Tuesday, October 14, 2008

Islam dan kebangkitan ekonomi


Allah Yang Maha Pemurah dan Mengasihi

Pemuda dan pemudi ku...

Saya membaca dan tertarik dengan pandangan Sdr Wan Saiful Wan Jan, seorang Ahli PAS daftar terus sejak 1993, yang sekarang menetap di England mengenai Islam dan Kebangkitan Ekonomi.

Semoga tulisan beliau, boleh menjadi renungan kita bersama untuk menjadi panduan terhadap sistem ekonomi yang sedang digunapakai oleh negeri-negeri yang diperintah di bawah Pakatan Rakyat.

Saya bimbang kita hanya meneruskan sistem salah yang diwarisi dari pemerintahan rejim lama (Barisan Nasional)... kita mesti berusaha berubah. Kita mesti menjadi pemimpin ummah bukan menjadi pengikut sistem sedia ada.

Berikut adalah tulisan beliau:-


Dr Imad-ad-Dean Ahmad, Presiden Minaret of Freedom Institute, Amerika, pernah menulis satu artikel mengenai Islam dan sistem pasaran. Dalam artikel ini, penulis akan menterjemahkan beberapa hujah yang dikemukakan oleh Dr Imad ke dalam Bahasa Malaysia dan seterusnya memberikan hujah kenapa umat Islam di Malaysia khasnya dan rantau Asia umumnya wajar berusaha memastikan sistem ekonomi kita adalah berteraskan sistem pasaran terbuka yang bebas daripada campur tangan atau kawalan politik.

Menurut Dr Imad-ad-Dean Ahmad, perniagaan bukan perkara asing bagi umat Islam. Rasulullah (saw) dan Saidatina Khadijah (r.a) merupakan ahli perniagaan yang berjaya dalam pasaran bebas pada masa itu. Kitab suci Al-Quran juga penuh dengan pelbagai ayat yang menyentuh hal ehwal perniagaan. Malahan, jika kita teliti sejarah perkembangan Islam, kita pasti mengakui peranan penting yang dimainkan oleh ahli perniagaan dalam menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk bumi. Islam sampai ke Tanah Melayu melalui ahli perniagaan yang bergerak dalam pasaran bebas dunia, bukan melalui bala tentera.

Malangnya, hubungan intim antara Islam dan pasaran bebas tidak begitu dihargai oleh dunia, termasuklah oleh umat Islam di Malaysia.

Usaha mengawal pasaran

Di awal kurun ke-20, hubungan rapat beberapa negara Arab dengan Soviet Union menyebabkan sistem sosialisme mula meresapi Timur Tengah. Sehingga hari ini, masih banyak lagi negara Arab yang mewarisi sisa-sisa sistem ekonomi sosialisme dalam mana kerajaan menguasai dan mengawal pergerakan ekonomi negara tersebut. Perkembangan pemikiran sosialis di negara-negara Arab akhirnya merosakkan sistem pasaran terbuka yang diwarisi masyarakat Arab sejak zaman Rasulullah (saw) lagi.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, kita melihat betapa negara-negara umat Islam mula menunjukkan rasa tidak selesa terhadap sistem ekonomi sosialisme. Beberapa buah negara umat Islam, termasuklah Malaysia, telah dan sedang berusaha memperkenalkan sistem pasaran yang lebih terbuka dan berdaya-saing.

Malangnya, beberapa kelompok di kalangan umat Islam masih lagi menentang sistem pasaran yang lebih terbuka. Menurut Dr Imad, terdapat tiga kelompok yang biasanya menentang sistem pasaran.

Kelompok pertama ialah mereka yang masih pekat dengan fahaman sosialisme. Mereka ini mengatakan bahawa kita tidak boleh memiliki harta peribadi kerana apa-apa harta yang kita miliki mestilah di kongsi dengan rakyat secara keseluruhan. Dalam bahasa Inggeris, mereka ini digelar sebagai “economic egalitarians”. Fahaman pro-sosialis menyebabkan mereka lebih selesa jika rakyat dan syarikat dikenakan cukai yang tinggi agar harta boleh dibahagi-bahagikan kepada semua rakyat, termasuklah kepada mereka yang tidak mahu bekerja.

Kelompok kedua pula meyakini bahawa untuk membangun, semua hal ehwal dalam sesebuah negara mestilah dikawal oleh kerajaan (autoritarian). Mereka ini berpegang dengan pandangan bahawa menteri-menteri adalah orang bijak pandai yang pakar dalam menyusun-atur ekonomi negara. Oleh itu, aktiviti ekonomi mestilah dikawal sepenuhnya oleh kerajaan melalui proksi-proksi tertentu.

Kelompok ketiga pula menentang sistem pasaran kerana mereka tidak suka kepada kesenangan dan kemewahan. Bagi mereka, harta hanya menjauhkan kita daripada agama. Sebaliknya, mereka mahu hidup dalam dunia tersendiri dan tidak mencampuri urusan mencari pendapatan untuk hidup lebih selesa (asetikisme).

Ketiga-tiga kelompok di atas mempunyai persamaan yang ketara. Mereka semuanya mengatakan bahawa harta atau kekayaan adalah perkara yang tidak baik untuk dimiliki oleh individu. Sebaliknya, pendapatan rakyat mesti dijadikan milik negara, contohnya melalui cukai yang tinggi, dan harta tersebut akan dikawal atau diuruskan oleh negara demi menjaga kebajikan semua rakyat.

Semua fahaman ini sebenarnya tidak selari dengan sistem Islam yang mahukan setiap individu Muslim berusaha dan bekerja, mengumpul harta daripada pekerjaan yang halal, dan kemudian melakukan sebanyak mungkin amal jariah secara sukarela. Seruan Islam ialah agar setiap individu Muslim membantu menjaga kebajikan jiran tetangga dan rakyat keseluruhan, bukan mencari helah dengan mengatakan bahawa itu adalah tanggungjawab kerajaan.

Islam dan harta peribadi

Dr Imad menegaskan bahawa Islam membawa satu sistem komprehensif untuk melindungi harta peribadi. Dalam Islam, semua perkara adalah ciptaan dan hak Allah. Harta peribadi adalah amanah yang diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya. Sebagai khalifah Allah di muka bumi, setiap individu mesti menjaga amanah tersebut dan menggunakannya untuk kebaikan manusia secara keseluruhan. Setiap individu akan dipertanggung-jawabkan sepenuhnya terhadap amanah tersebut (Yaasin, 54).

Al-Quran tidak menafikan hak seseorang individu untuk mengumpul harta. Sebaliknya, Al-Quran memberi beberapa garispanduan dan nasihat mengenai cara terbaik untuk membelanjakan harta. Dalam Islam, harta tidak boleh dibazirkan dan tidak boleh digunakan untuk menafikan hak orang lain (Al-Baqarah, 188).

Jika seseorang menyimpan harta milik orang lain, contohnya memegang amanah harta anak yatim, harta tersebut tidak boleh digunakan untuk kepentingan peribadi pemegang amanah tersebut (An-Nisaa, 9-10).

Bertentangan dengan fahaman sosialis atau autoritarian yang mahukan harta peninggalan si mati dijadikan hak negara, Islam menghormati hak untuk mewariskan harta (An-Nisaa’, 33). Malahan hak mewarisi harta diperluas kepada kaum wanita (An-Nisaa’, 7), walaupun ini tidak berlaku sebelum kedatangan Islam.

Rasulullah (saw) turut mempertegaskan betapa Islam amat menghormati harta milik peribadi. Dalam khutbah wada’, Baginda (saw) bersabda bahawa:

“Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak”

Peranan kerajaan

Dalam sebuah masyarakat Islam, setiap individu bertanggungjawab memastikan harta mereka digunakan dengan cara yang terbaik. Tanggungjawab menjaga kebajikan masyarakat bukan diserahkan kepada kerajaan semata-mata. Sebaliknya, setiap individu Muslim bertanggung-jawab memastikan kebajikan jiran tetangga mereka terjaga, terutamanya dengan melakukan amal jariah.

Sejak kejatuhan Soviet Union, sudah tidak ramai lagi ahli ekonomi yang meyakini sistem ekonomi terancang (command and control economy). Dr Imad mengatakan bahawa sebenarnya ahli-ahli ekonomi Islam sejak awal-awal lagi menolak sistem ekonomi terancang. Sebaliknya, Islam lebih menggalakkan sistem pasaran yang tidak dipengaruhi kuasa politik. Rasululah (saw) acapkali mahukan harga sesuatu barangan atau komoditi ditentukan oleh kuasa pasaran.

Contohnya, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Abu Said al-Khudri, diceritakan bagaimana pada suatu hari Bilal ibn Rabah memberikan beberapa biji buah tamar berkualiti tinggi kepada Rasulullah (saw). Baginda (saw) bertanya “Bagaimana kamu boleh mampu membeli tamar ini?” Bilal menjawab, “Aku menyimpan beberapa biji tamar yang berkualiti rendah, dan aku menukarnya dengan tamar berkualiti tinggi untuk dihadiahkan kepada Rasulullah”. Baginda (saw) menjawab “Berhati - hatilah! Sesungguhnya inilah riba! Jika kamu mahu membeli tamar berkualiti tinggi, maka jual lah tamar yang berkualiti rendah dengan harga pasaran, dan gunakanlah wang yang kamu perolehi untuk membeli tamar yang berkualiti tinggi”.

Dalam kata lain, Rasulullah (saw) mahu urusniaga dijalankan berdasarkan harga pasaran kerana dengan itu, harga sesuatu barangan akan ditentukan oleh kuasa pasaran tanpa dipengaruhi unsur-unsur yang tidak sihat. Jelas bahawa Islam menganggap kuasa pasaran yang tidak dicampuri oleh pengaruh lain boleh menentukan dengan lebih baik dan lebih tepat harga yang paling wajar untuk sesuatu barangan.

Islam juga tidak cuba mengawal harga barangan dalam pasaran. Dr Imad mengatakan bahawa “Rasulullah (saw) hanya mencampuri urusan pasaran untuk mengelakkan berlakunya penipuan atau riba”. Baginda (saw) juga tidak cuba mengawal pasaran apabila Baginda (saw) mengambil alih kuasa politik.

Pada zaman pemerintahan khilafah Umayyah, pemerintah pada waktu itu mula mencampuri urusan pasaran dan cuba mengawal pasaran dengan kuasa politik. Khalifah Umar Abdul Aziz memperbetulkan kesilapan ini apabila beliau mengatakan kepada para gabernor yang beliau lantik bahawa :

“Allah telah menjadikan bumi dan air untuk manusia mencari rahmat-Nya. Maka biarlah para peniaga berjalan tanpa sebarang campurtangan atau gangguan. Jangan kamu mencampuri urusan mereka, dan jangan kamu ganggu usaha mereka mencari rezeki”.

Islam juga tidak menggalakkan kerajaan melibatkan diri dalam perniagaan. Ibn Khaldun mengatakan bahawa “aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh kerajaan adalah merbahaya kepada rakyat dan boleh merosakkan pendapatan dan pentadbiran kewangan negara”. Ibn Khaldun menjelaskan bahawa jika kerajaan melibatkan diri dalam perniagaan, maka ada kemungkinan akan wujud sebuah monopoli yang akhirnya menyebabkan rakyat terpaksa membayar harga yang tinggi. Situasi sebegini pasti akan membebankan rakyat.

Islam menolak asetikisme

Islam menolak fahaman asetik yang seolah-olah mahu semua manusia hidup dalam kemiskinan dan kesusahan. Dr Imad berhujah bahawa, sebenarnya, kaya atau miskin tidak melambangkan apa-apa. Kekayaan dan kemiskinan hakikatnya adalah ujian kepada manusia. Ujian inilah yang akan menentukan jauh atau rapatnya kita kepada Allah. Semata-mata menjadi miskin, atau dengan sengaja mahu menjadi miskin, tidak langsung melambangkan hubungan seseorang individu dengan Allah dan jauh sekali daripada melambangkan taqwa.

Islam menganggap dunia dan kekayaan yang boleh diperolehi di muka bumi sebagai satu platform neutral yang membolehkan setiap individu menzahirkan rasa cinta mereka kepada Allah dengan sukarela, termasuklah dengan cara mengumpul kekayaan ang halal untuk dibelanjakan secara yang halal. Al-Quran dengan jelas mengarahkan manusia bekerja, dan Islam tidak menganggap usaha mengumpul rezeki per se sebagai sesuatu yang menjauhkan manusia daripada Allah.

Zakat dan pembahagian harta

Menurut Dr Imad lagi, dalam menilai sistem ekonomi Islam, sesetengah pengkaji terkeliru apabila mereka mendakwa Islam mahu menyamaratakan taraf sosio-ekonomi manusia. Mereka menyangka bahawa tujuan sistem zakat ialah untuk memastikan semua manusia mempunyai taraf sosio-ekonomi yang sama rata, tidak ada yang kaya dan tidak ada yang miskin. Ini merupakan dakwaan yang tidak tepat sama sekali.

Kadar zakat adalah amat kecil – hanya 2.5% sahaja. Kadar yang rendah ini jelas tidak akan membawa kepada taraf sosio-ekonomi yang sama rata. Dengan itu, zakat jelas bukan bertujuan untuk menyama-ratakan taraf sosio-ekonomi rakyat, dan bukan juga untuk “menghukum” mereka yang kaya. Sebaliknya, seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran, zakat sebenarnya bertujuan untuk menyucikan harta seseorang Muslim.

Sebaik sahaja seseorang mengeluarkan zakat, maka Islam menganggap semua harta lain yang mereka miliki adalah suci dan sepenuhnya menjadi hak mereka. Sebarang perkongsian harta etelah zakat dikeluarkan adalah dalam bentuk sedekah yang sukarela, bukan dalam bentuk paksaaan undang-undang atau rampasan oleh mereka yang berkuasa.

Penutup

Keunggulan teori dan sistem ekonomi Islam sampai ke kemuncaknya pada zaman Ibn Khaldun pada abad ke-14. Ibn Khaldun merupakan tokoh agung yang telah berjaya menggariskan sistem sosio-ekonomi umat berdasarkan prinsip-prinsip Islam.

Bagi Ibn Khaldun, sistem ekonomi Islam menuntut setiap individu berusaha membiayai kehidupan diri sendiri dan keluarga masing-masing, membebaskan pasaran daripada campurtangan kuasa politik, dan mengajak setiap individu manusia menjadi warganegara yang bertanggungjawab terhadap kebajikan secara keseluruhan.

Kedatangan Islam ke muka bumi telah membawa satu sistem pasaran ekonomi yang bebas dan terbuka. Islam menyusun kegiatan ekonomi dengan satu rangkaian undang-undang perdagangan untuk memastikan pemilikan harta peribadi dihormati dan pasaran dibiarkan bebas untuk berfungsi dengan sendiri. Pandangan-pandangan yang menentang sistem pasaran terbuka kebanyakannya bukan berasal daripada penghayatan ajaran Islam yang tulin, tetapi biasanya lebih dipengaruhi fahaman sosialis atau autoritarianisme.

Seruan Islam agar setiap manusia melakukan amal jariah telah melahirkan satu generasi masyarakat bertamadun tinggi yang tiada tolok bandingnya. Generasi ini tidak mengharapkan kerajaan mengambil alih urusan menjaga kebajikan jiran tetangga, tetapi mereka giat menubuhkan pelbagai platform kebajikan yang bebas daripada cengkaman kerajaan. Contohnya, institusi waqaf berkembang pesat semasa zaman emas Islam.

Jika rakyat Malaysia benar-benar mahu mengamalkan sistem ekonomi berdasarkan Islam, maka langkah pertama yang mesti dilakukan ialah memastikan sistem pasaran terbuka kembali diletakkan ke tempatnya.

Oleh: Wan Saiful Wan Jan (www.waubebas.org/)



Saturday, October 11, 2008

Kegembiraan ku bersama Petugas KCS

Pemuda dan Pemudi ku....

Sejak dari bulan Ramadhan lagi perasaanku meronta-meronta untuk mengucapkan penghargaan kepada Petugas KCS dan berhasrat memproklamirkannya ke dalam dunia tanpa sempadan untuk dikongsi bersama oleh seluruh masyarakat dunia, dan hari ini ianya telah terlaksana untuk diproklamirkan. Tahniah anda semua Petugas KCS cukup hebat! Jika ada lagi kalung maharaja Parsi sudah tentu akan ku kalungkan ke leher kamu semua.

Ini adalah disebabkan aku melihat Petugas KCS amat hebat berdasarkan alasan berikut:-

a. Ubudiah LilLAH: Ku perhatikan sejak dari mula sehingga kini kerja-kerja yang dilakukan oleh Petugas KCS benar-benar terserlah sebagai perhambaan diri kepada Allah swt dengan penuh keimanan, mereka menyedari bahawa mereka adalah hamba Allah dan mengetahui bagaimana kedudukan seseorang hamba terhadap tuannya. Ini telah memberi signifikan dari sudut sifat diri mereka, tujuan hidup mereka serta cara kerja buat mereka. Memahami apakah tujuan mentadbir organisasi iaitu sama ia menjadi ibadah atau sebaliknya maksiat dan penderhakaan kepada Allah swt.

b. Mas'uliah: Mereka mempunyai pertanggungjawaban (akauntabiliti) kepada diri, keluarga, organisasi, negara dan yang paling utama ialah terus kepada Allah swt dan memahami bahawa kerja mereka sentiasa dintip dan dicatat setiap saat dan ketika oleh 2 malaikat Allah dikiri dan kanan dan akhirnya diperhitungkan dimahkamah Rabul Jalil yang perjalanan akhir samada syurga atau neraka Allah swt. Mereka menyedari bahawa mereka adalah khalifah Allah di atas muka bumi ini, dengan kepercayaan seperti itu, maka Petugas KCS ini telah muncul sebagai petugas organisasi yang cemerlang.

c. Itqan: Ianya berkaitan amal soleh (akhlak) mereka yang merujuk kepada kualiti kerja yang diterjemahkan sebagai ketekunan, komitmen dan kesungguhan dalam kerja. Tidak memberi ruang berlakunya penyelewengan dan sikap sambil lewa dalam setiap kerja yang dilakukan oleh mereka.

Inilah 3 ciri utama yang aku lihat terpancar kepada Petugas KCS.

Siapakah petugas KCS yang ku maksudkan itu, mereka tidak lain dan tidak bukan ialah....

Hj Yazid (Bang Jid), Razak Kola, Lee Dagin, Aziz, Art, Shukri Kabir, Mat Kedai, Kak Puziah, Mail Beras, Kak Ashah, Azizi Ikan Kerin, Fadzil, Jamen Pejabat, Mail Awang, Rosna, Cikgu Aji, Bad, Ah Kang, Razak Sentu, Puad Mergong, Pak Tam Kaya, Pak Cik Lah, Hamid, Mat Et Letrik, Saubari, Rodzi, Mat Tengku, Hafizan, Anis, Siti Nur Zahirah, Mat Leha, Zul ZMD , Firdaus Masjid, Cobi Kak Basah.... dan ada lagi yang tak sempat di catat.

Ya!!! inilah petugas KCS, yang jika ada lagi kalung Maharaja Parsi nescaya akan ku kalungkan ke leher mereka dengan penuh bangganya.

Apakah yang kumaksudkan Petugas KCS itu?

Petugas KCS yang ku maksudkan itu ialah, Petugas Kerja Cara Sukarela yang membantu tanpa jemu dan penat untuk menjayakan kerja-kerja di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Kubang Rotan, walaupun PAS sudah memerintah negeri.

Mereka ini sejak PKWR Kubang Rotan dibentuk yang sebelum itu Majlis Tindakan DUN Kubang Rotan, tetap sama komitmen samada sebelum dan selepas PAS memerintah Kedah. Tidak pernah menghilang rasa pertanggungjawaban mereka untuk menegakkan cita-cita Islam di bumi ini dan terus bergerak dengan penuh semangat membantu Hj Yazid Hj Hashim sebagai Pengarah MTD dan YB Mohd Nasir Mustaffa sebagai Wakil Rakyat Kubang Rotan tanpa sebarang upah.

Sudah tentu ianya anih kepada orang yang bukan PAS, apabila dikatakan kerja tanpa upah tetapi komitmen mereka melebihi KCS yang diupah beribu-ribu RM namun satu ketika dulu ingin dihadiahkan Berus Jamban oleh Sdr Zulkifli Yahaya akibat terlalu lembab dalam kerja, yang dibimbangi diwarisi sehingga sekarang......... kerja sepatutnya seminggu selesai, ambil masa 2 tiga bulan. Lee Hock Seng kata makan gaji buta, Lah Kadiak kata makan duit rakyat , Zul Ya kata kerja macam berus jamban sekali tonyoh sekali berus karat taik, huuuhhhhh...........!!!!! bukan main nak saman, tetapi orang dok tengok tahap kerja masih sama dan ada yang macam nak sabotaj je........

Teruskan wahai sahabatku Petugas KCS melazimkan kerja-kerja cara sukarela demi Allah untuk cita-cita kita yang satu, dan untuk upahnya bantinglah tulang empat keratmu mencari rezeki Allah di Kedai kepada yang ada kedai, di Meja Ayam yang menjual ayam proses, di Meja daging kepada yang menjual daging, bersama simen dan konkrit kepada yang bekerja sebagai kontraktor, di sawah ladang kepada yang bersawah, menempuh gelora gelombang kepada yang bekerja sebagai nelayan, membasuh telor kepada yang menjual Char Koey Teow.....

Aku gembira, aku bangga, aku seronok, bersama Petugas KCS Pusat Khidmat Kubang Rotan samada secara rasmi ataupun tidak seperti Bang Mat Sabu (Penasihat) , Hj Nan, Wazir, Cikgu Di (Adik Ust Ibrahim), Lan Jan, Teh, Lee Hock Seng, Gopal, Hj Ta, Teh Din, Ust Nizam, Bang Balia, Yon Indah Jati, Cikgu Ton, Agus Bengkiang, apa lagi ..... maaf lupa leeee.

Semoga segala jasa baik kamu semua akan diberi ganjaran oleh Allah swt, dan kepada yang masih jauh dari hidayahNya akan didekatkan kepada hidayahNya dalam waktu yang terdekat InsyaAllah.

Taniah Petugas KCS Ku...............bang Rotan

Harapan semoga KCS (Kedah Civil Servant) tirulah budaya kerja Amilin PAS dan semoga EXCO dari PAS akan berupaya menerap budaya kerja tersebut kepada semua KCS tinggalkanlah budaya kerja cara UMNO yang merugikan rakyat. Gaji anda dari dari wang rakyat, untuk kesejahteraan rakyat dan akan dipersoalkan diakhirat nanti.

Kepada KCS yang berdedikasi tahniah diucapkan, semoga terus maju jaya dalam kerjaya... Ameen Ya Rabb.

"Tidak akan bersopan santun orang yang tidak berakal, tidak akan berharga orang yang tidak bersemangat dan tidak akan malu orang yang tidak beragama"
Kata-Kata Cucunda Rasulullah saw, Saidina Hassan

Thursday, October 9, 2008

Sudahkah Kita Mendakwah Rakan Bukan Islam Kita?

Pemuda dan Pemudi ku

Setiap hari kita bertemu rakan-rakan dari Ahli Kelab Penyokong PAS, adakah kita tidak bimbang mereka akan menyalahkan kita di akhirat kelak kerana kita tidak menjelaskan siapakah Tuhan manusia ini yang sebenarnya? Kemanakah manusia selepas mereka dimasukkan ke dalam keranda? Apakah tujuan manusia ini dihidupkan? dan berbagai lagi....

Apakah kita telah mencontohi Rasulullah dalam usaha mengajak manusia kepada Allah swt Tuhan Yang Maha Esa, renung dan fikirkanlah....

Berikut ini adalah surat Rasulullah kepada Hirarclius (Herkules) Penguasa Romawi (Raja Byzantin).


"Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah, dari Muhammad, Rasulullah, untuk Hiraklius, Penguasa Romawi. Salam sejahtera semoga selalu terlimpah kepada orang-orang yang mau mengikuti kebenaran. Sesungguhnya aku bermaksud mengajakmu memeluk Islam. Masuklah Islam, niscaya kamu akan selamat. Masuklah Islam niscaya Allah akan menganugerahimu dua pahala sekaligus. Jika kamu berpaling dari ajakan yang mulia ini, maka kamu akan menanggung dosa seluruh pengikutmu. Wahai Ahli Kitab, marilah kepada suatu kalimat ketetapan yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita mempersekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak pula sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai Tuhan selain daripada Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang menyerahkan diri kepada Allah) (QS Ali Imran : 64)." HR Muslim 3322

Semoga cebisan surat peninggalan Rasulullah saw akan menjadi pengajaran yang berguna kepada kita dalam usaha mengajak manusia berada di Sirathol Mustaqim, InsyaAllah.

Sunday, October 5, 2008

Wasiat Saidina Ali Sebelum Kematian Akibat Dibunuh

Pemuda dan Pemudi Ku.

Kita telah keluar dari bulan Ramadhan, bulan yang penuh kebajikan... semoga kita dapat menyegerakan meneruskan kebajikan berpuasa 6 hari di bulan Syawal ini dengan segera dan berturut-turut seperti yang dianjurkan oleh Imam Syafie dan Imam Abu Hanifah.

Dalam kegawatan kemelut politik Malaysia ini, ingin ku hidangkan kepada sekelian pemuda dan pemudi ku sebuah wasiat yang di sampaikan oleh Saidina Ali KaramalLah Wajhah kepada anak-anaknya dan sekelian muslimin.

Semoga ia menjadi penawar yang mujarab terutama untuk diriku sendiri dan kepada sekelian pemuda dan pemudi ku, hayatilah wasiat tersebut:-

"Daku wasiatkan kepada anda berdua wahai anakku! Para keluargaku dan kepada siapa sahaja yang mendengar wasiatku ini. Sentiasalah kamu bertakwa kepada Allah, hendaklah kamu semua mengatur sebaik-baiknya urusan kehidupan kamu semua. Aku telah mendengar dari Rasulullah saw bersabda, "Memperbaiki dan menjaga baik hubungan persaudaraan antara sesama kaum muslimin lebih baik daripada bersembahyang dan berpuasa sunat. Ketahuilah bahawa pertengkaran itu boleh merosakkan agama. Ingatlah! Tiada kekuatan selain diperkenankan oleh Allah. Perhatikanlah keadaan keluarga anda semua dan eratkanlah hubungan dengan mereka. Kelak Allah akan melimpahkan kemudahan kepada anda semua di hari pembalasan.

"Allah... Allah! Perhatikanlah anak-anak yatim. Jangan mereka sampai kelaparan dan jangalah sampai kehilangan hak. Daku mendengar sendiri Rasulullah saw sendiri berpesan; "Sesiapa yang mengasuh anak yatim sehingga ia mendapat apa yang diperlukan, orang itu akan dikurniakan syurga oleh Allah. Manakala nerakalah orang yang memakan harta anak yatim.""

"Allah... Allah! Perhatikanlah Al-Quran. Jangan sampai anda semua tidak mengamalkannya"

"Allah... Allah! Perhatikanlah jiran tetangga anda semua, sebab mereka itu adalah wasiat Nabi"

"Allah... Allah! Perhatikanlah rumah Allah Masjidil Haram. Jangan anda semua tinggalkannya ketika anda masih hidup. Kerana jika anda tinggalkan, anda tidak akan dipandang orang. Sesiapa yang sering menghampirinya Allah akan menghapuskan dosa-dosanya yang lalu."

"Allah... Allah! Peliharalah solat sebaik mungkin, sebab solat itu amalan perbuatan yang paling mulia dan merupakan tiang agama."

"Allah... Allah! Tunaikanlah zakat sebagaimana semestinya. Sebab itu akan menghilangkan kemurkaan Allah."

"Allah... Allah! Laksanakanlah Puasa di bulan Ramadhan. Sebab puasa itu adalah penutup jalan ke neraka."

"Allah... Allah! Berjuanglah dijalan Allah dengan harta dan jiwa anda semua. Hanya terdapat dua jenis sahaja orang yang berjuang di jalan Allah. Iaitu seorang pemimpin yang memberikan bimbingan menuju Allah dan orang yang patuh kepada pemimpin itu serta mengikuti kebenaran pimpinannya."

"Allah... Allah! Jagalah sebaik mungkin keturunan nabi. Jangan sampai mereka diiniaya orang dihadapan mata anda semua, jagalah sebaik mungkin sahabat nabi yang soleh."

"Allah... Allah! Perhatikanlah para fakir miskin. Biarlah mereka bersama dalam kehidupan anda."

"Allah... Allah! Jagalah sebaik mungin wanita dan hamba sahaya. Sebab Rasulullah saw mewasiatkan supaya anda semua mengambil berat terhadap dua golongan yang lemah ini."

"Dalam menjalankan kewajipan terhadap Allah, jangalah anda merasa takut dicela orang lain. Allah akan melindungi dan menyelamatkan anda semua dari mereka yang ingin membuat jahat kepada terhadap anda."

"Berkatalah sebaik mungkin sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah. Janganlah lalai untuk melaksanakan amal ma'aruf dan nahi mungkar agar Allah tidak melimpahkan kekuasaan kepada orang jahat. Sebab dalam keadaan seperti itu doa anda semua tidak akan diperkenankan."

"Handaklah anda semua saling berhubung erat, saling tolong menolong dan saling kasih mengasihi. Jangalah anda memutus hubungan, saling berpecah atau bercerai berai. Handaklah anda semua saling bantu membantu dalam kebajikan dan takwa. Janganlah sekali-kali anda semua saling bantu-membantu dalam berbuat dosa dan permusuhan."

"Bertaqwalah kepada Allah, kerana siksaan Allah itu amat pedih sekali. Semoga Allah sentiasa menjaga dan memelihara anda wahai keluargaku! Daku mengucapkan selamat tinggal sebaik-baiknya kepada anda semua dan ucapkan Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh....!"

Kemudian Saidina Ali menoleh kepada kedua anak kesayangannya, Saidina Husin dan Hasan seraya berkata:

"Wahai anakku! Perhatikanlah sebaik-baik 4 perkara yang ingin aku sampaikan. Selagi anda berpegang teguh kepada 4 perkara tersebut, apapun yang anda lakukan tidak akan mendatangkan kemudaratan"

"Sesungguhnya kekayaan yang paling tinggi nilainya ialah akal fikiran. Kemelaratan yang paling berat ialah kebodohan. Kesepian yang paling menakutkan ialah bangga diri. Keturunan yang paling mulia ialah budi pekerti yang luhur."

"Wahai anakku berhati-hatilah bila anda berkawan dengan orang yang kedekut. Sebab dia akan menjauhkan anda dari sesuatu yang anda perlukan. Berhati-hatilah bila anda berkawan dengan orang derhaka. Sebab ia akan menjual dirimu dengan harga yang murah. Berhati-hatilah bila anda berkawan dengan orang yang pembohong. Sebab ia ibarat fatamorgana, yang jauh didekatkan dan yang dekat dijauhkan darimu...."

Pemuda dan pemudiku semoga wasiat tersebut akan menjadi pedoman kepada kita semua dalam meneruskan kehidupan yang masih berbaki setelah meninggalkan Ramadhan yang penuh kenangan manis, semoga kita diberi kesempatan untuk bertemunya sekali lagi pada tahun hadapan, InsyaAllah..... Ameen.

Wednesday, September 17, 2008

PESANAN ISTIMEWA UNTUK RAKYAT ISLAM KUBANG ROTAN


Pemuda dan pemudi ku,


Kejarlah dan Intailah Malam Seribu Bulan


Sebagai sebuah kerajaan yang memerintah, selain dari memikirkan untuk memberi habuan dunia kepada rakyat dengan usaha menarik pelaburan dari luar negara, mempertingkatkan produktiviti anak negeri dan segala macam usaha bagi meninggikan ekonomi rakyat.


Maka sesuai dengan tema ‘Kedah Sejahtera’ – Pusat Khidmat Wakil Rakyat ADUN Kubang Rotan ingin menyeru umat Islam dalam DUN Kubang Rotan untuk bersama-sama memikirkan secara serius habuan atau hadiah istimewa yang diberikan oleh Allah swt kepada seluruh mukminin dan mukminat untuk mencari satu bonus sebagai bekalan yang penuh kesejahteraan ketika di alam akhirat nanti, iaitu dengan sama-sama mengintai malam Lailatul Qadar pada 10 malam-malam terakhir Ramadhan tahun ini dan Ramadhan tahun-tahun berikutnya, selagi nyawa dikandung badan.


Malam yang memberi bonus, amalan selama 1,000 bulan adalah satu tawaran yang tidak boleh dilepaskan oleh sesiapapun yang bergelar mukmin dan mukminat.

Kita boleh berusaha mendapat malam Lailatul Qadar ini, samada secara individu, berkeluarga atau berjamaah, di rumah, di surau atau di masjid.


Walaubagaimana pun bagi Pusat Khidmat Wakil Rakyat ADUN Kubang Rotan mengambil inisiatif untuk bergerak secara berjamaah dari masjid ke masjid sepanjang 10 malam terakhir Ramadhan tahun ini, dalam usaha menggerakkan motivasi rakyat Islam Kubang Rotan mengejar bonus yang sengaja disembunyikan oleh Allah swt.

InsyaAllah program akan bermula jam 01.00 pagi dan berakhir dengan kuliah suboh di 10 buah masjid dalam DUN Kubang Rotan dan InsyaAllah makanan untuk bersahur akan disediakan oleh pihak AJK masjid berkenaan.


Berikut adalah senarai masjid yang telah diaturkan gilirannya:-


19 Ramadhan 1429 : Masjid Al-Ghufran, Akar Peluru, Jalan Pegawai.

20 Ramadhan 1429 : Masjid Kg Baru, Kuala Kedah

21 Ramadhan 1429 : Masjid Kuar Jawa

22 Ramadhan 1429 : Masjid Kubang Jawi

23 Ramadhan 1429 : Masjid Nurul Ihsan, Kbg Rotan

24 Ramadhan 1429 : Masjid Al-Maarof, Sbrg Kota

25 Ramadhan 1429 : Masjid Putra, Batu 6, Jalan Kuala

26 Ramadhan 1429 : Masjid Ehsan, Sbrg Perak

27 Ramadhan 1429 : Masjid Telok Chengai, Jln Kuala Kedah

28 Ramadhan 1429 : Masjid Nagore, Pekan Kuala Kedah


Kuatkan Tekad, Teguhkan Azam Mengejar dan Mengintai Malam Seribu Bulan Anugerah Tuhan Pencipta Alam


Semoga Berjumpa Di Sana!!!

Monday, September 8, 2008

916: PAKATAN RAKYAT MEMERINTAH MALAYSIA?

Allah - Tuhan Yang Menguasai Hari Pembalasan

Pemuda dan Pemudi ku

Sehingga saat ini, aku masih tetap berpegang kepada pendapat bahawa untuk kita mencapai Pemerintahan Islam yang di cita-citakan wajib mempunyai tiga ciri utama iaitu:-

1. Mempunyai seorang pemimpin muttaqin yang bebas dari sebarang kepentingan kelas dan puak.
2. Kuasa penuh untuk menyusun semula masyarakat secara menyeluruh disemua peringkat dengan sistem Islam.
3. Berkeupayaan untuk berurusan dengan dunia luar dengan cara yang tersendiri berdasar acuan Islam.

Persoalannya adakah usaha Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri dan seterusnya mengambil alih pemerintahan Malaysia pada 16 September nanti akan melengkapkan 3 ciri utama di atas.

Jawapannya sudah tentu tidak. (Kerana, tidak payah lagi aku menghuraikan siapakah Anwar - semua kita sudah tahu).

Jadi bagaimana kita pendokong perjuangan Islam? Apakah kita perlu keluar Pakatan Rakyat? Apakah kita perlu menubuh parti baru? Apakah kita perlu memeluk UMNO? Bagaimana dan bagaimana?.

Itulah persoalan yang berlegar-legar dikebanyakan minda pejuang Parti Islam SeMalaysia (PAS), kadang-kadang idea-idea yang dijana didalam pemikiran hanya digunakan untuk bermonolog, tanpa diluah keluar, kerana bimbang "Luah Mati Emak, Telan Mati Bapak".

Jangan bimbang pemuda dan pemudi ku. Teruskan perjuangan menegakkan Islam yang syumul di atas muka bumi Malaysia ini.

Bagi aku, kita mesti terus dengan Pakatan Rakyat, samada pada 16 September ini berjaya ataupun tidak Pakatan Rakyat memerintah Malaysia. Kerana yang penting bagi ku ialah landskap politik Malaysia ini perlu diubah terlebih dahalu. Khurafat mengatakan orang lain tidak tahu memerintah selain UMNO/BN mesti dihapuskan terlebih dahulu. UMNO mesti dimusnahkan sehingga keakar akar umbi. (maksudku bukan orang UMNO tetapi fahaman UMNO).

Ada dua andaian:

1. Andaian Pertama: Pakatan Rakyat tidak berjaya Memerintah Malaysia pada 16 September 2008.

Semua kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat memerintahlah seperti biasa. Program-program menuju ke arah Islam yang syumul mesti dipertingkatkan oleh pemerintahan yang dikuasai oleh PAS. Jangan takut kepada pegawai tadbir untuk melaksanakan program Islam (bukan pegawai yang memerintah, tetapi kita yang memerintah pegawai - dan bukan Islam yang diperintah, tetapi Islam yang memerintah).

Ustaz Fadzil Noor, pernah memberitahu, "Takut tak pa, jangan muhong je..."
Yang aku bimbang ialah, jika kita memiliki kedua-dua sifat secara serentak iaitu takut dan suka berbohong. Jika kita takut kepada pegawai kerajaan dan bohong kepada ahli PAS, maka kerajaan yang kita perintah tidak akan sampai kemana. Oleh itu sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, kepada negeri yang Pakatan Rakyat baru memerintah, tirulah perkara baik dari abang kita yang dah lama memerintah iaitu Kelantan, jangan berasa malu dan segan.

Sehinga jadilah pemerintahan Negeri Pakatan Rakyat sebagai idola yang kepada semua rakyat Malaysia dan menunggu-nunggu bila lagi Pakatan Rakyat akan datang memerintah negeri mereka.

2. Andaian Kedua: Pakatan Rakyat berjaya memerintah Malaysia

Kita mesti terus dengan Pakatan Rakyat di dalam untuk memerintah Malaysia. Selepas itu PAS mesti diperkukuhkan lagi secara serius (ingat tu Ustaz Idris Ahmad - Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiyyah PAS Pusat) sebagai sebuah gerakan Islam. Aku mencadangkan PAS hanya menghantar sebahagian sahaja pemimpin pertengahan untuk menjadi Menteri, sementara sebahagian pemimpin utama PAS mesti berada diluar kerajaan untuk terus membina jamaah yang benar-benar mantap.

Cadangan aku ini, berlandaskan kepada tindakan yang UMNO akanlakukan setelah 50 tahun berkuasa, maka adalah tidak mudah mereka akan menyerahkan pemerintahan Malaysia ini secara mudah kepada Pakatan Rakyat. Berbagai provokosi akan mereka timbulkan.

Jika ini berlaku, dan tidak dapat dikawal dengan baik oleh kerajaan baru, maka umur Pakatan Rakyat tidak akan kekal lama. Oleh itu, Presiden dan ke tiga-tiga Naib Presiden dicadangkan tidak menyertai kerajaan Pakatan Rakyat (Menteri atau apa-apa jawatan lain yang tidak payah menjadi Ahli Parlimen untuk menjawatnya). Hanya Setiausaha Agung PAS yang dibenarkan mengetuai PAS dalam Pakatan Rakyat pada kali ini.

Tugas mereka yang berada dalam pemerintahan hendaklah di garis luruskan kepada usaha pemantapan Islam dan mesti berani dan sekali-kali tidak bohong. Ini adalah tugas yang berat. Berada dalam kerajaan Pakatan Rakyat peringkat Malaysia adalah penting kerana disitu kita akan dapat belajar dan menguasainya dimasa hadapan yang lebih mencabar.

Tugas pemimpin yang berada diluar, ialah memantapkan parti (jamaah) sehingga benar-benar menjadi Harakah Islam sehingga berjaya mendaulatkan Islam secara syumul atas muka bumi Malaysia ini. Ini juga adalah satu tugas yang lebih penting, kerana jika apa-apa berlaku kepada kerajaan Pakatan Rakyat, ataupun Pakatan Rakyat terus memerintah sehingga PRU ke 13, proses pembangunan kader-kader PAS secara lebih serius mesti dilakukan.

...dan untuk mendaulatkan Islam secara syumul di atas muka bumi Malaysia ini ada beberapa perkara yang perlu dilakukan dalam tempoh 10 tahun ini....

masa lain pulalah dibincangkan... sekarang kita tumpukan perhatian untuk mengubah landskap politik Malaysia terlebih dahulu dengan menidakkan khurafat UMNO bahawa mereka sahaja yang tahu memerintah Malaysia ini.

Sunday, September 7, 2008

MEMBELA GOLONGAN MUSTAD'AFIN - TUGAS KITA



ISLAM MENGHARAMKAN TANAH SETINGGAN


Setinggan atau didalam bahasa inggerisnya “squatter”, yang memberi maksud “orang yang menempati tanah kerajaan secara haram, penghuni haram[1]”


Pengamalan system “setinggan” didalam undang-undang tanah di Malaysia pada hakikatnya diciplak dari pengamalan undang-undang tanah yang diamalkan di British.


Pihak British telah mengamalkan sistem setinggan ini bermula pada tahun 1898, yang pada asalnya diambil dari Australia .[2]


Setelah British masuk ke tanah melayu pada tahun 1786 sehingga 31 ogos 1957[3]. Ketika itu, mereka bukan sekadar menjajah kehidupan rakyat tanah melayu, bahkan mereka telah membawa masuk beberapa sistem pemerintahan penjajah ke tanah melayu. Antara sistem yang dibawa oleh mereka adalah sistem tanah dengan mewujudkan satu “istilah” yang “jelek” didengari, iaitu istilah “setinggan” untuk melahirkan pemandangan jijik kepada golongan peneroka-peneroka.


Jika meneliti sejarah pemerintahan Islam di Tanah Melayu, didapati bahawa sistem penerokaan tanah ini telah diamalkan di Melaka. Ini dibuktikan dengan satu buku tulisan Professor Ahmad Ibrahim, iaitu buku yang bertajuk “Al-Ahkam : undang-undang harta dalam Islam”. Didalam buku tersebut, dinukilkan “risalah hukum kanun Melaka” yang menyatakan hukum penerokaan tanah adalah seperti berikut;


“peri hukum orang menebas rimba yang tidak diperhumai orang, melainkan (menjadi) milik orang (yang menebas itu) sahaja, (dengan) dua janjinya (syaratnya),(pertama) bahawa yang menebas itu Islam, (kedua) bumi itu jangan ada milik orang lain. Apabila ditebasnya, maka barang yang ada di dalamnya itu menjadi pendapatan yang menebaslah.[4]”


Dari kenyataan sejarah ini, menjadikan kita tidak merasa pelik tentang kewujudan tanah-tanah pusaka yang dikuasai oleh orang-orang tua terdahulu.


Tetapi, dengan kedatangan British, mereka telah menjajah segala sistem pemerintahan Islam ini sehinggakan mereka melahirkan istilah “setinggan” kepada peneroka-peneroka tanah sebagai usaha untuk menjadikan umat Islam di Negara ini merempat di Negara mereka sendiri.


Tindakan dan usaha British ini tidak selesai sekadar keluarnya mereka dari tanah Melayu, tetapi tindakan British itu telah disambung oleh “anak-anak didik” mereka.


PANDANGAN ISLAM TERHADAP PENEROKAAN TANAH


Islam telah meletakkan hukum yang sangat jelas berkenaan dengan penerokaan tanah ini. Didalam perbincaraan fiqh, focus perbincangan berkenaan dengan penerokaan tanah dibawah tajuk “Ihya’ Al-Mawat”. Ianya sangat berkaitan rapat dalam perbincangan “al-hima” dan “Al-Iqta’”


Walaubagaimanapun, asas dalam perbicaraan penerokaan tanah ini adalah disandarkan kepada sabda Nabi SAW;


“Barangsiapa yang memakmurkan (meneroka) tanah yang tidak dipunyai seorang pun, maka dia adalah orang yang paling berhak terhadap tanah tersebut[5]”


Ulama sepakat menyatakan, setiap tanah yang tiada dimiliki oleh sesiapapun, lalu diterokai oleh seseorang, maka tanah tersebut menjadi miliknya[6].


Apabila tanah tersebut sudah menjadi miliknya, maka haram kepada mana-mana pihak, samada kerajaan atau sebagainya mengambil tanah tersebut. ini bersandarkan kepada sabda Nabi SAW;


“Barangsiapa menerokai tanah mati yang tiada kepunyaan sesiapapun, maka tanah itu menjadi miliknya. Dan tiada hak bagi titisan peluh (usaha) orang yang zalim (terhadap tanah tersebut)[7]”


Daripada hadis ini, Imam As-Syafii menyatakan bahawa, pemilik tanah boleh memaksa pihak penceroboh mencabut balik segala bangunan yang dibina di atas tanahnya itu[8].


Maka dengan itu, sekiranya pihak pemaju atau sebagainya, membangunkan bangunan di atas tanah yang diterokai oleh seseorang, maka dia berkuasa memaksa pihak pemaju tersebut membinasakan bangunan yang dibina atas tanah teroka tersebut.


Sekiranya pihak kerajaan ingin mengambil tanah tersebut dengan tujuan kepentingan awam, seperti membina jalan raya dan sebagainya, maka itu diizinkan. Keizinan itu sekiranya ketidaan pilihan yang lain, selain tanah tersebut sahaja. Walaupun begitu, keizinan tersebut mewajibkan kepada pihak kerajaan memberi pampasan yang setimpal dengan harga tanah dan bangunan kepunyaan peneroka tersebut, bukan berbentuk “saguhati” seperti yang dilakukan oleh pihak kerajaan sekarang.


Adapun jika dilihat pada reality yang berlaku di Kg Seberang Kota/ Kampung Baru, Seberang Terus dan dimana-mana tempat yang dirobohkan rumah-rumah rakyat disana bukanlah untuk kepentingan awam, tetapi tindakan tersebut adalah disebabkan tanah itu sudah di jual kepada pemaju-pemaju tertentu. Tindakan tersebut pada hakikatnya adalah berpunca dari sistem ekonomi kapitalis, yang lebih mementingkan syarikat-syarikat swasta berbanding rakyat didalam sesebuah Negara.

Firman Allah;

“Supaya perbendaharaan Negara tidak berlegar dikalangan orang-orang kaya dikalangan kamu”
(Surah Al-Hasyr : 7)


Dipadan dari tulisan Al-Bakistani

Rujukan:

[1] BESTA electronic Dictonary : carian “setinggan”.
[2] Seminar Peneroka Tanah di Worldwide pada 22 april 2007
[3] Sila lihat “Target PKSR Kajian tempatan” : m/s 98-99
[4] Maxwell, e.w 1884 “law and customs of the malays with references to the tenure of land. Dlm Isbras : Al-Ahkam jilid 3 – undang-undang harta dalam islam – oleh professor ahmad ibrahim, dewan bahasa dan pustaka (1991) – m/s : 62
[5] Sahih Al-Bukhari : 2/823. hadis no 2210.
[6] Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh : 5/551.
[7] Sunan An-Nasai Al-Kubra : 3/404. hadis no : 5760.
[8] Tuhfah Al-Ahwazi : 4/505.