Taulan, Sahabat Handai, Teman Setia dan seluruh penyokong himpunan BERSIH 2.0 marilah kita berdialog dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mula dari sekarang dalam blog, facebook, tweet dan sebagainya.

Harap SPR dapat dengan kadar segera mengeluarkan tender untuk bagi kontrak kepada sapa-sapa yang mahu kendali laman sosial tersebut (kalau tawaran 1.8 juta aku pun mahu) dalam usaha berdialog dengan penyokong Himpunan BERSIH 2.0.

Awat senyap je.... biasanya senyap tanda setuju. Setuju kami buat BERSIH 2.0 atau setuju dengan 8 tuntutan kami.

Aku mula dulu dialog:-

Nii... Tuan Ketua Pengarah SPR saya.... saya nii.... saya niii (ketaq) wakili 3 juta ahli PAS meminta agar tuan dapat memenuhi lapan tuntutan kami iaitu:-



1. BERSIHKAN SENARAI UNDI

2. MENREFORMASI UNDI POS


3. GUNA DAKWAT KEKAL


4. MASA KEMPEN MINIMA 21 HARI


5. AKSES MEDIA YANG BEBAS DAN ADIL


6. KUKOHKAN INSTITUSI AWAM


7. HENTIKAN RASUAH


8. HENTIKAN POLITIK KOTOR

Harap Tuan Ketua Pengarah SPR cepatlah jawab. Ni tengah dialog ni, jangan buat tak dengar pulak.

Soalan lain, hampa sambung la pulak.... cemuih aku cakap dengan orang tak mahu jawab dan ikut telunjuk BN memanjang.

Oleh itu BERSIH 2.0 perlu diteruskan secara aman dan santai.

Wednesday, June 15, 2011

BISIKAN IBLIS MENGIKTIRAF MENJADI HAMBA MANUSIA

Setiap hari syaitan Iblis akan menggoda manusia, samada manusia itu berada berseorangan ataupun berada dalam himpunan yang ramai. Bahkan mungkin himpunan itu meletakkan cita-cita yang cukup tinggi untuk membebaskan manusia dari menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah.

Mungkin tidak semena-mena, akan bangun seseorang dalam perhimpunan itu, atas alasan tertentu dan kepentingan tertentu meminta agar seluruh jamaah mengiktiraf semula amalan yang telah ditinggal berpuluh tahun, menyembah kepada sesama manusia untuk di amalkan semula.

Oleh itu, pemuda dan pemudiku, awaslah bisikan syaitan yang tidak mengira tempat dan suasana. Paling penting baginya (iblis) ialah merosakkan pegangan yang sudah sebati bahawa tidak boleh mengiktiraf mereka yang zalim, hidup memperhambakan manusia lain kepada melunakkan hati manusia yang sudah memperhambakan diri kepada Allah swt untuk kembali menyembah sesama manusia secara halus melalui lisan mereka yang diiktiraf masyarakat.

Awas bisikan syaitan........... banyaklah membaca Surah An-Nas dengan penuh penghayatan.


سورة الناس
SURAH AN-NAS
Surah Manusia

Surah (114) - Makkiyah - 6 ayat

بِسْمِ الّلهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan nama Allah Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.

( ُق ْ ل َأعُوُذ بِرَبِّ النَّاسِ ( 1

1. Katakanlah (wahai Muhammad) aku pohon perlindungan pada Tuhan yang memelihara manusia.

( مَلِكِ النَّاسِ ( 2

2. Yang menguasai (dan memerintah) manusia.

( إَِلهِ النَّاسِ ( 3

3. Tuhan yang disembah manusia.

( مِن شَرِّ اْلوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ ( 4

4. Dari kejahatan (Syaitan) pembisik yang datang dan menghilang.

( الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ ( 5

5. Yang membisik (kejahatan) di dalam dada manusia.

( مِنَ الْجِنَّةِ وَ النَّاسِ ( 6

6. Iaitu dari (Syaitan) jin dan manusia.

Thursday, June 9, 2011

ENAM OBJEKTIF NEGARA BERKEBAJIKAN


1. Dalam negara berkebajikan, kerajaan mengambil tanggungjawab dalam perkara yang menjadi rukun hidup, keperluan asasi kemudahan asas, makanan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan dan lain-lain. PAS wajib menghapuskan budaya mendapat hasil secara membebankan rakyat yang menjadi amalan kerajaan UMNO/BN, sehingga mengambil kesempatan mendapat hasil melalui rukun hidup rakyat. Rakyat yang berniaga pula terpaksa berdepan dengan kerajaan yang berniaga. Kerajaan yang berniaga menerusi GLC pula, mengagihkan keuntungan kepada pemegang saham kroni tertentu, manakala kerugian perniagaan pula ditanggung oleh kerajaan, yang akhirnya dibebankan kepada rakyat menerusi sistem cukai yang menekan mata pencarian hidup rakyat jelata. Akhirnya GLC ini akan hilang daya saingnya kerana sentiasa menerima bantuan dari kerajaan.

2. Islam menjadikan kerajaan tidak membebankan rakyat dengan cukai yang tinggi atau cukai paksaan. Contohnya dengan mewajibkan bayaran zakat kepada orang Islam, dan cukai kepada bukan Islam dengan kadar kemampuan dan galakan yang meningkatkan produktiviti pendapatan mereka. Kerajaan juga tidak boleh menyekat kekayaan yang halal, tidak menipu, tidak menindas dan tidak rasuah. PAS percaya bahawa perolehan pendapatan negara bukannya dengan cara membebankan rakyat dengan kaedah menaikkan cukai atau menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan. PAS yakin bahawa keadilan sosial yang berteraskan kebajikan kepada rakyat dan amalan yang adil membawa berkat yang mengembangkan hasil negara.

3. PAS telah membuktikan kemampuan memerintah selama dua puluh tahun di Kelantan dan di negeri lain, dengan kadar hasil yang tidak boleh difikir mampu oleh mereka yang berfahaman kebendaan. Apatah lagi kini kita tentunya lebih yakin berkemampuan kerana hasil dan sumber negara tidak bocor dengan rasuah, membazir dan mewah.

4. Negara berkebajikan yang ingin kita capai ialah bukan hanya hebat pencapaian ekonominya semata-mata, kerana kita juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material yang bertaburan di sana-sini tetapi jiwa mereka kosong sehingga melahirkan berbagai penyakit kemanusiaan dalam masyarakat kita ini. Negara yang kita mahu ialah yang juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat di bawah jagaan kita. Indeks kesejahteraan yang ingin kita capai juga perlu mengambil kira persekitaran masyarakat beragama berbagai kaum dan fahaman yang wujud dalam negara kita ini, apatah lagi ianya mungkin berbeza dengan pentafsiran kesejahteraan di negara-negara lain. Kita inginkan kerukunan sebuah keluarga, yang mampu untuk berdepan dengan krisis moral dan akhlak yang semakin berleluasa di zaman yang serba moden ini.

5. Negara berkebajikan juga melaksanakan undang-undang yang mendidik rakyat, bukannya menakutkan rakyat dengan wajib menjatuhkan hukuman. Apa yang lebih parah lagi, BN telah menjadikan undang-undang sebagai satu cara untuk merompak harta rakyat, contohnya di atas nama saman ekor yang sama sekali tidak mendidik rakyat. Kaedah perundangan Islam menjadikan orang yang dituduh belum bersalah dengan wajib melindungi dan membelanya. Sesorang hakim mencari jalan bagaimana membebaskan orang yang dituduh, bukan mencari jalan untuk menjatuhkan hukuman. Islam menggalakkan orang yang bersalah bertaubat dan membuat penyelesaian di luar mahkamah kerana balasan bukan sahaja di dunia, bahkan ada lagi balasan dalam kubur dan selepasnya, kalau terlepas di dunia tanpa taubat. Islam membuktikan wujudnya keamanan dengan kehebatan undang-undang yang adil, bukan menakutkan rakyat dengan undang-undang yang zalim.

6. Islam menggalakkan wujudnya masyarakat berkebajikan dengan sifat persaudaraan kemanusiaan dan kejiranan untuk melakukan kerja kebajikan, sehingga mendahului kerajaan untuk berlumba-berlumba mendapat pahala. UMNO/BN telah melemah dan mematikan sifat tersebut, amalan wakaf bagi mendirikan masjid, sekolah rakyat, rumah kebajikan dan sebagainya, semata-mata bagi melaksanakan peluang rasuah politik terhadap rakyat.


Bagi melaksanakan tujuan tema negara BERKEBAJIKAN ini, maka PAS ingin melaksanakan langkah yang menjadi intipati utama iaitu membetulkan fahaman salah, membetulkan salah urus-tadbir ekonomi, dan seterusnya memimpin rakyat melakukan perubahan ke arah kebaikan sehingga rakyat sendiri berjiwa kebajikan. Semuanya ini tidak akan mampu kita capai tanpa mempunyai organisasi dan petugas parti yang mantap, perancangan yang bersifat semasa dan ke hadapan, pemantauan dan penambahbaikan dari masa ke semasa.

Friday, March 4, 2011

SURAT CALON PAS UNTUK PENGUNDI MERLIMAU



Yuhaizad bin Abdullah

Kampung Chin Chin,

N.27 Merlimau




BERSAMA KITA LAKUKAN PERUBAHAN

Kepada tuan/puan, seluruh pengundi yang dihormati, didoakan semoga diberi kesihatan dan kesejateraan di dalam kehidupan.

2. Saya Yuhaizad bin Abdullah, menetap di Kampung Chin Chin adalah calon dari Parti Islam SeMalaysia (PAS). Saya merayu kepada seluruh pengundi untuk memberi undi kepada PAS dalam Pilihanraya pada kali ini, kerana peranan wakil PAS amat penting untuk menjadi kuasa semak dan imbang di dalam pentadbiran Negeri Melaka yang kita kasihi ini.

3. Saya dengan rendah diri mengakui, saya seorang diri tidak mampu melakukan apa-apa, tetapi dengan sokongan ramai dari tuan/puan, sehingga saya sebagai wakil PAS dapat masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri Melaka akan memberikan perubahan landskap politik baru kepada negeri Melaka, lebih-lebih lagi kita masih belum ada seorang pun Wakil Rakyat Melayu/Islam dari pihak yang berbeza pandangan politik dengan kerajaan memerintah.

4. Telah terbukti, rakyat tidak mengalami apa-apa kerugian dan kehilangan harta benda apabila memilih calon PAS di Parlimen dan DUN yang diwakili oleh wakil Rakyat PAS sebelum ini.

5. Saya amat yakin jika pengundi Merlimau memilih calon PAS sebagai Wakil Rakyat pada 6 Mac 2011 ini, Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan memberi perhatian dan tumpuan yang lebih khusus kepada rakyat Merlimau berbanding sebelum ini. Oleh itu marilah kita lakukan perubahan, untuk diri kita sendiri dan oleh kita sendiri.

6. InsyaAllah, sebagai anak tempatan Kampung Chin Chin, saya akan membuka Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) dalam kadar yang segera jika diberi mandat oleh tuan/puan serta akan menjadi Wakil Rakyat sepenuh masa.

Bersama ini dilampirkan Slip Kedudukan Tempat Mengundi untuk kemudahan tuan/puan.

Sekian, terima kasih


YUHAIZAD BIN ABDULLAH

Calon PAS (N.27 Merlimau)

NOTA: TOLONG BACA, HURAI SURAT CALON INI KETIKA BERCERAMAH SEMASA KEMPEN SAAT AKHIR DAN AKHIRNYA SAMPAIKAN SALAM BELIAU KEPADA SELURUH PENGUNDI. AYOH !!!KERJA SAMPAI MENANG

Wednesday, February 23, 2011

Imam Musa Al-Sadr Yang Hilang di Libya Tahun 1978 Masih Hidup???

Pada bulan Ogos, tahun 1978, dari Lubnan Imam Musa Al-Sdr, seorang filosof dan tokoh politik Islam bersama seorang pengiring dan seorang wartawan telah pergi ke Libya atas urusan rasmi dengan kerajaan Libya. Sejak itu mereka tidak pernah dijumpai lagi. Dipercayai mereka telah dibunuh oleh Muammar Gadafi tanpa di ketahui motif pembunuhan.

Namun pihak Libya berterusan menafikan, dengan menyatakan Imam Musa bersama teman-temannya telah pergi ke Italy dari Libya. Sementara anak lelaki Imam Musa mendakwa ayahnya telah dipenjara secara rahsia di Libya, tetapi belaiu tiada mempunyai bukti.

Selepas kehilangannya di Libya, umat Islam di Lubnan telah menjadikan beliau sebagai Pimpinan Kerohanian dan popularitinya semakin meningkat dari hari kehari.

Pada 21 Februari 2011, ketika rakyat Libya bangun menentang pemerintahan diktator Muammar Gadafi, Imam Musa Al-Sdr dan 2 orang temannya dikata masih hidup. Sebelum inipun pembangkang Libya iaitu pengasas Tabo Tribal Liberation Front Essa Abdulmajeed Mansoor, pernah berkata Imam Musa Al-Sdr yang lesap pada tahun 1978 masih hidup di penjara Libya.

Semoga ia benar-benar masih hidup dan akan memimpin kebangkitan rakyat negara Arab dan Afrika utara yang masih tiada pimpinan yang benar-benar berwibawa serta berani untuk mati kerana Allah.

Apakah kemunculannya, akan berlaku seperti kemunculan Imam Khomeini ketika menjatuhkan Shah dalam tahun 1979 yang lalu di bumi Farsi dan sekarang akan berlaku pula di bumi Arab dan Afrika Utara?

Hanya Tuhan Yang Menjadikan sekelian Alam yang lebih mengetahui.

Tuesday, February 22, 2011

Nabi Diktator???

Rasulullah sangat marah ketika Umar Radhiallaahu'anhu memegang suhuf ayat2 dari kitab Taurat.
Nabi menegur Umar ".... Sekiranya saudaraku Musa 'alaihi salam hidup sekarang ini maka tidak ada keluasaan baginya kecuali mengikuti syari'atku"
(HR Ahmad, Ad-Darimi dll).

Tidak nabi tidak diktator.... walaupun beliau menegah Saidina Umar membaca Taurat, yang juga diturunkan kepada Nabi Musa as oleh Allah. Tujuan beliau melakukan begitu kerana tidak mahu fikiran manusia menjadi bersimpang siur dari panduan Al-Quran.

Oleh itu, Koran PAS pun tidak mahu benda-benda yang boleh menyebabkan fikiran ahli jadi bersimpang siur, maka tertegahlah seseorang dari menulis yang akan mungkin menyebabkan fikiran ahli-ahli dari bersimpang siur.

Itu sahaja. Terima kasih Ustaz Idris.

Kita menerima kumpulan Dilarang Melarang... tetapi janganlah kita terikut dengan sikap di Larang Melarang.

Bukankah dalam Islam ada boleh (Halal dan Harus) dan ada yang tidak boleh (Haram) dan tidak digalakkan (Makruh), maka dengan adanya itu kita akan mengatakan Islam diktator??? Ohh sudah tentu tidak.

Ustaz Idris diktator... Oh sudah tentu tidak.

Nak masuk Sekolah Tok Guru Pak Ya Padang Lumat, pelajar perempuan kena pakai baju kurung dan bertudung labuh, nak pakai juga skirt dan tak mahu mahu pakai tudung.... kena buang sekolah.

Hj Najib diktator??? Ohh sudah tentu tidak.

Kes kecil je..... betulkan sikap dan penulisan, aku rasa bisa terima kembali dengan senang hati oleh Koran PAS menjadi kolumnis.

Terima kasih... Ustaz Idris enta bukan diktator tapi tegas!!!

Yang tulis mengenai UMNO dalam Koran PAS, enta (Ustaz Idris) dah bertindak.... yang buat lebih hebat pada tu bila agak-agak nak bertindak???


Wednesday, January 5, 2011

Mohamad Sabu, Menulis Mengenai Janji Setia

Dasar PAS ialah Islam. Rujukan PAS ialah Al Quran dan Sunnah, contoh ikutan terbaik ialah Muhammad Rasulullah SAW uswatun hasanah. Setelah mendapat kuasa di Madinah, Nabi membuat Perlembagaan Madinah/Piagam Madinah.

Ada lebih kurang 47 pasal dalam Piagam Madinah. Yang paling banyak ialah hal melindungi puak-puak atau kaum-kaum yang mengikat dan menandatangani perjanjian tersebut. Hak keselamatan, budaya, agama dan ekonomi dilindungi oleh Perlembagaan Madinah.

Penguasa Madinah tidak pernah mengkhianati perjanjian tersebut, bahkan orang-orang Yahudilah yang mengkhianati perjanjian tersebut semasa Perang Ahzab. Yahudi Madinah memihak kepada tentera bersekutu kafir yang mengepong Madinah. Selepas selesai Perang Ahzab kerajaan Madinah bertindak kepada orang Yahudi di atas sebab pengkhianatan mereka.

Nabi Muhammad SAW juga membuat Perjanjian Hudaibiah secara zahiriah, dilihat perjanjian itu merugikan umat Islam dan kerajaan Madinah. Sepuluh tahun tidak ada peperangan di antara Mekah dan Madinah. Pihak Mekah dan Madinah bebas mengadakan urusan dengan mana-mana pihak.

Orang Madinah yang pergi ke Mekah, tidak perlu dihantar balik. Sebaliknya orang Mekah yang pergi ke Madinah perlu dihantar balik. Undang-undang ektradisi ini dilihat tidak seimbang dan tidak adil. Setelah menandatangani perjanjian ini, Nabi dan rombongan berpatah balik dan tidak jadi melakukan umrah pada tahun tersebut.

Nabi dan umat Islam patuh kepada perjanjian tersebut. Kesempatan damai digunakan oleh kerajaan Madinah untuk menyebarkan Islam keseluruh pelusuk Semenanjung Arab dan negara-negara yang berdekatan.

Perjanjian ini dipatuhi oleh kerajaan Madinah sehinggalah mubaligh Islam dibunuh oleh pihak kerajaan Mekah. Selepas itu Nabi menggerakkan puluhan ribu umat Islam untuk mengepong Kota Mekah dan akhirnya menguasainya.


Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang meletakkan Al Quran dan Sunnah sebagai rujukan , cuba mengikuti jejak langkah sirah Nabi Muhammad SAW apabila berlaku ikat janji dengan BN pada tahun 1973, mereka tetap setia berada dalam BN sehinggalah dikhianati oleh Umno dan ditendang keluar dari BN pada November 1977.

Apabila PAS mengikat janji dengan Parti Melayu Semangat 46, walaupun pengaruh parti tersebut merosot dari masa ke semasa semenjak ianya ditubuhkan pada tahun 1988, PAS tetap setia sehinggalah Parti Semangat 46 tersebut dibubarkan dan pemimpinnya kembali kepada Umno.

Dalam Pakatan Rakyat (PR) dilihat oleh orang ramai gelagat pemimpin dan ahli PAS jangan bimbang, PAS tidak akan mengkhianati kawan. Saya yakin Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang mengikat perjanjian akan terus istiqomah dan sesekali tidak akan mengkhianati rakan politik. Jangan ragu, jangan bimbang gerakan Islam tak akan mengkhianati perjanjian yang telah dipersetujui.

Oleh : Hj Mohamad Sabu

Nota: Cuma aku hairan mengapa kenyataan ini dikeluarkan oleh Hj Mohamad Sabu, adakah beliau mengetahui bahawa sudah ada yang tidak setia, atau sedang berlakon setia, tetapi sebenarnya tidak setia, ataupun setia tetapi amat naif untuk menolak tipu daya untuk dilihat tidak setia.