Wednesday, January 5, 2011

Mohamad Sabu, Menulis Mengenai Janji Setia

Dasar PAS ialah Islam. Rujukan PAS ialah Al Quran dan Sunnah, contoh ikutan terbaik ialah Muhammad Rasulullah SAW uswatun hasanah. Setelah mendapat kuasa di Madinah, Nabi membuat Perlembagaan Madinah/Piagam Madinah.

Ada lebih kurang 47 pasal dalam Piagam Madinah. Yang paling banyak ialah hal melindungi puak-puak atau kaum-kaum yang mengikat dan menandatangani perjanjian tersebut. Hak keselamatan, budaya, agama dan ekonomi dilindungi oleh Perlembagaan Madinah.

Penguasa Madinah tidak pernah mengkhianati perjanjian tersebut, bahkan orang-orang Yahudilah yang mengkhianati perjanjian tersebut semasa Perang Ahzab. Yahudi Madinah memihak kepada tentera bersekutu kafir yang mengepong Madinah. Selepas selesai Perang Ahzab kerajaan Madinah bertindak kepada orang Yahudi di atas sebab pengkhianatan mereka.

Nabi Muhammad SAW juga membuat Perjanjian Hudaibiah secara zahiriah, dilihat perjanjian itu merugikan umat Islam dan kerajaan Madinah. Sepuluh tahun tidak ada peperangan di antara Mekah dan Madinah. Pihak Mekah dan Madinah bebas mengadakan urusan dengan mana-mana pihak.

Orang Madinah yang pergi ke Mekah, tidak perlu dihantar balik. Sebaliknya orang Mekah yang pergi ke Madinah perlu dihantar balik. Undang-undang ektradisi ini dilihat tidak seimbang dan tidak adil. Setelah menandatangani perjanjian ini, Nabi dan rombongan berpatah balik dan tidak jadi melakukan umrah pada tahun tersebut.

Nabi dan umat Islam patuh kepada perjanjian tersebut. Kesempatan damai digunakan oleh kerajaan Madinah untuk menyebarkan Islam keseluruh pelusuk Semenanjung Arab dan negara-negara yang berdekatan.

Perjanjian ini dipatuhi oleh kerajaan Madinah sehinggalah mubaligh Islam dibunuh oleh pihak kerajaan Mekah. Selepas itu Nabi menggerakkan puluhan ribu umat Islam untuk mengepong Kota Mekah dan akhirnya menguasainya.


Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang meletakkan Al Quran dan Sunnah sebagai rujukan , cuba mengikuti jejak langkah sirah Nabi Muhammad SAW apabila berlaku ikat janji dengan BN pada tahun 1973, mereka tetap setia berada dalam BN sehinggalah dikhianati oleh Umno dan ditendang keluar dari BN pada November 1977.

Apabila PAS mengikat janji dengan Parti Melayu Semangat 46, walaupun pengaruh parti tersebut merosot dari masa ke semasa semenjak ianya ditubuhkan pada tahun 1988, PAS tetap setia sehinggalah Parti Semangat 46 tersebut dibubarkan dan pemimpinnya kembali kepada Umno.

Dalam Pakatan Rakyat (PR) dilihat oleh orang ramai gelagat pemimpin dan ahli PAS jangan bimbang, PAS tidak akan mengkhianati kawan. Saya yakin Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang mengikat perjanjian akan terus istiqomah dan sesekali tidak akan mengkhianati rakan politik. Jangan ragu, jangan bimbang gerakan Islam tak akan mengkhianati perjanjian yang telah dipersetujui.

Oleh : Hj Mohamad Sabu

Nota: Cuma aku hairan mengapa kenyataan ini dikeluarkan oleh Hj Mohamad Sabu, adakah beliau mengetahui bahawa sudah ada yang tidak setia, atau sedang berlakon setia, tetapi sebenarnya tidak setia, ataupun setia tetapi amat naif untuk menolak tipu daya untuk dilihat tidak setia.